Archive | Disember 2010

Pantun 20 Untuk Sahabat

 

  Khas buat seorang sahabat yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-20. Bertemakan pemandangan di tepi pantai.

 

Lima ekor anak ikan,

Jatuh seekor tinggal empat;

Salam ku hulur tanda ingatan,

Moga terhibur duhai sahabat.

 

Awan putih di langit biru,

Burung camar berlega-legar;

Kerana kasih kita bertemu,

Moga kekal terus bersinar.

 

Rumah api teguh di tanjung,

Jadi panduan kapal di laut;

Dua hati kukuh disambung,

Persahabatan kuat memaut.

 

Empat perahu tersusun rapi,

Lama berlabuh tiada batuan;

Bila bertemu senang di hati,

Saat berjauhan rindu-rinduan.

 

Bayu laut menyapa pipi,

Pohon nyiur bagai melambai;

Wajah seraut terbayang kini,

Rindu berbaur kasih tersemai.

 

Budak-budak bermain air,

Simbah-menyimbah bersuka-suka;

Diri hendak berada hampir,

Berkongsi kisah suka dan duka.

 

Berbuih-buih air dikocak,

Mula jernih menjadi keruh;

Berkasih-kasih semua hendak,

Jerih-perih harus ditempuh.

 

 

Kapal layar di tengah laut,

Ditiup angin sampai ke pantai;

Jangan dibiar luka memaut,

Aku ingin jadi pendamai.

 

Naik kapal pergi seberang,

Kapal berlabuh pulau satu;

Rasa janggal ada bersarang,

Hairan sungguh tidak ku tahu.

 

Indah hari mentari bersinar,

Ramai orang bermandi-manda;

Dalam hati seperti tercalar,

Bila jarang bersua muka.

 

Laut luas biru airnya,

Cantik pasir halus memutih;

Sudah puas aku bertanya,

Mengapa hadir rasa merintih?

 

Awan berbalam nampak memutih,

Angin menderu awan pun hilang;

Hati di dalam bagai merintih,

Mungkin rindu datang bertandang.

 

Tapak sulaiman lima bucu,

Nampak kaku tapi hidupan;

Kita berkawan bukan baru,

Apa terbuku sama luahkan.

 

Cengkerang siput dikutip orang,

Buat hiasan di dalam rumah;

Tiada luput kasih dan sayang,

Kerana Tuhan budi dicurah.

 

 

Bunyi ombak menderu-deru,

Memukul pantai tiada berhenti;

Bukan hendak mengadu-ngadu,

Hanya menyampai rasa hati.

 

Istana pasir di tepi pantai,

Runtuh rata dilanda ombak;

Dikau hadir membawa damai,

Walau sengketa kadang mendesak.

 

Bendera putih di atas menara,

Berkibar-kibar ditiup angin;

Kerana kasih kita bersama,

Percaya sabar jadi pemimpin.

 

Anak ketam jalan mengiring,

Jalan mengiring berpasang-pasang;

Ingin teman sama seiring,

Sama seiring bersusah senang.

 

Kuning merah warna serasi,

Hijau biru tetap idaman;

Jangan marah duhai dewi,

Senyum selalu cantik menawan.

 

Arus disekat pantai berbatu,

Pantai barat dilanda gelora;

Moga selamat bahagia hidupmu,

Penuh berkat Allah Taala.

 

Pantun Jauh Di Mata

Cerah mentari cahaya jingga,

Awan bertemu langit membiru;

Adik di sini abang di sana,

Tertanggung rindu belum ketemu.

Cincin perak batu permata,

Warna putih sarung ke jari;

Hati tergerak bibir berkata,

Lafaz kasih terucap sendiri.

 

Putih bersih bunga melati,

Ungu biru bunga senduduk;

Kerana kasih aku menanti,

Cinta satu janji seteguk.

Air perigi sejuknya rasa,

Turun mandi di waktu petang;

Jarang sekali bersua muka,

Dalam hati asyik terkenang.

 

Hujan turun renyai-renyai,

Bayu dingin menyapa pipi;

Kasih tulus takkan terlerai,

Biar jauh tetap dinanti.

Dari Johor terus ke Kedah,

Singgah Seremban tempat bertandang;

Biar jarak jadi pemisah,

Kukuh jalinan denganmu abang.

 

Dari Chemor ke Bagan Serai,

Lalu jambatan Sungai Kurau;

Sudah bersatu enggan bercerai,

Terpisah lautan ketemu di pulau.

Kelapa puan darilah kota,

Mari bawa pergi ke jeti;

Sudahlah tuan jauh di mata,

Jangan pula berjauh hati.

Bunga kantan berbatang lurus,

Harum baunya di atas peti;

Salam ingatan tulus ku utus,

Jauh di mata dekat di hati.

Pantun Untuk Majlis

Cenderawasih terbang melayang,

Dari Perlis sampai ke Kedah;

Salam kasih bertaut sayang,

Pembuka majlis malam nan indah.

Puteri hilir pandai berperi,

Cantik pekerti dipandang tak jemu;

Senyum terukir wajah berseri,

Malam silaturrahim kita bertemu.

 

Sungguh merah si biji saga,

Dibuat hiasan cantik berukir;

Masa berpisah tibalah juga,

Titik berjuangan belum berakhir.

Cenderawasih dari utara,

Darilah Perlis terbang ke Kedah;

Salam kasih salam sejahtera,

Pembuka majlis malam nan indah.

 

Siakap sudah gelama pun sudah,

Keli saja belum lagi;

Bercakap sudah mendengar pun sudah,

Makan saja belum lagi.

Merah hitam warna anggun,

Tampak cantik putih berseri;

Adk melaram abang terpegun,

Sekali lirik terpikat hati.

 

Proton Wira Perodua Myvi,

Kereta kebanggaan rakyat Malaysia;

Kita berjumpa malam ini,

Mencipta kenangan tidak dilupa.

Jenama Nokia dan Motorola,

Ramai pengguna sudah terkenal;

Wajah nan ceria hati pun gembira,

Usah berduka nanti menyesal.

 

Dari Pendang ke Parit Buntar,

Kuninglah warna padi di bendang;

Datang bertandang duduk sebentar,

Tibalah masa berangkat pulang.

Kopi Kluang rasanya manis,

Minum bersama di waktu petang;

Datang bertandang menyeri majlis,

Tiba masa berangkat pulang.

 

Suzuki merah di jalan raya,

Laju memecut memotong lori;

Habis sudah ucapan saya,

Umur lanjut berjumpa lagi.

Kelapa parut inti roti,

Manis rasa pilihan dara;

Kenyang perut senang hati,

Senyum mesra penutup selera.

Mahalnya Kasihmu

            Menjadi satu-satunya ‘bunga mekar’ dalam keluarga punya makna tersendiri. Sekilas pandang, kata orang, tentu anak manja. Mungkin ada juga yang berfikiran bahawa tentu ‘si bunga’ dikawal ketat bimbang dicemari ‘kumbang-kumbang’ liar. Akulah ‘si bunga’ itu tetapi aku persis pohon  yang ditanam dan dijaga sedari benih, merasa terik mentari dan hujan ribut agar aku tumbuh sebagai pohon yang tegar. Terima kasih kepada ‘tukang kebunnya’ iaitu mak dan ayah.

            Andai ditanya, berapakah nilai kasih sayang mak dan ayah? Tiada jawapan pasti dapat ku beri melainkan berkata, “tidak ternilai harganya”. Siapa aku sekarang adalah hasil daripada kasih sayang, didikan dan perhatian daripada mak dan ayah. Dibesarkan dalam keluarga bertaraf sederhana, aku tidak ditatang bagai minyak yang penuh. Bagi mak, berdikari perlu diajar dan dipelajari.

            Semakin dewasa, aku kian mengerti dan menghargai setiap tunjuk ajar mak sejak kecil yang penuh dengan ketegasan yang dulu ku anggap sebagai garang tetapi sebenarnya, itulah sayang. Aku menjadi pohon yang bukan sekadar kukuh berdiri malah mampu memayungi dan memberi manfaat kepada orang lain.

            Bagiku, kasih sayang terasa makin manis apabila berjauhan kerana saat terpisah itulah kita belajar menghargai. Walaupun sudah biasa berpisah dengan keluarga kerana aku tinggal di asrama sejak tingkatan 1, aku tidak pernah merantau keluar dari Bumi Jelapang Padi. Dua tahun lalu setelah mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku mengambil keputusan untuk menerima tawaran menyambung pengajian di sebuah kolej di Bumi Adat Perpatih.

            Sehingga kini, aku teruskan perjuangan di IPTS ini demi mendapatkan diploma dalam bidang perakaunan. “Jaga diri elok-elok,” itulah pesanan ringkas yang sering mak titipkan tetapi sudah cukup bermakna bagiku, mencerminkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi. Ayah pula, sejak aku kecil sering mengucapkan kata-kata, “belajar sampai pandai” setiap kali aku bersalam dengannya.

            Secara zahirnya, mak mahupun ayah tidak menunjukkan dengan jelas akan kasih sayang mereka padaku dan abang-abang. Namun, sebagai anak yang terdidik, aku mengerti maksud tersirat di sebalik sinar mata dan bicara mereka. Biar sekadar ucapan pendek, itulah doa keramat penuh kasih sayang dan keikhlasan yang tiada tolok bandingnya dengan insan-insan lain. Doa itulah yang mengiringi dan memberkati setiap langkahku walau di bumi asing.

            Tiada hari yang tertentu patut ku pilih untuk menzahirkan penghargaan buat kasih sayang mak dan ayah kerana setiap hari seharusnya aku mengenang kalian dalam doaku seperti mana kalian mengenang diriku dalam setiap doamu. Dalam bulan penuh barakah ini, semakin aku terpanggil untuk mengenang segala jasa dan pengorbanan kalian. Doa ku pohon pada Allah SWT agar membalas setiap titisan darah dan keringat yang mengalir sepanjang membesarkan diriku.