Pantun Kerohanian

Buah durian masak di dahan,

            Masaknya luruh dijual di pekan;

Ajal dan maut di tangan Tuhan,

            Jodoh pertemuan telah ditentukan.

 

Tinggi sungguh pohon rumbia,

            Kayunya padat dikerat-kerat;

Takkan Melayu hilang di dunia,

            Agama adat dipegang erat.

 

Di petang hari suasana redup,

            Pohon rambutan di tengah laman;

Cabaran dugaan lumrah hidup,

            Ujian Tuhan menguji iman.

 

Layang-layang membuat sarang,

            Di dalam gua dapat dijumpa;

Berkasih sayang tiada dilarang,

            Batasan agama jangan dilupa.

 

Pokok rumbia di tepi lembangan,

            Daun merimbun tumbuhnya subur;

Harta dunia dimegah jangan,

            Bukan peneman di dalam kubur.

 

Pisang kelat berbuah lambat,

            Di tepi pantai subur si bakau;

Bisakah pangkat mengangkat martabat,

            Batas dunia dapat dilangkau?

 

Mari membeli kain baldu,

            Kalau selesa cukuplah kasa;

Dunia ini racun bermadu,

            Kalau tergoda rosak binasa.

 

Pokok ubi berselang rumput,

            Tinggi batangnya separas bahu;

Ajal pasti datang menjemput,

            Bila di mana tiadalah tahu.

 

Pucuk pegaga tumbuh melata,

            Hijau daunnya subur sihat;

Emas permata nampak di mata,

            Dosa pahala tidak terlihat.

 

Cincin lama cincin suasa,

            Cincin dibawa dari Tambun;

Taubat tiada mengenal masa,

            Moga terampun dosa menimbun.

Bunga melati tiada berduri,

            Kembang mewangi di dalam taman;

Cerah bumi disinari mentari,

            Cerah hati diterangi iman.

 

Kapal layar ditiup bayu,

            Berlabuh lama dekat jeti;

Bunga mekar akan layu,

            Setiap bernyawa akan mati.

 

Pulau Langkawi indah nian,

            Pulau lagenda kisah Mahsuri;

Hidup ini atas keberanian,

            Iman di dada pendinding diri.

 

Ranting kenanga panjang sejengkal,

            Tumbuh lama di tepi telaga.

Harta dunia tiada kekal,

            Amal juga membawa ke syurga.

 

Pohon melati berbunga sarat,

            Pohon durian menjulang tinggi,

Saat mentari muncul dari barat,

            Bisakah insan tersenyum lagi?

 

Nasi kawah diambil dayang,

            Buat bekalan bawa ke huma;

Kukuh rumah kerana tiang,

            Kukuh pegangan kerana agama.

 

Biar goyah batang rotan,

            Jangan ditanggung bawa ke desa;

Biar basah ditimpa hujan,

            Jangan dilambung ombak dosa.

 

Batang kasar di pohon rumbia,

            Tumbuh sama si pohon jati;

Apa dikejar hidup di dunia,

            Akhirat jua ‘kan tiba pasti.

 

Harum melati di sanggul disemat,

            Petik dari dahan di tepi kali;

Muslimah sejati penyeri umat,

            Seindah sinaran mutiara asli.

 

Burung helang terbang menerpa,

            Tinggal menyinggah di Gunung Angsi;

Bila dugaan datang menimpa,

            Ingatlah Allah sentiasa di sisi.

 

Mari menyusun bunga seroja,

            Buat jambangan mewangi seri;

Mari rakanku sama bekerja,

            Buat amalan pahala dicari.

 

Songket baldu tidaklah sama,

            Dibeli orang bawa ke jeti;

Solat itu tiang agama,

            Jangan ditinggal sesuka hati.

 

Anak dara berkain sendat,

             Pergi kota berjalan-jalan;

Jangan agama dibuat adat,

            Adat pula jadi tinggalan.

 

Zapin inang senandung irama,

            Tari indah sama pasangan;

Hidup tenang berlandas agama,

            Quran sunnah jadi pegangan.

 

Kelip seri bintang barat,

            Awan kelam melindung bulan;

Dunia ini ladang akhirat,

            Syurga neraka jadi pilihan.

 

Dari Karak pergi ke Kedah,

            Ke Kuala Pegang berjumpa teman;

Hidup tidak selalu indah,

            Dugaan datang menguji iman.

 

Negeri Kedah jelapang padi,

            Negeri Kelantan Darul Naim;

Alangkah indah hidup ini,

            Nikmat Tuhan datang berkirim.

 

Hujan lebat menimpa bumi,

            Guruh berbunyi menggegar jendela;

Biar kuat pegangan diri,

            Harus berani menjadi pembela.

 

Pohon cempaka tegak tinggi,

            Bunganya kuning di hujung dahan;

Andai terbuka pintu hati,

            Ilmu pendinding bertatah iman.

 

Disusun pada 11 Julai 2009

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s