Aura Karya Klasik (Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck)

Mendengar lagu Menunggu Karma dendangan Nidji yang kerap berkumandang melalui siaran radio Suria FM kebelakangan ini seolah-olah menimbulkan suatu tarikan. Tambah nyata tatkala saya mengetahui bahawa lagu tersebut merupakan lagu tema untuk filem adaptasi novel, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Nidji sendiri memberitahu ketika mereka menjadi tetamu segmen Celebrity Room di Ceria Pagi Suria.

Setelah itu, semakin saya menghayati bait lirik lagu tersebut dan hanyut dek alunan muzik uniknya. Terlintas nama Zainuddin dan Hayati, watak utama penghidup cerita itu. Terbayang dalam benak gambar muka depan sebuah novel yang lembarannya kuning dan kasar, menunjukkan sebuah kapal laut separuh karam dimamah lautan. Saya pernah membaca novel ini lebih lima tahun lalu di mana waktu itu saya di peringkat sekolah menengah.

Apabila mendengar lagu Menunggu Karma, timbul keinginan hendak membaca semula novel nukilan HAMKA ini. Kepulangan ke kampung halaman sempena Aidilfitri saya pergunakan untuk membuka semula lembaran usang tersebut, novel tinggalan arwah Pak Long. Ternyata, dengan peningkatan usia dan pertambahan pengalaman, sangat berbeza perasaan yang saya rasai ketika menyusuri setiap plot. Pemahaman pun tidak sesingkat dulu. Lebih banyak perkataan atau istilah yang digunakan penulis Indonesia ini dapat saya tangkap maksudnya. Saya juga lebih tekun menghayati pengisahan adat Minangkabau yang berkait rapat dengan negeri tempat saya menetap iaitu Negeri Sembilan. Maka, semakin terkesan juga kisah cinta tragis ini dalam sanubari.

Sepanjang membaca, terdapat bait-bait yang menarik hati saya yang terasa hendak dikongsikan pada sesiapa yang berminat. Tidak bermaksud langsung saya mahu menciplak karya popular ini untuk ditampal pada laman blog saya sebaliknya berhasrat mengekspresi diri sahaja. Saya mengeluarkan dialog nukilan penulis sebenar-benarnya tanpa diubah apapun. Kata-kata daripada watak yang menusuk ke dalam jiwa, memberi makna tertentu dalam menyampaikan pendirian penulis. Ada sindiran. Ada ilmu. Ada buat renungan.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck-HAMKA
Penerbitan Pustaka Antara
Cetakan 1983

– Cinta bukan melemahkan hati, bukan pembawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan. Berangkatlah! Dan biarlah Tuhan memberi perlindungan bagi kita. (Hayati)

– Kalau demikian memang berlain sekali pendirian kita perkara cinta, Hayati. Kau terlalu dibuaikan angan-angan. Kalau bagi saya, sekiranya datang malaikat dari langit, mengaku sudi menjadi kecintaanku, dibawanya sebuah sangkar dari mas, cukup pakaian dari sutera ainal benaat, bermahkotakan intan baiduri, kemerdekaan ku dirampas, dan aku wajib tinggal selama-lamanya dalam sangkar mas itu; jika aku bernyanyi hanya untuk dia, jika aku bersiul hanya didengarnya, aku diikat, dipaksa turut ikatan itu. Maka terima kasih bagi malaikat, selamat jalan bagi sangkar mas, selamat pergi bagi mahkota baiduri. Bagiku, bebas menurutkan kata hati, di bawah perintah diri seorang, itulah tujuan yang paling tinggi di dunia ini. (Khadijah)

– Kalau perkahwinan hanya dipertalikan oleh harta benda, tidak juga akan berubah sifatnya dari pelacuran yang biasa, cuma bernama nikah sebab berakad saja. Orang perempuan yang menyerahkan diri kepada suami lantaran suami itu berharta, samalah dengan perempuan lacur yang menjual kehormatannya, bahkan lebih buruk dari perempuan lacur, sebab perempuan itu menjatuhkan harga dirinya kerana hendak mencari sepinggan nasi, tetapi si isteri ini memberikan diri kerana mengejar harta. Kerana mengharapkan gelang emas, dokoh berlian, baju cantik, selendang bagus. Coba kalau si suami itu jatuh miskin. Ya Allah! Terbuka jalan ke rumah tuan kadi, meminta khulu’ dan fasakh, meminta cerai dan talak. Mereka buangkan suami itu sebagai membuangkan daun pisang yang dikait di tepi jalan sebab tak berpayung di ketika hari hujan, dan bila hujan reda, daun tiupan tercampaklah di tepi jalan, diinjak-injak orang lalu. Jangan terlintas dalam hatimu, bahawa di dunia ada satu kebahagiaan selain cinta, celakalah diri kau. Kau menjatuhkan hukuman mati ke atas diri kau sendiri! (Zainuddin)

– Orang yang bercela di dalam dunia ini hanya bertiga saja. Pertama orang dengki, yang selalu merasa sakit hati melihat orang diberi Allah nikmat. Kesakitan hatinya itulah yang menyebabkan dia celaka, padahal nikmat Allah tak dapat dihapuskan oleh tangan manusia. Kedua orang yang tamak dan loba, yang sentiasa merasa belum cukup dengan apa yang telah ada dalam tangannya, selalu menyesal, mengomel, pada hal yang akan didapatnya tidak akan lebih daripada yang telah ditentukan Allah dalam kudrat-Nya. Ketiga orang berdosa yang terlepas dari tangan hakim, kerana pencurian atau pembunuhan, kerana memperkosa anak bini orang. Orang yang begini, meskipun terlepas dari jaringan undang-undang, tidak juga akan merasai nikmat sedikitpun ke mana juga dia pergi. Kesalahan dan tangannya yang berdarah selalu terbayang-bayang di ruangan matanya. Polis serasa-rasa mengejarnya juga. Di mana orang berbisik-bisik, disangkakannya memperkatakan hendak menangkapnya juga. (Muluk)

Tidak hairanlah apabila diadaptasi ke filem, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck menjadi filem pecah panggung. Lagu temanya juga digemari ramai kerana memiliki jiwa karakter. Bagi mereka yang tahu kisah cinta ini pasti dapat membayangkan situasi yang dilalui oleh watak-wataknya apabila mendengar lagu Menunggu Karma.

Apa yang saya nampak, lagu berkenaan berat kepada perihal dan sudut perasaan watak Zanuddin; anak tak bersuku, bercita-cita besar tapi dilamun cinta sampai bawa melara, mengharap setia sang kekasih, dikecewakan hingga rebah tersungkur separuh mati, kemudian bangkit mencipta nama sampailah takdir mempertemukan mereka semula tapi dendam memusnah rasa. Namun akhirnya cinta terpatri kembali walaupun disusuli kematian Hayati seterusnya Zainuddin sendiri.

Sememangnya, karya klasik ini punya aura tersendiri. Biarpun puluhan tahun telah berlalu tetap relevan kandungannya. Bukan picisan. Bukan murahan. Sarat pengajaran.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s