Himpunan Pantun 2005

Pantun Cinta

 

Pokok kelapa mati ditebang,

Pokok ciku banyak dahan;

Banyak cinta bercabang-cabang,

Mana satu jadi pilihan?

Anak dugong berenang-renang,

Ikan lumba turut bersama;

Cinta teragung tiada dicanang-canang,

Cinta hamba kepada agama.

 

Harum baunya si limau purut,

Dipetik adik berikat-ikat;

Langkah mana harus diturut,

Kalau hati sudah terpikat?

Tinggi sungguh si gunung Daik,

Jadi sebutan orang bermadah;

Fikir dulu buruk dan baik,

Jangan nanti menyesal tak sudah.

 

Singgah di kota berjumpa jejaka,

Janji berjumpa di depan jeti;

Benarkah cinta membawa duka,

Menghiris jiwa meranapkan hati?

Sungguh jelita si gadis desa,

Keluar bertandang mesti bergaya;

Manis cinta tiada senantiasa,

Dugaan yang datang menguji setia.

 

Pantun Cinta 2

 

Di petang hari membuat jamu,

Air dijerang di atas api;

Sepi yang datang bersama namamu,

Wajah terbayang termimpi-mimpi.

Di senja hari gerimis mengundang,

Anak desa berhenti berkelana;

Entah kenapa hatiku terkenang,

Sedang diri entah di mana.

 

Ikan toman ikan haruan,

Pokok kacang duri semalu;

Bila berdepan rasa tak keruan,

Jantung kencang lidah terkelu.

Anak rusa masuk ke kota,

 Sesat sendiri tiada berkawan;

Inikah rasa jatuh cinta,

Umpama diri terbang di awan?

 

Musang memburu si biri-biri,

Biri-biri dijaga orang Jawa;

Rasa ragu menghantui diri,

Andai hanya mainan jiwa.

Bapa kuda ibu beruang,

Minum bersama si anak cipan;

Usia muda tak ingin ku buang,

Selagi terdaya akan ku simpan.

 

Bermandi-manda di Lata Mengkuang,

Berkelah bersama kawan lama;

Masa muda masa berjuang,

Puncak jaya destinasi pertama.

Mencari rotan di Gunung Tahan,

Rotan disandar di pokok balak;

Jodoh pertemuan ditentukan Tuhan,

Cuba bersabar bahagia kelak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s