Pantun Cinta

Pucuk pegaga tumbuh melata,

            Buah mangga di hujung julai;

Cinta umpama air mata,

            Suka duka tiada ternilai.

 

Indah nian Tasik Toba,

            Tempat berjumpa kasih bersemi;

Bisakah bulan jatuh ke riba,

            Andai cinta menggegar bumi?

 

Kacang panjang dimasak dalca,

            Rendang panas dimasuk serai;

Hatiku tuan umpama kaca,

            Jatuh terhempas habis berderai.

 

Bunga raya di dalam taman,

            Layu kuntuman gugur bunganya;

Kerana cinta ramai terkorban,

            Hidup berteman hati luka.

 

Ikan bakar sedap dimakan,

            Sedap dimakan kita bersama;

Bunga mekar sekuntum bukan,

            Kumbang bukan seekor cuma.

 

Bunga melati indah bertaut,

            Sundal malam harum menyengat;

Benarkah hati sudah terpaut,

            Siang malam nama teringat.

 

Pohon mawar tidak berbaja,

            Ditiup bayu layu terkulai;

Kala mekar bunga dipuja,

            Bila layu tiada nilai.

 

Corak cantik si kain cindai,

            Kain baldu tiada basah;

Ombak berbisik pada pantai,

            Engkau dan aku takkan berpisah.

 

Buah sawa di dalam guni,

            Enak rasa dari Melaka;

Dia di sana aku di sini,

            Entah bila bertemu muka.

 

Buah nanas bawa ke kota,

            Nanas dibawa di dalam peti;

Kilau emas butakan mata,

            Sinar cinta menipu hati.

 

Buah kelapa di atas pasir,

            Bunga melati dalam taman;

Rasa cinta sukar ditafsir,

            Misteri hati sepanjang zaman.

 

Bunga talang di atas dulang,

            Kalau kenal dipetik dara;

Cinta bergalang cinta malang,

            Kalau dikesal jiwa melara.

 

Pohon manggis tepi perigi,

            Melata labu seiring semalu;

Bukan ku tangis kasih yang pergi,

            Hati merindu cinta yang lalu.

 

Hijau sekali daun keladi,

            Daun keladi tiada berdahan;

Mana ku cari cinta abadi,

            Cinta abadi mengesa Tuhan.

 

Ulu Bendul tempatnya nyaman,

            Bukit Putus jalan berliku;

Kalau betul hendaknya berteman,

            Hati harus sama terpaku.

 

Layunya lama bunga melati,

            Kenanga kian menguncup serata;

Sayunya jiwa luluhnya hati,

            Melihat tuan menanggung derita.

 

Masak pisang dibuat pengat,

            Bekal dibawa naik perahu;

Wajah terbayang hati teringat,

            Khabar berita tiada ku tahu.

 

Kerana tinggi si pohon jati,

            Redup hutan berjiran desa;

Kerana budi ku jatuh hati,

            Harap tuan membalas rasa.

 

 

Kapal berlayar arus melintang,

            Terus berlalu di selat bertemu;

Andai berdaya ku gapai bintang,

            Ku petik satu hadiah padamu.

 

Kala terang bulan mengambang,

            Bintang utara cerah memikat;

Jika senang tuan mendatang,

            Datang membawa cincin pengikat.

 

Tinta dibeli di bandar Miri,

            Tinta baru hitam kelabu;

Cinta sejati penawar hati,

            Cinta nafsu perosak kalbu.

 

Rama-rama menghisap madu,

            Sama terbang melintas lalang;

Sudah lama adik menunggu,

            Ke mana abang ghaib menghilang?

 

Biar sungai air dangkal,

            Deras arusnya jernih seri;

Biar adik jual mahal,

            Asal terjaga maruah diri.

 

Gadis desa pergi ke kota,

            Pandai melaram nampak cantik;

Saat cinta mula tercipta,

            Rindu dendam kian berputik.

 

Mana dia kembang melati,

            Rendang redup pokok kekabu;

Siapa dia mestika hati,

            Penyeri hidup penawar kalbu?

 

Mana pergi purnama terang,

            Ada sembunyi di balik awan;

Mana pergi kasihmu abang,

            Ada sembunyi di hati rawan.

 

Buat sarang burung merpati,

            Pohon bidara dihinggap pekaka;

Tuan seorang tautan hati,

            Pengubat lara penghapus duka.

 

 

Rumah papan rumah kayu,

            Sama bentuk lain rupa;

Lemah badan lemah daku,

            Kena ketuk rasa cinta.

 

Melur cina warnanya putih,

            Kuntum kecil mudah terungkai;

Kalau cinta sucinya bersih,

            Akhir usia tidak bercerai.

 

Disusun pada 9 Julai 2009

2 thoughts on “Pantun Cinta

  1. pantun2ny keren2 dan bagus2… klw aq boleh usul, bisa nga sairny di buat biasa2 aja, supay mudah di pahami.. trima kasih

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s