Archive | Julai 2014

Pantun Mengingat Allah

Air mengalir ke dalam kolam,
Mengalir laju menenang jiwa;
Alunkan zikir luar dan dalam,
Membuka pintu rahmat Yang Esa.

Lebat hujan angin kencang,
Daun kelapa serong terberat;
Biar badan sudah pincang,
Allah sahaja tempat munajat.

Hening malam tak berbintang,
Lepas hujan langit kelam;
Dalam alam luas terbentang,
Kuasa Tuhan tidak tenggelam.

Dua Syawal mentari terang,
Hangat terasa awal pagi;
Biar awal kita sembahyang,
Baru bahagia tenang hati.

Advertisements

Aura Karya Klasik (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck)

Mendengar lagu Menunggu Karma dendangan Nidji yang kerap berkumandang melalui siaran radio Suria FM kebelakangan ini seolah-olah menimbulkan suatu tarikan. Tambah nyata tatkala saya mengetahui bahawa lagu tersebut merupakan lagu tema untuk filem adaptasi novel, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Nidji sendiri memberitahu ketika mereka menjadi tetamu segmen Celebrity Room di Ceria Pagi Suria.

Setelah itu, semakin saya menghayati bait lirik lagu tersebut dan hanyut dek alunan muzik uniknya. Terlintas nama Zainuddin dan Hayati, watak utama penghidup cerita itu. Terbayang dalam benak gambar muka depan sebuah novel yang lembarannya kuning dan kasar, menunjukkan sebuah kapal laut separuh karam dimamah lautan. Saya pernah membaca novel ini lebih lima tahun lalu di mana waktu itu saya di peringkat sekolah menengah.

Apabila mendengar lagu Menunggu Karma, timbul keinginan hendak membaca semula novel nukilan HAMKA ini. Kepulangan ke kampung halaman sempena Aidilfitri saya pergunakan untuk membuka semula lembaran usang tersebut, novel tinggalan arwah Pak Long. Ternyata, dengan peningkatan usia dan pertambahan pengalaman, sangat berbeza perasaan yang saya rasai ketika menyusuri setiap plot. Pemahaman pun tidak sesingkat dulu. Lebih banyak perkataan atau istilah yang digunakan penulis Indonesia ini dapat saya tangkap maksudnya. Saya juga lebih tekun menghayati pengisahan adat Minangkabau yang berkait rapat dengan negeri tempat saya menetap iaitu Negeri Sembilan. Maka, semakin terkesan juga kisah cinta tragis ini dalam sanubari.

Sepanjang membaca, terdapat bait-bait yang menarik hati saya yang terasa hendak dikongsikan pada sesiapa yang berminat. Tidak bermaksud langsung saya mahu menciplak karya popular ini untuk ditampal pada laman blog saya sebaliknya berhasrat mengekspresi diri sahaja. Saya mengeluarkan dialog nukilan penulis sebenar-benarnya tanpa diubah apapun. Kata-kata daripada watak yang menusuk ke dalam jiwa, memberi makna tertentu dalam menyampaikan pendirian penulis. Ada sindiran. Ada ilmu. Ada buat renungan.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck-HAMKA
Penerbitan Pustaka Antara
Cetakan 1983

– Cinta bukan melemahkan hati, bukan pembawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan. Berangkatlah! Dan biarlah Tuhan memberi perlindungan bagi kita. (Hayati)

– Kalau demikian memang berlain sekali pendirian kita perkara cinta, Hayati. Kau terlalu dibuaikan angan-angan. Kalau bagi saya, sekiranya datang malaikat dari langit, mengaku sudi menjadi kecintaanku, dibawanya sebuah sangkar dari mas, cukup pakaian dari sutera ainal benaat, bermahkotakan intan baiduri, kemerdekaan ku dirampas, dan aku wajib tinggal selama-lamanya dalam sangkar mas itu; jika aku bernyanyi hanya untuk dia, jika aku bersiul hanya didengarnya, aku diikat, dipaksa turut ikatan itu. Maka terima kasih bagi malaikat, selamat jalan bagi sangkar mas, selamat pergi bagi mahkota baiduri. Bagiku, bebas menurutkan kata hati, di bawah perintah diri seorang, itulah tujuan yang paling tinggi di dunia ini. (Khadijah)

– Kalau perkahwinan hanya dipertalikan oleh harta benda, tidak juga akan berubah sifatnya dari pelacuran yang biasa, cuma bernama nikah sebab berakad saja. Orang perempuan yang menyerahkan diri kepada suami lantaran suami itu berharta, samalah dengan perempuan lacur yang menjual kehormatannya, bahkan lebih buruk dari perempuan lacur, sebab perempuan itu menjatuhkan harga dirinya kerana hendak mencari sepinggan nasi, tetapi si isteri ini memberikan diri kerana mengejar harta. Kerana mengharapkan gelang emas, dokoh berlian, baju cantik, selendang bagus. Coba kalau si suami itu jatuh miskin. Ya Allah! Terbuka jalan ke rumah tuan kadi, meminta khulu’ dan fasakh, meminta cerai dan talak. Mereka buangkan suami itu sebagai membuangkan daun pisang yang dikait di tepi jalan sebab tak berpayung di ketika hari hujan, dan bila hujan reda, daun tiupan tercampaklah di tepi jalan, diinjak-injak orang lalu. Jangan terlintas dalam hatimu, bahawa di dunia ada satu kebahagiaan selain cinta, celakalah diri kau. Kau menjatuhkan hukuman mati ke atas diri kau sendiri! (Zainuddin)

– Orang yang bercela di dalam dunia ini hanya bertiga saja. Pertama orang dengki, yang selalu merasa sakit hati melihat orang diberi Allah nikmat. Kesakitan hatinya itulah yang menyebabkan dia celaka, padahal nikmat Allah tak dapat dihapuskan oleh tangan manusia. Kedua orang yang tamak dan loba, yang sentiasa merasa belum cukup dengan apa yang telah ada dalam tangannya, selalu menyesal, mengomel, pada hal yang akan didapatnya tidak akan lebih daripada yang telah ditentukan Allah dalam kudrat-Nya. Ketiga orang berdosa yang terlepas dari tangan hakim, kerana pencurian atau pembunuhan, kerana memperkosa anak bini orang. Orang yang begini, meskipun terlepas dari jaringan undang-undang, tidak juga akan merasai nikmat sedikitpun ke mana juga dia pergi. Kesalahan dan tangannya yang berdarah selalu terbayang-bayang di ruangan matanya. Polis serasa-rasa mengejarnya juga. Di mana orang berbisik-bisik, disangkakannya memperkatakan hendak menangkapnya juga. (Muluk)

Tidak hairanlah apabila diadaptasi ke filem, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck menjadi filem pecah panggung. Lagu temanya juga digemari ramai kerana memiliki jiwa karakter. Bagi mereka yang tahu kisah cinta ini pasti dapat membayangkan situasi yang dilalui oleh watak-wataknya apabila mendengar lagu Menunggu Karma.

Apa yang saya nampak, lagu berkenaan berat kepada perihal dan sudut perasaan watak Zanuddin; anak tak bersuku, bercita-cita besar tapi dilamun cinta sampai bawa melara, mengharap setia sang kekasih, dikecewakan hingga rebah tersungkur separuh mati, kemudian bangkit mencipta nama sampailah takdir mempertemukan mereka semula tapi dendam memusnah rasa. Namun akhirnya cinta terpatri kembali walaupun disusuli kematian Hayati seterusnya Zainuddin sendiri.

Sememangnya, karya klasik ini punya aura tersendiri. Biarpun puluhan tahun telah berlalu tetap relevan kandungannya. Bukan picisan. Bukan murahan. Sarat pengajaran.

Pantun Aidilfitri 2014

Badminton tenis guna raket,
Ragbi hoki ada bola;
Senyum manis lebarkan sikit,
Aidilfitri bakal menjelma.

Adik sayang berfesyen melaram,
Abang sayang suka sejarah;
Lebaran mendatang ku kirim salam,
Syawal menjelang disambut meriah.

*Salam Aidilfitri khas buat penyampai Ceria Pagi Suria dan Grand Stand Suria, Suria FM.

Pantun Ramadhan Lebaran 2014

Satu kosong tujuh di Seremban,
Gelombang radio tidak dilupa;
Berkat penuh dalam Ramadhan,
Lebaran mulia bakal menjelma.

Dari Seremban terus ke Kulim,
Jalan berteman sampai ke petang;
Salam Ramadhan jauh dikirim,
Moga lebaran selamat menjelang.

Dari Seremban ke Paya Besar,
Dara pinggitan berbaju kebaya;
Salam Ramadhan penuh sinar,
Moga lebaran indah bahagia.

Dari Seremban ke Sungai Petani,
Hari cerah sepanjang jalan;
Salam Ramadhan tulus murni,
Moga indah mendatang lebaran.

Dari Seremban ke Sungai Petani,
Singgah Tapah untuk berehat;
Salam Ramadhan tulus murni,
Lebaran indah kemenangan berkat.

Doa Iftitah pemula bacaan,
Salam ke kiri akhiri solat;
Ramadhan indah menggamit kenangan,
Awal hujungnya mengharap berkat.

Negeri Sembilan sampai Kedah,
Mudah jalanan di lebuh raya;
Salam Ramadhan penuh barakah,
Moga lebaran penuh bahagia.

What is Strategic Management?

What is Strategic Management?
*Memahami Pengurusan Strategik*
– what?: consist of the analyses, decisions and actions
* – apa?: melibatkan analisis, membuat keputusan dan tindakan*
– why?: to create and sustain competitive advantages
* – mengapa?: untuk mencipta dan mengekalkan kelebihan persaingan*
– when?: ongoing processes
* – bila?: proses berterusan*
– who?: managers
* – siapa?: para pengurus*
– how?: analyse the internal and external environment of the organization – formulate strategies – implement the strategies
* – bagaimana?: menganalisis persekitaran dalaman dan luaran organisasi – merancang strategi – melaksanakan strategi *