Archive | Julai 2010

Rangkaian Pantun Kenangan 4T1 (SMSSMJ)

Buat para bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa kelas 4T1 pada tahun 2006, ini adalah rangkaian pantun sepanjang kelas Bahasa Melayu dengan cikgu Ahmad bin Mohd Nor. Semoga terukir senyumanmu saat mengimbau kembali kenangan manis itu.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Buah langsat kuning mencelah,

Pokok senduduk tak berbunga lagi;

Sudah dapat gading bertuah,

Tanduk tidak berguna lagi.

 

Pucuk pauh delima batu,

Anak semilang di tapak tangan;

Biar jauh beribu batu,

Di mata hilang di hati jangan.

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan;

Buang emak buang saudara,

Kerana kasih hamba turutkan.

 

Kiri jalan kanan pun jalan,

Tengah-tengah pohon mengkudu;

Kirim jangan pesan pun jangan,

Sama-sama menanggung rindu.

Tanam pisang rapat-rapat,

Biar senang puyuh berlari;

Ku pinang-pinang tapi tak dapat,

Ku pujuk-pujuk bawa lari.

 

Sorong papan tarik papan,

Buah keranji dalam perahu;

Suruh makan dia makan,

Suruh mengaji dia tak mahu.

Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa saya dirikan;

Kalau sungguh bagai dikata,

Badan dan nyawa saya serahkan.

 

Kalau padi katakan padi,

Tidaklah aku tertampi-tampi;

Kalau jadi katakan jadi,

Tidaklah aku ternanti-nanti.

Dari mana datangnya lintah,

Dari sawah turun ke kali;

Dari mana datangnya cinta,

Dari mata turun ke hati.

 

Tinggi-tinggi si matahari,

Anak kerbau mati tertambat;

Sekian lama saya mencari,

Baru kini saya mendapat.

Hisap rokok tembakau cina,

Keluar asap berbunga-bunga;

Wahai cik adik abang bertanya,

Cincin di jari siapa yang punya?

 

Kelip-kelip ku sangka api,

Kalau api mana puntungnya;

Hilang ghaib ku sangka mati,

Kalau mati mana kuburnya.

Dari mana punai melayang,

Dari sawah ke batang padi;

Dari mana datangnya sayang,

Dari mata terus ke hati.

 

Puas sudah ku tanam padi,

Nanas juga ditanam orang;

Puas sudah ku tanam budi,

Emas juga dipandang orang.

Kalau ada selasih dijulang,

Jangan dibawa ke Jawa saja;

Aku tahu kekasih orang,

Cuma menumpang ketawa saja.

 

Asap api di Tanjung Tuan,

Kuala Linggi bakaunya rendah;

Harap hati kepada tuan,

Langit tinggi ku rasa rendah.

Asam pauh dari seberang,

Gugur buahnya di tepi perigi;

Badan jauh di rantau orang,

Sakit payah ditanggung sendiri.

 

Pergi berguru sampai ke sempadan,

Dapat kancil badan berjalur;

Biar carik baju di badan,

Asal hati bersih dan jujur.

Makan pulut si kuih sagu,

Makan sirih dengan gambir;

Apa direnung apa diragu,

Jodoh pertemuan sudah ditakdir.

 

Sana ayam sini pun ayam,

Mana tempat nak jemur padi;

Sana buaian sini pun buaian,

Mana tempat nak letak hati?

Hendak gugur gugurlah nangka,

Jangan menimpa si dahan pauh;

Hendak tidur tidurlah mata,

Jangan dikenang orang yang jauh.

 

Burung punai terbang sekawan,

Entah tidak kembali lagi;

Tuan umpama kain kapan,

Hancur tidak berganti lagi.

Air dalam bertambah dalam,

Hujan dahulu belumlah teduh;

Hati dendam bertambah dendam,

Luka dahulu belumlah sembuh.

 

Anak Cina memasang lukah,

Lukah dipasang di Tanjung Jati;

Kasih sayang tidak berpisah,

Ibarat rambut bersimpul mati.

Kucing kurus menggaru papan,

Papan diasah si kayu mati;

Bukan kurus kerana tak makan,

Kerana kasih jauh di hati.

 

Burung merpati terbang seribu,

Hinggap seekor di tengah laman;

Hendak mati di hujung kuku,

Hendak berkubur di tapak tangan.

Ke teluk sudah ke Siam sudah,

Ke Mekah saya belum lagi;

Berpeluk sudah bercium sudah,

Bernikah saya belum lagi.

 

Kalau tidak kelapa puan,

Tidaklah puan kelapa bali;

Harap-harap kepada tuan,

Tidak tuan siapa lagi.

Kajang Pak Malau kajang berlipat,

Kajang hamba mengkuang lalu;

Dagang Pak Malau dagang bertempat,

Dagang hamba menumpang lalu.

 

Jalan-jalan sepanjang jalan,

Singgah-menyinggah di pagar orang;

Pura-pura mencari ayam,

Ekor mata di anak orang.

Buah pauh dalam dulang,

Dikirim orang ke kampung hulu;

Biar jauh di negeri seberang,

Doa restu dikirim selalu.

 

Kalau teras cahaya mentari,

Salah menyuluh tepi perahu;

Kalau tuan pergi sendiri,

Suruh-menyuruh saya tak mahu.

Anak punai anak merbah,

Terbang ke dahan buatlah sarang;

Anak sungai ‘kan berubah,

Inikan pula hati orang.

 

Buah kuinin jatuh tercampak,

Jatuh menimpa bunga selasih;

Biar bertahun dilambung ombak,

Tidak lupa pada yang kasih.

Teritip di tepi kota,

Mari dikayuh sampan pengail;

Imam khatib lagikan berdosa,

Inikan pula kita yang jahil.

 

Hujan turun badan basah,

Patah galah haluan perahu;

Niat di hati tak nak berpisah,

Kerana Allah siapa yang tahu.

Gunung tinggi dilitupi awan,

Dinaung langit malam dan siang;

Bila adik mengirimkan pesan,

Hancur luluh sendi abang.

 

Asal kapas jadi benang,

Dari benang dibuat baju;

Barang lepas jangan dikenang,

Sudah jadi orang baru.

Susu Oh Susu

            Sejak kecil tentu anda sering diberitahu oleh mak dan ayah anda bahawa susu itu baik untuk tubuh badan, satu keperluan tumbesaran dan seeloknya diminum agar badan sihat dan kuat. Bermula dengan susu ibu kemudian beralih ke susu tepung yang tentu majoritinya merupakan susu lembu.

            Mak saya pernah ceritakan kepada saya bagaimana keadaan saya semasa kecil dulu di mana saya tidak mahu menyusu badan. Jadi, mak berikan saya susu tepung. Dengan susu tepung itulah saya membesar. Sehingga kini, saya tidak mempunyai masalah untuk minum susu tepung seperti kebanyakan orang lain terutama kaum wanita yang cukup alergik dengan bau susu tetapi tidak bagi saya.

            Meniti alam persekolahan (rendah dan menengah), saya tidak lagi mengambil susu tepung secara konsisten. Kadang kala saya gemar membeli susu coklat dalam kotak apabila keluar bersiar-siar kerana saya merasakan susu adalah satu minuman yang dapat menghilangkan dahaga dan dalam masa yang sama mengenyangkan serta memberi khasiat yang baik kepada tubuh badan.

            Begitu cepat masa berlalu dan kini saya meneruskan pengajian di kolej. Semasa baru masuk ke kolej dengan usia telah mencecah 18 tahun, saya teringat kata-kata cikgu sains saya ketika dalam Tingkatan 3 bahawa apabila usia semakin mencecah 20-an, badan manusia amat memerlukan kalsium kerana tulang semakin rapuh terutamanya bagi kaum wanita. Sumber kalsium yang paling popular tentulah susu. Jadi, saya kembali minum susu tepung (Fernleaf @ Dutchlady).

            Saya sendiri pun tak sedar sejak bila saya mula berhenti daripada minum susu tepung. Apa yang pasti, tak sampai setahun saya amalkannya kerana saya menyedari yang saya lebih gemar minum kopi pada waktu pagi sebagai ‘wake-up call’ kata orang. Aroma kopi ternyata lebih memikat selera saya daripada bau susu yang memuakkan. Namun bukan bermakna saya sudah tak suka pada susu. Cuma susu tidak lagi termasuk dalam menu harian saya.

            Tiba-tiba, di luar jangkaan saya, pada awal tahun 2010 ini sesuatu yang baru telah mengisi hidup saya. Saya telah menjadi sebahagian daripada sebuah syarikat produk berasaskan SUSU kambing; IF-T-TAH Food Supply Services. Susu telah kembali dalam hidup saya! Teruja pula bila mengenangkannya.

Sesuatu yang tak disangka

Seringkali mendatangi kita

Itukah suratan dalam kehidupan

Atau sekadar satu kebetulan….

 

            Masih tentang susu tapi kini saya berjinak-jinak dengan susu kambing pula. Walau bagaimana pun, bukan berjinak-jinak secara membuta tuli tetapi dengan fakta yang telah diakui. Ternyata susu kambing punya banyak kelebihan berbanding susu lembu. Bukan saya hendak merendah-rendahkan produk-produk susu lembu yang begitu laris di pasaran tapi kita perlu sedar juga bahawa kebanyakan pengguna lebih cenderung tertarik kepada sesuatu barang kerana iklan. Berapa ramai yang rajin mencari maklumat untuk mengetahui tentang sesuatu barang melainkan membaca label pada barang tersebut, bertanya kepada jurujual dan bergantung kepada iklan di media cetak dan elektronik?? Hakikat bukan???

            Saya pun tak nak menjadi orang yang bercakap besar di sana sini demi melariskan produk sendiri tanpa benar-benar mengetahui kebaikan dan keberkesanan produk tersebut. Maka, saya mencuba sendiri dengan menjadikannya amalan harian. Susu kambing campuran ekstrak kurma dan kismis yang didatangkan dalam bentuk sachet mudah bancuh ternyata memberi kemudahan kepada sesiapa saja untuk menyediakannya. Rasanya juga enak tanpa gula. Bau?? Tak perlu risau kerana telah kurang bau hamisnya.

            Berkenaan kesannya, sukar untuk saya nyatakan secara jelas kerana saya mengambil susu ini bukanlah atas sebab penyakit-penyakit tertentu tetapi atas dasar ingin memelihara kesihatan. Cuma, saya mempuyai masalah sakit kepala yang sering menyerang tiba-tiba. Migrain?? Entahlah, saya pun tak pasti sebenarnya sebab tak pernah buat pemeriksaan doktor. Saya lebih suka membiarkan rasa sakit itu berkurang sendiri dan enggan bergantung pada ubat.

            Kini, setelah beberapa bulan mengamalkan susu kambing saya menyedari yang sudah lama saya tidak sakit kepala. Adakah ini kebaikan darpada susu kambing tersebut? Mungkin. Kebaikan yang saya paling tidak nafikan ialah berkenaan penghadaman. Pengambilan susu kambing secara konsisten sememangnya dapat membantu melancarkan proses penghadaman. Saya mengambilnya sebelum tidur setiap hari.

            Berbalik tentang susu tepung tadi, masyarakat tentunya masih berpendapat bahawa susu amat penting terutama bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Ya, itu sesuatu yang tidak dinafikan tetapi persoalan yang timbul ialah susu apa? Dunia telah mengiktiraf bahawa susu terbaik untuk seorang manusia tentunya susu ibu. Timbul pula masalah apabila anak itu tidak lagi minum susu ibu apabila telah semakin dewasa. Susu apa pula yang harus diminum?

            Terdapat kajian yang mengatakan struktur kimia dalam susu kambing hampir menyamai susu ibu. Jadi, susu kambing merupakan pilihan terbaik. Bagaimana pula dengan susu lembu yang sering dicanang-canang dalam iklan televisyen itu? Tetap punya khasiat tetapi sedikit berbeza kandungan dan kuantitinya.

            Saya teringat, seorang pensyarah saya pernah mengatakan sesuatu yang membuat saya terfikir tentang susu kambing ini. Ketika itu, saya belum terlibat dengan syarikat IF-T-TAH. Beliau menyebut, “ada tak kamu pernah dengar para nabi kita dahulu mengembala lembu? Tak ada ‘kan, yang ada pengembala kambing. Kenapa? Kerana dari kambing itu ada banyak kebaikannya. Nabi Muhammad SAW sendiri suka minum susu kambing sebelum tidur”. Sedangkan mendiang Mahatma Gandhi yang sering berpuasa (mogok lapar), kembali bertenaga selepas meminum susu kambing.

            Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman saya berkaitan susu. Dunia barat turut mengakui kebenaran kebaikan susu kambing ini. Berbeza pula dengan susu lembu yang semakin diragui khasiatnya akibat keadaan lembu yang disuntik untuk menghasilkan lebih banyak susu, pemprosesan susu untuk membuatnya lebih tahan lama dan struktur kimia susu lembu yang lebih sukar untuk dihadam serta mengambil masa lebih lama. Teruk sangatkah susu lembu ni? Bagus sangatkah susu kambing?? Itu terpulang pada pendapat anda. Tiada sesiapa mampu memaksa anda untuk mempercayai sebarang perkara tanpa kerelaan anda sendiri.

Pantun Berkasih

Terang bulan mengambang penuh,

Malam kelam disimbah cahaya;

Hatiku tuan bagai disuluh,

Kasih nan dalam bawa bahagia.

Senjakala mentari terbenam,

Sepoi bahasa angin bertiup;

Semailah rasa kasih mendalam,

Tidak merana menjengah hidup.

 

Air mengalir dari bukit,

Bawah mentari tampak bersinar;

Kasih yang hadir bukan sedikit,

Jasadku mati sayang tak pudar.

Baju Melayu buat teruna,

Dara manis berbaju kurung;

Walau dirayu setinggi mana,

Takkan terhakis kasih segunung.

 

Perahu Acheh dibawa arus,

Barang dagangan jual di Bali;

Kerana kasih salam ku utus,

Moga hubungan kekal abadi.

Zapin Melayu tari lincah,

Rancak irama mengikut rentak;

Jangan ditunggu kasih tak sudah,

Redup cuaca hujannya tidak.

 

Mekar putih kuntum melati,

Datang kumbang menghisap madu;

Bila kasih menyentuh hati,

Datang sayang bersama rindu.

Cerah mentari di pagi hari,

Burung berkicau mencari makan;

Riangnya hati di hari ini,

Ingin bertemu kasih idaman.

Bulan mengambang di malam hari,

Pungguk merintih terbang melayang;

Suaramu abang menggetarkan hati,

Membisik kasih berbunga sayang.

Sepasang putih terbang merpati,

Hinggap berdua dekatlah sarang;

Ku harap kasih bawa ke mati,

Cinta setia untukmu seorang.

Pantun Memujuk

Kalau manggis manggislah sayang,

Jangan diambil tanpa dipinta;

Kalau nangis nangislah sayang,

Jangan ditahan si air mata.

Rama-rama terbang sendiri,

Kelopak bunga tempat bersinggah;

Lama-lama membawa hati,

Jiwa yang luka masih berdarah.

 

Angin kemarau membawa pasir,

Pokok getah susu berkurang;

Hati nan galau usah difikir,

Bila resah sakit pun datang.

Pantun Buatmu Tuan

Guruh berdentum hujan tak jadi,

Air tempayan dicurah jangan;

Walaupun belum bersatu hati,

Padamu tuan aku harapkan.

Orang Asli sudah maju,

Adat budaya tidak dilupa;

Dalam hati ada rindu,

Tuanlah juga tempat bicara.

 

Kuala Lumpur sibuk selalu,

Bandar raya jadi tumpuan;

 Tuan penghibur penawar kalbu,

Senyum manisnya jadi igauan.

Cak Kun Cak tarian lincah,

Uda dan dara bermain mata;

Nak tak nak tetaplah sudah,

Tuan dan saya seiring sama.

 

Ulu Bendul tempatnya nyaman,

Muda-mudi bermandi-manda;

Andai betul katamu tuan,

Harap janji terus dikota.

Gadis Cina berbaju merah,

Rambutnya lurus menutup dahi;

Tuan di sana jangan marah,

Saya tulus memegang janji.

 

Orang India pergi sembahyang,

Sari panjang dililit rapi;

Saya sedia menghulur sayang,

Tuan datang mengikat janji.

Teluk Kemang jadi tumpuan,

Tempat orang bermandi-manda;

Duduk mengenang dirimu tuan,

Rindu datang mengasak dada.

Kalau ke kuala pergimu tuan,

Saya ke hilir mencari bali;

Walau ke mana hilangmu tuan,

Kasih secangkir tersimpan rapi.

Kiri kanan kelapa sawit,

Tengah-tengah jalan berliku;

Kalau tuan hatinya sakit,

Jangan gundah senyum selalu.

Pantun Nasihat

Merah jambu warna nan lembut,

Buat pakaian si anak gadis;

Kata nafsu jangan diikut,

Dalam iman panduan tergaris.

Merah terang mawar berduri,

Mekar kembang galak bunganya;

Marah orang usah dicari,

Biar tenang kelak berjaya.

Comel sungguh anak Korea,

Manis lagi anak Melayu;

Biar penuh ilmu di dada,

Depan nanti senang selalu.

Rancak sekali lagu Inggeris,

Lagu Melayu menusuk hati;

Maruah diri jangan dihiris,

Walau dirayu pertahankan diri.

Tarian Hindi lincah sekali,

Tangan kaki ingin digoyang;

Hidup ini indah berseri;

Saling memberi kasih dan sayang.

Ikan haruan di dalam sawah,

Ditangkap juga lumpur ditempuh;

Kalau tuan memegang amanah,

Bagai menjaga kaca nan rapuh.

Warna merah tampak garang,

Putih kapas lembut berseri;

Cantik indah dara seorang,

Biar lepas jagalah diri.

Kereta api membawa barang,

Dari selatan terus ke utara;

Jangan khianati janji orang,

Bicara tulus elakkan dusta.

Pergi meniaga pelekat di pekan,

Baju kebaya kainnya longgar;

Selagi nyawa melekat  di badan,

Terus setia akan yang benar.

Jangan disalah lantai berjungkit,

Kalau diri tak pandai menari;

Janganlah marah sambil mengungkit,

Kelak diri akan dibenci.

Pantun Buat Teman/Sahabat

Kapal terbang penuh muatan,

Terbang ke China dari Jakarta;

Khabar dilayang tanda ingatan,

Orang di sana apa cerita?

Tenang lagi air di tasik,

Seri pagi berkembang ceria;

Selamat pagi sahabat baik,

Moga hari bersinar bahagia.

 

Laut biru luas terbentang,

Pulau dan darat ditemu jambatan;

Kau aku mata tak bertentang,

Rindu terikat dalam ingatan.

 

Ambillah makan kelapa puan,

Lembut isi putihnya padat;

Salam ingatan buatmu tuan,

Moga hari disinar berkat.

 

Ombak tak putus dari lautan,

Terang mentari hari pun hangat;

Salam ku utus tanda ingatan,

Kerana budi hati teringat.

 

Terang mentari hari pun hangat,

Suburnya kulim juga rumbia;

Kerana budi hati teringat,

Doa ku kirim moga bahagia.

 

Camar pulang di kala petang,

Hari redup mentari di barat;

Indah bulan dipagar bintang,

Lengkap hidup berteman sahabat.