Mary Shelly’s Frankenstein

            Mary Shelly’s Frankenstein adalah sebuah filem arahan Kenneth Branagh. Saya menontonnya pada petang 24 Jun 2009 lalu di saluran Astro Cinemax (412). Filem yang membawa kita kembali ke penghujung tahun 1700 di mana ketika itu penyakit taun (cholera) sedang berleluasa. Berlatar tempat di Geneva dan Ingolstadt.

            Apa yang istimewa tentangnya? Itu bergantung kepada penghayatan setiap individu yang menonton. Dengan permulaan kisah tentang sebuah keluarga doktor yang menghadapi kematian dan dalam masa yang sama kelahiran baru. Si ibu meninggal dunia setelah melahirkan seorang anak lelaki walaupun suaminya, doktor terbaik di bandar itu telah mencuba sedaya-upaya menyelamatkan isterinya.

            Victor Frankenstein (Kenneth Branagh) amat sedih akan pemergian ibunya semasa melahirkan adik yang jarak usia dengannya begitu jauh (mungkin 20 tahun sekurang-kurangnya). Dia berjanji di hadapan kubur ibunya bahawa suatu hari nanti dia akan menghalang kematian daripada berlaku.

            1793, Frankenstein menjejakkan kaki ke Universiti Ingolstadt membawa harapan keluarganya agar dia menjadi seperti ayahnya, seorang doktor tetapi pemuda ini ada visi dan misinya yang tersendiri. Dalam kelas pertama lagi, dia dengan beraninya menyanggah kata-kata profesor yang sedang mengajar. Baginya, sains tulen harus dikombinasikan dengan falsafah agar memperoleh hasil yang hebat. Kematian boleh dihalang. Tentu sekali orang menganggap dia gila. Lagipun, apa yang cuba dilakukannya itu adalah melanggar undang-undang.

            Perkenalan yang mulai rapat dengan seorang profesor di institutnya, Profesor Waldman telah menguatkan lagi gagasan yang dipegangnya selama ini iaitu mencipta ‘manusia’ sempurna; tidak akan tua, tidak sakit dan tidak akan mati. Waldman pernah membuat kajian dan eksperimen yang sama suatu ketika dahulu tetapi telah dihentikan. Frankenstein yang obses berharap dia dapat meneruskan projek itu tetapi profesor tersebut menegah pelajarnya itu daripada meneruskan niatnya kerana pengalaman kajian yang dilakukannya sebelum ini telah menghasilkan sesuatu yang ‘keji’ ; mayat hidup.

            Walau bagaimanapun, kematian profesor itu menyebabkan keinginan Frankenstein semakin kuat. Keghairahannya sehingga membuat dia lupa mengirimkan khabar kepada keluarga dan kekasih hati. Segala bahan dikumpul; bahagian-bahagian badan daripada manusia berlainan dicantumkan (dijahit). Paling penting ialah otak terbaik dan dia memilih untuk mengambil otak profesornya sendiri. Formula untuk menghidupkan ‘bayi lelaki dewasa’ ini ialah dengan memberi haba yang sesuai, renjatan elektrik dan dalam masa yang sama ‘ia’ direndam di dalam bekas berisi cecair amnion atau air ketuban (membekalkan kekuatan kepada ‘bayi’).

            Ya, ‘manusia baru’ dilahirkan! Seorang lelaki yang wajahnya penuh bekas jahitan, berbadan tinggi tegap melangkah keluar dan menyerang ‘ayahnya’ kemudian dia kaku. Saat itu, barulah Frankenstein sedar bahawa dia telah mencipta sesuatu yang tidak sewajarnya wujud. Catatan di dalam jurnal eksperimennya diakhiri dengan mengatakan hasil eksperimen adalah mayat hidup, kecacatan yang ketara, kekuatan fizikal meningkat, yang akhirnya gagal berfungsi atau MATI.

            Sewaktu Frankenstein baru hendak berehat setelah berbulan-bulan sibuk dengan projeknya dan dia bertekad hendak memusnahkan semua maklumat serta hasil eksperimen itu, ‘anaknya’ (Robert De Niro) kembali bernafas lalu menyerangnya sehingga pengsan. Manusia tidak bernama itu melarikan diri dengan memakai kot ‘ayahnya’ yang terdapat jurnal eksperimen di dalam poketnya.

            Frankenstein kembali bersemangat dengan dorongan kekasih hatinya, Elizabeth    (Helena Bonham-Carter)  yang datang mencarinya. ‘Anak’ yang dicipta itu terus menjadi rahsia. Sangkaannya, ‘bayi lelaki dewasa’ itu akan mati akibat penyakit taun yang mudah menjangkiti bayi-bayi yang baru lahir. Dia meneruskan hidup yang normal, pulang ke kampung halaman untuk membuat persiapan perkahwinan.

            Ironinya, ‘anak’ Frankenstein bukan seperti bayi biasa. Dia merantau jauh sehingga ke hutan dan tinggal di dalam sebuah kandang babi milik sebuah keluarga miskin di situ. Ketika inilah banyak babak yang sangat menyentuh hati. Saban hari dia melihat ragam keluarga itu (seorang datuk yang buta, suami isteri dan seorang anak lelaki dan perempuan yang masih kanak-kanak) melalui lubang-lubang kecil pada dinding kandang yang hanya bersebelahan dengan rumah mereka.

            Dia sedar bahawa dirinya berbeza. Dia dapat merasa wajahnya yang tidak sempurna, penuh dengan bekas jahitan yang timbul sangat ketara sehingga menakutkan sesiapa yang melihatnya; seperti gergasi hodoh yang jahat. Dia juga mula memahami dunia sekeliling. Dengan otak terbaik yang dimilikinya, dia cepat belajar. Dia turut sama belajar ketika si ibu mengajar anaknya menulis dan membaca menggunakan papan tulis kecil dan kapur. Lidahnya mulai petah. Namun, dia terus bersembunyi kerana tahu kemunculannya akan menakutkan orang.

            Keluarga miskin itu pula menganggap mereka telah dibantu oleh ‘roh hutan yang baik’ kerana tanaman mereka yang banyak telah dipungut dan diletakkan di depan rumah mereka sebelum musim sejuk tiba. Si datuk yang gemar bermain seruling dapat merasakan ada seseorang yang sering memerhatikannya. ‘Anak’ Frankenstein ini muncul membantu apabila suatu hari, si penyewa rumah yang bengis datang membentak dan memukul datuk yang buta. Dengan perasaan marah, dia telah memukul penyewa rumah itu. Kehadirannya disambut baik oleh si datuk yang buta tetapi apabila ahli keluarga lain pulang, mereka ketakutan dan si bapa telah menghalaunya keluar tanpa sempat dihalang oleh si datuk. Tragis ‘kan?

            Dia menangis sendirian seperti budak yang baru hendak mendapat kawan tetapi kawannya itu telah lari. Apabila dia kembali ke rumah kecil itu, tiada sesiapa lagi di situ. Keluarga tersebut telah pergi. Kesedihan dan kemarahan berbaur. Tambahan lagi setelah dia sudah membaca dan memahami jurnal Victor Frankenstein. Kini, dia tahu siapa dirinya dan dia ingin membalas dendam terhadap orang yang telah mencipta dirinya tetapi membiarkan dia tanpa perhatian.

            Suasana di rumah keluarga Frankenstein di Geneva ceria dengan persiapan perkahwinan Victor dengan Elizabeth. Tiba-tiba kehilangan William, adik kecil Victor menggemparkan suasana. Dia ditemui mati di dalam hutan dan orang yang dituduh membunuhnya ialah Justine, gadis yang bekerja di kediaman Frankenstein juga teman rapat Elizabeth dan Victor berdasarkan bukti loket milik Elizabeth yang dipegang oleh William dijumpai pada Justine.

            Tanpa perbicaraan di mahkamah, pada hari yang sama dia ditangkap, Justine terus diheret ke tali gantung. Masyarakat pada zaman itu akan bertindak agresif pada orang yang dikatakan membunuh. Hukumannya ialah gantung sampai mati di khalayak ramai.Tambahan pula tertuduh membunuh anak seorang doktor tersohor di bandar itu.  Victor dan Elizabeth tidak sempat menghalang dalam keramaian yang merusuh. Satu lagi nyawa yang tidak berdosa melayang.

            Malam itu barulah Frankenstein mengerti apa yang terjadi. ‘Anak” ciptaanya muncul di depannya, mengatur satu pertemuan jauh dari situ. Esoknya, Frankenstein menuju ke tempat yang dijanjikan dengan bertekad hendak membunuh ‘anaknya’. Namun, ia menjadi satu pertemuan yang penuh emosi. ‘Anak’ itu mengaku dia yang membunuh William. “Saya mencekiknya dengan sebelah tangan sehingga tulangnya patah dan apabila dia mati, saya nampak wajah awak”.

Ternyata Frankenstein menjadi seorang pencipta yang gagal menjawab persoalan daripada hasil ciptaannya sendiri. Siapa saya? Saya dari golongan mana? Baik atau jahat? Awak mencipta saya kemudian membiarkan saya agar mati. Saya ada perasaan marah tetapi awak tidak pernah mengajar bagaimana hendak menggunakannya. Saya boleh bermain ini (seruling), bagaimana saya mempelajarinya? Awak menganggap saya jahat.

Itu antara kata-kata seorang ‘anak’. Sayangnya, soalan-soalan itu dijawab oleh si ‘ayah’ dengan jawapan, “saya tak tahu”.

Dia membuat permintaan kepada Frankenstein, seorang teman perempuan sepertinya. Dia juga punya rasa cinta. Dia berjanji akan menuju ke Kutub Utara di mana tiada manusia akan menemui mereka. Dengan keterpaksaan, Frankenstein bersetuju. Dia pulang dalam keadaan selamat tetapi fikirannya bercelaru. Soalan-soalan penuh kebimbangan daripada Elizabeth tidak dijawabnya sehingga membuat wanita itu tersinggung lalu ingin keluar dari rumah menenangkan diri.

Persetujuan Frankenstein berubah apabila dia melihat ‘bahan’ utama projek keduanya yang dibawa oleh ‘anaknya’ iatu jasad Justine. Kesanggupannya memudar tatkala melihat jasad yang sangat dikenalinya itu. Justine seorang gadis yang baik juga pengasuh William. Dia enggan meneruskannya.

Frankenstein sempat menghalang Elizabeth daripada pergi meninggalkan dirinya. Dia menceritakan apa sebenarnya yang berlaku selepas mereka berkahwin pada hari yang sama. Dia mengumpulkan orang untuk memburu ‘lelaki misteri’ itu dan membunuhnya.

‘Anak’ Frankenstein ternyata lebih bijak mengatur rancangan. Ketika ‘ayahnya’ dan Elizabeth bersama sekumpulan lelaki keluar mencarinya, dia masih berada dalam rumah besar milik keluarga Frankenstein. Bapa Victor Frankenstein menjadi mangsa seterusnya.

Segalanya masih belum berakhir. Saat pasangan suami isteri itu baru mula bermadu kasih, Frankenstein dikejutkan dengan irama dari seruling. Ketika Frankenstein bergegas keluar dari bilik, ‘anaknya’ telah menyerang Elizabeth yang bersendirian di atas katil. Si suami yang baru menyedari kesilapannya meninggalkan si isteri sendirian segera berpatah balik tatkala melihat jendela bilik terbuka. Apabila pintu bilik dikuak dengan keras, Frankenstein nampak dengan jelas ‘anak’ itu membenamkan tangan kanannya dengan kuat ke dalam dada Elizabeth lalu menarik keluar jantungnya hidup-hidup; masih berdenyut di tangannya.

“Saya menunaikan janji saya,” itulah kata-katanya sebelum pergi meninggalkan Frankenstein yang penasaran melihat isteri kesayangan mati dalam keadaan begitu menyedihkan. Ya, ‘anak’ itu hanya menunaikan janjinya, “jika awak menghalang malam perkahwinan saya, saya akan menghalang malam perkahwinan awak,”.

Frankenstein terus pulang ke rumahnya. Dia sesekali tidak akan membiarkan kekasih hatinya ‘pergi’. Dia mesti kembalikan Elizabeth dengan apa jua cara sekalipun. Projek kedua dimulakan. Demi ‘menghidupkan’ semula isterinya, dia tidak lagi ragu-ragu memotong jasad Justine untuk menjadi sebahagian daripada ‘tubuh baru’ Elizabeth. Semuanya berlaku dengan cepat.

Sekali lagi Frankenstein berjaya! Satu lagi ‘makhluk baru’ muncul; penuh bekas jahitan, rambut nipis dan masih tidak mampu berkata-kata. Namun, sebagai seorang pencinta obses, Frankenstein gembira dengan hasil kedua itu sehinggalah ‘anak’ pertamanya muncul untuk mengambil Elizabeth sebagai pasangannya seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Pertengkaran berlaku dengan aksi tarik-menarik di mana wanita malang itu menjadi rebutan dua orang lelaki. Dengan perasaan marah, Elizabeth melepaskan dirinya. Dia mulai sedar kekurangan dirinya tatkala melihat pergelangan tangannya yang berjahit. Walau tanpa cermin, dia dapat membayangkan kehodohan wajahnya melalui sentuhan dengan tangannya.

Siapakah yang sanggup hidup sebegitu? Pelita minyak diambil lalu Elizabeth memecahkan pada dirinya sendiri. ‘Anak’ kedua Frankenstein merangkap isterinya musnah terbakar bersama rumahnya. Adakah ini nokhtah kisah ini? Bukan.

Penutup kisah menunjukkan Frankenstein terbaring lemah dalam sebuah kapal yang tersangkut pada permukaan laut yang beku, sedang menceritakan kisah hidupnya pada kapten kapal itu.

“Saya terus memburunya dengan satu niat iaitu membunuhnya. Utara, jejaknya sentiasa menuju ke utara tapi sekarang saya berasa sangat letih. Sangat letih”.

Kapten kapal itu tidak tahu sama ada ingin percaya atau tidak akan cerita daripada orang asing itu. Raungan kuat dari bilik mengejutkan seisi kapal. Di sebelah Frankenstein yang kaku, kelihatan susuk tubuh besar sedang menangis.

“Siapa awak?” tanya kapten.

“Dia tak pernah memberikan saya nama,” jawab lelaki itu.

“Kenapa awak menangis?” tanya kapten lagi.

“Dia ialah ‘ayah’ saya,” jawapan lelaki itu membenarkan segala cerita Frankenstein.

Kru-kru kapal menjadi saksi upacara pembakaran mayat seorang ‘pencipta agung’. Ketika si ‘anak’ baru hendak membakar, ais mula merekah. Semua orang bergegas naik semula ke atas kapal. Kapten memanggil ‘lelaki tidak bernama’ itu untuk turut serta di atas kapal tetapi dia enggan.

“Saya sudah bosan dengan manusia,” dia terus berenang dengan obor di tangan menuju ke bongkah ais di mana mayat ‘ayahnya’ sedia untuk dibakar.

Kapal mula belayar semula dan dari kejauhan, kapten dan para kru kapal menyaksikan api yang mulai menjilat dua orang mangsanya. Ya, itulah pengakhirannya.

Saya tidak tahu kenapa tajuk filem ini Mary Shelly’s Frankenstein. Apa yang saya tahu, kisahnya mampu menyentuh hati saya dan membuat mata saya terpaku pada skrin televisyen; kadang menangis, kadang kegeraman.

Bukan mudah menjadi pencipta terutamanya bila kita tidak betul-betul tahu apa yang kita cipta. Pelbagai persoalan dan masalah akan timbul. Hal ini menyedarkan keagungan Islam yang mengangkat al-Quran sebagai kitab suci yang menceritakan segala-galanya. Dari mana kita, manusia berasal dan ke mana kita akan pergi.

Victor Frankenstein memulakan eksperimen ‘berani matinya’ kerana kegoyahan pegangan agamanya.

“ Kita tidak perlukan Tuhan kedua,” seorang sahabatnya pernah menasihatinya.

“Usah masukkan soal Tuhan dalam hal ini,” balas Frankenstein.

Jelas bukan? Lelaki yang boleh digelar seorang saintis ini juga boleh dikategorikan sebagai sekularis (mengasingkan agama daripada kehidupan seharian). Pada hal, zaman itu menyaksikan betapa berpengaruhnya agama Kristian. Undang-undang juga melarang sebarang tindakan memanipulasikan kematian.

‘Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna’. ‘Sudah terhantuk baru tengadah’. Penyesalan Frankenstein saat ‘anaknya’ telah bernafas adalah sudah terlewat. Dia tidak pernah memikirkan kesan daripada perbuatannya sebelum itu.

Salah seorang profesornya ada mengatakan, “awak akan dilaknati!”. Sememangnya itulah yang terjadi. Apa lagi yang lebih teruk daripada kehilangan ahli keluarga satu per satu, akibat kesilapan diri sendiri?

Paling kasihan adalah ‘anak’ itu. Jika anak luar nikah, sekurang-kurangnya dia tahu dia punya ibu dan bapa. Cuma bukan dengan cara yang halal dan sah di sisi agama serta undang-undang. Namun dalam kes ini, bagaimana patut kita jelaskan? Keturunan mana yang ‘anak’ ini warisi?

Kepalanya dari jasad lain. Otak, sebelah kakinya dan jantung juga dari jasad yang berbeza. Jadi, mana satu sebenarnya asal-usul lelaki tak bernama ini?

Mengapa fitrah manusia mesti memulakan kehidupannya sebagai janin di dalam rahim ibu kemudian lahir sebagai bayi dan melalui peringkat demi peringkat sebelum dewasa dan mati? Jawapannya, kerana diri kita perlu berkembang mengikut tahap. Setiap tahap menjanjikan pengalaman yang berbeza. Hal ini mengelakkan daripada seseorang keliru akibat menerima terlalu banyak input dalam satu masa.

Apa akan terjadi jika seorang kanak-kanak diceritakan oleh ibunya satu kisah pari-pari yang pengakhirannya si wira mati dibunuh oleh ahli sihir jahat? Anak itu berpotensi membesar dengan fikiran bahawa kejahatan sentiasa mengatasi kebaikan. Pendedahan perlu diberi mengikut kesesuaian usia.

Maka, bagaimana pula jika seseorang itu lahir terus sebagai seorang dewasa? Tidakkah itu akan mengkucar-kacirkan seluruh proses kehidupannya?

Manusia tidak diciptakan oleh Allah s.w.t. sebagai ‘pencipta’ tetapi sebagai ‘penjaga’ yakni khalifah. Saya memberikan pandangan sebagai salah seorang penonton. Anda? Tepuk dada tanyalah iman.     

Nukilan pada 2 Julai 2009

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s