Archive | April 2014

Aku Bukan Pengemis

Latar tempat: Meja makan di rumah sewa.

Ana: (Bercakap dengan telefon) Yelah mak… Mak jaga diri ye. Waalaikumussalam… (Putuskan talian lalu letakkan telefon di atas meja).

Ani: Mak kau ke tu?

Ana: A’ah… Hmmmm….

Ani: Eh, baru lepas bercakap dengan mak sendiri pun mengeluh?!

Ana: Bukan mengeluh sebab bercakap dengan mak tapi sebab topik yang dicakapkan tu.

Ani: Kenapa? Pasal jodoh ke?

Ana: Taklah. Pasal kerja. Ani, teruk sangat ke kerja aku sekarang?

Ani: Pada aku ok je. Mak kau tak suka kau jadi tukang jahit ke?

Ana: Dia taklah cakap tak suka tapi asyik tanya je kalau aku ada minta kerja lain.

Ani: Dia risau agaknya…

Ana: Ya, aku faham. Aku sedar yang aku ni belum mampu nak menyenangkan dia tapi sedaya-upaya aku tak nak susahkan dia. Sebab tu aku suka duduk berjauhan. Kalau difikirkan, mak aku tu kira ok. Tak adalah sampai memaksa aku.

Ani: Kau ‘kan anak dia. Mestilah dia tahu anak perempuan dia yang seorang ni memang degil.

Ana: Aku tahu…

Ani: Apa yang kau rungsingkan lagi, Ana?

Ana: Aku cuma terfikir pandangan masyarakat kita tentang kerjaya ni. Terutama orang Melayu kita. Suka sangat pandang rendah.

Ani: Kau tak payah hiraukan sangat cakap-cakap orang. Mereka tak faham tu.

Ana: Itulah…balik-balik kerja kerajaan. Tak pun kerja kat pejabat. Kalau semua orang asyik nak hadap komputer, jawab telefon, buat kira-kira, siapa yang nak kerja di lapangan. Bangunan pejabat pun takkan wujud tau tanpa buruh binaan!

Ani: Eh, kau ni….janganlah emosional sangat…

Ana: Maaflah, Ani. Dengan siapa lagi aku nak luahkan perasaan kalau bukan dengan kau.

Ani: Apa sekalipun, kau suka dengan kerja kau sekarang ‘kan?

Ana: Mestilah…gaji memang tak sebesar mana tapi banyak lagi faedah lain yang aku dapat. Paling penting, dapat kemahiran. Tak semua orang ada kemahiran tu.

Ani: Betul tu. Walaupun negara kita ni dalam usaha tingkatkan kemahiran, majoriti masyarakat masih anggap akademik je yang penting. Tu yang ramai pandai cakap tapi tak reti buat kerja.

Ana: Lepas tu berebutkan pangkat. Gaji besar, kereta besar. Padahal hutangnya pun besar.

Ani: Aik, dah melalut kau ni.

Ana: Ya ke…bila kau sebut pasal akademik dengan kemahiran tu, aku teringat masa sekolah dulu. Sebenarnya, target aku lepas PMR nak masuk sekolah teknik. Nak ambil fesyen tapi tak kesampaian. Aku dapat tawaran ke sekolah asrama penuh, jurusan sains teknik.

Ani: Kiranya kau sekarang sambung impian lamalah…

Ana: Tanpa perancangan pun. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Manusia ni je yang susah nak bersyukur.

Ani: Manusia ni termasuklah kita, Ana. Kita memang mudah lupa. Sebab tu ada yang rasa diri dia lebih bagus daripada orang lain.

Ana: Perasan bagus dah satu hal. Satu hal lagi asyik nak mengharap rezeki datang bergolek. Semuanya nak jalan mudah. Berapa ramai yang betul-betul rasa kemanisan berusaha? Bukanlah aku nak mendabik dada tapi sekurang-kurangnya aku tahu erti penat lelah cari makan sendiri. Jerih payah tu yang buat kita hargai ganjaran yng kita dapat. Baru boleh panggil hasil titik peluh. Bukan makan duit orang atau mengemis.

Ani: Biasalah…sesetengah tu suka persoal kelayakan. Kerja kenalah sepadan dengan kelulusan. Kalau tak, sia-sia je belajar tinggi-tinggi.

Ana: Kalau kerja yang ikut kelulusan pun tapi tak praktikkan ilmu, sia-sia juga… Pekerja berilmu dengan pekerja kurang ilmu banyak beza. Tak semestinya macam aku ni tukang jahit, aku tak guna langsung ilmu yang aku belajar dulu. Paling tidak pun, tahu cara nak berkomunikasi dengan pelanggan.

Ani: Pelanggan kau satu Malaysia ‘kan?

Ana: Dari negara lain pun ada.

Ani: Boleh dibanggakan.

Ana: Tentu. Paling bangga, pemiliknya orang Melayu. Mula berniaga dari bawah. Maju dari satu tahap ke satu tahap. Bukan dengan jalan pintas.

Ani: Itu yang buat kau setia bekerja di situ?

Ana: Ya. Siapa lagi yang nak naikkan bangsa kita kalau bukan kita sendiri. Lagipun, sepanjang aku kerja, kreativiti aku tak disekat. Bos dan kawan kerja aku sentiasa menyokong apapun idea yang membina syarikat. Pendapat pekerja sentiasa diambil kira sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Ani: Bagus betul. Adil. Kalau ikutkan, memang sepatutnya macam tu. Tanpa pekerja, operasi takkan berjalan.

Ana: Tanpa bos, syarikat takkan maju.

Ani: Pandailah, kau! Dah, pergi mandi. Dekat Maghrib dah ni.

Ana: Baik, bos!

(Sama-sama ketawa)

Auranya

Susuk tubuh nan biasa
Wajah tidak sesegak mana
Tapi
Auranya memacu sandiwara
Membawa watak penuh jiwa dan makna
Jelas tutur bicara.
Gagah langkah
Mengundang perhatian.

Khas mengenang Eman Manan, pelakon hebat yang saya minati….

Jika Itu Takdirku (Akasia TV3)

Berakhir sudah drama bersiri terbitan MIG ini. Drama yang saya ikuti sejak mula. Barisan pelakon yang hebat. Paling penting, jalan cerita yang sangat menarik!

Saya menggemari plot yang sukar dijangka. Tambah mengujakan tatkala apa yang saya teka ternyata salah atau menyimpang. Itu menandakan cerita tersebut tidak stereotaip.

Drama ini seimbang dari segi emosi dan pembahagian karakter. Setiap watak memiliki personaliti tersendiri. Tiada watak yang terlalu baik dan tiada watak yang tersangat jahat.

Sejak awal saya memang suka watak Sarah. Seorang doktor yang ringkas, penyayang, dan selesa menjadi diri sendiri. Wataknya berkembang dengan kehadiran Azri dan Joe. Azri seorang lelaki yang tampak sempurna tapi sering berperang dengan perasaan sendiri. Joe pula dikenali sebagai playboy tapi hakikatnya seorang yang pandai melayan wanita.

Watak utama, Seri Umairah dan Hakimi mempunyai perjalanan kisah yang panjang. Diselangi pula dengan kemunculan Qistina. Kalau dah jodoh tidak ke mana. Tetap bersatu. Asam garam rumah tangga, pasti ada dugaannya. Masing-masing tak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Sesuatu yang agak segar apabila drama ini menampilkan konsep pertemuan semula. Mulanya saya kurang berkenan dengan isu hilang ingatan. Namun, kebijaksanaan plot menenggelamkan kelemahan itu. Malahan membuat ia jadi menarik kerana timbulnya suasana misteri. Tersentuh hati bila melihat Hakimi separuh gila ketika ditinggalkan Seri. Seri pula derita dalam diam.

Datin Jasmin dan Nek Bah turut memainkan peranan penting. Menonjol sebagai ibu yang tegas, Datin Jasmin ada alasan dan sebab tersendiri untuk setiap tindakannya. Begitu juga Nek Bah sebagai ketua pembantu rumah yang amat dipercayai.

Saya tabik pada barisan panel MIG yang menghasilkan skrip drama ini. Dalam santai, madah-madah cinta tidak kedengaran keterlaluan dilontarkan oleh setiap watak. Unsur suspen, misteri dan kejutan merupakan daya tarik paling kuat membuat penonton terus setia menanti episod seterusnya. Puas hati rasanya dapat menikmati drama tulen bukan saduran mana-mana naskah novel.

Kredit untuk para pelakon. Intan Ladyana dan Shah Iskandar bukanlah nama baru dalam industri. Sama juga Shukri Yahya yang setakat ini saya lihat selalu diberi kepercayaan untuk memegang watak hero kedua. Wajah baru, Adiba Yunus dan Nina Iskandar tidak mengecewakan. Azwan Kombos ternyata berbakat seiring ketampanannya. Jasmin Hamid dan Delimawati tentulah tidak dapat disangkal lagi kemampuan mereka.

Tahniah pada semua yang terlibat!