Archive | Januari 2014

Pantun Rindu Cinta Kasih

Deras angin bawa debu,
Daun luruh banyak sekali;
Hati dingin rindu membeku,
Kasih luluh tiada erti.

Sejuk hari mentari malu,
Redup saja hujan tiada;
Biar sepi tanpa rindu,
Usah merana kerana cinta.

Langit memutih awan berkepul,
Cerah cuaca pagi hari;
Bila kasih sudah tersimpul,
Tetap bersama apa terjadi.

Kicau burung kala senja,
Terbang sekawan pulang ke sarang;
Biar bertarung dengan nyawa,
Kasih bertahan tiada kurang.

Gelap hari awal pagi,
Nampak jalan cerah tanah;
Bagai duri dalam hati,
Rindu dendam bawa resah.

Advertisements

Juara Lagu 28

AJL 28
Sudah hampir benar ke hari pertandingan nyanyian tahunan yang sentiasa dinanti-nanti oleh peminat hiburan tanah air. 28 tahun telah berlalu sejak kali pertama Juara Lagu diperkenalkan. Saya pun belum lahir lagi masa tu. Ketika mengenali AJL, pertandingan ini mengikut kategori iaitu balada, pop rock dan etnik kreatif. Beberapa tahun lepas ia telah bertukar format sama seperti ketika awal pengenalannya dahulu. Mulanya saya rasa macam kurang best bila tiada kategori tetapi bila diperhatikan ada bagusnya juga.

Pelbagai jenis muzik yang ada sekarang. Memang sukar kalau nak dikategorikan. Lagipun, pemenang tiga yang terbaik membuktikan karisma muzik yang dibawa oleh pencipta dan penyanyinya.

Berikut adalah finalis AJL 28 dan pandangan peribadi saya berkenaan dengannya:
– Penglipurlara: lirik yang menarik, muzik unik.
– Sahabat: hasil generasi muda, gabungan suara empat orang sahabat
– Kau yang Terindah: lirik nukilan seorang pengarah, penulis skrip juga pelakon. Lagu tema drama Kau yang Terindah lakonan Neelofa dan Nazim Othman
– Tanda Tanya: saya masih cuba memahami maksud tersirat lagu ini tapi vokal Azlan memiliki aura tersendiri
– Aku Kaya: muzik catchy ditambah lirik selamba dikuatkan oleh keserasian Altimet dengan Awi Rafael
– Bahagiamu Deritaku: alunan irama menyentuh jiwa, suara dimiliki pemenang vokal terbaik dua tahun berturut-turut
– Hanya Aku: lirik puitis dengan mood jiwang kegemaran majoriti rakyat Malaysia, lagu tema drama hit Teduhan Kasih lakonan Sherry Ibrahim dan Adi Putra
– Bosan: boleh dikatakan muzik paling rancak antara semua finalis, lirik bersahaja, kelincahan penyanyinya di atas pentas tak dapat dinafikan
– In Love with You: muzik yang mengembalikan nostalgia, kedua-dua penyanyinya sempoi
– Takkan Terpisah: lirik dan muziknya seiring membuai perasaan, vokal penyanyinya selalu berjaya menarik perhatian ramai
– Aku Pelat: kumpulan paling ramai ahli, penampilan rapper wanita yang lain daripada yang lain, muzik sangat meriah
– Ikut Rentakku: saya menggemari sebutan jelas penyanyinya, vokal memberi saingan hebat

Saya bukan siapa-siapa dalam industri muzik ini. Hanya peminat dan pemerhati yang hendak berkongsi lintasan hati…

Pantun Mengingati Rasulullah SAW

Cantik kuntuman bunga dahlia,
Pohon melati di tepi perigi;
Rasulullah junjungan mulia,
Halus pekerti indah peribadi.

Gema takbir di subuh hari,
Solat awal jadi amalan;
Rasul terakhir tiada ganti,
Sunnah kekal jadi ikutan.

Warna-warni bunga desa,
Bunga kertas buat jambangan;
Segala puji Allah Yang Esa,
Selawat ke atas Rasul junjungan.

Halus berduri pokok semalu,
Hijau daunan disentuh kuncup;
Pesan Nabi ingat selalu,
Buat amalan damailah hidup.

Letak ulam di dalam bakul,
Bakul ditutup tidaklah ketat;
Ajaran Islam dibawa Rasul,
Pelengkap hidup dunia akhirat.

Perempuan Negeri Sembilan

Setiap negeri di dalam Malaysia ini memiliki keistimewaan dan kisah tersendiri. Menyebut tentang Negeri Sembilan pasti ramai yang membayangkan perihal Adat Perpatih. Isu adat ini sering diperkatakan. Malah turut didedahkan melalui subjek Sejarah di sekolah menengah.

Walau bagaimanapun, sejauh mana kita memahami adat ini? Mengapa boleh timbul rasa takut dalam kalangan masyarakat di luar Negeri Sembilan terutamanya apabila melibatkan hubungan dengan perempuan dari negeri ini? Sampaikan ada pula mereka yang tidak mahu mengaku orang Negeri Sembilan. Stigma apa yang telah melekat dalam minda kita?

Saya bukan orang Negeri Sembilan. Tak percaya? Terpulang. Masakan perlu tunjuk kad pengenalan pula. Apapun, sudah beberapa tahun menetap di sini pelbagai cerita saya dengar dan situasi yang dapat diperhatikan. Saya sendiri semasa kecil selalu disogokkan dengan cerita bahawa negeri ini perempuannya ‘ratu kawal’ (queen control). Jika lelaki dari tempat lain berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan pasti susah hendak balik kampung. Kalau bercerai pula si lelaki tinggal sehelai sepinggang kerana harta semuanya diambil pihak perempuan. Begitulah stigma kebanyakan orang. Sejauh mana kebenarannya?

Apabila difikirkan, isu utama di sini adalah harta. Bukan perempuan Negeri Sembilan yang ditakuti tapi sebenarnya kehilangan harta yang digeruni. Bercakap soal perkahwinan, umum memahami bahawa ia satu ikatan suci. Apa yang menghairankan, bila tiba soal nak berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan, ada pula suara sumbang yang menyebut, “nanti kalau bercerai kau tinggal sehelai sepinggang.” Sekarang ini nak kahwin untuk bahagia atau kahwin untuk bercerai? Belum lagi bersatu dah fikir tentang perpisahan. Tidakkah bebal namanya tu?

Di sini perlulah difahami bahawa Adat Perpatih melindungi dan mengiktiraf hak perempuan bukan melebih-lebihkan perempuan. Tentang harta, sepatutnya tiada istilah keluar sehelai sepinggang jika si bekas suami itu rajin berusaha mengumpul harta sendiri. Hal ini kerana dalam Adat Perpatih isu harta berkait dengan harta pusaka. Hukum faraid tetap ditegakkan.

Andai kata perempuan sangat berkuasa di negeri ini, mengapa barisan pemimpinnya lelaki? Ketua suku semestinya lelaki. Apatah lagi Yang Dipertua Negeri Sembilan.

Orang selalu berkata, “tak kenal maka tak cinta.” Pada saya, “tak faham jangan terus menghentam.” Terlalu keraskah kata-kata saya? Saya mohon maaf andai ada yang terasa.

Ya, mungkin saya emosional kerana saya seorang perempuan. Malangnya, terdapat juga dalam kalangan kaum perempuan sendiri malah sebangsa Melayu memomok-momokkan perihal perempuan Negeri Sembilan. Lebih teruk lagi apabila orang negeri ini sendiri menjatuhkan martabat bangsanya dengan menakut-nakutkan orang luar sampai menghalang penyatuan saudara-mara dengan perempuan Negeri Sembilan.

Renung-renungkanlah semula. Bukankah kita satu bangsa yakni Melayu. Beragama Islam yang mulia. Kenapa perlu berpecah-belah? Adat itu selagi tidak bercanggah dengan syariat tidaklah salah. Sedangkan budaya luar yang entah apa-apa seperti hiburan melampau dan fesyen yang menghabiskn duit tidak pula ditakuti tatkala semakin menular dalam masyarakat.

Niat saya untuk berkongsi apa yang saya tahu. Andai ada maklumat yang salah, mohon teguran membina. Saya hanya seorang insan kerdil yang mengharap dapat hidup dalam suasana harmoni. Jika kita orang Melayu boleh memahami adat budaya bangsa lain, mengapa tidak cuba mengerti cabang adat bangsa kita sendiri? Janganlah terus menghukum…

Keith Foo : Rupa vs Bakat

Pasti ramai dalam kalangan penggemar drama Melayu tertarik dengan kelibat jejaka ini. Memegang watak utama dalam drama Ariana Rose di TV3, Keith Foo mula menarik perhatian umum walau pun dia bukan pelakon baru.

Anak muda ini rupa-rupanya sudah lama menyinar dalam industri hiburan di Indonesia. Jujurnya saya bangga kerana seorang anak Malaysia diterima di sana sedangkan kita tahu bukan mudah hendak memenangi hati mereka seperti penghibur mereka sangat mudah diterima di sini.

Sememangnya ramai juga yang melontarkan aneka komen tentang si kacak ini tetapi pada pandangan saya tentu sedikitpun komen negatif tidak akan berbekas padanya. Kenapa?
Sebab dia sudah biasa dengan komen lebih pedas daripada orang di seberang seawal
kemunculannya sebagai pelakon filem.

Pasti ada faktor yang menyebabkan Keith mampu menyinar di Indonesia. Jika sekadar bersandar pada rupa dia tidak akan bertahan. Sudah tentu dia memiliki lebih daripada itu. Soal pacar seksinya tak perlu dibangkitkan. Anggap saja itu bonus untuknya.

Melihat lakonan Keith sebagai Tengku Adam Kamil cukup pada saya menggambarkan lelaki ini bukan mentah dalam lakonan. Siapa pula saya nak cakap lebih-lebih. Hanya berkongsi pandangan peribadi.

Soal memegang watak orang Islam saya yakin penerbit drama ini telah melakukan yang terbaik untuk menyesuaikan apa yang perlu. Seingat saya Keith bukan pelakon bukan Islam pertama yang membawa watak orang Islam.

Apapun semoga berjaya pada Keith Foo. Semoga terus menyinar di bumi kelahirannya ini.

Bahagia Kala Luka

Sekali kau dilukai
ingatlah
seribu kali kau disayangi.
Sekali kau berduka
ingatlah
beribu kali kau bakal ketawa.
Usah kecewa bila diketepikan.
Jangan resah saat keseorangan.
Pahatkan dalam jiwamu
Cinta Allah tak pernah hilang
Kasih Rasulullah takkan padam
Sayang keluarga selalu ada.
Akan berputik keyakinan
Maka mekarlah bunga ketenangan
Lalu berbuah kebahagiaan yang enaknya dirasai di dunia dan akhirat.