Archive | Julai 2013

Nazim Othman Dalam Kisah Cinta

Hero muda yang semakin dikenali ini mempamerkan aksi lakonan yang terkesan dalm hati saya melalui drama Kisah Cinta. Memegang watak Azhari yakni abang kepada watak utama, dia membawa perwatakan berbeza daripada yang biasa saya tonton sebelum ini. Sifat sinis, misteri dan licik yang ditonjolkannya membuat saya merasakan drama ini lebih menarik. Drama ini sudahpun berakhir semalam. Hati saya lebih tersentuh dengan kisah Azhari, seorang anak yang berasa tersisih dan cuba membuktikan dirinya walau terpaksa melakukan kesalahan. Tidak saya nafikan lakonan Shaheizy Sam sebagai Shah berganding dengan Nur Fazura sebagai Azalea memiliki aura tersendiri. Namun tumpuan saya lebih terarah kepada watak pembantu termasuklah Marina yang dilakonkan oleh Fazlina Ahmad Daud. Tanpa watak pembantu, cerita tidak akan menarik bukan? Apapun tahniah kepada semua yang menjayakan drama ini. Kisah cintanya bukn sekadar kisah cinta orang muda.

Pantun Pemberi Semangat

Masak di peti buah sawa,
Buah sawa dari Kedah;
Tenanglah hati tenanglah jiwa,
Usah terbawa duka nan gundah.

Pergi bendang menuai padi,
Di pagi hari membawa bekal;
Masalah datang masalah pergi,
Terus hadapi dengan cekal.

Jarum patah belum berbenang,
Atas peti minta buangkan;
Usah marah bawa bertenang,
Damai hati dapatlah fikiran.

Dalamnya laut tidak terselam,
Hendak seberang ombak diredah;
Jangan diikut resam dendam,
Sepanjang hidup resah gelisah.

Air mengalir dari gunung,
Jernih tenang kotor tiada;
Apa difikir apa direnung,
Dugaan datang hadapi saja.

Empat segi bentuknya tauhu,
Rasa enak digoreng saja;
Untung rugi siapa tahu,
Nilai letak pada usaha.

Ulam pegaga dari hulu,
Ambil getah mari diikat;
Belum cuba belum tahu,
Ada tuah pasti mendapat.

Bunga melati harum wangi,
Langsat berbuah kekuningan;
Hidup mati jodoh rezeki,
Kuasa Allah menentukan.

Epilog Cinta Khirana

Drama yng mengisi slot Samarinda di TV3 ini baru saja tamat. Saya tidak mengikutinya dari awal. Saya mulai tertarik untuk menonton setelah kisahnya tiba ke klimaks. Dapat saya simpulkan bahawa drama yang diadaptasi daripada novel ini membawa tema cinta dan dendam. Namun yang menariknya tentang kehidupan Khirana, takdirnya sentiasa berkait rapat dengan keluarga Shahrul.

Saya puji lakonan berkesan Tasha Shila yang membawa watak Khirana dan Nazim Othman sebagai Shahrul. Tidak lupa barisan pelakon lain yang menghidupkan cerita antaranya Raja Ema, Wan Shades, Hairi Safwan, Aliff Aziz, Fiza dan Arash Mohamad. Melihat dendam Shahrul bertukar menjadi cinta memang mencuit hati. Cintanya pula bukan cinta biasa tapi atas dasar ingin melindungi Khirana sehingga mempertaruhkan nyawanya.

Lagu tema juga memainkan peranan. Lagu Sebulatnya nyanyian Fabulous Cat ternya mampu menyentuh hati. Apapun, tahniah kepada semua yang terlibat dalam pembikinan drama ini!

Pantun Utara Selatan Timur Barat (Kanda Dinda)

Dondang sayang dari Melaka,
Bawa ke Kedah buat hiburan;
Tidak lekang di hati dinda,
Kanda jualah jadi tautan.

Orang Johor menari zapin,
Rentaknya rancak sedap didengar;
Kanda penghibur kanda pemimpin,
Cinta tertegak sayang berpagar.

Ulik Mayang Terengganu,
Tepi pantai persembahan;
Kanda sayang dinda tunggu,
Masa sampai disatukan.

Rancak boria dengan tarian,
Satu kumpulan sama seiring;
Cinta setia dinda janjikan,
Berat ringan sama dijibjing.