Archive | Ogos 2014

Pantun Rindu Sahabat

Merah jambu bertindih biru,
Kain lembut dibuat tudung;
Salam rindu berlingkar rindu,
Moga bertaut terus bersambung.

Sinar kerongsang berbalik cahaya,
Permata biru jadi hiasan;
Kasih dan sayang tiada hujungnya,
Teman nan satu dalam ingatan.

Advertisements

Menjahit Merdeka

Seindah selembut baldu
terhampar luas
merah putih kuning biru.
Gah megah selama lima puluh tujuh tahun.
Bernaung di bawahnya
aku menadah penuh syukur
menikmati limpah kurnia.

Ku isi sekoci dengan benang ketaatan
sekuat nilon.
Mencantum kain-kain kesetiaan dan kedaulatan.
Mencipta keluhuran bersulam kesopanan.
Dihiasi manik bersinar kesusilaan.

Biar terpercik kotoran tragedi.
Tiadalah rosak kecantikan kemerdekaan ini.
Dicuci dengan buih perpaduan
kental menghapuskan segala tohmahan.
Dibilas dengan air penuh semangat keberanian.
Diharumi semerbak wangian rahmat Tuhan yang tercurah di segenap negeri.

Baldu merdeka ini takkan luntur.
Sebagai pakaian pelindung badan.
Sebagai payung penaung rumah.
Sebagai alas pelapik duduk.
Kekal utuh sampai bila-bila
kerana di sini lahirnya cinta.

Pantun Kesyukuran

Terang mentari lepas hujan,
Langit biru awan memutih;
Senangnya hati nikmat berlimpahan,
Tiada buntu dilingkar kasih.

Merpati kelabu terbang rendah,
Hinggap sekawan mencari makanan;
Syukur pada-Mu duhai Allah,
Nafas berpanjangan dalam kesihatan.

Jalan basah hujan semalam,
Rumput menghijau segar di tepi;
Rahmat Allah takkan terpadam,
Tidak terlangkau akal sendiri.

Pantun Rindu Sayang

Hari mendung langit kelabu,
Tujuh Syawal pulang ke bandar;
Kalau murung dilanda rindu,
Peluk bantal tanpa disedar.

Angin petang membelai pipi,
Bandar Seremban sibuk selalu;
Kerana sayang aku di sini,
Menanti tuan datang bersatu.