Archive | Januari 2009

Senyuman Yang Hilang

            Kitab Yasin ditutup.Doa telah diaminkan.Tanah kubur masih merah.Mentari pagi menyimbah ke wajah ayunya.Memori kembali bertakhta sejurus tangannya mengusap batu nisan.

            “Seri,kau tak rasa rugi?Kau lebih menonjol daripada aku semasa di university dulu.Masakan kau hanya berhenti di sini?”Rabiatul Adawiyah memulakan.

            “Tidak,Rabiatul.Ini pilihanku.Aku bahagia tinggal di kampong.Aku damai di sini,” balas Seri.

            “Bahagia menjadi hamba lelaki?Begitu?!”suara Rabiatul Adawiyah meninggi.Seri kaget.

            “Hamba?Kau prejudis.Aku seorang isteri,Rabiatul dan bakal menjadi seorang ibu. Inilah yang ku cari dalam hidupku,”tegas Seri

            “Tapi kenapa terlalu awal,Seri?Kau tak teringin hirup udara kota?Punya kerjaya dan dihormati.Kau tak teringin?”kali ini nadanya memujuk.

            “Aku sudah muak dengan udara kota semasa di university dulu.Udara kota itu yang dah banyak membunuh jiwa insan.Lagipun,aku sudah punya kerjaya di sini,di samping suamiku,”Seri tetap di paksinya.

            Rabiatul Adawiyah mengeluh.Kerak nasi sudah melekat kawah,tak bisa dilembutkan lagi biar direndam lama.

            “Rabiatul,naluri kita berbeza.Jangan kerananya,ksu letakkan noktah persahabatan kita di sini,”Seri menggenggam tangan sahabatnya,merenung tepat ke wajahnya.

            Angin sepoi-sepoi bahasa membelai rambut panjang Rabiatul Adawiyah dan jilbab Seri.

            “Senyumlah,Rabiatul Adawiyah.Apakah senyumanmu telah hilang diragut arus kota atau ada sang putera di sana yang telah mencurinya?”Seri bercanda.Rabiatul Adawiyah tersenyum.

            Ya,itulah senyuman terakhirnya.Seri terjelepuk saat dikhabarkan tentang kemalangan yang menimpa sahabatnya itu ketika dalam perjalanan pulang semula ke kota.

“Aku tinggalkan zaman keseronokan lebih awal daripadamu tapi kau tinggalkan dunia lebih awal daripadaku.Innalillah hi wa inna ilai hi rajiun…”

Elegi Berdarah

Setitis,

dua titis,

bertitis-titis,

akhirnya membuak-buak,

meruak-ruak,

bercambah,bersepah,melimpah,

DARAH!

Malam kelam tiada tenang

diwarnai api terang

meraikan kemusnahan demi kemusnahan.

Letupan,tembakan

alunan muzik harian

tempo rentaknya tiada tetapan

terus menusuk jasad mana yang melintas

berkecai,bercerai,terlerai.

Elegi mengisi sepi

dalam tangis yatim piatu

mahupun janda atau duda

juga teruna dan dara

di bumi ISLAM mencatat nama.

Makan tak kenyang

tidur tak lena

mandi tak basah

dihantui bayang senapang

dikejar peluru entah dari mana

dihambat ketakutan tiada sudah.

Hanya Allah yang tahu

siapa syahid,siapa cuma mati kaku,

siapa berjuang,siapa terbuang,

siapa mendoakan,siapa didoakan.

Elegi masih beralun

melankoli sekali

menusuk sanubari.

Nukilan pada,11 Januari 2009

Di Balik Purdahnya

Dalam lindungan jilbab

langkahnya kemas bermaruah.

Purdah

tirai kekuatan kendiri

menongkah arus dunia yang kian ganas.

 

Kenapa harusku gentar?

Di balik purdah itu tetap dia.

Dia yang ku kasihi.

 

Nurani terpanggil

dalam mencari rima perjalanan hidup

masih pincang langkahku

masih jauh daripada zuhud.

 

Tiada perlu ku sangsi

apa lagi ragu

biarlah hitam,putih atau kelabu

dalam balutan itu

tetap insan yang dulu.

 

Seharusnya,semestinya,

ku redhakan

ku pasrahkan

dengan harapan

wangian yang terpercik dari tingkah lakunya

tersemat pada diri ini.

 

Walau direntang tirai gelap

masih ku kenal sinar matanya..

 

Nukilan pada:2 Januari 2009

Corat-Coret 2008

Kita mampu merancang masa depan tapi tak siapa dapat menjangka apa yang bakal berlaku.Warna-warni kehidupan setiap insan telah ditentukan oleh al-Khaliq.

   Tangis tawaku tahun ini banyak kisahnya.Inilah buat tauladan.Inilah buat  pengajaran.Corat-coret 2008…

 

Januari;Bayu Beringin

Sapaan lembut bayu Beringin (Kem Beringin Beach Resort) menyambut kedatanganku ke Pulau Lagenda.Diberi tanggungjawab,teruji fizikal dan mental.Suasana baru,pelajaran baru,kenalan baru.Pengalaman manis dan tragedi mewarnai.

 

Februari;Harus Kuat

Indahnya persahabatan.Kepimpinan tercabar.Harus tega dan kuat menghadapi rintangan.

 

Mac;Bisikan Asing

Salam tak terduga daripada insan yang tak dijangka lalu jalinan atas dasar percaya.Perpisahan sememangnya menggamit air mata.Namun lembaran baru mesti dibuka.Bisikan asing gemersik suara menyentuh kalbu,pinta kasih.Dalam kecelaruan dan kasihan,salam dihulur ku sambut mesra walau hati ada sangsi.

 

April;Gelora Batin

Tiada air yang sentiasa tenang,pasti sesekali berkocak.Kali ini bagai laut dilanda tengkujuh.Gelora batin memaksa diri mencari pedoman.Ada sesuatu yang ku rasa salah.Biarlah nokhtahnya di sini.

 

Mei;Langkah Jauh

Ku atur langkah jauh ke tempat baru.Suasana berbeza.Bertarung dengan perasaan sendiri.Himpitan kebimbangan.Terselit juga kerinduan yang cubaku pendamkan.Tiada terduga kisah bisa bermula semula.

 

Jun;Sukarnya 

Kian jauh walau tak bersua wajah,hanya berlandaskan suara dan madah kata.Aku rela andai takdir mengizinkan.Namun terasa juga betapa sukarnya saat badai menggunung tiba mendesak jiwa tanpa usul periksa.Mampukah aku terus bertahan,terus tunduk sabar…?

 

Julai;Tak Tertanggung Lagi

Tiada daya lagi aku menjerukkan hati sendiri.Tanggungjawab yang rela ku tanggung masakan harusku rosakkan dengan perasaan berbaur nafsu tanpa kepastian atau jaminan malahbanyak mencalar perasaan.Lepaskan…Aku mesti lepaskan biarpun dia enggan.Inilah realiti kehidupan.

 

Ogos;Tetap Ampuh

Walaupun masih dibayangi kenangan,itu bukan penghalang malah perangsang.Tiada apa yang perlu digentarkan melainkan sentiasa mendekatkan diri pada-Nya Yang Satu.

 

September;Al-Mubarak

Kini,tiada suruhan tapi kaki melangkah sendiri denganrela hati mencari keredhaan-Nya.Dengan sahabat sefikrah di sisi,terasa manisnya ibadah memuja Illahi.Tiada luka yang tidak dapat diubati.Aku sedar,hatiku masih berdarah dan aku cuba ubati dengan kalimah suci-Nya.

 

Oktober;Cabaran Tanggungjawab

Sepanjang perkataannya (TANGGUNGJAWAB),berat lagi pemegangnya. ‘Pemimpin’,bukan calang-calang orang boleh membawa gelaran itu.Terasa ingin rebah kala diterjah dugaan.Akhirnya,itu juga menjadi sumber kekuatan.Bisikan kenangan kembali mengusik tapi ku tepis.Tak ingin ku menempah derita.

 

November;Keabadian Cinta

Makin serasi,makin mengenali.Dalam mencari cinta sejati,telah ku temui penawar hati.Betapa besar nikmat al-Baqi.Diri disayangi dan mampu menyayangi serta saling mempercayai.Oh,indahnya jalinan di jalan Allah. Biarpun jauh,apatah lagi yang dekat.Bersama mengharungi ombak kehidupan.Terima kasih sahabat-sahabat.

 

Disember;Bukan Untukku,Bukan Hakmu

Dugaan itu sentiasa menyapa.Bila bisikan itu kembali mengusik ,hati terasa goyah.Pada Tuhan ku pohon kekuatan.Kenapa perlu aku takut?Aku tak ingin dilukai dan tak mahu melukai untuk sesuatu yang belum pasti.Sukar benar untuk dia mengerti.Semakin aku simpati kerana seolah-olah dia telah hilang pedoman diri.Namun itu bukan alasan untuk aku serahkan hati kembali. Andai dia untukku,akan tiba harinya.Andai tidak,aku rela.Apapun kini, aku bukan hakmu.

Ya Hafiz,

peliharalah dia.

Ya Latif,

lembutkanlah hatinya.

Apa jua rintangan yang dihadapi oleh dia,berilah kekuatan padanya.

Sekarang,bakal bertambah usiaku,bakal berkurang umur dunia ini.Entah bila berkecainya ia.Lalu,setiap anggota pada tubuhku,ku harap akan beramal dengan amalan yang baik dan mencegah kemungkaran.Hatiku, biarlah disalut iman mantap,setiap hari dibersih dengan zikrullah.Cinta, kasih dan sayngku untuk semua yang berhak.Inginku melangkah dengan harga diri sebagai muslimah sejati yang disegani tapi dijauhkan daripada rasa bangga diri.Sentiasalah aku hendaknya bermuhasabah akan kelemahan dan membina kekuatan untuk terus berjuang dalam arena penuh pancaroba ini.

Ini Ixoramerah.Tak semestinya perlu kembang mewangi tapi melar serumpun seri dengan madu jernih.

Ya Qadir,aku berserah pada-MU…

 

Nukilan pada:31 Disember 2008

Sinar Kota

Sepinya kota peradaban

hutan batu kiri dan kanan.

Di sini

siangnya mati tiada seri.

Malamnya gemilang

noda sumbang anak watan

drama aksi kalah wayang.

 

Sore ini,

mentari kian malu di ufuk barat

semilir lembut membawa kisah

suka duka keluh kesah

warga pendahaga ilmu.

 

Tak semua sedar

warna dunia kian pudar

sirna dikikis kerakusan.

 

Di celah-celah bingit suara kota

gemersik nada irama

menitip doa dalam kepasrahan.

 

Sepinya kota peradaban

walau meriah riuh-rendah

tapi tandus gersang keinsafan

kering layu kesopanan.

 

Hanya secebis warga setia di rumah-Nya.

Pendahaga ilmu,pemburu redha.

 

Nukilan pada:8 November 2008

Mencari Cinta Yang Hilang

Irama itu bergema lagi

membuat hati terusik.

Pada jalur-jalur kemegahan

ku lihat calar-balar

noda

kelalaian dan kelekaan.

 

Dalam harmoni ini,ada yang hilang

keghairahan patriotisme

dimamah iktisad fasik.

 

Aku mencari cinta yang hilang

di balik awan pembangunan.

Sesak

sekularisme menyusup bagai pencuri

menyelit ke dalam dada

anak bangsa yang kosong dan rapuh.

 

Laungan kebebasan

   hanya lembut di lidah.

 

Ke mana menghilang

titis-titis air mata keharuan

senyuman kesyukuran.

Yang deras berkumandang

sorak-sorai lagha.

 

Aku tenggelam dalam keramaian

bermunajat pada Yang Esa;

   asas perjuangan ini

   terlahir dari rahim agama benar nan SATU.

 

Harum

biru kuning merah putih

semerbak.

Walau di balik taman merdeka ini

ada bunga yang kering layu.

 

Suburkan!

Ayuh kita serikan kembali!

 

Nukilan pada:22 Ogos 2008

Lakaran Pentas Dunia

Dunia

dulu,kini dan selamanya

tetap sama

hanya sedikit berbeza

era dan zamannya.

 

Pentas ini tiada sempadan

episod terus menerus berpanjangan

selagi peran-peran menghidupkan watak

tanpa skrip

antagonis dan protagonis

melayarkan sandiwara

prolog telah berjuta tahun berlalu

saat Adam dan Hawa dihumban turun

meniti kehidupan memohon keampunan

epilog entah bila kunjung tiba

hanya menunggu tiupan sangkakala.

 

Pentas ini nampak satah

hakikatnya,

terlalu berliku,tak nampak hujungnya

pasir jerlus di mana-mana

menelan insan yang alpa

onak duri bertaburan

tiada sesiapa bisa terlepas.

 

Jutaan pelakon memainkan peranan

sedangkan Yang Satu memerhati

karenah ragam hamba-hamba-Nya.

Dikurniakan hadiah istimewa

buat setiap seorangnya;UJIAN dan DUGAAN

bagi mengukur keimanan

mencongak ketaqwaan.

 

Ada insan

mengemudikan kapal di tasik tenang

sesekali hujan ribut melanda

tiada ombak mahupun badai

sekadar kebasahan dan kesejukan.

 

Ada insan

mengharung lautan sendirian

kadang di tengah tak nampak daratan

pawana ganas dirempuh

tercari-cari tempat berteduh.

 

Walau di manapun belayar

perlu miliki kekuatan bersulam ilmu di dada.

Sekali dilanda badai

itulah tanda kasih sayang-Nya.

 

Dalam lakaran pentas dunia

dua warna terpenting;PUTIH dan HITAM

warna-warni lain sebagai penyeri.

 

Drama terus bermain

watak terus bergerak

dalam kelam malam

mahupun terang siang.

 

Klimaks entah di mana

peleraian tidak tahu bila

ada yang tersepit,ada yang tersangkut

ada yang tenang,ada yang berang

meniti jambatan  kehidupan

mencari arah tujuan.

 

Atas pentas yang aneka kejadian tak terduga

hanya satu penyelamat

embun jernih kasih-Nya

nur iman naungan abadi

dalam mencari kebahagiaan hakiki.

 

Ketakutan dan keberanian

sulama biasa dalm diri.

Hidupkan keduanya untuk kebaikan.

Takut akan kemungkaran

berani untuk kebenaran.

Mantapkan hati,teguhkan jiwa.

Berbekalkan kasih-Nya…

 

Nukilan pada:19 Jun 2008