Suapan:
Kiriman
Komentar

Arkib bagi Kategori ‘Ulasan/Pandangan/Perkongsian’

Satu nama yang kian mendapat perhatian dalam industri seni tanah air kebelakangan ini sebagai seorang pelakon berkebolehan. Sudah adat, seorang pelakon biasanya tidaklah terus dikenali semasa awal kemunculannya. Begitulah juga yang berlaku pada aktres comel ini. Dia boleh dikatakan sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan tetapi baru beberapa tahun ini menempa nama gemilang.

Setelah dia popular barulah ramai yang perasan kelibatnya di dalam filem-filem atau drama-drama lakonannya sebelum ini. Antara yang mencuri tumpuan adalah penampilannya sebagai penyanyi di hotel di dalam filem Mami Jarum Junior. Babak Ezad bergaduh dengan kekasihnya di awal filem itu diiringi oleh suara lunak Yana menyanyikan lagu Pasrah.

Yana mulai menyerlah melalui filem-filem terbitan Metrowealth. Setelah namanya meningkat naik, selain sering muncul sebagai watak utama mahupun pembantu di layar perak, wajahnya juga kerap menghiasi kaca televisyen. Dia diberi kepercayaan membawa pelbagai watak di dalam pelbagai genre cerita; komedi, drama, romantis malah seram. Kemampuannya untuk mengadaptasi diri dengan watak membuktikan bakatnya.

Secara peribadi, saya memuji pelakon muda ini. Tidak dapat dinafikan, jalan cerita yang menarik juga merupakan faktor yang menyerlahkan nama seseorang pelakon. Mungkin itu yang menyebabkan saya masih tersenyum mengenangkan telatah para pelakon dalam filem Adnan Sempit termasuklah Yana Samsudin yang memegang watak sebagai Wawa.

Namun gelagat wataknya yang mencetuskan gelak tawa penonton dalam filem itu sangat kontra dengan watak penuh emosi yang dibawakannya dalam drama bersiri Santau Merasuk. Drama yang menghiasi slot Seram di TV3 beberapa lama dahulu merupakan adaptasi daripada filem Santau.

Begitu juga wataknya dalam drama yang sedang ditayangkan sekarang di TV3 melalui slot Samarinda iaitu Surat Dari Langit Biru. Ternyata, Yana bukan sahaja mampu membuat orang ketawa tetapi menangis juga.

Paling saya tertarik sehingga membuat saya ingin menulis tentang pelakon ini adalah kemunculannya dalam filem Strawberi Cinta. Memegang watak Ichigo (maksudnya strawberi), seorang gadis Jepun yang datang ke Malaysia untuk mencari ibunya, Yana menonjolkan perwatakan berbeza. Sudah tentu dia perlu berusaha lebih untuk menghayati watak unik ini. Bukan sahaja dari segi pakaian dan tingkah laku, malah bahasa pertuturan, bahasa badan dan kawalan suara juga mesti dikuasainya.

Sememangnya pasti ada kelemahan. Namun, saya sangat teruja melihat pelakon tempatan membawa watak orang luar dengan bersungguh-sungguh. Sama seperti mana saya memuji lakonan Aqasha sebagai pegawai askar Jepun dalam filem Embun. Secara zahirnya, pelakon perlu dipilih melihat kepada kesesuaian rupa dengan watak. Itulah yang dimiliki oleh Yana. Namun rupa sahaja belum cukup. Pelakon juga harus bijak membawakan wataknya dan Yana berjaya menjadi Ichigo!

Telatah watak gadis Jepun ini mengingatkan saya kepada seorang sahabat lama yang amat meminati anime Jepun. Minatnya pada kartun-kartun comel dan juga drama bersiri dari negara matahari terbit ini turut mempengaruhi gaya percakapan dan sedikit sebanyak tingkah lakunya. Wajahnya juga comel persis gadis Jepun terutama semasa tersenyum. Lepas saja menonton filem Strawberi Cinta, saya terus menghubunginya. Tidak lupa selain bertanya khabar saya turut mempromosikan filem tersebut kepadanya. Mungkin dia sudah menontonnya sekarang.

Apapun, buat Yana Samsudin moga terus sukses dalam kariernya! Saya harap saya akan menonton lakonannya dengan watak yang lebih mencabar di masa hadapan.

Baca Kiriman Penuh »

Pontianak

Dunia hantu atau makhluk halus sememangnya tidak pernah jemu dikomersialkan melalui media elektronik terutamanya filem dan drama televisyen. Menonton beberapa buah filem mencetuskan perasaan saya ingin menulis tentang isu ini. Lebih spesifik lagi, saya tertarik akan salah satu jenis hantu yang paling popular, bukan sahaja dalam kalangan orang Malaysia malahan di peringkat antarabangsa iaitu pontianak.

Ya, pontianak atau dalam bahasa Inggerisnya ‘vampire’ amat dikenali seantero dunia. Apa yang menariknya, hantu jenis ini mempunyai kriteria yang berbeza mengikut manifestasi masyarakat yang berbeza. Dalam erti kata lain, pontianak Melayu misalnya tidak sama dengan pontianak orang putih. Pelik ‘kan? Tapi itulah realitinya.

Masyarakat Malaysia khususnya dalam kalangan orang Melayu mengekspresikan pontianak dalam rupa wanita. Dipercayai pontianak berasal daripada roh wanita mengandung mati dibunuh yang bergentayangan mengganggu dan menghisap darah manusia lain. Dikatakan juga pontianak ini boleh bertukar menjadi manusia semula apabila dipaku dan orang yang memaku pontianak tersebut akan menjadi tuannya.

Lain pula dalam masyarakat Barat. Pontianak wujud dalam bentuk lelaki dan perempuan. Mereka yang telah dihisap darah oleh pontianak akan bertukar menjadi spesies itu juga. Dipercayai bahawa kelemahan pontianak ini adalah cahaya matahari dan senjata berasaskan perak (silver). Terdapat juga kepercayaan lain seperti pontianak takut pada tanda salib, bawang putih dan api.

Arena perfileman telah menjadikan variasi kepercayaan ini sebagai satu modal menghasilkan aneka cerita sama ada dalam bentuk kelakar, seram mahupun aksi bagi menarik perhatian para penonton. Peredaran zaman turut menyaksikan revolusi kepercayaan itu sendiri. Sebagai contoh, ada cerita yang mengetengahkan pontianak yang mampu bertahan terkena cahaya matahari. Selain itu, ada juga ditonjolkan tidak semua pontianak itu jahat seperti Dracula kerana terdapat puak yang baik, tidak membunuh manusia sewenang-wenangnya.

Pelbagai idea kreatif menjadikan pontianak tidak hilang ditelan masa. Industri seni tanah air pernah digemparkan dengan kemunculan filem Pontianak Harum Sundal Malam. Tajuknya saja pada mulanya menimbulkan pertikaian. Namun, susulan filem ini banyak filem lain diterbitkan berasaskan genre serupa. Sampailah satu ketika itu, berlaku kebanjiran filem seram tempatan di layar perak. Tidak cukup dengan filem, drama televisyen dan telefilem juga turut membawa tema yang hampir sama.

Walau bagaimanapun, kini sudah nampak keseimbangan. Saya menyanjungi karyawan tempatan yang memiliki misi tertentu tatkala menghasilkan cerita seram. Antara yang saya maksudkan adalah Afdlin Shauki. Beliau menonjolkan watak hantu dengan tujuan menghilangkan rasa takut masyarakat kita pada makhluk itu. Tak percaya? Cuba tonton filem Pontianak vs Orang Minyak. Pasti selepas itu anda akan faham maksud saya.

Saya juga sering terhibur dengan karya Mamat Khalid. Siapa yang tidak tahu filem Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah? Banyak dialog dari filem ini menjadi tagline ramai orang. Unsur humornya santai tetapi tetap ada mesejnya. Selain itu, Ahmad Idham juga bijak membawakan hantu ke dalam ceritanya dengan gaya tersendiri. Mungkin saya lari daripada tajuk Pontianak tetapi tak mungkin saya boleh lupa filem Jangan Pandang Belakang yang mendapat kutipan tinggi semasa ditayangkan beberapa tahun lalu.

Pada pemerhatian saya, pontianak di Hollywood cenderung diserlahkan melalui filem aksi dan thriller. Begitu juga dalam industri perfileman Hong Kong. Malah, pontianak menjadi fenomena dunia dengan kemunculan siri novel dan filem Twilight. Unsur percintaan yang diserapkan antara sebab kisah ini menjadi kegilaan ramai orang. Tidak kurang juga kerana pelakonnya yang cantik dan bergaya.

Filem antarabangsa lain yang menarik perhatian saya antaranya Underworld, Fright Night, Twins Effect dan Abraham Lincoln the Vampire Hunter. Filem-filem ini padat dengan aksi mendebarkan dan kisah percintaan menyentuh hati. Mampu memberi kepuasan kepada penggemar filem aksi seram.

Ya, pontianak ada macam-macam rupa mengikut tafsiran pelbagai masyarakat berdasarkan kepercayaan masing-masing. Dalam Islam hanya ada satu penjelasan iaitu syaitan yang mengganggu manusia supaya sesat. Nasihat saya, apa yang perlu ambillah sebagai pedoman dan selebihnya sekadar hiburan saja.

 

Baca Kiriman Penuh »

Gadis Klasik

Nama dia Normah. Pertama kali mendengar namanya, aku tidak membayangkan bahawa dia adalah seorang gadis yang dilahirkan dalam tahun sembilan puluhan. Aku berimaginasi, dia mungkin seorang mak cik atau paling kurang pun berpangkat kakak. Aku terpana saat menyedari nama itu merupakan nama rakan sekuliahku.

Normah bukanlah insan istimewa padaku. Sekilas pandang, aku dapat mengagak dia hanya gadis biasa dari kampung. Gayanya sederhana. Kadang-kadang nampak kolot juga. Dengan baju kurung bercorak lama, tudung bunga-bunga dan kasut sarung hitam.

Anehnya, dia tidak kelihatan malu atau merendah diri dengan penampilannya. Malahan, aku perhatikan setiap kali kuliah, dia selesa duduk di kerusi paling hadapan. Dia turut berkeyakinan ketika membuat apa jua pembentangan. Lantang bersuara, dia memang pantang dicabar terutamanya oleh kaum Adam.

“Bukankah sudah banyak spa dan pusat kecantikan yang dibuka sekarang. Sejauh mana keyakinan awak untuk menjayakan projek spa awak ni?” Syukri sengaja mengajukan soalan untuk menduga Normah.

Normah tenang saja berdiri di depan dewan kuliah. Matanya tepat memandang Syukri ketika rakanku itu melontarkan soalan. Pensyarah subjek Prinsip Perniagaan mengalihkan pandangan kepada Normah tanda menanti jawapan.

“Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Tujuan kita belajar dalam bidang perniagaan ini adalah untuk memanjangkan kail bagi mengharung lautan. Dalam pembentangan tadi sudah saya terangkan kelainan dan inovasi dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh spa saya. Mungkin awak terlepas pandang atau tidak tumpukan perhatian, Syukri.” Kedengaran suara tertawa teman-teman sekuliah.

“Saya juga tidak keberatan kalau awak berminat untuk bekerjasama menjayakan projek saya ni. Saya tentu amat perlukan pakar pengurusan kewangan seperti awak, Syukri.” Sambung Normah.

Syukri tidak ambil hati. Kami semua begitu. Usik-mengusik terutama semasa kuliah sedikit sebanyak mengurangkan stres dan meringankan kepala. Aku terhibur melihat gelagat rakan-rakan.

*                                  *                                  *

            Semalam aku bertemu dengan Normah di pusat membeli-belah. Sewaktu aku sedang membelek-belek cakera padat di sebuah kedai, aku perasan dia masuk ke situ. Dia sendirian. Aku juga.

Dia terus ke rak cakera padat lagu-lagu Melayu. Aku pula hanya memerhatikan dari rak cakera padat filem Inggeris. Aku nampak dia leka melihat dengan penuh minat cakera padat kompilasi lagu Jamal Abdillah. Dia juga memegang cakera padat Sudirman. Telahan ku, dia sedang memilih ingin membeli yang mana satu.

Akhirnya, dia menuju ke kaunter. Aku menuruti. Dia langsung tidak memerhatikan aku yang berdiri di sebelahnya di kaunter pembayaran. Dia melemparkan senyuman manis kepada juruwang sejurus membayar untuk cakera padat Jamal Abdillah.

Aku hanya memandang dia melangkah keluar dari kedai sebelum membuat pembayaran untuk cakera padat filem Inggeris pilihanku. Sebuah filem aksi tentunya. Sejurus keluar dari kedai, aku ternampak Normah lagi.

Dia tetap sendirian. Duduk di bangku yang memang disediakan untuk pengunjung pusat membeli-belah itu. Kelihatan dia amat menikmati aiskrim di tangannya. Buat seketika, aku tercegat di situ sehinggalah tiba-tiba seorang kanak-kanak yang sedang berlari terlanggar diriku dari belakang.

“Minta maaf, dik. Anak akak ni tak boleh duduk diam,” ujar si ibu sambil menarik anak itu ke pangkuannya.

Aku cuma tersenyum tanda tidak kisah. Mereka berlalu dengan menolak troli separuh penuh dengan aneka barang. Aku menoleh. Normah tiada lagi di situ. Aku tersenyum sendiri.

*                                  *                                  *

            Selalunya aku makan tengahari bersama teman-teman tetapi hari ini entah kenapa aku rasa ingin bersendirian. Selepas kuliah tamat, aku terus menuju ke sebuah restoran tidak jauh dari kolej. Aku biasa makan di situ. Suasananya pun selesa dan tenang.

Aku memilih untuk duduk di meja tengah. Nasi putih dengan lauk-pauk telah ku ambil. Air yang dipesan juga sudah sampai. Semasa hendak melabuhkan punggung, ekor mataku menangkap susuk tubuh yang ku kenali duduk di meja tepi dinding dekat dengan mejaku. Normah.

Aku tidak bercadang menegurnya. Dia seperti sedang gelisah. Mungkinkah sedang menanti kedatangan seseorang? Ya, mungkin. Dia pun langsung tidak menyedari kehadiranku. Sekejap dia membelek telefon bimbitnya, sekejap dia menghirup minumannya.

Aku berselera menghadap hidangan. Sedaya-upaya aku enggan menghiraukan Normah. Namun, tatkala setengah daripada nasi di dalam pinggan ku berkurang, aku nampak seorang pemuda datang meyertai Normah. Mereka duduk berhadapan.

Aku tidak kenal lelaki itu. Apa yang aku pasti, dia bukan dari kolej. Aku meneka, itu adalah rakan kerja Normah kerana setahu aku, Normah memang ada bekerja separuh masa di sebuah syarikat.

Aku tidak pernah berniat pun menjaga tepi kain orang. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat menafikan telinga ku ini dapat menangkap jelas perbualan mereka.

“Maaf, Man terlambat. Ada hal dengan kawan tadi.” Lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Man itu kedengaran amat menyesali kesalahannya.

“Tak apa. Nor yang ajak Man untuk berjumpa. Mestilah Nor yang kena bersabar tunggu Man,” balas Normah.

“Man terkejut sebenarnya bila Nor ajak Man. Macam tak percaya pun ada juga. Selalunya…”

“Nor tahu. Selalunya Man yang ajak tapi ada saja alasan yang Nor bagi untuk menolak ‘kan?” Normah memotong cakap Man.

Man tersenyum lebar. Normah pula mengacau-ngacau air di dalam gelasnya dengan straw. Sebagai lelaki, aku dapat menangkap erti di sebalik cara Man memandang Normah. Pasti terselit perasaan suka terhadap gadis di depannya itu. Adakah Normah menyedarinya?

“Ada perkara yang Nor nak beritahu Man. Dah lama Nor nak cakap tapi baru sekarang Nor ada kekuatan,” serius sekali nada Normah sambil merenung tepat wajah Man.

“Buat suspen pula Nor ni. Perkara apa, cuba cerita satu per satu.” Man cuba menyembunyikan debarannya.

“Man, Nor sukakan Man.” Diam sejenak. Man terkesima. Aku terhenti mengunyah.

“Sebenarnya, sejak kali pertama kita diperkenalkan oleh bos lagi.” Sambung Normah.

Aku menyudahkan suapan terakhirku lalu bangun perlahan-lahan untuk mencuci tangan di sinki. Ketika kembali ke meja, mereka berdua masih di situ. Sekilas, aku nampak wajah tenang Normah tetapi ternyata dia tidak menyedari kehadiranku. Matanya tidak lepas daripada memandang Man. Aku menduga, semestinya dia menanti jawapan dari pemuda di depannya itu.

“Nor baik. Malah terlalu baik untuk Man. Pada Man, Nor seperti puncak gunung yang tak mampu Man daki. Man takut separuh jalan Man terhenti sebab bekalan tak cukup. Man mengaku, Man pun sukakan Nor tapi…” Jelas pada pendengaran ku akan kata-kata Man.

“Tak apa, Man. Nor faham. Sebenarnya Nor dah cukup berpuas hati dapat luahkan perasaan pada Man. Sekurang-kurangnya Nor tak menyesal di kemudian hari,” ucapan Normah mengundang rasa sedikit kagum dalam hatiku.

Aku menghabiskan minuman ku kemudian berlalu meninggalkan restoran itu selepas membuat pembayaran di kaunter. Sejurus aku menghidupkan enjin motosikal, kelihatan Normah keluar dari restoran. Dia terus melangkah sendirian. Mungkin pulang ke tempat penginapannya dekat kolej.

Man menyusul. Rupa-rupanya dia juga menunggang motosikal seperti ku. Motornya pula diletakkan bersebelahan dengan motor aku. Kami hanya saling berbalas senyuman.

*                                  *                                  *

            Sudah dua tahun aku meninggalkan kehidupanku sebagai pelajar kolej. Kini aku telah bergelar pekerja. Setia dengan sektor swasta, aku selesa bekerja dekat dengan kampung halamanku di utara tanah air.

Beberapa hari lalu aku mendapat berita tentang majlis perkahwinan Normah yang bakal berlangsung bulan depan. Semuanya melalui laman muka buku saja. Dia menjemput rakan sekuliah. Syukri beria-ria mengajak aku pergi bersama. Aku tidak keberatan. Kampung Normah tidaklah jauh sangat dari kampung ku.

Pejam celik pejam celik, hari bahagia Normah pun tiba. Sehari sebelumnya, Syukri dan beberapa orang rakan lain sudah sampai dan bermalam di rumah ku. Esoknya kami pergi kenduri bersama-sama. Aku tidak pernah datang ke rumah Normah tetapi berpandukan alamat dan peta pada kad jemputan, kami berjaya ke sana.

Melihat Normah berpimpinan mesra dengan suaminya membuat aku tumpang gembira sebagai rakan. Aku percaya, Normah menemui cinta sejati dengan hatinya yang waja. Raut wajah lelaki di sebelahnya menampakkan kasih tidak berbelah bagi. Aku yakin, dia akan memaut erat akan Normah walau apa jua yang terjadi.

Normah bukan sesiapa padaku selain seorang rakan, teman sekuliah. Pada ku, dia gadis klasik sehinggalah ke hari ini aku melihat dia ayu di dalam balutan busana pengantin ala-ala seniwati Saloma. Bezanya, dia manis bertudung litup. Aku mendoakan mereka bahagia.

Baca Kiriman Penuh »

Drama oh drama. TV3 memang boleh dilabelkan sebagai stesen televisyen yang penuh dengan rangkaian drama tapi pada saya, apa salahnya memartabatkan karya-karya tempatan ‘kan. Saya memang gemar menonton drama walau tidaklah semua begitu menarik. Walau bagaimanapun tetap ada yang terkesan dalam hati. Antaranya yang terbaru ialah Kau yang Terindah yang telah tamat episodnya beberapa minggu lepas. Sejujurnya, tidaklah setiap episod saya ikuti. Namun, pengakhirannya amat memuaskan dan mengharukan hati saya. Drama Waris juga amat saya minati dan telah tamat juga sirinya pada minggu yang sama dengan Kau yang Terindah.

Apapun, kalau nak disenaraikan di sini drama yang saya suka memang banyak yang dah lepas-lepas. Cuma untuk yang terbaru, drama Saiful Nita yang mengisi slot Samarinda berjaya menarik perhatian saya. Alasan saya tertarik pada drama ini agak berbeza daripada drama-drama lain. Selalunya, jalan cerita, karakter dan pelakon yang menjadi perhatian tetapi kali ini latar tempatnya mencuri pandangan saya. Di mana?? Negeri saya, Kedah tentunya.

Memang saya tak dapat lupa betapa tertariknya saya saat melihat latar tempat semasa watak Nita berlari dan berlegar-legar dengan baju tunangnya. Simpang jalan yang berturap batu bata merah itu memang kelihatan sangat biasa pada saya. Apa lagi setelah nampak bangunan pusat membeli-belah Centre Square. Saya jadi teruja bercampur bangga. Mungkin ini nampak biasa pada orang lain. Lagi pun, latar tempat dalam drama selalu bertukar tetapi saya tetap merasakan itu yang menarik perhatian saya untuk terus menonton.

Berlalu beberapa episod, saya akui drama ini turut memiliki jalan cerita yang menarik. Ini adalah pandangan saya, tentunya tidak sama dengan fikiran orang lain. Ya, tema perkahwinan diatur keluarga, cinta 3 segi, pergolakan bisnes dan skandal memang perkara biasa. Namun, Saiful Nita tetap punya daya suspen, romantik dan kejutan tersendiri. Soal pelakon bukan tunjang utama untuk saya. Siapa pelakon itu bukan persoalannya, yang penting adalah watak dan karakter yang dibawanya. Aidil Aziz dan Kila Fairy bukanlah pelakon yang terlalu menyerlah tetapi harus diingat, pelakon yang sedang menyinar sekarang pun suatu ketika dahulu hanya orang biasa atau pelakon extra sahaja. Jadi, tidak mustahil jika gandingan mereka ini mampu mengangkat nama dalam industri seni hiburan kita yang kecil ini.

Saya masih terus mengikuti siri drama ini, sama-sama mentafsir isinya. Kisah cinta yang bersimpang-siur. Sambil-sambil itu turut memerhati latar tempat yang berlegar di Sungai Petani dan Langkawi.

 

Baca Kiriman Penuh »

1 Malaysia Untukku

1 Malaysia, gagasan yang terus hangat disebarkan di bumi Malaysia ini. Sememangnya secara realiti, teras dalam 1 Malaysia itu yakni perpaduan telah lama wujud dalam masyarakat kita sejak sebelum merdeka lagi tapi tidak bermakna ia sesuatu yang lapuk. Mengkomersialkan idea itu boleh diibaratkan seperti lagu lama dinyanyikan semula dengan nafas baru atau penjenamaan semula produk agar lebih dikenali ramai.

Apapun, saya bukanlah ingin mengulas lanjut tentang konsep ini secara meluas dalam konteks negara. Saya cuma rakyat kecil yang sangat bersyukur lahir di bumi bertuah ini. 1 Malaysia untuk saya adalah keharmonian dan persefahaman yang dilihat dan dirasai sehari-sehari.

Semasa di sekolah rendah, hanya ada seorang yang berbangsa bukan Melayu di dalam sekolah itu. Siapa? Beliau adalah seorang guru, lebih tepat lagi guru Bahasa Inggeris. Namanya Jagjit Singh. Selain daripada beliau, semuanya orang Melayu, guru-guru, para pelajar dan staf sekolah. Mana tidaknya, ini sekolah di kampung yang memang semua penduduknya Melayu. Tapi, kami semua menghormati beliau dan beliau tidak mempunyai masalah untuk bergaul dengan semua orang.

Saya rasa amat bertuah kerana mendapat pendedahan tentang bangsa lain melalui kedua ibu bapa saya. Ayah selalu membawa saya bersama membeli barang runcit di sebuah kedai borong di pekan. Kedai yang taukehnya berbangsa Cina itu sememangnya hidup bernadikan peniaga kecil Melayu yang sering datang membeli barang secara borong. Uncle Wong selalu mengusik saya. Baru saja beberapa minggu lepas saya pulang ke kampung dan ada singgah ke kedai itu menemani ayah. Kedai masih seperti dulu, sarat dengan barang runcit. Saya menegur Uncle Wong. Tentu saja dia tidak akan ingat siapa saya jika tidak diberitahu saya ini anak siapa. Dia tetap ceria dan cergas seperti dulu walau telah dimamah usia.

Emak pula selalu membawa saya membeli ikan sayur dengan seorang peniaga India. Mereka suami isteri memang sudah kenal dengan mak. Begitu juga dengan pasangan India yang berniaga buku dan surat khabar di pekan. Sehingga kini mereka tekun mencari rezeki begitu. Bila berjumpa mak, selalu menyapa mesra. Indah melihat kemesraan sebegitu.

Saya secara peribadi mulai bergaul secara rapat dengan bangsa lain semasa di sekolah menengah. Dalam Tingkatan 2, saya sekelas dengan rakan berbangsa Siam. Ada juga seorang teman yang kacukan Cina dan India. Mereka mesra bergaul. Rakan perempuan yang berbangsa Siam itu, selesa berbaju kurung, bezanya cuma tak bertudung. Bahasa Melayunya tentu sekali fasih. Menganjak ke menengah atas dan berpindah ke sekolah asrama penuh, saya tinggal satu dorm dengan rakan dari bangsa India. Tiada masalah apabila saling mengerti.

Paling tidak dilupakan apabila menimba pengalaman sepanjang kem PLKN di Pantai Beringin, Langkawi. Banyak kenangan pahit manis. Adakalanya, bangsa lain lebih memahami kita berbanding yang sebangsa. Walau sama bangsa sekalipun, perbezaan negeri turut menjadi cabaran untuk bersatu. Gabungan tiga negeri di bawah satu bumbung sudah cukup untuk membuahkan aneka ragam apatah lagi dengan pelbagai bangsa yang ada.

Melangkah ke pengajian tinggi, saya terus menongkah arus dengan membawa diri di tengah-tengah masyarakat baru. Namun inilah yang membuat diri lebih mengenali wajah rakyat Malaysia yang varia ini. Sebilik pula dengan teman berbangsa Cina yang berjiwa Melayu, tidak pernah menyesali belajar dan tidur dikelilingi teman-teman Melayu, masak bersama, makan bersama, puasa bersama. Dia memang gadis istimewa.

Alam pekerjaan memberi pengalaman yang tidak terlalu jauh berbeza. Berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Bukan setakat pelbagai bangsa dalam Malaysia malah orang asing dari negara luar juga. Saya sering tersenyum sendiri apabila melihat pemandangan di taman rekreasi pada waktu pagi. Di satu kawasan ada sekumpulan wanita bersenam aerobik. Cikgu yang mengajar kadang-kadang Melayu, kadang-kadang Cina. Apa yang paling saya suka perhatikan, lagu yang digunakan selalu berbeza. Lagu Melayu, Cina, Hindi malah termasuk juga irama antarabangsa seperti Inggeris dan Korea. Mengagumkan bukan? Di kedai mamak juga begitu. Satu tempat yang kita boleh melihat wajah rakyat Malaysia yang pelbagai. Makan bersama, duduk sebelah-menyebelah. Berbual mesra soal keluarga atau bisnes. Pernah acapkali juga saya melihat orang putih pun makan di kedai mamak. Sungguh unik.

Ya, saya satu suara yang berbangga dengan negara sendiri. Sememangnya kita diwarnai dengan banyak cerita tidak enak tentang politik, masalah jenayah, gejala sosial dan sebagainya. Namun, tidak salah juga kita menikmati keindahan negara ini, Negaraku. Saya tidak berminat melontar pendapat tentang siapa betul siapa salah. Apa yang penting, tindakan kita masing-masing dalam melestarikan kemerdekaan Malaysia. Saya sayang negara ini. Saya hargai 1 Malaysia. Saya ‘kan ANAK MALAYSIA!

Baca Kiriman Penuh »

Sudah agak lama rasanya tidak tenggelam dalam arus keperihalan melalui novel. Tentu sekali saya amat memilih sebelum membaca sesuatu karya apatah lagi jika ingin memilikinya sebagai koleksi peribadi. Lawatan ke sekolah membuat saya terpanggil untuk menghayati novel komponen sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 4 yang baru digunakan bermula tahun 2010; Azfa Hanani nukilan Halis Azhan Mohd Hanafiah.

Tidak rugi rasanya memiliki Edisi Murid dengan 215 muka surat ini. Seperti biasa, menekuni sesuatu membuat saya berlayar dalam dunia sendiri, menjadi orang ketiga yang menyaksikan perjalanan plot bersilih ganti. Dalam kesederhanaan penceritaanya, Azfa Hanani punya keunikannya sendiri. Sememangnya 20 bab tersusun rapi dengan perjalanan cerita yang mendatar. Namun, tidak ketinggalan unsur suspen dan kejutannya.

Kisah yang ditonjolkan persis filem atau drama di kaca televisyen; perihal orang kaya dan orang miskin, cinta remaja, politik pelajar sekolah, pertukaran identiti dan kesudahannya kehidupan penuh kebahagiaan bagi protagonis manakala bala pembalasan untuk antagonis. Kedengarannya seperti membosankan bukan? Adakah ini yang membuatkan para pelajar begitu sukar hendak membuka novel ini dan membacanya? Atau mungkin yang berlabel ‘buku teks’ itu sememangnya sesuatu yang digeruni oleh mereka?

Saya juga seorang pelajar dulu. Bila ditanya di dalam kelas, siapa yang sudah betul-betul habis membaca novel  KOMSAS, (Perlumbaan Kedua : Tingkatan 4, Julia : Tingkatan 5) boleh dikira pelajar yang mengangkat tangan. Senario biasa. Minat sukar untuk dipaksa tapi boleh dipupuk. Semangat ingin tahu anak-anak remaja terhadap gejala-gejala negatif seperti merokok, porno dan fesyen terkini nyata lebih tinggi. Sebaliknya, kekuatan itu pudar malah hilang tatkala berhadapan dengan pembelajaran yang lebih bermanfaat.

Bukan niat saya melabel orang lain. Setiap manusia mempunyai kecenderungan masing-masing. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Seperti mana watak Azfa Hanani yang memiliki wajah mirip dengan Tengku Murni tetapi hakikatnya personaliti mereka berbeza. Titik persamaan Nini dengan Nani hanyalah pada suratan Illahi yang mencipta wajah mereka serupa. Pada akhir cerita, barulah terbongkar kesinambungan keluarga Nani dengan keluarga Nini. Tragedi yang menimpa ibu dan ayah Nani ada kaitannya dengan mama dan papa Nini.

Penceritaan Azfa Hanani tidak kompleks. Konflik yang ditampilkan selesai satu per satu. Ayat-ayatnya mudah difahami. Keindahan Bahasa Melayu tetap ada melalui peribahasa dan perumpamaannya. Menggunakan kaedah sudut pandangan orang pertama, Azfa Hanani merupakan watak yang digilap agar kelihatan sempurna. Mengingatkan saya pada watak Julia di dalam novel Julia, novel KOMSAS Tingkatan 5 semasa pengajian saya dahulu. Cuma, kedua watak ini berlawanan di mana Julia adalah anak orang berada manakala Nani pula anak orang miskin.

Secara keseluruhan, pendapat saya secara peribadi, novel ini ada tarikan tersendiri. Bagi saya yang gemar membaca novel dengan jalan cerita mencabar, sesekali menelusuri plot sederhana cukup menghiburkan. Tiada air mata. Tiada dengusan kegeraman. Tiada ketawa girang tapi ada senyuman kepuasan. Walau bagaimana pun, novel Perlumbaan Kedua tetap menjadi tautan hati. Sukar sekali menemui novel satira sepertinya.

Baca Kiriman Penuh »

Buah tangan KRU seringkali tidak mengecewakan. Filem Hikayat Merong Mahawangsa membawa impak yang luar biasa. Satu kelainan dalam industri perfileman Malaysia. Namun, saya tidak teruja hendak membicarakan soal bajet, teknologi, sinematografi mahupun keunikan lokasinya. Saya lebih gemar menelusuri isi cerita yang berbekas di jiwa, segar di minda.

Sampai masa tibanya waktu,

Redup hati kau berdua,

Bila dua jasad bersatu,

Hidup mati jadi bersama.”

Pantun inilah yang dituturkan oleh ibu Merong, pantun yang menjadi ingatannya sehingga dewasa walau asalnya dia sendiri tidak mengerti makna tersirat di sebalik bait-bait indah itu. Bunyinya romantis. Pertama kali didengarkan ketika Merong berbual dengan Marcus Caprenius, putera Rom dalam pelayaran mereka menuju ke Semenanjung Emas. Kedengaran sesuai buat seorang putera dari Barat yang bakal disatukan dengan puteri dari Timur.

Do anything, give everything”

Lakukan apa sahaja, berikan segalanya”

Itulah bagaimana kita tahu yang kita benar-benar menyayangi seseorang,” kata Merong. Sebenarnya, bukan hanya seseorang tetapi juga sesuatu ; bangsa, agama, tanah air. Kita akan lakukan apa sahaja demi sesuatu yang kita cintai, menjadi hamba kepada yang dicintai lalu menyerahkan segala-galanya.

Mulanya, Merong sendiri merasakan dendangan ibunya itu berkisar tentang perkahwinan mahupun cinta. Namun, saat nyawanya di hujung pisau Taji, Merong lebih memahami maksud ibunya itu; tentang PERJUANGAN. Perjuangan yang menuntut perpaduan, keberanian dan keazaman.

Walaupun cerita ini disulami darah, di celah-celah kilauan mata pedang dan teriakan pahlawan-pahlawan yang bertaruh nyawa, kisah cinta dua insan bersinar kemilau. Bermula di tengah hutan dalam rembang malam bersaksi air terjun. Sayangnya, terpisah di pesisir pantai didalangi Puak Geruda berhati lanun. Akhirnya, bertemu kembali di tengah-tengah pertempuran sengit. Putera Barat dan puteri Timur berkongsi impian iaitu KEBEBASAN.

Merong juga ketemu cinta hatinya tatkala takdir membawanya pulang ke tempat asal. Embok, gadis yang berparut di leher dan di hatinya. “Kami semua berparut jiwa dan raga, berpecah-belah.” Itulah kata-kata Pak Kesum. Menusuk kalbu kala kalimah itu dilontarkan oleh gemersik suaranya. Merong menjadi raja, pendamai dua puak.

Sewaktu berhadapan dengan puak Geruda, ucapan penuh bersemangat daripada Merong mampu membakar api berani ke dalam hati rakyat jelata yang turun berjuang bersama-sama dengannya.

Wahai orangnya Langkasuka, sekalian suku dengarlah kata-kataku. Sudah banyak purnama, taji Geruda menconteng arang ke muka kita, memarutkan hati, mencantas tangan dan kaki. Ya, hamba raja kamu semua tapi untuk hari ini hamba serupa macam tuan hamba semua. Darah yang mengalir sama merahnya, sama pekatnya. Kita bernafas angin yang sama. Bumi yang kini dipijak, langit yang kita junjung, semuanya hak kita dan anak cucu kita. Hari ini, mungkin ada yang takkan kembali. Ramai, atau mungkin semua sekali akan rebah ke bumi. Tapi apa gunanya hidup lama kalau tidak bebas dan merdeka dari porak-peranda Geruda! Sampai bila anak dara dan teruna kita mahu dijadikan mangsa rakusnya lanun celaka! Ya, kita berjuang akan merampas tunangannya putera dari Rom ini tapi bukan itu sahaja sebabnya. Kita juga akan merampas maruah kita! Daulatnya Langkasuka bukan sahaja daulat hamba tapi daulat tanah kita semua. Hamba lebih rela mati dari hidup sebagai abdi, hamba kepada ketakutan dan keganasan binatang-binatang itu! Demi maruah dan kesejahteraan negara kita, marilah bersama kita tebas petualang bangsa!”

Ternyata, lontaran kata-kata daripada seorang pemimpin itu sangat berpengaruh kesannya pada jiwa rakyat. Yang lemah bisa jadi kuat. Yang takut akan jadi berani. Yang enggan terus jadi mahu.

Menyoroti barisan pelakon yang mewarnai filem ini, masing-masing membawa watak dengan baik sekali. Stephen Rahman-Hughes (Merong), Gavin Stenhouse (Marcus Caprenius), Ummi Nazeera (Embok) dan Jing Lusi (Puteri Meng Li-Hua) adalah para pelakon yang menjayakan watak-watak hero dan heroin.

Selain itu, kehadiran watak-watak lain juga penting untuk melengkapkan ceritera. Craigh Robert Fong menggalas watak Laksamana Liu Yun dengan penuh berkarisma. Namun, saya lebih terpikat dengan kelunakan suara Dato’ Rahim Razali ketika bertutur dalam membawa dirinya sebagai Pak Kesum, pawang suku.

Tanpa antagonis yang menyerlah, protagonis juga akan hilang serinya. Jadi, kemunculan watak Kamawas oleh Khir Rahman sememangnya patut dihargai. Tidak lupa juga Wan Hanafi Wan Su yang memegang watak Taji. Mereka berdua yang menjadi tunggak puak Geruda merupakan teras jalan cerita. Tegaknya pahlawan sudah tentu kerana ada dalangnya.

Terdapat juga watak-watak kecil lain. Mereka kelihatan seperti watak kecil tapi sebenarnya orang-orang penting. Antaranya watak Ying Ying, inang Puteri Meng Li-Hua yang setia yang dijayakan oleh Nellie Ng Suet Lin. Perwatakannya mencuit hati dan dalam masa yang sama tidak dinafikan kebijaksanaanya terutama lampu kelip-kelip dan helahnya berpura-pura mati untuk menyelamatkan diri dalam peperangan.

Tidak kurang juga watak-watak tanpa skrip seperti Embi yang dimainkan oleh Jehan Miskin dan Pilus oleh Ahmad Muhaiman. Mereka tampak gagah berlawan, menjadi pengikut setia sehingga ke titisan darah terakhir. Pengikut-pengikut lain juga menunjukkan kemahiran berlawan yang tidak kurang hebatnya.

Watak Lang, ibu Merong hanya muncul seketika. Walau bagaimanapun, saya tertarik dengan perwatakan yang dibawa penuh penghayatan oleh Umie Aida. Langsung terbayang di minda, saat aktres ini membawa watak Embun dalam filem Erma Fatima beberapa tahun dahulu. Sinar matanya penuh semangat seorang srikandi bangsa.

Keseluruhan cerita menyingkap mesej positif walau disirami darah merah. Namun, darah yang mengalir adalah darah para pejuang yang punya matlamat jelas. Bukan darah sia-sia. Darah yang menjadi taruhan demi kebebasan. Darah perpaduan.

Ini juga kisah pemimpin. Seorang raja yang asalnya orang biasa, anak dagang tanpa kampung halaman. Dengan kecekalan ditambah ilmu dalam dada, dia menjadi pahlawan terbilang. Seorang pemimpin yang turun padang, bermandi keringat dan darah bersama rakyat jelata. Membuka hati menerima orang luar sebagai saudara, menghulur bantuan sepenuh jiwa dan raga.

Ini juga kisah pengkhianatan dek kerana gila kuasa. Sudah adat dunia, musuh-musuh selalunya adalah berasal dari kalangan orang sendiri. Musuh dalam selimut, duri dalam daging. Mereka yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang telah dimiliki. Mereka yang bercita-cita tinggi, tegak mendada dengan ilmu sendiri sehingga memandang rendah pada yang lain.

Masakan sejemput ingin menyangkal segantang”

Itu kata-kata Kamawas, menyanggah ramalan gurunya Taji berkenaan akan datangnya pihak lawan menyerang mereka. Berapa banyak tertulis dalam sejarah, angkatan yang besar telah kalah kepada angkatan yang kecil? Besar jangan disangka bapa, kecil jangan disangka anak.

Dalam perjuangan, penyatuan amat diperlukan. Perpecahan hanya mengundang malapetaka. Kepercayaan pada rakan seperjuangan dan penghormatan pada guru juga mustahak. Ketika kata-kata dan nasihat orang yang lebih berpengalaman diketepikan, ambang kemusnahan akan tiba. Itulah yang sering terjadi. Tidak kira di zaman mana mahupun bangsa apa, sekalipun empayar sebesar mana. Semuanya akan hancur apabila perbalahan berlarutan.

Hikayat Merong Mahawangsa memberi seribu satu kesan di hati ini. Pengajaran di sebaliknya amat berharga. “Mereka yang melupakan sejarah akan mengulanginya semula,” kata ahli falsafah, George Santayana. Saya ingin menjadi anak bangsa yang tidak lupa asal-usul, bangga dengan bangsa. Mengenang sejarah hitam dan terbilang, melakar masa depan yang gemilang dan cemerlang. Semoga Allah bersama kita.

 

Baca Kiriman Penuh »

Guzaarish

            Bagaimana rasanya menjadi seorang yang lumpuh? Tak berdaya menggerakkan anggota badan melainkan bahagian kepala sahaja? Sebagai seorang yang sempurna (alhamdulillah), sukar untuk membayangkannya. Rasa TIDAK BERDAYA , PENDERITAAN meniti waktu, terperangkap dalam diri sendiri, entah macam mana harus digambarkan lagi perasaan itu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Hanya Tuhan sahaja yang paling mengerti.

            Merujuk pada tajuk yang saya berikan pada ulasan saya kali ini adalah merupakan tajuk sebuah filem HINDI. Peneraju utamanya ialah pelakon lelaki yang dikenali ramai dengan susuk tubuh nan sasa bergaya ala hero Hollywood, Hritik Roshan. Digandingkan dengan pelakon wanita hebat yang telah pun mewarnai filem-filem Hollywood dengan senyuman menawannya, Aishwarya Rai (kini Bachan).

            GUZAARISH membawa maksud PERMOHONAN. Ya, keseluruhan filem ini bertemakan permohonan seorang lelaki bernama Ethan Mascarenhas untuk menamatkan riwayat dirinya setelah lebih 12 tahun hidup menderita sebagai seorang yang lumpuh. Dia yang sebelumnya merupakan seorang ahli silap mata terkemuka sehingga digelar Merlin, telah menjadi lumpuh akibat satu tragedi ketika sedang melakukan persembahan.

            Sofia selaku jururawat Ethan menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh keprihatinan sehingga ke tahap dia sangat mencintai pesakitnya itu. CINTA yang berputik di tengah-tengah PENDERITAAN. Sesuatu yang aneh bukan? Tetapi tidak mustahil. Sofia memainkan peranan yang amat penting selain ibu Ethan, Isabel dan pembantu rumah yang lain termasuk juga seorang anak muda bernama Omar yang ingin belajar menjadi ahli silap mata daripada Ethan.

            Rentak filem ini perlahan dengan membawa tema yang MELANKOLIK. Tentu sekali hanya sesuai buat mereka yang gemar menyelami kehidupan dari perspektif yang menyentuh sanubari. Saya akui, saya cenderung ke arah romantisme, kasih sayang dan AIR MATA. Terasa puas tatkala sesuatu karya yang saya hayati mampu menggugah hati sampai ke tahap saya ingin menulis tentangnya atau pun bercerita tentangnya. Itulah yang terjadi selepas saya selesai menonton Guzaarish melalui Saluran 952 Astro Box Office (ABO).

            Guzaarish membuat saya terfikir tentang persoalan yang saya timbulkan pada awal artikel ini tadi, “bagaimana rasanya menjadi orang yang lumpuh?”. Lumpuh KESELURUHAN badan. Hanya bahagian kepala sahaja dapat digerakkan. Tambahan pula, apabila memikirkan kecacatan itu berpunca daripada perbuatan KHIANAT seorang sahabat yang dipercayai. Itulah yang terpaksa dilalui oleh Ethan. Segala nikmat hidupnya hilang dalam sekelip mata. Pengkhianatan itu sekadar menjadi penyebab sedangkan yang harus kita renungkan adalah TAKDIR. Siapa yang mampu menolak ketentuan Tuhan?

            Dilihat dari sudut pandangan agama ISLAM, bunuh diri itu DILARANG sama sekali. Terdapat kisah di mana Rasulullah SAW melarang umatnya mendoakan agar cepat MATI sebaliknya menyarankan agar berdoa memohon dipanjangkan usia andai itu membawa kebaikan dan jika mati itu lebih baik, maka takdirkanlah mati. Filem ini mengetengahkan watak utamanya beragama Kristian. Namun, ketika berjumpa dengan paderi sebelum ke mahkamah untuk membicarakan kes permohonannya, paderi tersebut sempat mengingatkan Ethan bahawa perbuatannya itu BERDOSA.

            Isu cinta sering menjadi NADI sesuatu cerita. Tidak terkecuali bagi filem ini. Bermula sebagai seorang jururawat upahan, Sofia semakin mengasihi pesakitnya itu. Ternyata, memiliki seorang suami yang sempurna sifat tidak semestinya membahagiakan jika si suami tidak prihatin dan menunjukkan kasih sayangnya malah acapkali meninggalkan si isteri sendirian. Tidak hairanlah, Sofia mengalihkan perhatian dan cintanya kepada seorang lelaki tak berdaya seperti Ethan. Ya, lelaki yang tak mampu menggerakkan walau satu jarinya, inikan pula hendak melindungi dirinya.

            Seagung mana pun kisah cinta seorang lelaki dan wanita, lebih luhur lagi kisah cinta seorang IBU terhadap anaknya. Isabel, sebagai seorang ibu hanya mengharapkan penderitaan anaknya berakhir. Dia rela jika anaknya mati daripada terus dirundung pilu sebegitu. Malah apabila ditanya oleh pendakwaraya adakah dia sendiri sanggup menamatkan riwayat anaknya, dia menjawab, “ya, saya sanggup.” Sehebat itu pengorbanan seorang ibu demi anaknya.

            Idea utama cerita ini sangat ringkas. Tidak berbelit-belit. Tentang kehidupan, KEPUTUSAN dan kematian. Mahkamah memutuskan bahawa riwayat Ethan TIDAK berhak ditamatkan walau pun dengan kehendaknya. Satu keputusan yang menyedihkan bagi Ethan. Namun, Sofia telah menawarkan diri untuk membantu Ethan. Sebelum Ethan ‘pergi’, dia meninggalkan namanya kepada Sofia. Bagaimana? Sofia yang telah bercerai menerima lamaran spontan daripada Ethan. Lalu, Sofia telah menjadi Mrs. Mascarenhas.

            Sesungguhnya, segala nikmat yang kita miliki sekarang patut disyukuri kerana ia mungkin bisa ditarik oleh Allah SWT bila-bila masa saja. Adakalanya, kita tidak menyedari nikmat terbesar sepanjang kehidupan kita seperti KESIHATAN. Ramai yang terlalu mengejar HARTA yang didefinisikan melalui WANG, saham berjuta-juta nilainya, aset berupa bangunan mahupun tanah dan rumah besar sehingga terlupa ada perkara lain yang jauh lebih penting.

            Jika kita meletakkan diri di tempat Ethan, segala harta benda sudah tidak nampak lagi nilainya. Apa yang tinggal, kasih sayang insan terdekat dan HARAPAN. Harapan untuk kembali merasa ombak laut yang berhempas di kaki. Apakan daya, tanpa bantuan orang, dia tak mampu ke mana-mana sampaikan terpaksa bermalam dengan titisan hujan menimpa muka dek kerana bumbung rumah telah bocor.

            Sama-samalah kita renungkan kembali betapa bertuahnya hidup kita selama ini. Kasih sayang Allah SWT terhadap setiap hamba-Nya tidak pernah berkurang. Menelusuri watak Ethan, walau pun dia ditimpa ujian hebat, Tuhan tetap menyayanginya. Dia ditemani Sofia yang sangat mencintainya. Dia juga mempunyai seorang doktor prihatin, Dr. Nayak. Juga seorang peguam bela berdedikasi, Devyani. Itu menunjukkan bahawa Tuhan itu ADA. SENTIASA.

Astaghfirullah…astaghfirullah…astghfirullah…

Baca Kiriman Penuh »

1511H [KOMBAT]

            Mendebarkan. Menusuk ke jiwa. Meremangkan bulu roma. Meragut tangkai hati. Menyentuh nurani. Mencerna minda. Membuka pandangan depan. Itulah antara perasaan yang bercampur baur ketika menghayati satu lagi nukilan anak tempatan, FAISAL TEHRANI. 1511H [KOMBAT] merupakan sebuah novel yang telah lama saya intai untuk dimiliki. Ternyata, buah tangan beliau tidak pernah mengecewakan saya.

            Bagi saya, apabila sesuatu karya membuat saya membaca setiap bait katanya tanpa ingin tertinggal satu pun ayat, itu menunjukkan ia sangat MENARIK. Ada elemen yang menggamit perhatian. Karya yang memenangi Kategori Novel Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 ini, selayaknya dihayati ANAK-ANAK MUDA kini. Kenapa? Kerana membawa gagasan berisi dengan penuh HIKMAH.

            Prolog dan epilognya menyeret kembali ke zaman Rasulullah SAW; kelahiran dan kewafatan Baginda. 18 Bab yang diketengahkan telah menggarap satu kisah FUTURISTIK yang cukup membuka fikiran. Kesyumulan Islam menjadi nadi penghidup cerita yang berkisar perjuangan. Ya, PERJUANGAN menegakkan ISLAM!

            Menulis sinopsis novel ini bukanlah menjadi tujuan saya. Coretan saya ini adalah untuk BERKONGSI rasa. Rasa yang aneka macam seperti yang telah saya katakan di awal tadi. Saya mengambil masa beberapa hari untuk menghabiskan novel 423 muka surat ini. Masih terasa kesayuan, debaran, kegeraman dan kehangatan air mata dek kerana PENANGAN jalan ceritanya.

            Sememangnya SYAHID dalam perjuangan menjadi idaman para mujahid dan mujahidah. Namun, menuju ke arah itu bukanlah mudah. Kecekalan, istiqamah, ilmu, kesepakatan dan kekuatan amat diperlukan. Tiada maknanya berjuang seorang diri tanpa memikirkan kepentingan UMMAH. Maka, PERPADUAN itu kunci kejayaan.

            Barisan komander yang dihidupkan dalam kisah ini memiliki perwatakan masing-masing tetapi mereka disatukan atas nama MATLAMAT perjuangan yang SAMA yakni MENEGAKKAN SYARIAT ISLAM dan MERUNTUHKAN INSTITUSI PEROSAK UMAT ISLAM. Demi menjayakannya, kerjasama menjadi faktor penting. Apabila disebut PERJUANGAN, bukan sekadar melibatkan LELAKI tetapi turut perlu turun padang adalah PEREMPUAN. Segala KEPAKARAN dimanfaatkan sebaik mungkin.

            Nilai kasih sayang, persahabatan, kekeluargaan, semangat setiakawan, keberanian dan kesabaran menghiasi setiap lembaran lalu mewujudkan impak POSITIF dalam jiwa. Kotak fikiran sibuk mencerna isi-isi dan memancarkan visual IMAGINASI yang membayangkan setiap babak yang diceritakan melalui perincian teliti; di mana, bagaimana situasinya, siapa yang terlibat, apakah yang berlaku. Segalanya dikarang dengan PENJELASAN yang baik.

            Apa yang paling menyentuh hati saya ialah KESYAHIDAN Komander Emrullah. Dalam keadaan cedera parah, beliau sempat menyelamatkan sahabatnya, Komander Muhammad Ameen daripada menjadi sasaran roket pihak musuh dan dirinyalah yang ditakdirkan terkorban. TRAGIS. Penghormatan buat beliau dan isterinya Komander Zinnera yang merelakan pemergian suaminya.

            Jelas sekali, saya gemar mengutip HIKMAH daripada penceritaan tidak langsung. Dalam erti kata lain, cerita-cerita FIKSYEN yang menggarap idea KEROHANIAN. Penulisan KREATIF akan membangkitkan minat yang lebih kuat dan impaknya lebih mendalam. Bukanlah niat saya untuk mengatakan bahawa buku-buku bukan fiksyen kurang menyerlah. Setiap sesuatu itu punya kelebihan dan kekurangannya, bukan?

            Kepada mereka yang tercari-cari bahan bacaan yang memberi KELAINAN, membangkit SEMANGAT, menggugah perasaan dan meluaskan pemikiran, saya tidak teragak-agak untuk mencadangkan novel ini. Pendapat orang mungkin berbeza. Saya hanya mengekspresikan pandangan peribadi.

Astaghfirullah…astaghfirullah…astaghfirullah…

Baca Kiriman Penuh »

Tanya saja pada sesiapa pun di dunia ini, “adakah anda ingin hidup bahagia?” Jawapannya tentu sekali ya. Tiada yang ingin menderita. Apabila disebut soal bahagia, tentu ada kaitannya dengan cinta. Ya, cinta. Luar biasa manusia itu kerana cintanya punya pelbagai tafsiran dan makna. Bila cinta mulai mengetuk pintu hati, aneka ragam dapat kita perhati.

Bicara soal cinta tiada kesudahannya. Topik yang tak hilang ditelan zaman. Namun, tatkala masa kian berlalu, erti kata cinta itu semakin dipandang berbeza pada mata insan. Hakikatnya, kesyumulan Islam tidak pernah merubah kesucian dan keagungan cinta itu. Hanya manusia yang memandai-mandai melangkau fitrah.

Realiti senario dewasa ini menampakkan seolah-olah cinta itu penyebab malapetaka, punca keretakan hubungan silaturrahim, perosak masyarakat dan varia perkara negatif lain. Sedangkan cinta itu yang mengharmonikan hubungan, mencipta kebahagiaan dan penyambung keturunan.

Zaman kini, cinta itu tergambar pada kata-kata luahan indah bermadu. Terlihat pada pertemuan ‘kau dan aku’. Rasa bahagia dengan panggilan-panggilan manja tanpa ikatan bernama yang sah di sisi agama. Di mana agaknya diletak rasa tanggungjawab? Ada, sebenarnya ada tetapi kian sirna dek kemanisan sementara yang akhirnya memakan diri.

Pedas sangatkah kata-kata saya? Atau tampak jelas sindiran kasar? Penilaian masing-masing. Saya juga manusia. Punya keinginan. Ada nafsu. Cuma hati ini tak ingin tertipu dek dunia fana. Kadang-kadang terkena juga. Syukur pada Allah SWT kerana Dia Maha Penyayang lagi Maha Memelihara.

Saya sangat tertarik dengan tulisan saudari Fatimah Syarha Mohd Noordin di dalam majalah Solusi Isu 28 yang bertajuk, Kekasih Agung Sedang Cemburu. Sememangnya tak dapat dinafikan ramai di antara kita (termasuk saya) yang lebih mengutamakan sesama manusia daripada Tuhan walau sebenarnya Dialah Kekasih Agung. Tuhan tak rugi apa-apa tetapi kitalah yang bakal merana.

Petikan :

Ya, ketertarikanmu kepada si dia itu lumrah. Fitrah yang Allah hadirkan. Setiap fitrah ada peraturannya. Fitrah makan pun ada peraturan, inikan pula fitrah cinta? Oleh sebab itu, wajarkah anda mencipta langkah seterusnya tanpa membelek sedikit pun peraturan yang telah Allah tetapkan?

Sanggupkah dirimu mencipta sebuah kenangan cinta tanpa peraturan? Penuh maksiat hati. Menjalar pula pada maksiat perbuatan.

Dalam Isu seterusnya, sekali lagi tulisan beliau berjaya mengusik hati saya. Artikel bertajuk, Menduakan Cinta-Nya menyampaikan mesej jelas buat para generasi muda kini.

Petikan :

Remajaku sayang,

Belek-beleklah panduan al-Quran dan sunah. Alam remajamu akan menjadi lebih indah terarah. Naluri ingin mencintai dan dicintaimu itu akan terpesona dengan naluri ingin memiliki cinta agung. Kuasa cinta agung ini akan lebih membina kegagahan dalam setiap langkahmu menuju masa depan. Kegagahan tercipta kerana dirimu berasa dinaungi cinta Yang Maha Gagah. Itulah kehebatan cinta Allah.

……

Setelah Islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? SMS bertali arus tanpa keperluan. Call siang malam tanpa urusan. Chatting kosong tanpa isi. Dating bertemankan syaitan. Pandang-pandang tanpa pagaran. Khalwat di tempat-tempat sunyi. Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan. Menghalalkan ikhtilat (pergaulan bebas) dengan istilah adik angkat, abang angkat dan banyak lagi.

Adakah kau ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi?

Itulah antara isi-isi tulisan beliau yang mampu membuat minda mencongak kebenaran di sebaliknya. Ada sesiapa yang teguh menafikannya? Kalau adapun, alasan yang diberi takkan cukup ampuh. Takkan ada yang dapat menandingi kebenaran ajaran Allah.

Seperti mana seorang pencipta robot tahu apa keperluan, kekuatan dan kelemahan robot ciptaannya, begitulah Allah Maha Tahu siapa itu manusia. Maka aturan-Nya itu telah tersangat lengkap memenuhi segalanya sejak seseorang itu hanya segumpal darah di dalam rahim sehinggalah dia menjadi mayat lalu dimasukkan ke dalam tanah.

Bila cinta mengetuk pintu hati, usah mudah dipengaruhi. Nilai diri tanya hati. Mahu yang sementara atau yang hakiki? Hendak membina kebahagiaan atau mencemar kehormatan? Ada akal, gunakan. Fikirkan..

Astaghfirullah…astaghfirullah…astaghfirullah…

Baca Kiriman Penuh »

Kiriman-Kiriman Sebelumnya »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.