Eh Eh Bazaar Mega Bazaar (Pengalaman dengan Artis/Selebriti)

Berakhir sudah Eh Eh Bazaar yang dianjurkan di MAEPS Serdang selama dua hari (21-22 Jun 2014). Bertambah lagi pengalaman saya sebagai antara yang terlibat sebagai pekerja yang menjaga booth. Ternyata kali ini ada sesuatu yang berbeza. Paling ketara apabila program ini turut disertai lebih daripada 50 artis/selebriti tempatan. Hal ini yang mendorong saya untuk menukilkan sedikit sebanyak kisahnya.

Sebelum bermulanya program ini, terasa teruja dalam hati nak melihat dan bertemu sendiri dengan mereka yang biasanya saya tonton di kaca televisyen atau lihat di dada akhbar. Teringat juga pengalaman semasa membuka booth selama sepuluh hari di E Curve Mutiara Damansara beberapa bulan lepas. Ramai juga artis. Ada yang memang berkunjung sendiri ke booth antaranya Sharifah Aleya dan Isma Daniel. Ada juga sekadar saya lihat dari jauh seperti Kaza dan Raja Azura. Ada pula yang singgah sebentar kemudian berlalu dengan menghadiahkan senyuman manis iaitu Talha Harith. Ketika itu saya sedar bahawa diri saya ini bukan peminat yang mampu menunjukkan minat kepada selebriti secara terbuka. Walaupun mereka di depan mata, saya melayan seperti biasa dan sememangnya mereka jua manusia biasa.

Tatkala menempuhi dua hari di MAEPS tempoh hari, mengukuhkan lagi persepsi saya tentang diri sendiri. Ternyata, saya lebih suka melihat dari jauh. Lagi pun, kedatangan saya untuk bekerja. Saya tetap rasa gembira dapat melihat para artis dan selebriti tanah air turun padang menjayakan program ini. Hampir kesemuanya mempunyai atau terlibat dengan perniagaan di booth tertentu.

Sederet dengan booth saya, Adi Putra tampak komited mempromosi baju Melayu dan jubahnya sambil melayani para peminat. Gayanya sesegak dan setenang yang saya lihat di kaca tv. Sempat saya berbalas senyuman dengan Dina Nazir yang berjalan bersama temannya. Ketika pandangan pertama, saya kurang yakin itu adalah dia tapi apabila terdengar percakapannya saya amat cam suara manja penyampai radio Era itu. Terserempak dengan Corrie Lee juga membuat saya tersenyum lebar. Dengan gaya sederhana, berjalan-jalan sendirian, membalas senyuman saya dengan wajah ceria. Sejak dulu, saya amat gemar lakonan aksinya.

Nadia Mustafa berkunjung sendiri ke booth untuk bertanya tentang harga produk. Saya sekadar bertegur sapa. Rupa-rupanya booth beliau selang beberapa booth saja dengan kami. Produk kesihatan dan kecantikan katanya. Nadia sendiri tampak agak kurus. Moga dia sentiasa sihat bersama keluarga.

Di booth bertentangan yang mempromosi pakej kedai atas talian, saya ada ternampak Arash Mohamad singgah bergambar. Beliau membuka booth sendiri tapi tak pastilah di sebelah mana dan menjual apa dek kerana banyaknya booth di sini.

Agak menarik melihat Izzue Islam berjalan laju melalui booth saya tapi terpaksa berhenti apabila ada peminat wanita yang hendak bergambar. Ternyata, dengan topi dan kaca mata hitam, gaya rangginya terus menarik perhatian. Adatlah selebriti, kena luang masa layan peminat walaupun nak cepat.

Tengahari di medan makan, mata saya cepat saja menangkap kelibat Azad. Suami Eira Syazira ini memang bergaya sempoi saja. Pelakon komedi, Enot turut membuka booth menjual kek dan biskut. Laris nampaknya. Moga terus murah rezeki.

Ketika balik ke booth selepas solat Zohor, saya membantu bos yang sibuk menyediakan produk. Seseorang datang ke booth dan kata bos saya, itulah pelanggan kami. Hafiz Hamidun rupanya. Terima kasih sebab sudi membeli beanbag kami.

Di pentas utama sentiasa meriah dengan aturcara tertentu. Persembahan artis tidak ketinggalan diselang-seli dengan promosi produk mereka. Bienda dan Heliza dengan tutorial hijabnya. Bagio pula duta pemadam api dalam kereta. Masing-masing petah berbicara.

Ketika berjalan-jalan mengunjungi booth lain, mata saya menangkap saja kelibat artis kita. Terkejut juga saat terpandang seorang pelakon lelaki segak berjubah. Tinggi betul orangnya. Fadzrin, kali terakhir saya menonton lakonannya melalui drama Aku Isterinya sebagai Shamil. Saya turut melihat dari jauh Arja Lee. Seperti biasa segak kemas. Baru saja pada pagi itu saya menonton drama lakonannya. Semasa menonton drama Ramadhan yang Hilang yang ditayangkan tahun lepas, saya langsung tak perasan Arja antara pelakonnya. Sudah rezeki beliau untuk dikenali melalui drama Ariana Rose. Saya akui lebih menggemari wataknya sebagai antagonis bergaya berbanding pelajar kolej yang baik.

Pasangan suami isteri, Khai dan Rosma turut membuka booth. Mulanya saya terpandang bunting promosi dengan gambar mereka sebagai duta. Bila berpaling, kelihatan kedua-duanya ada di situ. Bagai pinang dibelah dua, molek bersama.

Dari booth yang terletak paling belakang, saya boleh mendengar persembahan para artis walaupun tidak melihat dari dekat. Kedengaran suara Sharifah Zarina mendendangkan lagu Langit ke-7. Tidak lama kemudian, ketika saya nak ke surau ternampak beliau sibuk mempromosi kek di ruang legar sebelah pentas. Comel bertudung.

Ada yang sekadar saya dengar suaranya. Datuk Jalaludin Hassan bersemangat mempromosi sambal hijau. Siti Saidah pun ada membuat persembahan. Lunak suaranya menyanyikan lagu Datuk Siti Nurhaliza.

Tidak lupa, kehadiran jutawan online, Irfan Khairi yang merupakan antara penaja program. Beliau meluangkan masa berkongsi tips keusahawanan di pentas utama. Walaupun bukan pelakon mahupun penyanyi, beliau mempunyai peminat tersendiri. Apatah lagi orangnya ada rupa.

Begitulah pengalaman tak seberapa tapi pada saya ada nilainya sehingga terpanggil hendak mengabadikannya di sini. Semoga para peniaga dan usahawan di Malaysia terus berdaya saing bagi memantapkan ekonomi diri, keluarga dan negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s