Ada Apa Dalam Mistik?

            Sejauh mana kepercayaan anda tentang hal-hal mistik? Mistik adalah satu istilah yang luas maksudnya. Setiap orang mempunyai skop pandangan tersendiri. Mungkin ada yang kaitkan dengan makhluk halus, benda ghaib, hantu, roh atau kepercayaan karut, tahyul, khurafat malah membawa kepada syirik.

            Pelbagai andaian dan kajian dibuat demi menyingkap tabir misteri yang menyelubungi ‘dunia mistik’. Tidak kurang juga yang berpegang teguh pada kepercayaan turun-temurun. Di mana harus kita kategorikan? Adakah kisah dongeng? Lagenda? Mitos?

            Suatu ketika dulu, saya tidur dengan sebuah almari tiga tingkat di sebelah saya. Almari tersebut dipenuhi dengan koleksi buku cerita seram milik mak yang dikumpulnya sejak sebelum kahwin lagi. Takut? Mestilah! Tapi saya tak pernah beritahu mak. Ilustrasi kulit buku-buku tersebut sudah cukup menyeramkan saya.

            Meniti usia, saya juga ingin tahu apa yang ada pada helaian-helaian kertas kuning dan kasar itu. Tidak cukup sekadar membaca tajuknya yang pelbagai. Saya mulakan dengan karya penulis yang menggelarkan dirinya Nenek Kebayan. Kenapa? Pertama, ilustrasi kulitnya tidak keterlaluan. Kedua, mungkin sebab nama penulisnya. Saya tertanya-tanya, apa agaknya cerita yang dibawakan oleh Nenek Kebayan ni?

            Ternyata kisah-kisahnya begitu menari hati. Satu per satu bukunya saya baca. Mayat Kembali, Angkara Ilmu Hitam, Puteri Gemalasari di Lembah Iblis, Musang Siluman, Sumpahan Hantu Pari Siluman dan banyak lagi termasuklah nukilan penulis-penulis lain.

            Itu adalah antara medium yang membuat saya mengenali ‘dunia lain’ ; orang bunian, ilmu hitam, rasukan, bomoh, sumpahan dan keajaiban. Kalau orang barat terkenal dengan kisah Snow White, Sleeping Beauty, Beauty and the Beast, Peter Pan dan lain-lain yang seangkatan dengannya, orang Melayu juga tidak kurang hebatnya.

            ‘Dunia mistik’ bagi saya, berwarna-warni. Bukan sekadar dunia kegelapan seperti anggapan kebanyakan orang. Kita tidak boleh menafikan kewujudan makhluk lain selain manusia, binatang dan tumbuhan. Di sudut-sudut bumi ini, terdapat ‘orang’ lain yang turut menumpang sebelum Hari Pembalasan tiba.

            Satu dunia menyedari kewujudan sesuatu yang dipanggil mistik ini. Pegangan agama yang berbeza turut menyaksikan pelbagai kepercayaan berkenaan dengannya. Ditambah lagi dengan adat dan budaya. Orang Melayu sinonim dengan pontianak, toyol, hantu raya, pelesit, orang bunian, amalan santau dan banyak lagi. Begitu juga dengan bangsa lain. Hantu cina yang melompat-lompat, upacara menurun, jampi serapah, mantera, tangkal dan pantang larang mengelak sial bukanlah perkara asing bukan?

            Negara maju seperti Amerika juga tidak kurang hebatnya. Seminar berkenaan ‘proses menghalau roh jahat’ (the exorcism) diadakan seperti program motivasi. Malah terdapat buku dan vcd dijual. Sambutannya menggalakkan!

            Menyelami dunia ‘roh jahat’ (demon, devil, satan) ini, aneka pendapat dikemukakan oleh pelbagai individu. Apabila dikaitkan dengan kes-kes rasukan, terdapat sesetengah orang yang mempercayainya dan kelompok lain pula tidak. Dunia teknologi kini membongkar beberapa kekeliruan manusia tentang rasukan ini. Antaranya ialah sejenis sindrom yang membuat penghidapnya bertindak di luar jangkaan secara tiba-tiba seperti menjerit, badannya tersentak-sentak atau kepalanya bergerak dengan agresif. Sindrom ini suatu ketika dulu dianggap sebagai rasukan.

            Masalah psikologi juga dikatakan berkait rapat dengan soal mistik ini. Adakalanya, sesetengah orang berpura-pura dirasuk atau histeria untuk menarik perhatian orang lain. Hal ini sememangnya terjadi terutamanya dalam kalangan remaja yang kurang perhatian daripada keluarga atau mempunyai masalah mental.

            Dalam kekalutan manusia mengejar kemajuan, ada pula segelintir manusia yang mengambil kesempatan atas kepercayaan mistik ini. Isu bomoh palsu sering terjadi di seluruh dunia. Tak kisahlah apapun gelaran yang diberi; dukun, paderi, mahaguru, sami mahupun doktor paranormal. Ada yang sanggup berhabis duit dengan alasan hendak berubat. Tidak menghairankan jika yang terpedaya ini adalah orang-orang kampung atau pedalaman yang tidak berilmu tetapi ada juga orang-orang korporat, bijak pandai yang turut tertipu. Pelik tapi benar.

            Jadi, bagaimana harus kita menilai ‘dunia mistik’ ini? Di mana kedudukannya dalam masyarakat? Apakah kesannya? Jawapannya mudah. Kembalilah kepada Allah s.w.t. Rujuklah kalam-Nya yakni al-Quran. Carilah panduan melalui sunnah baginda Rasullullah saw. Nescaya ada jawapan dan penyelesaiannya.

            Dr. ‘Aidh bin ‘Abdullah Al-Qarni ada mengatakan dalam bukunya, ‘Jangan Bersedih; Jadilah Wanita yang Paling Bahagia, “belajarlah untuk menghayati hal-hal yang menakutkan, nescaya rasa takut itu akan hilang. Ya, tak kenal maka tak cinta. Seperti kisah saya dengan koleksi buku mak saya tu. Apabila saya sudah mengetahui isi di dalamnya, saya tak takut lagi. Sememangnya sesetengah cerita mampu meremangkan bulu roma. Apatah lagi jika ianya merupakan kisah benar.

            Namun, keberanian mesti dibina. Rasa takut patut diatasi. Kekuatan dalaman sama pentingnya dengan kekuatan luaran. Tak guna kalau badan berotot persis jaguh bina badan tetapi penakut. Berani di sini bukanlah bermakna berani cari pasal. Macam dialog P. Ramlee dalam filem Madu Tiga, “rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari”. Kita dianugerahkan akal. Pandai-pandailah buat pertimbangan.

            Jika diperhatikan, dunia moden sekarang lebih dipengaruhi dengan ‘dunia mistik’ daripada zaman dahulu. Semuanya dikomersialkan melalui media; elektonik dan cetak. Surat khabar, novel, filem, dokumentari mahupun drama banyak menonjolkan tema alam mistik. Terpulanglah kepada setiap individu untuk menerima pendedahan yang diberikan sebagai ilmu pengetahuan, hiburan atau sesuatu yang menakutkan diri sendiri.

            Ada apa dalam mistik? Luas untuk diperkatakan. Menarik tetapi dalam masa yang sama menakutkan. Walau bagaimanapun, fenomena di luar  jangkaan membuktikan betapa besarnya kuasa Yang Maha Esa. Segala yang terjadi ada hikmah di sebaliknya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s