Archive | Oktober 2009

Kamar Diri

Andai kau bersedih, menangislah.

Andai kau gembira, ketawalah.

Andai kau kesusahan, pintalah pertolongan.

Andai kau mampu, berilah bantuan.

Sentiasalah bermuhasabah diri,

Kekurangan disedari maka ditambahi.

Kelemahan diinsafi maka perbaiki.

Kejahilan dikesali maka ilmu dicari.

Carilah teman

kerana teman itu keperluan.

Namun waspada

ada baik ada buruknya.

Jangan pasir disangka mutiara.

Usah kaca dianggap permata.

Pilihlah.

Selami dirimu

tanya hati apa yang kau mahu.

Tanya minda apa yang kau perlu.

Jangan diikut kata nafsu.

Iman di dada jadikan pemandu.

Allah itu Maha Penyayang.

Kasih-Nya sentiasa mengalir tenang.

Luas terbuka gerbang pengampunan.

Pintalah, rayulah, pohonlah,

nescaya dikabulkan

andai kau mengerjakan yang diperintahkan

dan meninggalkan yang dilarang.

Pintu kamar dirimu

bukalah untuk segala kebaikan.

Tutuplah untuk segala kemungkaran.

Nukilan pada 1 Oktober 2009

Advertisements

Wajah Kesayangan Hamba

Setahun lebih dah berlalu sejak aku tinggalkan pantai indah itu. Sebenarnya, kenangan yang tambah mengindahkan suasana di sana. Pasirnya tambah putih diserikan gelak tawa anak remaja. Irama ombak tambah merdu mengiringi deraian air mata pendampingnya. Dan bayu; yang selalu ku kisahkan, seing saja mengirimkan berita yang menusuk kalbu.

Semua itu tentang alam sekeliling, wadahku mengenal dan memuji al-Khaliq. Namun, yang paling melekat di jiwa ialah kisah tentang insan-insan yang ku kenal. Kisah ku, kisah mereka dan kisah kami. Semua bersatu lalu mencipta kronologi.

Kerinduan masih hangat membara. Makin membakar kala disiram air mata. Wajahmu datang, membuatku terkenang pada cerita silam. Senyum manismu terbayang. Salam eratmu seolah terasa digenggam.

Memori kita hanya cebisan-cebisan kecil tapi tatkala dicantumkan menjadi lukisan yang amat indah. Kerana ia lakaran kita bersama, bertinta suka duka, berwarna nasihat dan taqwa.

Ya, masa bukan penentu segala. Sekelip mata, kasih menyusup ke dalam nurani. Sayang bertakhta di hati. Rindu menguasai naluri. Persahabatan ini ku harap abadi.

Biar lama terpisah, wajahmu tertancap di hati. Kaulah antara ‘WAJAH KESAYANGAN HAMBA’.

Nukilan pada 28 September 2009

(Dedikasi khas buat Badlila bt. Bakri)

Bayangan Kasih

Entah mengapa

ada saja bayangnya di mana-mana.

Asal sekilas pandang

dia yang ku kenang.

Rindu, cinta atau sayang?

Asyik benar terbayang.

Mungkin mainan dan godaan perasaan.

Tak siapa inginkan sejarah kesakitannya

berulang semula.

Aku juga damba lakaran bahagia.

Yang pasti, bayang-bayangnya mengusik jiwa.

Lalu ku titipkan doa

pada Yang Esa,

ku impi redha-Mu

ku mahu keberkatan-Mu

ku harap rahmat daripada-Mu.

Biarlah datang beribu bayangan

yang menggamit kasih,

biarlah datang onar yang meluka pedih.

Pada-Mu jua Ya ‘Alim tempatku merintih.

Nukilan pada 25 September 2009