Pantun vs Lintasan Hati

Menyelak kembali lembaran lama Lintasan Hati yang berupa buku latihan biasa yang ku gunakan untuk mencoretkan rasa hati dalam kata-kata puitis bermula usiaku 14 tahun, aku menyedari yang aku mulai biasa mengarang pantun sejak Tingkatan 3. Namun, waktu itu pantun tidak terlalu sinonim dengan diriku. Hanya sesekali aku ingin menukar genre menulis yang biasa ku buat iaitu sajak. Ketika itu, beberapa rangkap pantun akan ku reka di bawah satu tajuk terpilih.

Pantun menjadi sangat dekat dengan diriku apabila aku melangkah ke Tingkatan 4, berpindah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Baling ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa. Dek kerana cikgu Bahasa Melayu yang memiliki gaya pengajaran menarik, aku makin tertarik dengan keindahan pantun. Masih ku ingat serangkap pantun yang membuatkan aku dikenali di dalam kelas. Cikgu Ahmad Mohd Nor hanya memberikan dua baris pembayangnya dan meminta para pelajar mencari sendiri dua baris maksudnya. Apabila dia masuk ke dalam kelas pada minggu berikutnya, dia benar-benar menyoal kembali tugasan tidak rasmi itu. Aku memberanikan diri untuk menjawab. Tentu sekali dengan nada pantunnya :

Buah langsat kuning mencelah,

Pokok senduduk tak berbunga lagi;

Sudah dapat gading bertuah,

Tanduk tidak berguna lagi.

Ya, begitu indah sekali pengalaman itu. Saban hari aku begitu teruja apabila tiba waktu subjek Bahasa Melayu. Bermula dengan menulis pantun-pantun yang aku dapat sepanjang proses pembelajaran, aku mula mengarang rangkap pantun sendiri. Aku mulai menjadikannya sebagai tabiat dan tak bergantung pada apa-apa tajuk melainkan mengarang apa yang terlintas mengikut keadaan. Kadang-kadang bermula dengan baris maksud dan ada kalanya bermula dengan baris pembayang. Sebuah buku khas aku peruntukkan untuk merekodkan pantun-pantun karanganku. Buku latihan biasa berbalut kemas itu ku beri nama Senandung Jiwa.

Lintasan Hati tetap menjadi wadah coretanku. Aku masih mengekalkan penggunaan buku latihan biasa tapi dibalut kemas dengan kertas bunga kemudian dilapisi plastik jernih. Kini, telah masuk buku yang keenam. Setiap satu buku selalunya terakam coretan untuk lebih kurang dua tahun. Setiap tahun menggambarkan suasana yang berbeza, tanda usiaku semakin meningkat dan fokus ku dalam kehidupan berubah-ubah.

Namun, satu perkara yang aku perasan tidak berubah. Sejak Lintasan Hati pertama hinggalah Lintasan Hati 6, sentiasa tema itu aku ketengahkan tanpa ku sedari. Apa temanya? Cinta. Ya, tentang cinta. Ada saja timbul soal itu. Tentu sekali akan berkait dengan soal hati, perasaan dan insan bergelar LELAKI.

Dalam hati ada cinta

Dalam cinta ada rindu

Dalam rindu ada duka

Dalam duka ada pilu

(Hilang Cahaya Datang Sinar : 2004)

Cinta itu indah dalam suram

Cinta itu manis dalam pahit

Cinta itu suka dalam duka

Cinta menyinar dalam kelam

Cinta penawar dalam sakit

Cinta bergetar dalam leka

(Cinta : 2004)

Akukah itu,

yang sering bicara soal cinta

yang gemar menyelami lubuk jiwa

yang dirinya penuh tanda tanya?

(Akukah Itu?! : 2005)

Kasihmu ini

permainan atau kebenaran?

Debaranku ini

tanda cinta atau hatiku yang buta?

Cemburuku ini

erti sayang atau kepura-puraan?

(Permainan Jiwa : 2005)

Kerana cinta kita bahagia

Kerana cinta kita merana

Kerana cinta gembira

Kerana cinta kita berair mata

Kerana cinta kita berkorban

Kerana cinta kita terkorban

Kerana cinta kita berpaduan

Kerana cinta kita berpecahan

Kerana cinta kita tabah

Kerana cinta kita hilang arah

Kerana cinta kita belajar

Kerana cinta kita sasau

(Bicara Seorang Pengobsesi Cinta : 2006)

Dia?

Bagaimana harus ku ceritakan?

Entah bila mulanya

tapi aku benar-benar terusik

dan masih mencari penawar

mengubat getaran yang enggan tidur

kalau benar ia tulus

tentu akan abadi dalam diri

dan Dia ada cara-Nya sendiri

menemukan insan untuk saling berkasih.

(Benarkah Sejarah Telah Berulang? : 2006)

Bayu,

Ingin ku ukir namaku padamu

namun tiada ku termampu.

Lalu ku cuba coretkan tanda cintaku

dalam kitab penciptamu.

Dia yang paling mengerti.

(Kisah Buat Sang Bayu : 2007)

Cinta bertaut laksana ombak dan pantai.

Selaut kasih tiada bertepi.

(Salam Kasih : 2007)

Kecewakah aku atau keliru

mungkin jua menanti atau mencari.

Yang pasti

Hati ini sentiasa terusik.

(Bisikan Bayu : 2008)

 

Cinta-Mu tiada penghujung.

Sayang-Mu tidak terhitung.

Rindu-Mu tidak tersanjung.

(Tiada Penghujung : 2008)

Allah sedang bicara padaku

tatkala hati terusik dibelai rindu

tentang kasih, cinta dan sayang yang bersatu.

(Allah Sedang Bicara : 2009)

Tentang cinta, tentang rindu

senandung kalbu irama berlagu.

(Pesona Cinta Pertama : 2009)

Kasihnya bukan melimpah-ruah

tapi sentiasa mengalir bak sungai jernih.

Rindunya bukan menyala-nyala

tapi menghangatkan kala dingin.

Sayangnya buka tak bertepi

tapi tak pernah sepi.

(Yang Ku Cari : 2010)

Dia yang buatku tersenyum

layu bunga kembali menguntum.

Dia yang buatku tersenyum

sayang dan rindu bercantum.

Aku mencari cinta yang satu

penawar lara kalbu.

(Buatku Tersenyum : 2010)

Kasihku tak seagung cinta-Nya.

Bicaraku tak seindah sabda Baginda.

Setiaku tak sehebat para sahabat.

Pengorbananku tak sebesar Khadijah.

Ilmu ku tak setinggi Ummul Mukminin.

(Kita Milik-Nya : 2010)

Itulah antara cebisan coretan daripada Lintasan Hati 1 sehingga 6. Seringkali soal cinta, rindu, kasih dan sayang menjadi fokus utama. Ternyata aku tak dapt lari daripada semua itu. Kadang berbunga-bunga dalam hati. Namun, adakalanya menggores sanubari. Apapun, aku terima dengan redha.

Ketika di bangku sekolah, tidak sah rasanya andai tak diserikan dengan usikan teman-teman yang bergosip itu dan ini. Tambahan pula apabila aku tinggal di asrama sejak tingkatan 1 hinggalah tingkatan 5. Ada saja kisahnya. Ada saja suara-suara memasang-masangkan diriku dengan pelajar lelaki sebaya. Ah, tentu saja itu gurauan biasa!

Tidak juga aku nafikan dek kerana kematangan yang menjengah, jiwa remajaku bergolak dengan seribu satu perasaan tak menentu. Walau bagaimanapun, alhamdulillah, syukur pada Allah yang melindungiku daripada terjebak dalam kancah tak bermoral. Lintasan Hati itulah menjadi tempatku meluah rasa.

Dalam keadaan tertentu, aku lebih gemar mengarang pantun. Menyampaikan rasa hati dalam empat rangkap mudah tapi aku agak cerewet dalam proses penciptaan setiap satunya. Pembayang haruslah logik dan sesuai mood dengan maksud. Pembayang ceria dengan maksud gembira. Maksud sedih dengan pembayang suram. Begitulah seboleh-bolehnya.

Langit biru awan memutih,

Angin bertiup daun pun gugur;

Hati rindu pada kekasih,

Wajah seraut mengusik tidur.


 

Sabung-menyabung kilat di langit,

Guruh berdentum di sana sini;

Jiwa bertarung rasa sakit,

Lukaku belum diubat lagi.

Kadang-kadang aku mengarang pantun kerana hendak mengabadikan sesuatu kenangan dengan menjadikan nama tempat atau suasana waktu itu sebagai pembayang pantun. Maksud akan datang kemudian. Seringkali, tema cinta tercipta tanpa dirancang. Mungkinkah kerana itu yang selalu bermain-main dalam fikiranku? Mungkin.

Cerah mentari di pagi hari,

Burung berkicau mencari makan;

Riangnya hati di hari ini,

Ingin bertemu kasih idaman.


 

Dari Chemor ke Bagan Serai,

Lalu jambatan Sungai Kurau;

Sudah bersatu enggan bercerai,

Terpisah lautan ketemu di pulau.

Pantun merupakan warisan yang sangat berharga. Dalam beberapa baris ayat, tercipta kata-kata yang penuh maksud tersirat disampaikan dengan irama nan merdu. Sastera moden pula lebih mengetengahkan barisan kata-kata puitis tersusun tanpa ikatan bunyi yang lebih dikenali umum sebagai sajak. Itulah yang gaya yang banyak ku guna pakai dalam Lintasan Hati. Aku akan cuba sedaya-upaya memelihara khazanah bangsa ini. Insya-Allah. Buat mereka yang turut sama berkongsi minat, silakanlah. Martabatkan budaya kita!

One thought on “Pantun vs Lintasan Hati

  1. Kata2mu membuat hati ku terusik pabila terkenang dirinya yg telah menyakitkan hatiku,tanpa ku sedari dia masih memerhatikan diriku,Ya Allah jika benar dia inginkan diriku bahagia,
    Ku mohon agar diriKu mlupakan dirinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s