Archive | Oktober 2014

Pantun Memendam Rasa

Kelam malam tak berbintang,
Sunyi sepi tiada orang;
Lama terpendam lara sebidang,
Sakit hati bukan kepalang.

Biar pungguk merindu bulan,
Bulan jauh tidak tercapai;
Biar ku tanggung kepedihan,
Masa menyembuh akan sampai.

Pohon bergoyang ditiup angin,
Gugur daunan kering sudah;
Enggan dibayang walau teringin,
Jodoh pertemuan tentuan Allah.

Advertisements

Berkata Tentang…

Kenangan
ertinya telah berlalu.
Masa depan
hanya mampu ditunggu.
Apa yang tinggal dalam kalbu ini?
Kadang terasa ada sesuatu yang hilang.
Kadang terfikir ada sesuatu yang kurang
atau mungkin wajar aku terus biarkan pergi.

Segala yang ditempuhi
ada hikmah.
Itu yang cuba ku cari gali
bagi memujuk hati sendiri.
Enggan berasa kebergantungan pada yang tidak layak
kerana aku manusia yang miliki hak.

Menapak dengan impian
biar dituduh bukan-bukan
biar disalahertikan
biar dipandang rendah
biar tiada yang endah.
Bukan mereka penjamin.
Bukan mereka penyelamat.
Bukan mereka pencipta.
Hanya suara tanpa makna.
Hanya pandangan tak mampu meluka.
Picisan.
Anggap saja picisan buangan.

Bila rasa berbaur
sukar dibeza mana yang betul.
Berlawanan hati dengan akal.
Bercakaran perasaan dengan minda.
Sehinggalah satu mendominasi.

Berkata tentang yang lalu atau yang depan
mahupun yang sekarang
sememangnya tiada kesudahan
selagi waktu berjalan.
Aku mampu bertahan atas rahmat Tuhan.

Ya ‘Alim Ya Karim
Pemilik segala Pemerintah cakerawala.
Pada-Mu ku serah semua…

Penyampai Ceria Pagi Suria FM 2014

Setiap siaran radio mempunyai segmen pagi yang tersendiri. Biasanya, segmen pagi ini memang menjadi tumpuan. Mestilah ceria, kelakar dan bertenaga. Sebelum ini saya sudah bercerita tentang Grandstand Suria yang merupakan segmen pagi pada hujung minggu. Ceria Pagi pula bersiaran pada hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat.

Satu pembohongan jika saya katakan saya pendengar setia Suria FM. Kenapa? Sebab saya tak dengar radio 24 jam. Lagipun, saya ada juga mendengar siaran radio lain. Oleh kerana itu, saya boleh membuat perbandingan. Bagi saya, bukan pilihan lagu saja yang penting. Penyampai turut memainkan peranan untuk menghidupkan sesuatu siaran radio. Kepetahan memang ciri yang perlu. Namun, perlu diseimbangkan dengan elemen lain seperti info, lawak jenaka dan topik menarik agar ia tidak membosankan.

Penyampai bertugas bagi segmen Ceria Pagi ialah Adibah Noor dan Halim Othman. Ada kalanya Naim Tahak menjadi pengganti apabila HO tiada. Baru-baru ini, Baki Zainal pula mengambil tempat itu kerana HO bersama Suria Ford Wheels mengembara bagi mendekati peminat Suria FM.

Sememangnya pengalaman HO sebagai seorang penyampai radio tidak dapat dipertikaikan. Suaranya mampu memukau ditambah dengan bait kata yang tersusun. Seorang yang bijak berbahasa walaupun dalam situasi hendak memprovokasi. Itu yang membuatkan namanya terus mekar. Malah, beliau merupakan penyampai radio pertama yang saya ingati namanya sejak saya mula mendengar radio ketika sekolah rendah. Memiliki identiti dan personaliti tersendiri, HO mampu menjadi tokoh yang disegani suatu hari nanti.

Adibah Noor bukan nama baru dalam industri seni tanah air tapi sebagai seorang penyampai radio, beliau dikira masih hijau. Apapun, bersesuaian dengan konsep segmen pagi, beliau berjaya menyebarkan aura ceria kepada para pendengar. Gurauannya berbatas dengan tutur kata yang positif. Mungkin kerana pengalamannya sebagai seorang pensyarah. Cara beliau melayan panggilan juga amat mesra. Tentu sekali bakatnya sebagai seorang penyanyi, pelakon dan pengacara membantu beliau terus menyerlah. Sebenarnya saya menyimpan harapan untuk menonton filem atau siri animasi yang antara wataknya dibawa oleh suara beliau. Akan datang, insya-Allah. Amiin…

Bercakap tentang Baki Zainal, membuat saya kembali ke zaman persekolahan. Rasanya, saya lebih dulu mengenali nama beliau daripada Adibah Noor. Baki lebih dikenali sebagai pengacara rancangan berkonsep pengembaraan. Beliau banyak muncul di 8TV melalui rancangan berbahasa Mandarin. Itulah kelebihannya. Mula-mula saya menonton rancangan beliau dulu ketika sekolah rendah. Tajuknya saya tak ingat tapi terdapat empat orang pemuda dan hanya Baki berbangsa Melayu manakala tiga lagi Cina. Salah seorangnya Rickman yang turut menjayakan kayuhan basikal seluruh semenanjung bersama Baki dalam tahun ini. Mendengar suaranya selaku penyampai radio membuat saya sangat teruja. Pernah bersiaran bersama Adibah dan Naim, terlintas dalam hati saya alangkah bagus jika Baki mendapat peluang beraksi sepenuhnya. Ternyata itu yang terjadi. Tahniah, Baki!

Niat asal saya hendak menulis tentang segmen Ceria Pagi tapi beralih fokus pada penyampai pula. Jari-jemari ini cuma menyampaikan hasrat hati, menterjemah suara hati dan idea akal kepada tulisan. Segmen ini memang menceriakan saya. Pagi-pagi bila sampai saja di tempat kerja, terus pasang radio. Biasanya saya sempat dengar ulangan lagu mashed up.

Buat Suria FM, selamat maju jaya! Moga terus Menceriakan Dunia!

Mentari cerah di pagi hari,

Langit biru tak berawan,

Kayuh basikal pergi kerja;

Halim Othman saya hormati,

DJ Adibah cantik menawan,

Baki Zainal tidak dilupa.