Lakaran Pentas Dunia

Dunia

dulu,kini dan selamanya

tetap sama

hanya sedikit berbeza

era dan zamannya.

 

Pentas ini tiada sempadan

episod terus menerus berpanjangan

selagi peran-peran menghidupkan watak

tanpa skrip

antagonis dan protagonis

melayarkan sandiwara

prolog telah berjuta tahun berlalu

saat Adam dan Hawa dihumban turun

meniti kehidupan memohon keampunan

epilog entah bila kunjung tiba

hanya menunggu tiupan sangkakala.

 

Pentas ini nampak satah

hakikatnya,

terlalu berliku,tak nampak hujungnya

pasir jerlus di mana-mana

menelan insan yang alpa

onak duri bertaburan

tiada sesiapa bisa terlepas.

 

Jutaan pelakon memainkan peranan

sedangkan Yang Satu memerhati

karenah ragam hamba-hamba-Nya.

Dikurniakan hadiah istimewa

buat setiap seorangnya;UJIAN dan DUGAAN

bagi mengukur keimanan

mencongak ketaqwaan.

 

Ada insan

mengemudikan kapal di tasik tenang

sesekali hujan ribut melanda

tiada ombak mahupun badai

sekadar kebasahan dan kesejukan.

 

Ada insan

mengharung lautan sendirian

kadang di tengah tak nampak daratan

pawana ganas dirempuh

tercari-cari tempat berteduh.

 

Walau di manapun belayar

perlu miliki kekuatan bersulam ilmu di dada.

Sekali dilanda badai

itulah tanda kasih sayang-Nya.

 

Dalam lakaran pentas dunia

dua warna terpenting;PUTIH dan HITAM

warna-warni lain sebagai penyeri.

 

Drama terus bermain

watak terus bergerak

dalam kelam malam

mahupun terang siang.

 

Klimaks entah di mana

peleraian tidak tahu bila

ada yang tersepit,ada yang tersangkut

ada yang tenang,ada yang berang

meniti jambatan  kehidupan

mencari arah tujuan.

 

Atas pentas yang aneka kejadian tak terduga

hanya satu penyelamat

embun jernih kasih-Nya

nur iman naungan abadi

dalam mencari kebahagiaan hakiki.

 

Ketakutan dan keberanian

sulama biasa dalm diri.

Hidupkan keduanya untuk kebaikan.

Takut akan kemungkaran

berani untuk kebenaran.

Mantapkan hati,teguhkan jiwa.

Berbekalkan kasih-Nya…

 

Nukilan pada:19 Jun 2008

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s