Archive | Mac 2014

Yang Namanya Kawan

Yang namanya kawan
Kadang boleh jadi lawan
Kadang meneman
Tiada rasa kehilangan
Ada rasa terisikan.

Yang namanya kawan
Membuat diri sukar menipu
Segala riak dapat dibaca
Suka benci tahu semua
Marah lucu sama rasa.

Yang namanya kawan
Tak semestinya sentiasa di sisi
Tapi kelibatnya dirindui
Telatahnya diingati
Kata-katanya tersemat dalam hati.

Yang namanya kawan
Mampu memarahi dan dimarahi
Tiada soal hendak bersembunyi
Bercerita kerana percaya
Berkongsi kerana kasih
Memberi kerana menyayangi.

Yang namanya kawan
Menerima seada
Pelengkap kekurangan
Tanpa memohon kesempurnaan.

*Khas buatmu kawanku, Ain… Terima kasih

Advertisements

Aku Sakit

Menjauhkan diri
Memang itu hakikatnya.
Kerana aku sakit
Sakit di dalam.
Mungkin jiwa
Mungkin hati.
Sakit
Kerana tak ku rasakan ada jemputan pulang
Kerana setiap kata-kata kedengaran bagai restu untuk tidak bertemu
Kerana kosong tiada erti
Kehadiran mahupun pemergian
Sama.
Andai ada pil yang boleh ku telan untuk menghilangkan sakit ini.
Andai air mata yang berderai dapat menawarkannya.
Atau memang sudah tawar
Hatiku dah tawar
Tiada rasa lagi……

Lagu Drama (Terkini di TV3)

Lagu adalah nadi yang menghidupkan cerita. Sekarang, drama televisyen boleh dikatakan menjadi platform melariskan lagu. Pada saya, perkara paling penting ialah memastikan sesebuah lagu sesuai dengan drama tersebut dan muncul dalam situasi yang tepat.

Terkini di TV3, banyak drama yang ke udara. Slot Akasia memang jadi perhatian. Drama Jika Itu Takdirku terbitan MIG telah menggantikan Ariana Rose. Teruja juga menonton drama yang skripnya tidak diadaptasi daripada mana-mana novel. Lagu Relakan Jiwa nyanyian Hazama menjadi lagu tema. Sejujurnya pada saya, lagu ini bagaikan perisa tambahan yang menambahkan keenakan jalan cerita. Satu lagi lagu yang menghiasi drama ini ialah Alasan Untuk Bahagia dendangan Asfan. Alunan muziknya menjadikan sesuatu babak sedih bertambah sayu. Amat sesuai. Irama dan lirik seiring dengan cerita.

Drama Jiwa memilih untuk tampil dengan lagu tersendiri bertajuk Jiwa nyanyian Drama Band. Lagu yang rancak untuk drama yang ekstrim.

Drama Miranda pula tampil dengan lagu Ajai bertajuk Gara Diriku. Satu kelebihan apabila lagu yang dipilih belum terlalu popular kerana ia secara automatik menjadi sebati dengan cerita.

Romi Cinta Julia menampilkan banyak lagu. Sepanjang cerita ke udara, anda boleh dengar aneka irama mengiringinya. Apapun, tiada yang dapat menandingi lagu temanya. Kelunakan suara Ning Baizura mendendangkan Bukan Wanita Sempurna amat sesuai dengan situasi watak utama. Menariknya, drama ini berkongsi lagu yang sama dengan Jika Itu Takdirku; Asfan, Alasan Untuk Bahagia. Lagu lain yang menarik perhatian saya ialah lagu terbaru Najwa Latif, Hilang. Lagu rancak ini seiring dengan kenakalan watak Julia. Secara keseluruhan, drama ini memilih lagu-lagu baru.

Bagi slot Zehra, drama Menjinak Ombak pernah mengisinya. Lagu Syahir bertajuk Dia yang Kau Pilih sangat tepat dengan jalan cerita. Terbaru, drama Kifarah pula mengambil tempat itu. Lagu Roman Cinta nyanyian Mojo dipilih. Iramanya yang dramatik ada keserasian dengan cerita. Hanya liriknya mungkin kurang sesuai. Namun, drama ini menampilkan cerita berbeza setiap minggu. Jadi, tak kisahlah tentang lagu temanya.

Satu lagi drama yang hendak saya perkatakan ialah Yes Boss!. Drama adaptasi novel ini memilih lagu tema Miliki Cinta nyanyian Nadia Adha. Lagu yang ceria untuk drama yang santai.

Sejak dulu, drama mahupun filem tidak dapat lari daripada muzik. Runut bunyi (soundtrack), lagu tema, muzik iringan atau apa saja yang berkaitan telah menjadi sebati untuk menyerikan jalan cerita. Tanpanya, babak menjadi suram. Tidak kiralah babak sedih, gembira, dramatik, tragik, seram, suspen, romantik mahupun lucu.

Pantun Buat Teman

Khas buat teman-teman sekamar…

Dahlia merah kembang sekuntum,
Di dalam taman berseri-seri;
Baik ramah cantik tersenyum,
Namanya Mariam indah diberi.

Seri pagi ungu warnanya,
Kembang kelopak disinar mentari;
Hati murni ayu dan manja,
Kasih Isabel sentiasa bersemi.

Melur putih harum sekali,
Jadi hiasan sanggul dara;
Tenang jiwa juga berani,
Chern rakan selalu setia.

Terima kasih untuk segala…

Merelakan Luka

Tawa senyuman di bibir
Melindung luka yang lama hadir.
Dosa noda lalu tak mudah hilang
Mengikut diri bagai bayang-bayang.
Menafikan cinta bukan mudah
Mengatakan rindu tak terluah
Mendakap kasih yang singgah.
Jauh di sudut dalam
Mungkinkah terpendam dendam
Atau kemarahan pada diri
Yang sukar memaafi.