Archive | Oktober 2012

Terima Kasih Kawan

Dalam ribut suasana menggoncang rasa

menagih kesabaran dan rasional jua

aku mentafsir manusia

aneka ragamnya

pelbagai sikap dan rupa.

Berbeza.

 

Tiada kepuasan abadi

cacat cela di sana sini

termasuklah diri sendiri.

Mengenal erti duniawi

bahawasanya akan sentiasa ada suara-suara yang iri

mengata itu dan ini.

 

Kawan,

denganmu ku sedar

betapa kadang kelancangan kata-kata itu perlu

betapa sifat terus-terang itu penting

betapa sinar mata itu menyerlahkan kejujuran.

 

Ramai yang menghakimi

menjadi juri pada setiap perlakuan.

Namun

siapa pula yang sudi menjadi pemuji

memberi perangsang dan harapan.

 

Kita sangat berbeza, kawan

tapi

tiada menghalang aku berterima kasih

kerana

mencurah keringat tak berbayar

menyampai pesan tanpa jemu

menguruskan yang tidak diendah orang lain.

 

Tiada bermakna seribu perkataan

tanpa satu tindakan.

Aku menghormatimu kerana semangat dan keazaman

biar yang lain membalas dengan sinisan.

 

Maaf ku pinta dari hati

mungkin kebisuanku satu misteri

tapi aku tak pernah menafi

kewujudan jalinan abadi

antara kita.

 

Tiada rapat tapi dekat.

Salam kasih, kawan.

 

Syair SEJIWA

Inilah kisah sebuah sekolah,

terletak ia di negeri Kedah,

Kuala Muda nama daerah,

di Sungai Petani tersergam indah.

 

Sultan Mohamad Jiwa diberi nama,

sekolah sains aliran utama,

asrama penuh itu tarafnya,

ringkas mudahnya digelar SEJIWA.

 

Penuh sejarah sekolah ini,

sudah lama ia berdiri,

ramai pelajar bersilih ganti,

guru-guru datang dan pergi.

 

Tingkatan satusehingga lima,

lelaki perempuan belajar bersama,

disiplin dijaga itu utama,

hidup berteras garis agama.

 

Guru semua mencurah ilmu,

sepanjang masa tiada jemu,

dengan murid mesra selalu,

berkongsi kisah tidaklah malu.

 

Aneka bangsa tinggal sebumbung,

pelbagai negeri sama bergabung,

duduk sekali saling bergantung,

bertolak ansur sama beruntung.

 

Jaya diukir pelbagai bidang,

akademik juga sukan tidak kurang,

mantap bersaing mengalah pantang,

itulah SEJIWA darah pejuang.

 

Di bumi ini pemimpin dilahirkan,

dengan asuhan juga didikan,

agama adat adab dan sopan,

pedoman hidup kini dan depan.

 

Teruslah maju SEJIWA di hati,

menongkah arus zaman dititi,

lahirkan insan bermoraliti,

seisi dunia akan hormati.

 

Syair SEJIWA sampai di sini,

nukilan jujur dari hati,

ilham berpunca sebuah memori,

sekolah ini tetap ku cintai.

Saiful Nita Drama Pilihan

Drama oh drama. TV3 memang boleh dilabelkan sebagai stesen televisyen yang penuh dengan rangkaian drama tapi pada saya, apa salahnya memartabatkan karya-karya tempatan ‘kan. Saya memang gemar menonton drama walau tidaklah semua begitu menarik. Walau bagaimanapun tetap ada yang terkesan dalam hati. Antaranya yang terbaru ialah Kau yang Terindah yang telah tamat episodnya beberapa minggu lepas. Sejujurnya, tidaklah setiap episod saya ikuti. Namun, pengakhirannya amat memuaskan dan mengharukan hati saya. Drama Waris juga amat saya minati dan telah tamat juga sirinya pada minggu yang sama dengan Kau yang Terindah.

Apapun, kalau nak disenaraikan di sini drama yang saya suka memang banyak yang dah lepas-lepas. Cuma untuk yang terbaru, drama Saiful Nita yang mengisi slot Samarinda berjaya menarik perhatian saya. Alasan saya tertarik pada drama ini agak berbeza daripada drama-drama lain. Selalunya, jalan cerita, karakter dan pelakon yang menjadi perhatian tetapi kali ini latar tempatnya mencuri pandangan saya. Di mana?? Negeri saya, Kedah tentunya.

Memang saya tak dapat lupa betapa tertariknya saya saat melihat latar tempat semasa watak Nita berlari dan berlegar-legar dengan baju tunangnya. Simpang jalan yang berturap batu bata merah itu memang kelihatan sangat biasa pada saya. Apa lagi setelah nampak bangunan pusat membeli-belah Centre Square. Saya jadi teruja bercampur bangga. Mungkin ini nampak biasa pada orang lain. Lagi pun, latar tempat dalam drama selalu bertukar tetapi saya tetap merasakan itu yang menarik perhatian saya untuk terus menonton.

Berlalu beberapa episod, saya akui drama ini turut memiliki jalan cerita yang menarik. Ini adalah pandangan saya, tentunya tidak sama dengan fikiran orang lain. Ya, tema perkahwinan diatur keluarga, cinta 3 segi, pergolakan bisnes dan skandal memang perkara biasa. Namun, Saiful Nita tetap punya daya suspen, romantik dan kejutan tersendiri. Soal pelakon bukan tunjang utama untuk saya. Siapa pelakon itu bukan persoalannya, yang penting adalah watak dan karakter yang dibawanya. Aidil Aziz dan Kila Fairy bukanlah pelakon yang terlalu menyerlah tetapi harus diingat, pelakon yang sedang menyinar sekarang pun suatu ketika dahulu hanya orang biasa atau pelakon extra sahaja. Jadi, tidak mustahil jika gandingan mereka ini mampu mengangkat nama dalam industri seni hiburan kita yang kecil ini.

Saya masih terus mengikuti siri drama ini, sama-sama mentafsir isinya. Kisah cinta yang bersimpang-siur. Sambil-sambil itu turut memerhati latar tempat yang berlegar di Sungai Petani dan Langkawi.

 

Pantun Pesan Adik

Burung merak tiada terbang,

Gugur bulu cantiknya masih;

Buat kakak untuk abang,

Salam rindu bersalut kasih.

 

Burung terbang beratus-ratus,

Di pantai sana mencari rezeki;

Air dicincang takkan putus,

Pisah di mata satu di hati.

 

Layang-layang terbang berkawan,

Riuh kicauan bingit telinga;

Kerana sayang ku sampai pesan,

Buat ingatan saudara tercinta.

 

Burung puyuh bintik di bulu,

Berwarna coklat badannya ringan;

Orang jauh kenanglah selalu,

Mana yang dekat dilupa jangan.

 

Berbunyi nuri dalam kurungan,

Dedak makannya di dalam karung;

Suami isteri cinta berpanjangan,

Sayangnya bonda tiada hujung.

 

Seri bunga tepi kolam,

Seri sama taman di desa;

Hati muda penuh dendam,

Hati tua cepat terasa.

 

Terangnya hari sinar sang suria,

Tembus cahaya bagai garisan;

Cinta isteri bawa bahagia,

Restu bonda syurga balasan.

 

Pelekat sarung dari Balakong,

Dibawa teman dari Negeri;

Isteri pendokong juga penyokong,

Penentu jalan arah suami.

 

Pagi berkabus menutup gunung,

Ayam pun riuh berkokok-kokokan;

Mana yang putus mari disambung,

Mana yang jauh dekat-dekatkan.

 

Kain berambu putus jahitan,

Dibuang jangan masih berguna;

Dari adikmu menyampai pesan,

Buat pedoman kita bersama.