Archive | Februari 2014

Pantun Nasihat (Kain & Jarum)

Kain merah kain biru,
Jahit baju pagi hari;
Jangan marah fikir dulu,
Usah ikut rasa dengki.

Kain keras kain lembut,
Beli segulung buat barang;
Kalau pedas cakap mulut,
Enggan ditolong diumpat orang.

Jarum patah di atas meja,
Buang saja jangan disimpan;
Biar susah tidak berharta,
Asal kaya adab sopan.

Kain perca kain baru,
Simpan sekali di dalam peti;
Biar dikata kepala batu,
Asalkan hati baik pekerti.

Begitulah Insan

Anehnya insan
Mencari saat memerlukan
Meninggalkan kala bosan.
Meminta ketika terdesak
Menghina sewaktu tak hendak.
Mengharap bila tiada
Mengherdik apa di depan mata.

Lupakah insan
Kita hanya hamba Tuhan
Hidup dalam belas ehsan.
Kita saling bergantung
Tiada yang mampu sendiri tanpa ditolong.
Kita akan jatuh jika sombong
Akan tersungkur andai enggan mendengar.
Akan menyesal kalau tidak menghargai.

Sesungguhnya insan
Sering tersedar setelah kehilangan.
Acap kali terbuka mata sesudah kelewatan.
Menunggu yang ada itu pergi.
Menanti yang hidup itu mati.
Membiarkan peluang berlalu sepi.

Begitulah insan…

This entry was posted on Februari 7, 2014, in Sajak. 2 Komen