Mary Shelly’s Frankenstein 2

 

Maaf, ini bukan berkenaan sambungan filem Mary Shelly’s Frankenstein yang  saya kisahkan sebelum ini. Kali ini saya bawakan kisah di sebalik filem tersebut dan semuanya untuk menjawab persoalan dalam diri saya sendiri. Dari manakah datangnya tajuk ‘Mary Shelly’s Frankenstein’? Adakah Victor Frankenstein benar-benar wujud? Bagaimana pula dengan makhluk ciptaannya? Begitulah antara soalan yang timbul dalam benak saya.

Dari pihak saya sendiri, nama Frankenstein bukan asing pada pendengaran saya. Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya ada mendengarnya. Di mana? Tentulah dari kotak ajaib yang menayangkan pelbagai gambar bergerak (televisyen). Frankenstein selalu dikaitkan dengan kebijaksanaan. “Aku ni bukan macam Frankenstein”. Antara ayat yang selalu digunapakai. Maka, kekeliruan berlaku.

Sebenarnya, Frankenstein memang wujud. Begitu juga dengan ‘anaknya’ dan watak-watak lain. Mereka diwujudkan oleh seorang wanita bernama Mary Shelly melalui novel Inggerisnya yang bertajuk Frankenstein; the Modern Prometheus yang diterbitkan pada 1 Januari 1818. Kenapa, tak percaya? Itulah hakikatnya.

Novel 280 muka surat ini memberikan impak mendalam sekali pada dunia walau pun asalnya dari England. Dikategorikan sebagai sebuah novel seram, sains fiksyen, ‘Gothic’ dan romantik, penulis mengangkat falsafah dan pendapatnya yang tersendiri dalam masa yang sama mengekspresikan perasaannya terhadap persekitaran.

Penulisnya iaitu Mary Shelly memulakan penulisan novel ini ketika berusia 18 tahun dan menamatkannya pada usia 19. Suaminya, Percy Bersshe Shelly juga seorang yang aktif menulis puisi. Idea untuk novelnya ini timbul ketika beliau bercuti dengan suaminya (ketika itu belum berkahwin) di Tasik Geneva, Switzerland.

Watak utama yang diketengahkan dalam novel ini merupakan makhluk ciptaan yang tidak diberikan nama oleh penciptanya. Lebih menyedihkan, ‘anak’ ini diberi pelbagai gelaran buruk seperti ‘si jahat’, ‘syaitan’, ‘orang keji’ dan macam-macam lagi kerana penampilannya yang tidak sempurna. Malah, ‘ayahnya’ sendiri menyebutnya sebagai raksasa yang dibenci serta menjijikkan. Berlaku juga salah faham apabila ada sesetengah orang yang menggelarnya sebagai Frankenstein, sedangkan itu bukanlah namanya. Hal ini terjadi sehinggalah sekarang.

Nama Frankenstein diakui oleh penulis bahawa beliau mendapat ilham daripada mimpinya. Nama Victor pula dikaitkan dengan sebuah karya penulis lain yang memberi kesan kepada Mary Shelly iaitu Paradise Lost oleh John Milton sehingga beliau meletakkan petikan daripadanya pada helaian pengenalan dalam novel Frankenstein. Dalam Paradise Lost, Milton merujuk Tuhan sebagai the Victor. Maka, bagi Mary Shelly pula, watak Victor dalam Frankenstein adalah seperti Tuhan yang cuba mencipta kehidupan.

Frankenstein adalah tajuk utama novel ini manakala the Modern Prometheus merupakan tajuk kecilnya. Samalah seperti The Lord of the Ring dengan tajuk kecilnya The Return of the King sebagai contoh. Jadi, apakah yang tersirat di sebalik nama Prometheus ini?

Dalam mitos Greek, Prometheus adalah dewa yang mencipta manusia. Dia juga dikatakan telah mengambil api daripada syurga dan memberikannya kepada manusia secara senyap-senyap. Apabila Zeus (Tuhan) mengetahuinya, dia telah dihukum dengan hukuman dirantai pada batu lalu setiap hari burung pemangsa akan datang memakan hatinya. Perkara ini terjadi berulang-ulang sehinggalah Hercules datang menyelamatkannya.

Lain pula dalam mitos Latin. Prometheus dikisahkan sebagai orang yang mencipta manusia daripada tanah liat dan air. Kedua-dua mitos ini relevan dengan watak Victor Frankenstein yang telah melawan fitrah alam dan akhirnya dia dihukum.

Bagi Mary Shelly, Prometheus bukan seorang wira malah syaitan yang membawa api ke dunia lalu menggalakkan kemusnahan. Api menyebabkan manusia memasak terutamanya daging. Untuk memenuhi kehendak itu, manusia memburu dan membunuh. Di sini ada kaitan rapat dengan kepekaan penulis pada persekitarannya; Revolusi Perindustrian dan Revolusi Perancis.

Karya Mary Shelly ini mendapat banyak kritikan bermula ketika ia diterbitkan sehinggalah ke hari ini. Ada yang mengatakan novel ini tebal dengan fiksyen. Tidak kurang juga yang memuji. Oleh kerana semasa penerbitan pertamanya nama penulis tidak disertakan, ramai yang menganggap penulisnya adalah seorang lelaki.

Walau bagaimanapun, arus masa semakin berubah dan manusia semakin kreatif. Keunikan novel ini telah menarik perhatian para pengarah pementasan. Malangnya, dengan kekurangan teknologi pada ketika itu, mereka menemui kesukaran untuk mengadaptasi novel tersebut menjadi pementasan. Bermula pada tahun 1823, novel ini telah dihidupkan. Sayangnya, plot dan karakter telah diubah. Makhluk ciptaan Victor Frankenstein digambarkan sebagai raksasa ganas dan kejam. Selepas itu, muncullah pelbagai versi Frankenstein melalui komik, persembahan muzikal dan filem.

1910 menyaksikan awal era filem bisu dan kisah Frankenstein ini terus menjadi kegilaan para pembuat filem. Tidak ketinggalan juga bagi James Whale pada tahun 1931. Namun, Whale telah mengubah cerita Frankenstein secara drastik. Victor bukan lagi seorang pemuda yang sedang belajar dan cuba mencipta kehidupan seperti dalam versi asal tetapi digambarkan sebagai seorang saintis yang angkuh. Pembantunya yang merupakan seorang pelajar muda dan naif telah tersalah membawa otak penjenayah untuk eksperimen saintis itu. Maka, terciptalah satu makhluk yang ganas dan kejam akibat ‘otak jahat’ yang dipasangkan padanya.

Pengadaptasian terus berlaku. Frankenstein dan makhluknya terus mengganas dalam filem sedangkan garapan asalnya oleh Mary Shelly berbeza sama sekali. Para penggiat filem semakin inovatif dan sememangnya hasil mereka selalu menarik perhatian para penonton. Apapun, golongan ini tetap layak mendapat pujian kerana mereka menonjolkan tema “sejauh mana sains mampu pergi”.

Filem Mary Shelly’s Frankenstein yang saya ceritakan sebelum ini diterbitkan pada tahun 1994. Filem ini boleh dikatakan 90 peratus sama dengan karya asalnya; menonjolkan persoalan kemanusiaan, cinta, kasih sayang, kesepian, kepentingan ilmu, kepentingan memikirkan akibat daripada sesuatu tindakan yang kita ambil dan dendam. Sebab itulah tajuknya Mary Shelly’s Frankenstein.

Kisah Frankenstein ini turut diserapkan ke dalam cerita-cerita lain. Kartun Scooby-Doo misalnya. Pernah anda melihat watak kartun seorang lelaki berbadan besar, muka berparut dan terdapat sebatang skru menembusi kepala atau tengkuknya? Itulah ‘anak’ Frankenstein. Filem Van Helsing juga menampilkan watak makhluk aneh ini tetapi dengan perspektif cerita berlainan. Raja pontianak menangkap makhluk ini sebagai bahan utama untuk menjayakan misinya iaitu menghidupkan anak-anaknya (pontianak dah mati. Jadi anak yang dilahirkan tentulah mati juga). Nak tahu kisah selanjutnya, kenalah tengok filem ini sendiri.

Secara keseluruhannya, kisah Frankenstein yang diketahui umum sekarang kebanyakannya adalah hasil dari visualisasi melalui filem (saya salah seorang mangsanya). Ternyata media elektronik memberi impak berganda berbanding media cetak. Namun, tidak boleh dinafikan juga bahawa media cetak memberi kesan dalam jangka masa panjang. Sudah 191 tahun berlalu sejak novel karya Mary Shelly pertama kali diterbitkan tetapi intipati kisahnya terus bersemadi.

Sebenarnya, manusia boleh mencipta kehidupan. Malahan, eksperimen ini telah berlaku sejak dahulu lagi dan berjaya! Begaimana? Dengan menulis. Ya,seperti yang Mary Shelly lakukan. Anda bukan saja boleh menghidupkan manusia malah tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, haiwan serta seluruh alam semesta jika anda mahu. Dengan menulis (tak kisahlah kalau nak menaip pun sama juga), terciptalah skrip. Daripada skrip, lahirlah pementasan, drama mahupun filem.

Itulah manusia. Kita dikurniakan akal yang boleh berkembang. Tiada manusia yang pecah kepalanya kerana terlalu banyak input. Kreativiti dan inovasi adalah kualiti terbaik yang kita miliki tetapi bila-bila masa Tuhan mampu mengubahnya. Hanya Allah s.w.t yang mampu mencipta sesuatu yang benar-benar baru; tiada sesiapa pernah cipta, daripada tiada kepada ada. Sedangkan manusia menggunakan apa yang ada.

Segala yang berlaku, apabila disiasat kembali kepada-Nya. Robot daripada logam. Logam daripada bumi. Bumi dari mana? Boleh manusia mencipta satu planet macam bumi? Filem daripada skrip. Skrip ditulis manusia menggunakan akal. Akal dari mana? Mana letaknya akal itu? Kalau dibelah kepala, nampakkah akal itu?

Subhanallah walham dulillah wa la ilaha illallah wallah hu akbar; Maha suci Allah, segala puji bagi-Nya, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s