Archive | September 2013

Rap di Malaysia 2013: Altimet, Waris

Rap merupakan sebahagian daripada budaya hip hop. Di Malaysia, hip hop mula ketara semasa era 90-an. Ketika itu, kumpulan penyanyi seperti KRU, 4U2C,Kool, Nico dan Elite popular dengan lagu-lagu pop mereka yang diselit dengan rap. Itu kisah dulu.
Namun, sejak akhir-akhir ini, rap kembali menghiasi banyak lagu baru yang menjadi hit di corong radio. Malah, rapper solo mula mendapat perhatian dan bakat mereka memang tak dapat dinafikan. Saya tertarik dengan gaya rapper Altimet. Pemuda ini nampak sederhana. Suaranya amat mudah saya kenali. Lirik rap ciptaannya santai tapi penuh makna. Bagi penciptaan lirik, saya paling tabik pada Malique. Puisinya puitis dan selalu kena dengan melodi. Tidak kurang juga karya Altimet yang sentiasa punya moral tertentu hendak disampaikan melalui rap, mencakupi soal masyarakat, budaya dan kerohanian.
Seorang lagi rapper yang mencuri tumpuan saya ialah Waris. Istimewanya anak muda ini bangkit berdiri dengan lagu solo. Rembau Most Wanted menyinarkan namanya dalam industri muzik tanah air. Terkini, lagu Botingkek-tingkek (Bertingkat-tingkat) pula kian popular. Kelainan ketara yang dibawakannya adalah rap dialek Negeri Sembilan. Tema yang dibawa oleh Waris melalui lagu-lagunya mencerminkan jiwa generasi kini. Saya yakin, ramai yang tertarik dengan muziknya tapi tak ramai yang benar-benar memahami dan menghayati liriknya. Apapun, pada pandangan dan pendengaran saya, kehadiran para rapper mewarna-warnikan lagi industri muzik kita.

Dibadai Tangis

Mengapa perlu menangis
Bukan semestinya derita
Bukan semestinya duka lara
Kadang kala
Harapan
Rindu
Mengundang rasa syahdu
Tak mudah mengerti hati
Saat gelora membadai.
Allahhu rabbi
Aku bukan hamba sempurna
Tapi ku sedar akan kuasa-Mu yang terbesar
Ampunilah aku
Sesungguhnya Kaulah Maha Mengetahui dan takdir ketentuan-Mu adalah yang terbaik.

Merdeka Ku

Ibuku merdekakan aku
Daripada insan tidak berdaya
Menjadi manusia berguna
Guru -guruku merdekakan aku
Daripada kejahilan
Menunjuk jalan pemikiran
Para sahabat merdekakan aku
Daripada kesunyian
Mengenal erti jalinan dan kasih sayang.

Negaraku merdeka
Malaysia yang ku cinta
Tunggaknya barisan pemimpin
Mantan mahupun terkini
Selagi agama menjadi pegangan
Perpaduan ditegakkan
Kalianlah pencorak tanah air
Disokong rakyat jelata
Dipertahankan bukan sekadar dengan senjata biasa
Semua adalah pejuang
Apa jua medannya
Ekonomi budaya pendidikan apatah lagi di perbatasan.
Daulat tuanku
Takhtamu bak mutiara seri negara
Bukan hiasan tapi lambang kekuatan.
Jalur gemilang berkibarnya terus ditiup semangat warga yang bernaung di bawahnya.