Archive | Jun 2014

Adidas: Perintis Pembuatan Barangan Sukan & Pemasaran Melalui Penajaan Atlit

Adidas
– Pengasas: Adolf (Adi) Dassler, bermula ketika berumur 20 tahun (1949), berasal dari German.
– Gemar bersukan
– Bapa seorang tukang kasut
– 1920: mula buat kasut sukan sendiri di rumah
– menggunakan tinggalan Perang Dunia 1 untuk membuat kasut seperti kain payung terjun dan topi askar
– berdiri atas 3 prinsip:

1. Menghasilkan kasut terbaik untuk sesuatu fungsi
2. melindungi atlit/pengguna daripada kecederaan
3. memastikan produk bertahan

– 1924: penglibatan abangnya, Rudolf sebagai pegawai pemasaran
– nama syarikat: Dassler Brothers Shoe Factory
– kapasiti pengeluaran sehari 50 pasang kasut
– 1928: mula membekalkan kasut kepada peserta sukan Olimpik
– 1930: menghasilkan 30 jenis kasut untuk 11 jenis sukan dengan tenaga kerja hampir 100 orang
– 1936: Olimpik berlangsung di tempatnya & kebanyakan atlit German memakai kasutnya
– menyedari atlit adalah ikon/model paling berkesan untuk mempromosikan produk
– memujuk pelari pecut US, Jesse Owen untuk memakai kasutnya. Kemenangan 4 pingat emas melonjakkan populariti & tempahan kasut terus meningkat
– selepas Perang Dunia 2: meneruskan perniagaan dengan mengeluarkan produk untuk askar German
– menggunakan barang tinggalan perang untuk hasilkan pelbagai kasut
– 1948: Rudolf keluar dari syarikat lalu menubuhkan syarikat lain (Puma) yang menjadi pesaing paling kuat
– nama Adidas diperkenalkan (gabungan nama Adi dengan Das)
– 1954: berjaya menaja kasut untuk pasukan bola sepak German
– 1959: perniagaan dikembangkan ke Perancis dengan bantuan anaknya, Horst. Kilang di German ditambah
– 1960: 75% atlit sukan Olimpik di Rom memakai kasut Adidas
– pertengahan 1960: mula mengeluarkan pakaian sukan
– 1962: seluar trek
– 1964: bola
– 1978: Adi meninggal dunia, Horst ambil alih
– 1988: Horst meninggal dunia
– Adidas mula jatuh kerana tiada pengurusan & saingan seperti Nike mula menonjol
– 1993: Adidas dibeli oleh Robert Louis Dreyfur
– 1999: kebangkitan semula dengan hampir 13 000 orang pekerja di seluruh dunia
– 2000: menjadi pembekal rasmi Kejohanan Bola Sepak Euro
– Adidas Group adalah syarikat barangan sukan kedua terbesar di dunia selepas Nike tapi tetap pertama di Eropah & pakaian sukan utama seluruh dunia
– Slogan: Impossible is Nothing (Mustahil tidak bermakna apa-apa/ tiada yang mustahil)

Sumber: Buku How They Started: Global Brands

Eh Eh Bazaar Mega Bazaar (Pengalaman dengan Artis/Selebriti)

Berakhir sudah Eh Eh Bazaar yang dianjurkan di MAEPS Serdang selama dua hari (21-22 Jun 2014). Bertambah lagi pengalaman saya sebagai antara yang terlibat sebagai pekerja yang menjaga booth. Ternyata kali ini ada sesuatu yang berbeza. Paling ketara apabila program ini turut disertai lebih daripada 50 artis/selebriti tempatan. Hal ini yang mendorong saya untuk menukilkan sedikit sebanyak kisahnya.

Sebelum bermulanya program ini, terasa teruja dalam hati nak melihat dan bertemu sendiri dengan mereka yang biasanya saya tonton di kaca televisyen atau lihat di dada akhbar. Teringat juga pengalaman semasa membuka booth selama sepuluh hari di E Curve Mutiara Damansara beberapa bulan lepas. Ramai juga artis. Ada yang memang berkunjung sendiri ke booth antaranya Sharifah Aleya dan Isma Daniel. Ada juga sekadar saya lihat dari jauh seperti Kaza dan Raja Azura. Ada pula yang singgah sebentar kemudian berlalu dengan menghadiahkan senyuman manis iaitu Talha Harith. Ketika itu saya sedar bahawa diri saya ini bukan peminat yang mampu menunjukkan minat kepada selebriti secara terbuka. Walaupun mereka di depan mata, saya melayan seperti biasa dan sememangnya mereka jua manusia biasa.

Tatkala menempuhi dua hari di MAEPS tempoh hari, mengukuhkan lagi persepsi saya tentang diri sendiri. Ternyata, saya lebih suka melihat dari jauh. Lagi pun, kedatangan saya untuk bekerja. Saya tetap rasa gembira dapat melihat para artis dan selebriti tanah air turun padang menjayakan program ini. Hampir kesemuanya mempunyai atau terlibat dengan perniagaan di booth tertentu.

Sederet dengan booth saya, Adi Putra tampak komited mempromosi baju Melayu dan jubahnya sambil melayani para peminat. Gayanya sesegak dan setenang yang saya lihat di kaca tv. Sempat saya berbalas senyuman dengan Dina Nazir yang berjalan bersama temannya. Ketika pandangan pertama, saya kurang yakin itu adalah dia tapi apabila terdengar percakapannya saya amat cam suara manja penyampai radio Era itu. Terserempak dengan Corrie Lee juga membuat saya tersenyum lebar. Dengan gaya sederhana, berjalan-jalan sendirian, membalas senyuman saya dengan wajah ceria. Sejak dulu, saya amat gemar lakonan aksinya.

Nadia Mustafa berkunjung sendiri ke booth untuk bertanya tentang harga produk. Saya sekadar bertegur sapa. Rupa-rupanya booth beliau selang beberapa booth saja dengan kami. Produk kesihatan dan kecantikan katanya. Nadia sendiri tampak agak kurus. Moga dia sentiasa sihat bersama keluarga.

Di booth bertentangan yang mempromosi pakej kedai atas talian, saya ada ternampak Arash Mohamad singgah bergambar. Beliau membuka booth sendiri tapi tak pastilah di sebelah mana dan menjual apa dek kerana banyaknya booth di sini.

Agak menarik melihat Izzue Islam berjalan laju melalui booth saya tapi terpaksa berhenti apabila ada peminat wanita yang hendak bergambar. Ternyata, dengan topi dan kaca mata hitam, gaya rangginya terus menarik perhatian. Adatlah selebriti, kena luang masa layan peminat walaupun nak cepat.

Tengahari di medan makan, mata saya cepat saja menangkap kelibat Azad. Suami Eira Syazira ini memang bergaya sempoi saja. Pelakon komedi, Enot turut membuka booth menjual kek dan biskut. Laris nampaknya. Moga terus murah rezeki.

Ketika balik ke booth selepas solat Zohor, saya membantu bos yang sibuk menyediakan produk. Seseorang datang ke booth dan kata bos saya, itulah pelanggan kami. Hafiz Hamidun rupanya. Terima kasih sebab sudi membeli beanbag kami.

Di pentas utama sentiasa meriah dengan aturcara tertentu. Persembahan artis tidak ketinggalan diselang-seli dengan promosi produk mereka. Bienda dan Heliza dengan tutorial hijabnya. Bagio pula duta pemadam api dalam kereta. Masing-masing petah berbicara.

Ketika berjalan-jalan mengunjungi booth lain, mata saya menangkap saja kelibat artis kita. Terkejut juga saat terpandang seorang pelakon lelaki segak berjubah. Tinggi betul orangnya. Fadzrin, kali terakhir saya menonton lakonannya melalui drama Aku Isterinya sebagai Shamil. Saya turut melihat dari jauh Arja Lee. Seperti biasa segak kemas. Baru saja pada pagi itu saya menonton drama lakonannya. Semasa menonton drama Ramadhan yang Hilang yang ditayangkan tahun lepas, saya langsung tak perasan Arja antara pelakonnya. Sudah rezeki beliau untuk dikenali melalui drama Ariana Rose. Saya akui lebih menggemari wataknya sebagai antagonis bergaya berbanding pelajar kolej yang baik.

Pasangan suami isteri, Khai dan Rosma turut membuka booth. Mulanya saya terpandang bunting promosi dengan gambar mereka sebagai duta. Bila berpaling, kelihatan kedua-duanya ada di situ. Bagai pinang dibelah dua, molek bersama.

Dari booth yang terletak paling belakang, saya boleh mendengar persembahan para artis walaupun tidak melihat dari dekat. Kedengaran suara Sharifah Zarina mendendangkan lagu Langit ke-7. Tidak lama kemudian, ketika saya nak ke surau ternampak beliau sibuk mempromosi kek di ruang legar sebelah pentas. Comel bertudung.

Ada yang sekadar saya dengar suaranya. Datuk Jalaludin Hassan bersemangat mempromosi sambal hijau. Siti Saidah pun ada membuat persembahan. Lunak suaranya menyanyikan lagu Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak lupa, kehadiran jutawan online, Irfan Khairi yang merupakan antara penaja program. Beliau meluangkan masa berkongsi tips keusahawanan di pentas utama. Walaupun bukan pelakon mahupun penyanyi, beliau mempunyai peminat tersendiri. Apatah lagi orangnya ada rupa.

Begitulah pengalaman tak seberapa tapi pada saya ada nilainya sehingga terpanggil hendak mengabadikannya di sini. Semoga para peniaga dan usahawan di Malaysia terus berdaya saing bagi memantapkan ekonomi diri, keluarga dan negara.

Grand Stand Suria: Sukan Santai

Saya bukanlah peminat setia mana-mana pasukan atau sukan tertentu. Malah suatu ketika dulu saya tak suka tengok berita sukan. Namun beberapa tahun kebelakangan ini entah kenapa berita sukan pula yang menarik perhatian.

Grand Stand Suria, segmen dalam Suria fm yang bersiaran pada hujung minggu memiliki sesuatu yang membuat saya berminat untuk terus mendengar. Juruhebahnya, Naim dan Wan Ajaib mempunyai gaya bersahaja. Santai dan menghiburkan serta informatif.

Sepanjang segmen ini, lagu-lagu pilihan agak berbeza daripada segmen lain. Bersemangat rasanya apabila mendengar lagu-lagu pasukan bola sepak setiap negeri seperti Hijau Kuning, Hobinh Jang Hobinh dan Puteri Santubong. Paling digemari tentunya lagu Harimau Malaya. Begitu juga Suara Generasiku dan Bangkit.

Ternyata Suria fm menepati tagline “Menceriakan Duniamu”. Moga terus sukses dengan barisan juruhebah yang komited dan segmen yang menarik.

“Berhati-berhati memandu kerana kami sayangkan anda…” Naim dan Wan Ajaib

Abang Long Fadil : Aksi Bertenaga

Sudah lama rasanya tidak menonton filem di pawagam. Kali terakhir beberapa bulan lepas. Itupun filem Hollywood yang saya tak rasa nak ulas apa-apa. Hari ini menonton bersama teman dan ternyata filem tempatan tidak mengecewakan.

Abang Long Fadil arahan Shafiq Yusof menampilkan Zizan Razak sebagai tonggak utama. Watak utama ini dikembangkan berdasarkan watak pembantu dalam filem KL Gangster. Apabila disebut saja Zizan pasti elemen komedi tidak dapat dipisahkan.

Jalan cerita yang menarik ditambah dengan aksi-aksi bertenaga. Saya tabik pada barisan pelakon aksi, baik yang muda apatah lagi yang lebih berpengalaman. Pasti ada suara-suara yang mengatakan aksi dalam filem ini mengarut, bohong dan entah apa-apa tapi untuk saya tiada yang mustahil. Terutamanya melibatkan kekuatan manusia. Lagipun, kalau filem dari luar yang memaparkan cerita yang fantasi, tak masuk akal dan tahyul boleh dilayan, kenapa tidak filem tempatan.

Pada pandangan saya, Abang Long Fadil mengetengahkan isu realiti yang digarap dengan baik. Sedikit sebanyak saya ternampak-nampak pengaruh filem Hong Kong seperti Kung Fu Hustle. Zizan ala-ala Stephen Chow pula. Namun, masih mengekalkan identiti Malaysia.

Mungkin ada yang membandingkan cara pembikinan filem antara Syamsul dengan Shafiq. Ternyata walaupun adik beradik, masing-masing memiliki gaya tersendiri.

Kelihatannya Shafiq gemar bermain dengan elemen psikologi. Jika dalam filem Saya Amat Mencintaimu (SAM), watak utamanya mempunyai masalah halusinasi keterlaluan, Abang Long Fadil pula selalu berimaginasi dan terbawa-bawa dengan kelibat kawan baiknya aitu Malik (Aaron Aziz).

Saya amat tertarik dengan watak tiga pendekar. Ada gaya dan karakter tersendiri. Tidak lupa watak Adam dan Acai. Kamal Adli tampak tidak kekok beraksi. Tentu sekali hero Bio-Nik ini sudah biasa. Tauke pula mampu menjayakan wataknya dengan baik, keluar dari zon lawak Jambu.

Terdapat juga babak-babak selingan yang mencuit hati. Kemunculan watak-watak yang mengingatkan kita pada filem Bohsia, KL Drift dan Gerak Khas memang tanpa diduga. Begitu juga Bumble Bee Transformer dan Iron Man versi Malaysia.

Satu perasaan yang tidak dapat saya elak adalah berasa sebak tatkala melihat kebangkitan orang-orang Kampung Berani melawan Shark. Menyentuh hati.

Bercakap tentang babak kegemaran, saya memilih babak Adam dan Acai berlawan. Sama kuat, sama hebat. Aksi kelakar pun tidak ketinggalan.

Secara keseluruhannya, Abang Long Fadil sebuah filem yang menghiburkan. Jika anda hendak menontonnya, buka fikiran dan jangan membandingkannya dengan filem luar. Sampai bila pun takkan sama kerana filem kita wajah kita.

Tahniah kepada warga Skop Production!