Archive | Jun 2011

Azfa Hanani

Sudah agak lama rasanya tidak tenggelam dalam arus keperihalan melalui novel. Tentu sekali saya amat memilih sebelum membaca sesuatu karya apatah lagi jika ingin memilikinya sebagai koleksi peribadi. Lawatan ke sekolah membuat saya terpanggil untuk menghayati novel komponen sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 4 yang baru digunakan bermula tahun 2010; Azfa Hanani nukilan Halis Azhan Mohd Hanafiah.

Tidak rugi rasanya memiliki Edisi Murid dengan 215 muka surat ini. Seperti biasa, menekuni sesuatu membuat saya berlayar dalam dunia sendiri, menjadi orang ketiga yang menyaksikan perjalanan plot bersilih ganti. Dalam kesederhanaan penceritaanya, Azfa Hanani punya keunikannya sendiri. Sememangnya 20 bab tersusun rapi dengan perjalanan cerita yang mendatar. Namun, tidak ketinggalan unsur suspen dan kejutannya.

Kisah yang ditonjolkan persis filem atau drama di kaca televisyen; perihal orang kaya dan orang miskin, cinta remaja, politik pelajar sekolah, pertukaran identiti dan kesudahannya kehidupan penuh kebahagiaan bagi protagonis manakala bala pembalasan untuk antagonis. Kedengarannya seperti membosankan bukan? Adakah ini yang membuatkan para pelajar begitu sukar hendak membuka novel ini dan membacanya? Atau mungkin yang berlabel ‘buku teks’ itu sememangnya sesuatu yang digeruni oleh mereka?

Saya juga seorang pelajar dulu. Bila ditanya di dalam kelas, siapa yang sudah betul-betul habis membaca novel  KOMSAS, (Perlumbaan Kedua : Tingkatan 4, Julia : Tingkatan 5) boleh dikira pelajar yang mengangkat tangan. Senario biasa. Minat sukar untuk dipaksa tapi boleh dipupuk. Semangat ingin tahu anak-anak remaja terhadap gejala-gejala negatif seperti merokok, porno dan fesyen terkini nyata lebih tinggi. Sebaliknya, kekuatan itu pudar malah hilang tatkala berhadapan dengan pembelajaran yang lebih bermanfaat.

Bukan niat saya melabel orang lain. Setiap manusia mempunyai kecenderungan masing-masing. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Seperti mana watak Azfa Hanani yang memiliki wajah mirip dengan Tengku Murni tetapi hakikatnya personaliti mereka berbeza. Titik persamaan Nini dengan Nani hanyalah pada suratan Illahi yang mencipta wajah mereka serupa. Pada akhir cerita, barulah terbongkar kesinambungan keluarga Nani dengan keluarga Nini. Tragedi yang menimpa ibu dan ayah Nani ada kaitannya dengan mama dan papa Nini.

Penceritaan Azfa Hanani tidak kompleks. Konflik yang ditampilkan selesai satu per satu. Ayat-ayatnya mudah difahami. Keindahan Bahasa Melayu tetap ada melalui peribahasa dan perumpamaannya. Menggunakan kaedah sudut pandangan orang pertama, Azfa Hanani merupakan watak yang digilap agar kelihatan sempurna. Mengingatkan saya pada watak Julia di dalam novel Julia, novel KOMSAS Tingkatan 5 semasa pengajian saya dahulu. Cuma, kedua watak ini berlawanan di mana Julia adalah anak orang berada manakala Nani pula anak orang miskin.

Secara keseluruhan, pendapat saya secara peribadi, novel ini ada tarikan tersendiri. Bagi saya yang gemar membaca novel dengan jalan cerita mencabar, sesekali menelusuri plot sederhana cukup menghiburkan. Tiada air mata. Tiada dengusan kegeraman. Tiada ketawa girang tapi ada senyuman kepuasan. Walau bagaimana pun, novel Perlumbaan Kedua tetap menjadi tautan hati. Sukar sekali menemui novel satira sepertinya.

Jadilah Seseorang

Lahirnya setiap manusia

suci tanpa noda.

Meniti usia

aneka ragam menjelma.

Ada yang hina.

Ada yang mulia.

Ada yang di antara keduanya.

 

Lahirnya setiap manusia

suci tanpa noda.

Meniti usia

aneka ragam menjelma.

Ada yang hina.

Ada yang mulia.

Ada yang di antara keduanya.

 

Setiap nafas yang dihela

bukan sia-sia.

Setiap langkah yang diatur

bukan untuk berundur.

Setiap bicara yang diungkap

bukan tidak bersebab.

 

Jadilah seseorang yang kau mahu

hidup dengan prinsip jitu

tahu arah nak dituju.

Jadilah seseorang yang berbakti

menyumbang dan sudi berkongsi

seiring sama mencapai misi.

Jadilah seseorang yang tahu merasa

dunia bukan tentang dirimu saja

realiti menuntut usaha.

 

Putera,

bangkit berani berkata benar

biar salah ditunjuk ajar

usah jadi pembuat onar

di belakang jaguh di depan tersasar.

 

Puteri,

malu seganmu biar bertempat

junjung kebaikan dengan semangat

bahas keburukan dengan berhemat

kelak dirimu dipandang hormat.

 

Duhai putera pahlawan bangsa.

Duhai puteri srikandi negeri.

Selami hati cerminkan muka

tanyalah diri engkau siapa?

 

Kekurangan bukan alasan.

Kelebihan untuk dimanfaatkan.

Usah dirungut pada yang tiada.

Apa tersedia guna sepenuhnya.

 

Bila memimpin penuh tanggungjawab.

Bila mengikut patuh bersebab.

Bila marah masih rasional.

Bila gembira masih terkawal.

 

Aku hanya penyampai pesan

kerana kasih sayang.

Coretan peringatan

buat diri dan putera puteri

yang aku cintai.

Bukan Hanya Tentang Kita

Pernikahan

bukan hanya tentang kita

tapi

tentang keluarga dan kerabat

tentang agama dan adat.

 

Aku gadis yang bercita-cita tinggi

ingin mendakap bahagia ukhrawi dan duniawi.

Aku gadis yang mahu terus berjuang

membina umat yang terbilang.

Bermula dengan langkah seorang Muslimah

ke arah keluarga nur Islamiah

menuju masyarakat yang perlu diislah.

 

Aku mencari yang beramal dengan ilmunya.

Aku perlu yang teguh pegangan

ketua berkepimpinan

berani demi kebenaran

penaung sokongan dan perlindungan.

 

Bukan mutiara harapan kalbu

hanya ketenangan dambaan jiwa.

Bukan cinta menggunung yang ku seru

melainkan niat demi Allah semata.

 

 

 

 

Demi Memori

Sebuah nukilan bersama saudara Safwan Fuad, khas buat persembahan pembukaan majlis ‘A Night of Thousands Memories’  anjuran OPTIMA 2007 (Organisasi Pelajar Tingkatan Lima) Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa.

 

Langkah demi langkah

kita bertemu dan akan berpisah

adakah ini penghujung kisah?

 

Perjalanan ini masih jauh berbatu

perjalanan yang penuh onak, duri dan liku.

Banyak dugaan yang kita tempuhi

pahit, manis, kita tetap bersama

aku merasa, engkau pun merasa

jatuh bangun kita seia.

 

Demi memori

sebuah bingkisan perjalanan

satu perjuangan

beribu cita-cita

ada yang bakal mengejar metropolitan

ada yang ingin menggapai bintang

sama-sama memburu keredhaan.

 

Dalam lipatan memori

tersirat senyum tawa berbunga di jiwa

tercoret luka lama tetap berbisa

tertancap dendam belum terlerai

hari-hari tiada sepi daripada cabaran

biar rengkat diterjah kepayahan

kita gagahi berbekal impian.

 

Demi memori, sahabatku

kita gagahi segala cabaran

kita harungi semua rintangan

kita tempuhi duri kepedihan

kita lalui seribu kepayahan

kuatkanlah hatimu melawan kesedihan

jangan biar duka mengulit jiwa.

 

Pertemuan yang sedetik ini

diwarnai berjuta kisah

akan tiba saat kita berpisah

entahkan bersua entahkan tidak

setelah jiwa diarah ke cita.

 

Demi memori, suhai teman

jernihkan segalanya

harumkan ikatan ini dengan kasturi

suburkan di bawah lembayung redha-Nya.

 

Demi memori

kita di sini

melakar kenangan.

 

 

Yang Namanya Perempuan

Yang namanya perempuan

gembira bila dihargai

terharu saat disayangi.

 

Yang namanya perempuan

sekali disakiti sukar melupakan

pernah dilukai enggan berulangan.

 

Yang namanya perempuan

naluri berbakti untuk dihormati

terus memberi agar diingati.

 

Yang namanya perempuan

hatinya rapuh dengan pujukan

jiwanya kental dengan kekerasan.

 

Yang namanya perempuan

sukar ditangani bila tak dimengerti

perlu sokongan walau mandiri.

 

TRIVIA ISLAMIK 8

  1. Siapakah ibu susuan Rasulullah SAW?
  2. Namakan saudara susuan Rasulullah SAW.
  3. Ayahanda Rasulullah SAW pernah hampir disembelih oleh Abdul Mutalib disebabkan Abdul Mutalib bernazar demikian. Bagaimanakah nazar tersebut berjaya ditebus dan Abdullah tidak jadi disembelih?
  4. Siapakah nama anak Nabi Nuh a.s. yang tidak mengikut ayahandanya menaiki bahtera bagi menyelamatkan diri daripada banjir besar
  5. Apakah 2 anggota badan yang menyebabkan manusia masuk neraka?
  6. Apakah nama-nama surah yang dinamakan dengan nama serangga?
  7. Siapakah sahabat Nabi yang teramat mustajab doanya?
  8. Nyatakan hari diciptakan malaikat, jin dan manusia.
  9. Nama-nama ini merujuk kepada………….. :
    • Naim
    • Ubay
    • Al-Nizar
    • Al-Sa’b bin Muaz
    • Qal’ah al-Zubair

JAWAPAN

  1. Thuwaibah dan Halimah al-Sa’adiah
  2. Thuwaibah : Hamzah bin Abdul Mutalib dan Syaima’, Halimah al-Sa’adiah : al-Syaima’, Abdullah dan Anisah (Anak-anak al-Harith, bapa saudara Nabi)
  3. Nazar tersebut ditebus dengan menyembelih 100 ekor unta.
  4. Yam
  5. Mulut dan anggota sulit (Riwayat al-Tirmizi. Hadis hasan sahih)
  6. Al-Ankabut (labah-labah), al-Naml (semut), dan al-Nahl (lebah)
  7. Saad bin Abi Waqqas
  8. Malaikat : hari Rabu, Jin : hari Khamis, Manusia : hari Jumaat
  9. Nama benteng-benteng milik Yahudi di Khaybar yang kemudian berjaya ditakhluk oleh tentera Islam dalam peperangan Khaybar.

 

TRIVIA ISLAMIK 7

  1. Berapa kali bulan diriwayatkan terbelah pada zaman Rasulullah SAW?
  2. Apakah persamaan yang mengaitkan 4 orang sahabat ini?
    • Ubay bin Ka’ab
    • Mu’az bin Jabal
    • Zaid bin Thabit
    • Abu Zaid
  3. Bilakah 5 solat fardhu diwajibkan ke atas Muslimin?
  4. Siapakah antara Ummul Mukminin yang mempunyai ilmu perubatan?
  5. Siapakah pemimpin pasukan Quraisy dalam perang Uhud?
  6. Namakan nabi yang paling singkat usianya di bumi.
  7. Senaraikan makanan ahli neraka sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran.
  8. Senaraikan minuman ahli neraka sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran.
  9. Senaraikan 5 orang soleh yang hidup pada zaman Nabi Nuh a.s. yang mana selepas kematian mereka, para pengikut mereka membina patung mewakili nama-nama mereka bagi memberi semangat kepada orang ramai untuk beramal soleh, namun generasi yang terkemudian menyembah patung-patung itu.

JAWAPAN

  1. Dua kali – dalam kisah Abu Qubais dan al-Suwaida’.
  2. Penulis wahyu yang terkemuka pada zaman Rasulullah SAW.
  3. 10 tahun selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW.
  4. Sayidatina Aisyah r.ha.
  5. Abu Sufyan.
  6. Nabi Isa a.s. (berusia 33 tahun ketika diangkat ke langit)
  7. Pohon yang berduri (Surah al-Ghasyiah 88:5-7), Darah dan nanah (Surah al-Haqqah 69:36-37)
  8. Air yang mendidih (Surah Muhammad 47:15), air yang sangat panas dan sangat dingin (Surah Shad 38:57), air seperti besi yang mendidih (Surah al-Kahfi 18:29)
  9. Wadd, Suwa’, Taghuth dan Nasr.