Di Sebalik Hijab Muslimah

Kewajipan agar Muslimah berhijab atau dalam erti kata lain bertudung sudah jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT melalui al-Quran dan sabda Rasulullah SAW melalui hadis baginda. Walau bagaimana pun, masih ramai wanita mahu pun anak-anak gadis yang mengaku diri Islam tetapi meremehkan perkara ini.

Sama ada sedar atau tidak, ramai dalam kalangan kita lebih menyayangi harta benda berbanding diri sendiri. Tak percaya? Kalau handphone mahal-mahal, tentu dilindungi cover plastik atau getah. Takut calar-balar. Kereta mewah parking di bawah bumbung agar tak kepanasan. Selalu juga ditutup bila ditinggalkan bimbang kucing tidur atas kereta, nanti habis melekat bulu. Buku-buku teks sekolah pun dibalut plastik. Malah, sudah jadi peraturan sekolah yang kalau tidak dibuat, para pelajar akan didenda.

Itu sekadar beberapa contoh. Apa yang ingin diketengahkan di sini adalah kita menjaga sesuatu yang bernilai bagi diri kita. Tujuannya mengelak daripada rosak, musnah atau cacat. Bagaimana pula dengan diri kita yang sangat bernilai ini, duhai Muslimah? Apakah anda tidak risau tubuh anda calar-balar? Adakah anda tidak merasakan bahawa Allah SWT itu Maha Tahu keperluan setiap hamba-Nya? Dan menutup aurat dengan berhijab itu menjadi kewajipan kerana ia satu keperluan. Samalah seperti badan perlukan makanan untuk bertenaga, ia juga perlu perlindungan agar terjaga.

Terdapat sesetengah wanita memberi hujah bahawa iman itu letaknya dalam hati. Maka, berhijab tidak perlu menjadi isu penting. Benarkah? Cuba renungkan maksud IMAN itu sendiri ; keyakinan dalam hati, mengungkapkan dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota badan. HATI itu baru permulaan IMAN. Langkah seterusnya adalah melalui ucapan dan untuk melengkapkannya adalah dengan PERBUATAN. Sedangkan dalam pelajaran pun kita belajar teori kemudian ada PRAKTIKAL. Inikan pula dalam beragama. BERHIJAB atau BERTUDUNG itulah PRAKTIKALNYA.

Ada pula yang menyuarakan bahawa diri belum dapat hidayah, belum sampai seru, tidak dapat petunjuk. Hmmm…bila anda sesat di satu tempat, cara paling berkesan adalah dengan bertanya pada orang di situ untuk menunjukkan jalan. Tatkala anda terasa lapar, anda perlu mencari makanan. Paling tidak pun, menyuapkan makanan yang terhidang ke dalam mulut. Sungguh pun ada yang tolong menyuap, anda tetap perlu mengunyah dan menelan. Relevannya di sini, USAHA. Malu bertanya sesat jalan. Yang bulat tak datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. USAHA TANGGA KEJAYAAN!

Ya, jangan ingat nak berjaya dalam akademik mahu pun kerjaya sahaja yang boleh memakai slogan itu. Segalanya dalam hidup perlukan usaha. Ibu Nabi Isa ‘alaihissalam, Maryam yang baru lepas melahirkan pun, diperintahkan Allah SWT agar menggoncangkan pohon kurma agar buahnya jatuh untuk dimakan olehnya. Goncangannya hanya sedikit, selebihnya adalah bantuan Allah Maha Penyayang. Tuhan ingin menyampaikan ajarannya bahawa USAHA itu PENTING.

Oleh itu, hidayah takkan turun dari langit andai kita tak cuba menggapainya. Malah cenderung pula terhadap kemaksiatan. Kalau kita nak pakai baju baru yang cantik, baju lama yang dah buruk mestilah ditanggalkan dulu dari badan. Barulah penampilan kita sempurna.

Tak kurang juga yang menjadikan usia sebagai satu alasan. Sama ada masih muda atau rasa terlalu tua untuk berubah. Anehnya, dalam bercinta boleh pula bersuara, “cinta tak kenal usia” atau “usia bukan batu penghalang.” Namun, soal tuntutan agama tidak pula diaplikasikan prinsip itu. Segelintirnya pula memberi alasan tak biasa nak bertudung litup ni, rimas, panas dan macam-macam lagi. Pernah tak dengar dialog begini :

Gadis A           : aku tak biasalah dengan benda-benda macam ni…

Gadis B           : alah… kau cuba la dulu. Nanti dah biasa kau mesti suka dengan benda ni. Kau mesti happy punya!

Ya, dialog yang sinonim apabila remaja ingin mencuba ‘benda’ baru. Macam-macam ‘benda’ ; rokok, pil khayal, kosmetik dan pelbagai lagi yang terlintas di fikiran anda. Apa kata ‘benda’ baru itu kita ertikan sebagai tindakan bertudung. Konsepnya sama iaitu CUBA DULU. Nanti bila dah biasa mesti gembira tapi janganlah sampai bila-bila pun asyik mencuba sahaja. Iktikad di hati harus dikuatkan dengan menuntut ilmu tentangnya. Tak kenal maka tak cinta, bukan?

Siapa yang dapat menjamin umurnya panjang? Atau dia tahu bila dia akan mati? TIADA. Walaupun orang yang menghidap penyakit kronik seperti kanser, doktor hanya akan memberitahu RAMALAN jangka hayatnya. Ramai yang membeli insurans kemalangan, insurans hayat untuk menjamin tanggungannya bila sesuatu perkara buruk terjadi. Berapa ramai pula yang beramal untuk ‘membeli’ insurans keselamatan daripada api neraka? Sesungguhnya kita sememangnya tak dapat menjangka bila kita akan MATI. Jadi, wajarkah kita melengah-lengahkan waktu untuk melakukan suruhan Tuhan?

Bila filem baru yang best keluar di pawagam, ramai yang merancang untuk segera menontonnya. Begitu juga apabila ada jualan murah, ramai yang berkejar-kejar untuk membeli barang-barang (selalunya bukan keperluan pun). Lagu baru yang sedap berkumandang, kalau boleh semua nak ada pada handset masing-masing. Lakukanlah perkara yang sama apabila ingin beramal dengan suruhan Allah SWT. Dengan DIA tak perlu berebut-rebut. Tak payah beratur panjang. DIA ada untuk SEMUA.

Rakan-rakan Muslimahku, dekati Allah kerana kesempurnaan AJARAN-NYA. Manusia itu mulia kerana ISLAM bukan ISLAM yang mulia kerana manusia. Jika kita benar-benar faham, takkan ada pertikaian tentang orang bertudung yang buat jahat, orang Islam pengganas, Islamophobia dan lain-lain. Kata kuncinya, FAHAM dan AMAL. Andai kurang jelas, carilah penjelasan melalui medium yang boleh dipercayai. Malu bertanya sesat jalan, kan?

HIJABLAH DIRI, HIJABLAH SANUBARI..

Astghfirullah…astaghfirullah…astaghfirullah…

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s