Archive | Februari 2013

Bukan Kerana Nama

Suasana kelas agak hingar bingar. Guru subjek sebelumnya keluar lima belas minit awal kerana ada mesyuarat. Aku mengeluarkan sebuah buku nota kecil dari bawah meja. Buku  yang berbalut kemas dengan kertas bunga dan dilapisi pula dengan plastik jernih. Ku buka lalu ku perhatikan coretan tangan sendiri berupa baris-baris pantun empat kerat yang dikutip sepanjang pembelajaran subjek Bahasa Malaysia.

Tinggi-tinggi si matahari,

Anak kerbau mati tertambat;

Sudah lama saya mencari,

Baru kini saya mendapat.

 

Rangkap pantun itu yang paling akhir tertulis. Aku jadi ternanti-nanti kemunculan guru subjek kegemaranku itu. Dia mengakhiri kelas pada minggu lepas dengan baris pembayang pantun itu dan meminta para pelajar mencari baris maksudnya. Tidak sabar rasanya aku hendak mengalunkan bait-bait itu pada semua di dalam kelas 4 Teknik 1.

“Cikgu Lili datang! Cikgu Lili datang!” Khalid si mulut becok bagai memberi amaran dari tempat duduknya yang terletak di tepi dinding dekat pintu hadapan kelas.

Mana yang berbual terhenti. Mana yang berdiri terus duduk. Mana yang tidur dan hendak tertidur di meja langsung terbangun. Sepi yang tiba-tiba menyerlahkan bunyi tapak kaki yang menghala ke arah kelas. Aku sangat kenal bunyi itu, kasut tumit tinggi satu inci berwarna hitam berkilat. Tentunya dia, Cikgu Lili!

“Bangun, selamat pagi cikgu!” Ketua tingkatan memberi salam diikuti kami semua pelajar lain.

“Selamat pagi,” lembut tapi tegas nada Cikgu Lili menjawab.

Sepi dan masih berdiri. Cikgu Lili memandang kami dengan senyuman nipis. Kedudukanku yang paling hadapan di bahagian tengah kelas membuatku mudah memerhatikan setiap langkah dan gerak laku sekalipun air muka guruku itu.

Ayu berbaju kebaya ungu corak batik. Namun langkahnya satu-satu mantap menapak menonjolkan aura ketegasan.

“Khalid, dengarkan pada saya rangkap penuh pantun yang saya berikan pada kamu minggu lepas.” Cikgu Lili tepat berdiri di hadapan Khalid.

Pemuda bermulut paling becok dalam kelas itu tidak nampak gentar malah tersengih-sengih. Dengan bersahaja dia berpantun,

“Tinggi-tinggi si matahari,

Anak kerbau mati tertambat;

Hari-hari makan hati,

Buat salah kena sebat.”

 

Spontan kami semua tertawa. Cikgu Lili hanya melebarkan senyuman tanpa menampakkan giginya. Ketawa reda, Cikgu Lili pun bersuara, “bagus, Khalid. Itu tandanya kamu berbakat mencipta pantun jenaka. Kawan-kawan kamu terhibur nampaknya. Baiklah, kamu semua boleh duduk.”

Kedengaranlah bersahut-sahut bunyi kerusi plastik ditarik. Masing-masing mengemaskan duduk, bersedia menerima pembelajaran waktu itu. Cikgu Lili berdiri di hadapan kelas umpama seorang komander sedang memerhatikan pasukan pimpinannya.

“Saya yakin, ada antara kamu yang tahu rangkap penuh pantun itu versi lama atau yang popular dan selalu digunakan sejak dulu. Saya tidak katakan versi Khalid tadi salah. Tiada istilah salah betul dalam pantun ini. Malah pantun mampu menyerlahkan pemikiran dan perasaan penciptanya. Misalnya, Khalid telah menunjukkan rasa tidak puas hatinya melalui pantun tadi. Kepada siapa, kenapa, itu dia saja yang tahu,” ulas Cikgu Lili.

Sengih Khalid menjadi-jadi. Kedengaran bunyi ketawa mengekeh rakan-rakannya. Perasaanku bercampur-baur; terhibur dengan telatah Khalid tapi kecewa kerana tidak berpeluang memperdengar rangkap pantun ku. Tidak mengapalah.

Sesi pembelajaran diteruskan. Topik hari ini berkenaan sebuah cerpen bertajuk Mellisa daripada Antologi Teks Komponen Sastera. Cikgu Lili banyak bertanya kepada kami. Dipanggilnya seorang demi seorang lalu ditanya tentang cerpen itu.

“Sarah, apa yang kamu dapat setelah baca cerpen Melissa ini?” Tiba giliranku dipanggil.

Aku berdiri. Tenang memandang Cikgu Lili yang berdiri di hadapanku. Kedua tangannya disilang ke belakang.

“Patriotik tidak mengira bangsa, cikgu. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” aku bersuara lancar agar seisi kelas dapat mendengarnya.

Cikgu Lili mengangguk-angguk. Aku duduk. Girangnya hati melihat senyuman yang terukir di bibir nipisnya. Jawapanku bukan diambil dari mana-mana buku rujukan tetapi sememangnya itulah yang ku dapat setelah membaca cerpen nukilan Abdullah Hussain itu.

Pembelajaran dua hala diteruskan. Aku mengikuti dengan penuh minat. Habis ditelusuri tema dan setiap persoalan dalam cerpen tersebut sampailah ke nilai dan pengajarannya. Cikgu Lili lebih suka kami pelajarnya yang menjelaskan apa yang difahami kemudian dia akan mengulas dan menokok tambah sekadar perlu. Kelas terasa santai tetapi berkesan, itu pada pendapatku.

Sejam dua puluh minit terasa begitu cepat berlalu. Tambahan pula apabila mengikuti sesuatu yang disukai. Cikgu Lili mengakhiri kelas dengan titipan pesanan supaya kami mencari maklumat berkenaan karangan peribahasa.

*                      *                      *

Waktu rehat masih berbaki sepuluh minit. Ku lajukan langkahku ke bilik guru. Baru hendak menolak pintu cermin, telingaku menangkap perbualan antara dua orang guru yang berdiri di kaki lima.

“Cikgu Lili tu sibuk nak anjurkan sayembara menulis. Nak mencungkil bakat penulis muda katanya. Cikgu lain sibuk sediakan pelajar nak hadapi peperiksaan, dia sibuk nak bersajak berpantun. Macam mana tu, Cikgu Lah?” Amat ku kenal suara nyaring berbisa itu. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Salmah.

“Pada saya, tak ada salahnya cadangan Cikgu Lili tu tapi kalau betul Cikgu Salmah tak puas hati, suarakanlah dalam mesyuarat mingguan nanti. Kita minta pandangan semua. Jalan terbaik dengan muafakat, cikgu,” tenang sahaja suara Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Cikgu Abdullah.

Aku teruskan saja langkahku ke dalam bilik guru. Enggan pula mencuri dengar perbualan orang. Lagipun, niatku untuk berjumpa Cikgu Lili. Aku nampak dia sedang khusyuk membaca di mejanya.

“Cikgu Lili.” Panggilanku membuat dia berpaling, sedikit mendongak memandang aku yang kini berdiri di sebelahnya.

“Oh, kamu Sarah! Ada apa?” Ujarnya lembut. Novel tebal yang telah diletak penanda ditutup. Sempat aku mengerling, tajuknya Pemburu Mimpi oleh Saleha Hussin.

 

“Saya nak minta cikgu tolong semak karangan saya,” kataku sambil menghulurkan dua helai kertas bergaris yang dikepil bersama. Depan belakangnya dipenuhi tulisanku.

Cikgu Lili menyambut pemberianku seperti biasa dengan senyuman manisnya. Seketika, dia meneliti karanganku.

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” Dia membaca tajuk karanganku.

“Baiklah, selepas semak nanti saya pulangkan pada kamu sewaktu dalam kelas.” Kata-kata Cikgu Lili ku balas dengan ucapan terima kasih kemudian berlalu dari bilik guru.

*                      *                      *

10 tahun kemudian,

Acara kemuncak sudah tiba. Aku duduk tenang bersandar di kerusi sambil memandang ke arah pentas yang tampak gilang-gemilang dengan cahaya lampu aneka warna bersimpang-siur gemerlapnya. Sepasang pengacara berdiri di satu sudut pentas manakala di tengah pentas sedia menanti  dua orang penting merangkap penyampai anugerah.

“Anugerah Drama Terbaik pada tahun ini dimenangi oleh drama Bukan Kerana Nama.” Lantang suara pengacara wanita itu menyentak nadiku.

“Skrip dan arahan oleh Sarah Winston. Terbitan Bunga Lili Production.” Suara pengacara lelaki pula bergema diikuti tepuka gemuruh seisi hadirin.

Aku yang terpinga-pinga bangun setelah dicuit seorang gadis. Dia adalah bintang utama drama yang baru sahaja diumumkan sebagai pemenang itu. Kami berjalan beriringan menuju ke pentas diikuti beberapa orang pelakon dan kru drama.

Aku masih berasa di awang-awangan ketika trofi anugerah diserahkan padaku dan aku menyalami Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diikuti Ketua Pegawai Eksekutif stesen televisyen.

Hatiku bergetar hebat ketika menghadap ribuan hadirin dengan mikrofon kecil betul-betul di depanku. Apa yang harus aku ucapkan? Ku tarik nafasku dalam-dalam kemudian melepaskannya perlahan.

“Pertamanya, saya bersyukur pada Tuhan kerana Dia yang memberi ilham dan kudrat untuk saya bekerja. Tentu sekali berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan karya ini. Seperti tajuknya, saya sendiri berkarya bukan kerana nama tapi kerana cetusan inspirasi yang ingin saya kongsi bersama. Saya masih hijau dalam industri ini dan amat memerlukan sokongan dan bimbingan anda semua. Tidak kiralah siapa saya atau dari keturunan mana sekalipun, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kesempatan ini saya ambil untuk mengucapkan terima kasih kepada insan istimewa yang menyemai rasa cinta dalam jiwa saya pada dunia penulisan. Dia adalah Lau Lee Hong. Cikgu Lili, terima kasih! Jasa cikgu saya kenang sampai bila-bila.” Tepukan bergema lagi.

Advertisements

Pantun Dalam Gambar

 

 

p20 p19 p18 p15 p16 p17 p14 p13 p12 p9 p10 p11 p8 p7 p6 p3 p4 p5 p2 p1

 

*Inspirasi pantun boleh datang melalui pelbagai bentuk terutama pemerhatian alam sekeliling. Gambar-gambar yang digunakan adalah koleksi peribadi dan ihsan internet.

Pontianak

Dunia hantu atau makhluk halus sememangnya tidak pernah jemu dikomersialkan melalui media elektronik terutamanya filem dan drama televisyen. Menonton beberapa buah filem mencetuskan perasaan saya ingin menulis tentang isu ini. Lebih spesifik lagi, saya tertarik akan salah satu jenis hantu yang paling popular, bukan sahaja dalam kalangan orang Malaysia malahan di peringkat antarabangsa iaitu pontianak.

Ya, pontianak atau dalam bahasa Inggerisnya ‘vampire’ amat dikenali seantero dunia. Apa yang menariknya, hantu jenis ini mempunyai kriteria yang berbeza mengikut manifestasi masyarakat yang berbeza. Dalam erti kata lain, pontianak Melayu misalnya tidak sama dengan pontianak orang putih. Pelik ‘kan? Tapi itulah realitinya.

Masyarakat Malaysia khususnya dalam kalangan orang Melayu mengekspresikan pontianak dalam rupa wanita. Dipercayai pontianak berasal daripada roh wanita mengandung mati dibunuh yang bergentayangan mengganggu dan menghisap darah manusia lain. Dikatakan juga pontianak ini boleh bertukar menjadi manusia semula apabila dipaku dan orang yang memaku pontianak tersebut akan menjadi tuannya.

Lain pula dalam masyarakat Barat. Pontianak wujud dalam bentuk lelaki dan perempuan. Mereka yang telah dihisap darah oleh pontianak akan bertukar menjadi spesies itu juga. Dipercayai bahawa kelemahan pontianak ini adalah cahaya matahari dan senjata berasaskan perak (silver). Terdapat juga kepercayaan lain seperti pontianak takut pada tanda salib, bawang putih dan api.

Arena perfileman telah menjadikan variasi kepercayaan ini sebagai satu modal menghasilkan aneka cerita sama ada dalam bentuk kelakar, seram mahupun aksi bagi menarik perhatian para penonton. Peredaran zaman turut menyaksikan revolusi kepercayaan itu sendiri. Sebagai contoh, ada cerita yang mengetengahkan pontianak yang mampu bertahan terkena cahaya matahari. Selain itu, ada juga ditonjolkan tidak semua pontianak itu jahat seperti Dracula kerana terdapat puak yang baik, tidak membunuh manusia sewenang-wenangnya.

Pelbagai idea kreatif menjadikan pontianak tidak hilang ditelan masa. Industri seni tanah air pernah digemparkan dengan kemunculan filem Pontianak Harum Sundal Malam. Tajuknya saja pada mulanya menimbulkan pertikaian. Namun, susulan filem ini banyak filem lain diterbitkan berasaskan genre serupa. Sampailah satu ketika itu, berlaku kebanjiran filem seram tempatan di layar perak. Tidak cukup dengan filem, drama televisyen dan telefilem juga turut membawa tema yang hampir sama.

Walau bagaimanapun, kini sudah nampak keseimbangan. Saya menyanjungi karyawan tempatan yang memiliki misi tertentu tatkala menghasilkan cerita seram. Antara yang saya maksudkan adalah Afdlin Shauki. Beliau menonjolkan watak hantu dengan tujuan menghilangkan rasa takut masyarakat kita pada makhluk itu. Tak percaya? Cuba tonton filem Pontianak vs Orang Minyak. Pasti selepas itu anda akan faham maksud saya.

Saya juga sering terhibur dengan karya Mamat Khalid. Siapa yang tidak tahu filem Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah? Banyak dialog dari filem ini menjadi tagline ramai orang. Unsur humornya santai tetapi tetap ada mesejnya. Selain itu, Ahmad Idham juga bijak membawakan hantu ke dalam ceritanya dengan gaya tersendiri. Mungkin saya lari daripada tajuk Pontianak tetapi tak mungkin saya boleh lupa filem Jangan Pandang Belakang yang mendapat kutipan tinggi semasa ditayangkan beberapa tahun lalu.

Pada pemerhatian saya, pontianak di Hollywood cenderung diserlahkan melalui filem aksi dan thriller. Begitu juga dalam industri perfileman Hong Kong. Malah, pontianak menjadi fenomena dunia dengan kemunculan siri novel dan filem Twilight. Unsur percintaan yang diserapkan antara sebab kisah ini menjadi kegilaan ramai orang. Tidak kurang juga kerana pelakonnya yang cantik dan bergaya.

Filem antarabangsa lain yang menarik perhatian saya antaranya Underworld, Fright Night, Twins Effect dan Abraham Lincoln the Vampire Hunter. Filem-filem ini padat dengan aksi mendebarkan dan kisah percintaan menyentuh hati. Mampu memberi kepuasan kepada penggemar filem aksi seram.

Ya, pontianak ada macam-macam rupa mengikut tafsiran pelbagai masyarakat berdasarkan kepercayaan masing-masing. Dalam Islam hanya ada satu penjelasan iaitu syaitan yang mengganggu manusia supaya sesat. Nasihat saya, apa yang perlu ambillah sebagai pedoman dan selebihnya sekadar hiburan saja.

 

Gadis Klasik

Nama dia Normah. Pertama kali mendengar namanya, aku tidak membayangkan bahawa dia adalah seorang gadis yang dilahirkan dalam tahun sembilan puluhan. Aku berimaginasi, dia mungkin seorang mak cik atau paling kurang pun berpangkat kakak. Aku terpana saat menyedari nama itu merupakan nama rakan sekuliahku.

Normah bukanlah insan istimewa padaku. Sekilas pandang, aku dapat mengagak dia hanya gadis biasa dari kampung. Gayanya sederhana. Kadang-kadang nampak kolot juga. Dengan baju kurung bercorak lama, tudung bunga-bunga dan kasut sarung hitam.

Anehnya, dia tidak kelihatan malu atau merendah diri dengan penampilannya. Malahan, aku perhatikan setiap kali kuliah, dia selesa duduk di kerusi paling hadapan. Dia turut berkeyakinan ketika membuat apa jua pembentangan. Lantang bersuara, dia memang pantang dicabar terutamanya oleh kaum Adam.

“Bukankah sudah banyak spa dan pusat kecantikan yang dibuka sekarang. Sejauh mana keyakinan awak untuk menjayakan projek spa awak ni?” Syukri sengaja mengajukan soalan untuk menduga Normah.

Normah tenang saja berdiri di depan dewan kuliah. Matanya tepat memandang Syukri ketika rakanku itu melontarkan soalan. Pensyarah subjek Prinsip Perniagaan mengalihkan pandangan kepada Normah tanda menanti jawapan.

“Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Tujuan kita belajar dalam bidang perniagaan ini adalah untuk memanjangkan kail bagi mengharung lautan. Dalam pembentangan tadi sudah saya terangkan kelainan dan inovasi dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh spa saya. Mungkin awak terlepas pandang atau tidak tumpukan perhatian, Syukri.” Kedengaran suara tertawa teman-teman sekuliah.

“Saya juga tidak keberatan kalau awak berminat untuk bekerjasama menjayakan projek saya ni. Saya tentu amat perlukan pakar pengurusan kewangan seperti awak, Syukri.” Sambung Normah.

Syukri tidak ambil hati. Kami semua begitu. Usik-mengusik terutama semasa kuliah sedikit sebanyak mengurangkan stres dan meringankan kepala. Aku terhibur melihat gelagat rakan-rakan.

*                                  *                                  *

            Semalam aku bertemu dengan Normah di pusat membeli-belah. Sewaktu aku sedang membelek-belek cakera padat di sebuah kedai, aku perasan dia masuk ke situ. Dia sendirian. Aku juga.

Dia terus ke rak cakera padat lagu-lagu Melayu. Aku pula hanya memerhatikan dari rak cakera padat filem Inggeris. Aku nampak dia leka melihat dengan penuh minat cakera padat kompilasi lagu Jamal Abdillah. Dia juga memegang cakera padat Sudirman. Telahan ku, dia sedang memilih ingin membeli yang mana satu.

Akhirnya, dia menuju ke kaunter. Aku menuruti. Dia langsung tidak memerhatikan aku yang berdiri di sebelahnya di kaunter pembayaran. Dia melemparkan senyuman manis kepada juruwang sejurus membayar untuk cakera padat Jamal Abdillah.

Aku hanya memandang dia melangkah keluar dari kedai sebelum membuat pembayaran untuk cakera padat filem Inggeris pilihanku. Sebuah filem aksi tentunya. Sejurus keluar dari kedai, aku ternampak Normah lagi.

Dia tetap sendirian. Duduk di bangku yang memang disediakan untuk pengunjung pusat membeli-belah itu. Kelihatan dia amat menikmati aiskrim di tangannya. Buat seketika, aku tercegat di situ sehinggalah tiba-tiba seorang kanak-kanak yang sedang berlari terlanggar diriku dari belakang.

“Minta maaf, dik. Anak akak ni tak boleh duduk diam,” ujar si ibu sambil menarik anak itu ke pangkuannya.

Aku cuma tersenyum tanda tidak kisah. Mereka berlalu dengan menolak troli separuh penuh dengan aneka barang. Aku menoleh. Normah tiada lagi di situ. Aku tersenyum sendiri.

*                                  *                                  *

            Selalunya aku makan tengahari bersama teman-teman tetapi hari ini entah kenapa aku rasa ingin bersendirian. Selepas kuliah tamat, aku terus menuju ke sebuah restoran tidak jauh dari kolej. Aku biasa makan di situ. Suasananya pun selesa dan tenang.

Aku memilih untuk duduk di meja tengah. Nasi putih dengan lauk-pauk telah ku ambil. Air yang dipesan juga sudah sampai. Semasa hendak melabuhkan punggung, ekor mataku menangkap susuk tubuh yang ku kenali duduk di meja tepi dinding dekat dengan mejaku. Normah.

Aku tidak bercadang menegurnya. Dia seperti sedang gelisah. Mungkinkah sedang menanti kedatangan seseorang? Ya, mungkin. Dia pun langsung tidak menyedari kehadiranku. Sekejap dia membelek telefon bimbitnya, sekejap dia menghirup minumannya.

Aku berselera menghadap hidangan. Sedaya-upaya aku enggan menghiraukan Normah. Namun, tatkala setengah daripada nasi di dalam pinggan ku berkurang, aku nampak seorang pemuda datang meyertai Normah. Mereka duduk berhadapan.

Aku tidak kenal lelaki itu. Apa yang aku pasti, dia bukan dari kolej. Aku meneka, itu adalah rakan kerja Normah kerana setahu aku, Normah memang ada bekerja separuh masa di sebuah syarikat.

Aku tidak pernah berniat pun menjaga tepi kain orang. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat menafikan telinga ku ini dapat menangkap jelas perbualan mereka.

“Maaf, Man terlambat. Ada hal dengan kawan tadi.” Lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Man itu kedengaran amat menyesali kesalahannya.

“Tak apa. Nor yang ajak Man untuk berjumpa. Mestilah Nor yang kena bersabar tunggu Man,” balas Normah.

“Man terkejut sebenarnya bila Nor ajak Man. Macam tak percaya pun ada juga. Selalunya…”

“Nor tahu. Selalunya Man yang ajak tapi ada saja alasan yang Nor bagi untuk menolak ‘kan?” Normah memotong cakap Man.

Man tersenyum lebar. Normah pula mengacau-ngacau air di dalam gelasnya dengan straw. Sebagai lelaki, aku dapat menangkap erti di sebalik cara Man memandang Normah. Pasti terselit perasaan suka terhadap gadis di depannya itu. Adakah Normah menyedarinya?

“Ada perkara yang Nor nak beritahu Man. Dah lama Nor nak cakap tapi baru sekarang Nor ada kekuatan,” serius sekali nada Normah sambil merenung tepat wajah Man.

“Buat suspen pula Nor ni. Perkara apa, cuba cerita satu per satu.” Man cuba menyembunyikan debarannya.

“Man, Nor sukakan Man.” Diam sejenak. Man terkesima. Aku terhenti mengunyah.

“Sebenarnya, sejak kali pertama kita diperkenalkan oleh bos lagi.” Sambung Normah.

Aku menyudahkan suapan terakhirku lalu bangun perlahan-lahan untuk mencuci tangan di sinki. Ketika kembali ke meja, mereka berdua masih di situ. Sekilas, aku nampak wajah tenang Normah tetapi ternyata dia tidak menyedari kehadiranku. Matanya tidak lepas daripada memandang Man. Aku menduga, semestinya dia menanti jawapan dari pemuda di depannya itu.

“Nor baik. Malah terlalu baik untuk Man. Pada Man, Nor seperti puncak gunung yang tak mampu Man daki. Man takut separuh jalan Man terhenti sebab bekalan tak cukup. Man mengaku, Man pun sukakan Nor tapi…” Jelas pada pendengaran ku akan kata-kata Man.

“Tak apa, Man. Nor faham. Sebenarnya Nor dah cukup berpuas hati dapat luahkan perasaan pada Man. Sekurang-kurangnya Nor tak menyesal di kemudian hari,” ucapan Normah mengundang rasa sedikit kagum dalam hatiku.

Aku menghabiskan minuman ku kemudian berlalu meninggalkan restoran itu selepas membuat pembayaran di kaunter. Sejurus aku menghidupkan enjin motosikal, kelihatan Normah keluar dari restoran. Dia terus melangkah sendirian. Mungkin pulang ke tempat penginapannya dekat kolej.

Man menyusul. Rupa-rupanya dia juga menunggang motosikal seperti ku. Motornya pula diletakkan bersebelahan dengan motor aku. Kami hanya saling berbalas senyuman.

*                                  *                                  *

            Sudah dua tahun aku meninggalkan kehidupanku sebagai pelajar kolej. Kini aku telah bergelar pekerja. Setia dengan sektor swasta, aku selesa bekerja dekat dengan kampung halamanku di utara tanah air.

Beberapa hari lalu aku mendapat berita tentang majlis perkahwinan Normah yang bakal berlangsung bulan depan. Semuanya melalui laman muka buku saja. Dia menjemput rakan sekuliah. Syukri beria-ria mengajak aku pergi bersama. Aku tidak keberatan. Kampung Normah tidaklah jauh sangat dari kampung ku.

Pejam celik pejam celik, hari bahagia Normah pun tiba. Sehari sebelumnya, Syukri dan beberapa orang rakan lain sudah sampai dan bermalam di rumah ku. Esoknya kami pergi kenduri bersama-sama. Aku tidak pernah datang ke rumah Normah tetapi berpandukan alamat dan peta pada kad jemputan, kami berjaya ke sana.

Melihat Normah berpimpinan mesra dengan suaminya membuat aku tumpang gembira sebagai rakan. Aku percaya, Normah menemui cinta sejati dengan hatinya yang waja. Raut wajah lelaki di sebelahnya menampakkan kasih tidak berbelah bagi. Aku yakin, dia akan memaut erat akan Normah walau apa jua yang terjadi.

Normah bukan sesiapa padaku selain seorang rakan, teman sekuliah. Pada ku, dia gadis klasik sehinggalah ke hari ini aku melihat dia ayu di dalam balutan busana pengantin ala-ala seniwati Saloma. Bezanya, dia manis bertudung litup. Aku mendoakan mereka bahagia.

Aku Mahu Cantik

Petang yang cerah, langit biru dihiasi kepulan awan memutih. Air tasik kelihatan beralun-alun kehijau-hijauan. Namun semua itu tidak menarik perhatian Jang. Dia berdiri di atas batu sambil merenung ke dalam tasik. Umpama cermin, tasik itu memantulkan bayangan dirinya. Walau pun tidak jelas tetapi dia nampak akan wajah dan tubuhnya.

“Apa yang kau renungkan tu, Jang?” Satu suara menegurnya.

Jang menoleh ke kiri. Rupa-rupanya, Lu ada duduk di batu sebelahnya. Entah sejak bila kawannya itu berada di situ. Jang kembali melihat ke dalam tasik.

“Aku merenung diriku sendiri. Lu, kenapa rupa aku hodoh begini? Hitam. Kenapa tak secantik putih macam Ati? Atau sekurang-kurangnya comel seperti Rai?” nada Jang penuh sesal.

Lu menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukanlah kali pertama dia mendengar Jang berkeluh-kesah sedemikian. Sudah acap kali. Namun, dia tidak pernah jemu untuk menasihati dan memberi semangat pada Jang walaupun hakikatnya mereka sangat berbeza.

“Setiap ciptaan Tuhan itu ada hikmahnya, Jang. Apa kau nampak aku ini cantik? Dengan cengkerang ku ini, jalan pun lambat. Tapi kita patut bersyukur, Jang. Aku ini istimewa kerana boleh hidup dua alam, di darat dan air. Kau pula boleh terbang. Bukankah itu satu kelebihan,” ujar Lu.

Jang mengakui kata-kata Lu. Mengapa sukar benar untuk dia menerima hakikat bahawa dia dilahirkan sebagai seekor gagak sedangkan Lu pasrah malah bersyukur menjadi seekor kura-kura?

Dia cemburu melihat merpati yang cantik, selalu mendapat perhatian manusia. Murai juga di matanya nampak sempurna. Kecil molek berparuh kuning. Dirinya pula hitam semua. Tiada yang menarik. Manusia tidak suka padanya. Jauh sekali hendak menghulurkan makanan kepadanya.

“Aku mahu cantik, Lu. Mungkinkah ada cara untuk aku mengubah diriku ini?” Jang masih melihat bayangan dirinya.

“Tak perlu, Jang. Lebih baik kita kekal dengan fitrah. Itu yang terbaik.” Lu terus menasihati.

“Cuba kau lihat di jambatan tengah tasik sana. Ada sepasang manusia sedang memberi ikan makan.” Jang menarik perhatian Lu ke arah yang dikatakannya.

Lu berpaling, tertinjau-tinjau. Ramai manusia di atas jambatan itu. Suasana biasa di waktu petang begini. Sememangnya taman dan tasik ini dibina sebagai tempat manusia meluangkan masa mereka.

“Pasangan yang mana satu, Jang? Ramai manusia di situ,” tanya Lu.

“Di hujung sana.  Si lelaki kurus berseluar pendek dengan perempuan gempal itu.” Jang menunjuk dan Lu akhirnya nampak jelas pasangan yang dimaksudkan.

“Kenapa dengan mereka?” Lu bertanya lagi.

“Kau tahu, aku selalu melihat pasangan itu datang ke mari hampir setiap hujung minggu. Aku tertarik melihat penampilan perempuan itu. Hujung minggu lepas, aku nampak rambut perempuan itu berwarna perang. Lihat, hari ini rambutnya berwarna merah pula.” Jang menjelaskan sambil memandang perempuan itu yang sedang riang melemparkan makanan ikan ke dalam tasik dengan pasangannya.

“Jadi?” Lu tidak faham apa yang ingin disampaikan kawannya.

“Dia boleh mengubah warna rambutnya. Jadi, mengapa aku tidak boleh mengubah warna bulu ku ini?” Soal Jang.

“Tiada contoh lainkah yang ingin kau ambil, kawanku. Manusia jahil itu juga yang kau jadikan rujukan. Kau sudah sempurna. Tidak perlu untuk kau ubah. Untuk apa hendak kau warnakan bulu kau dengan warna lain sedangkan ia hanya sementara. Kau akan merosakkan diri kau sendiri,” nasihat Lu.

Kata-kata Lu berlalu seperti angin. Jang tetap melayani perasaan ketidakpuasan hatinya. Lu yang penat berjemur dek mentari petang, perlahan-lahan turun ke dalam tasik. Biarlah Jang dengan fikirannya, Lu mahu turut serta dengan ikan-ikan merebut makanan yang diberikan manusia. Dia tidaklah terlalu lapar tetapi apa salahnya bermain-main dan bergurau-senda dengan si tilapia, semilang dan kura-kura yang lain. Boleh juga dia bersenam.

*                                  *                                  *

Malam sememangnya kelam tetapi taman itu nampak cerah dengan sinaran cahaya lampu-lampu. Jang bertenggek di dahan sebatang pokok. Kelihatan bulan sabit samar-samar di sebalik awan. Jang bukan pungguk, hendak merindukan bulan. Matanya saja enggan lena.

“Jang, tidak tidur lagi?” Jang kenal suara parau itu.

Jang terbang ke arah suara tadi, di pohon yang sama tetapi bawah sedikit. Sejurus hinggap di situ, walau dalam gelap Jang masih nampak susuk tubuh hampir sama dengan dirinya.

“Tok pun belum tidur lagi.” Jang mendekati Tok.

“Tok dah tua. Biasalah kalau susah nak tidur. Jang pula, kenapa masih berjaga? Takkan nak jadi seperti pungguk yang merindukan bulan pula?” Tok bercanda.

Jang tersenyum. Tok pandai bergurau menghiburkan hatinya. Itulah saja saudara dekat yang Jang ada. Ibu dan ayahnya sudah lama mati ditembak manusia. Tok yang bersusah-payah membelanya sampai besar. Tok juga yang mengajar agar dia tidak berdendam pada manusia. Kata Tok, ibu dan ayahnya mati kerana sudah tiba ajal mereka. Manusia cuma menjalankan tugas mereka untuk memelihara taman itu sebagai tempat yang nyaman buat mereka, bukan dipenuhi spesies seperti Jang.

“Jang teringat kisah dongeng yang pernah Tok ceritakan pada Jang dulu. Tentang merak dan gagak,” kata Jang.

“Banyak kisah yang Tok pernah ceritakan pada Jang sampai Tok pun dah terlupa yang mana satu.” Tok mengakui kelemahannya.

“Dongeng bahawa dahulu kala semua binatang tidak mempunyai warna. Dewa memberikan mereka cat untuk mewarnakan diri mengikut kesesuaian masing-masing. Ketika itu merak dan gagak adalah sahabat baik. Gagak telah mewarnakan merak secantiknya tetapi merak telah mungkir janji dan mewarnakan gagak dengan warna hitam.” Jang menceritakan secara ringkas untuk mengingatkan Tok.

“Oh, cerita itu! Ya, Tok dah ingat sekarang.  Itu dongeng turun-temurun dari nenek moyang kita. Kisah itu untuk diambil pengajaran bukan dijadikan kepercayaan. Bagaimana rupa kita adalah ketentuan Maha Pencipta, Jang. Kita beriman pada Yang Satu.” Tok menepuk-nepuk lembut belakang Jang.

“Jang faham perkara itu, Tok. Cuma kadang-kadang Jang terfikir, kalaulah cerita itu benar dan merak tidak mungkir janji, tentu kita semua cantik. Kita boleh tinggal bersama.” Sesal Jang berbaur harapan.

Tok senyum penuh makna. Dia tidak mahu menyalahkan cucunya itu. Dari kecil Jang lebih suka menyendiri. Dia kurang bercampur dengan gagak lain yang sebaya dengannya. Jang lebih selesa berkawan dengan Lu si kura-kura.

“Jang tidak pernah melihat merak, bukan?” Tanya Tok.

Jang menggeleng, “tapi dari cerita Tok, Jang dapat bayangkan betapa cantiknya merak. Tubuhnya berwarna biru, ekor panjang boleh mengembang dengan corak indah pada setiap satu bulunya.” Mata Jang bersinar teruja.

“Jang pergilah merantau. Terbanglah ke arah selatan. Carilah merak. Tok percaya, selepas pengembaraan itu, Jang tidak akan mengeluh lagi.” Saranan Tok mengejutkan Jang.

Jang tidak pernah meninggalkan taman ini sejak lahir. Pernah terlintas di fikirannya untuk keluar tetapi dia tidak sampai hati meninggalkan Tok sendirian.

“Tentang Tok, tak usahlan Jang risaukan. Tok masih kuat. Lagi pun, Lu ada. Kawan baik Jang tu, kalau sehari tak nampak Tok, pasti ditanya pada gagak-gagak lain akan keadaan Tok.” Tok seolah-olah dapat membaca kebimbangan Jang.

Jang merenung mata Tok. Sungguh pun hitam, Jang nampak sinar keikhlasan pada mata tua itu. Jang nekad untuk pergi esok selepas menitipkan pesan pada Lu agar menjaga Tok.

*                                  *                                  *

Sudah tiga hari Jang terbang keluar dari taman tempat tinggalnya. Semalam, Jang berhenti berehat di sebuah bangunan. Jang berkenalan dengan Yang, si burung layang-layang. Besar sungguh keluarga Yang. Mereka semua tinggal bersama di situ. Jang leka melihat Yang memberi makanan kepada tiga anaknya yang baru menetas. Tentu ibunya dulu pun menjaganya begitu.

Keluarga Yang hairan melihat Jang mengembara sendirian. Mereka burung layang-layang mengembara beramai-ramai, terbang bersama-sama. Jang pun menceritakan tujuan dia keluar mengembara.

“Kalau begitu, kau teruslah terbang ke selatan. Kau akan tiba ke negeri lain. Di sana ada satu tempat yang ramai dikunjungi manusia. Kau boleh berjumpa dengan merak di sana. Kami pernah melalui tempat itu dulu,” ujar Yang.

Kini, Jang meneruskan pengembaraannya. Semangat membara ingin menemui sang merak membuatkan kepaknya terus kuat terbang menuju ke destinasi. Tambahan pula, cuaca cerah seakan-akan merestui niatnya.

Jang sudah pun melepasi sempadan negeri. Sambil terbang, Jang meninjau keadaan di bawah sana. Di mana dapat dia temui merak? Patutkah dia bertanya pada sesiapa di situ?

Dek kerana letih, Jang hinggap di sebatang tiang lampu di tepi jalan. Jang tidak pasti di mana dia kini. Kawasan letak kereta kelihatan penuh. Walau bagaimana pun, masih terdapat manusia yang ingin masuk ke situ.

Jang terhidu bau makanan. Rupa-rupanya dari sebuah gerai. Jang pun terbang turun ke tanah. Dihampirinya tempat sampah dikumpul. Jang memagut-magut kelapa muda yang sudah dibelah. Masih terdapat sisa isinya.

“Besar-besar ‘kan buaya tadi, Abah? Takut Adik tengok.” Suara si kecil menarik perhatian Jang.

Budak perempuan itu petah berkata-kata dalam dukungan ayahnya yang sedang membeli makanan di gerai.

“Tapi Adik suka tengok burung. Merak tadi cantik ‘kan, Abah?”  Si kecil terus mengomel.

Jang terpana. Telinganya belum pekak. Jelas dia mendengar budak itu menyebut tentang merak. Tiba-tiba hatinya jadi berdebar-debar. Inilah tempatnya! Tempat yang dicari-cari oleh Jang.

Isi kelapa sudah cukup membasahkan tekak dan mengenyangkan perut Jang. Dia terus terbang melepasi pintu masuk yang dipenuhi manusia yang beratur untuk membeli tiket.

Tempat itu tidak seluas taman yang dihuni Jang. Tiada tasik tetapi terdapat sebuah kolam. Ramai sekali manusia bermandi-manda terutama kanak-kanak. Kedengaran suara riang mereka.

Jang hinggap di satu tiang. Dari situ, dia boleh nampak hampir ke seluruh kawasan. Kelihatan beberapa bangunan tidak jauh antara satu sama lain. Jang berfikir, tempat apakah ini?

“Mak, kenapa buaya ni diam je. Dah mati ke?” Budak lelaki itu bertanya pada ibunya. Mereka berdiri tidak jauh dari tiang tempat Jang bertenggek.

“Dia tengah tidur, sayang. Bukan mati,” jawab si ibu.

Jang berpaling ke belakang lalu memandang ke bawah. Pertama kali dia melihat makhluk itu. Sekali pandang nampak macam batang kayu saja. Rupa-rupanya itulah buaya. Jang terkejut apabila buaya yang sedang diperhatikannya bergerak. Mulutnya yang besar dan bergigi tajam itu tentu sangat senang hendak mengunyah makhluk sekecil Jang.

Jang gerun. Dia terbang ke tiang lain. Barulah dia sedar kini dia berada di tempat kurungan buaya. Bangunan-bangunan berdinding separuh itu semuanya kurungan buaya berlainan jenis. Ada yang duduk seekor saja, ada juga yang lebih dari tiga ekor.

Dari satu kurungan ke satu kurungan, Jang hanya bertemu buaya. Akhirnya, Jang ternampak sebuah kurungan yang berbeza daripada yang lain. Kurungan itu tinggi berdawai. Terdapat pokok-pokok di dalamnya seperti sebuah taman mini.

Jang hinggap di puncak kurungan. Ada manusia berjalan-jalan dalam kurungan itu. Mereka masuk dari satu pintu dan keluar melalui pintu lain. Pandangan Jang terhenti di satu sudut.

Adakah yang sedang mengirai-ngirai bulu  dekat kolam itu adalah merak? Berjambul di kepala, separuh badannya berwarna biru separuh lagi bulu pelepah coklat kehitaman. Ekornya hijau panjang meleret ke tanah.

Dengan penuh rasa teruja dan ingin tahu, Jang terbang turun ke tanah. Dia menghampiri kurungan itu. Dia pasti, di hadapannya ini adalah merak. Antara mereka hanya dipisahkan oleh dinding dawai.

“Awak ini merak ‘kan?” Jang memberanikan diri bertanya.

Terhenti dari mengirai bulunya, dia berpaling ke arah Jang, “ya, aku merak. Namaku Cantik. Kau siapa?”  Dia berjalan menghampiri Jang.

Mata Jang bersinar-sinar memandang Cantik. “Aku Jang. Sememangnya kau cantik, Cantik. Kau sangat bertuah,” puji Jang.

“Ya, aku sangat bertuah kerana dilahirkan cantik sehingga aku dibela di sini untuk dijadikan tontonan orang ramai.” Sinis nada Cantik.

“Kau tak suka jadi pujaan, Cantik?” Jang kehairanan.

Cantik menggeleng. “Tahukah kau Jang, bahawa hanya merak jantan yang diciptakan Tuhan secantik ku ini?” Soal Cantik.

Giliran Jang pula menggelengkan kepala. Sangkanya, semua merak itu sama saja.

“Tujuannya adalah untuk menarik perhatian merak betina agar kami dapat bersama dan meneruskan keturunan spesies kami.” Cantik menjelaskan.

Barulah Jang tahu. Jang juga perasan terdapat seekor lagi seperti Cantik di dalam kurungan itu tetapi tubuhnya kecil sedikit dan warnanya tidak secantik Cantik malah tiada ekor sepanjang Cantik yang boleh dikembangkan.

“Jadi, kau mahu keluar dari sini?” Jang menduga.

“Tidak. Aku terima nasibku sebegini. Lagipun, jika aku keluar di mana dan bagaimana aku mahu hidup? Kecantikan ku ini akan menarik perhatian manusia. Mungkin aku akan ditangkap dan dibawa ke tempat yang lebih teruk. Sekurang-kurangnya di sini, aku dipelihara dengan baik. Begitu juga dengan isteriku. Aku harus memikirkan keselamatannya,” penjelasan Cantik membuat Jang mengerti.

“Jang, kau hargailah kebebasan yang kau miliki. Tiada gunanya kau memuja kecantikan luaran sedangkan semuanya bersifat sementara. Lihatlah bulu ku ini. Tiba masanya akan luruh. Sampai satu ketika, aku tidak akan secantik ini lagi, Jang. Aku akan habiskan hayatku di tempat ini saja. Sebaliknya, kau boleh terbang ke mana saja kau mahu. Kau lebih bertuah dari aku,” ujar Cantik.

Jang seperti baru terjaga dari mimpi yang panjang. Fahamlah dia akan maksud Tok menyarankan supaya dia mengembara. Dia sepatutnya menghargai kebebasan yang dimilikinya. Benarlah kata Tok, dia tidak akan mengeluh lagi selepas ini.

“Aku faham sekarang, Cantik. Sebelum aku pulang, sudikah kau mengembangkan ekor kau yang cantik untuk aku lihat? Bukan untuk aku puja tetapi untuk aku melihat keindahan ciptaan Tuhan,” pinta Jang.

Cantik tersenyum lalu mengembangkan ekornya. Jang memuji-muji Tuhan dalam hatinya. Indah sungguh ciptaan-Mu!