Archive | Ogos 2015

Mengapa Mesti Suriafm?

Radio boleh dikatakan antara media paling lama wujud dalam dunia. Sehingga kini peranannya tetap relevan sebagai wadah penyampai maklumat dan hiburan. Sekarang kita mempunyai banyak pilihan siaran radio. Apa yang dipanggil radio kini bukan sekadar peti yang mengeluarkan suara tapi turut boleh didengari melalui telefon bimbit, siaran dalam talian dan aneka peranti lain. Ya, pilihan pelbagai. Jadi, apa yang membuatkan saya memilih Suriafm?

Artikel saya sebelum ini pun bercakap tentang Suriafm. Lagi tentang stesyen radio yang sama? Persis orang jatuh cintalah kiranya. Bila hati dah sayang, hanya ‘si dia’ sajalah yang terbayang. Dalam kes saya, saya jatuh cinta dengan Suriafm. Apa salahnya ‘kan?

Adapun artikel yang lepas-lepas saya bercerita tentang segmen Grandstand dan Ceria Pagi. Kali ini saya nak berceloteh lebih lagi. Terima kasihlah pada sesiapa yang sudi membaca. Keprihatinan, kerajinan dan fokus anda amat dihargai.

Menipu kalau saya kata saya pendengar setia Suriafm walhal saya tak dengar radio 24 jam. Malah saya ada mendengar siaran radio lain. Namun, kebanyakan masa saya mendengar radio terutama di tempat kerja, Suriafm menjadi pilihan. Kenapa? Mestilah ada sebab musababnya.

Sebenarnya, saya sangat mementingkan cara penyampaian penyampai (DJ). Paling utama adalah bahasa dan suara. Saya kurang gemar penyampai yang terlalu berbahasa ‘pasar’ terutama penggunaan kata ganti nama seperti ‘korang’. Lebih sedap didengar apabila digantikan dengan ‘anda’. Bukanlah nak skema sangat tapi perlu ada keseimbangan. Itulah sebab pertama saya memilih Suriafm. Keseimbangan antara santai dan formal itu wujud.

Dah namanya radio, mestilah berkait rapat dengan muzik. Oleh kerana saya lahir dalam tahun 1990, tentunya lagu-lagu di Suriafm menepati citarasa. Sedikit retro, dicampur rock dan balada, ditambah dengan muzik terkini maka terhasillah gandingan mantap menjadikan Suriafm pakej lengkap bagi penggemar kepelbagaian muzik seperti saya.

Sesetengah stesyen radio bernaung di bawah satu bumbung dengan stesyen televisyen. Maka, rancangan di radio tersebut banyak dipengaruhi oleh rancangan televisyen. Malah pemilihan lagu yang diputarkan juga berkait rapat. Berbeza dengan Suriafm yang tidak dipengaruhi mana-mana stesyen televisyen. Seringkali lagu-lagu baru yang tidak/belum diputarkan di stesyen radio lain tapi mendapat tempat di Suriafm. Tiada ‘kod’ atau ‘pas’ tertentu untuk melepasi corong radio ini.

Begitulah saya menjawab soalan, “mengapa mesti Suriafm?”.

Oleh kerana saya mendengar Suriafm di tempat kerja, saya lebih tertumpu pada segmen-segmen di sebelah pagi sehingga petang (8 pagi – 5 petang). Tidak dapat dinafikan, Ceria Pagi memang menceriakan pagi saya. Adibah Noor dan Baki Zainal yang sekian lama saya kenali melalui televisyen tetap berjaya menghiburkan walau sekadar bermodalkan suara. Kematangan Adibah Noor dapat mengatasi keanak-anakan Baki Zainal. Sifat selamba Baki pula dapat menghangatkan jenaka Adibah.

Tamat segmen Ceria Pagi, Ceria Suria menyusul. Dulu, Reza Mohamad pengendalinya. Memang tak kering gusi. Ramai betul ‘tetamu’ undangannya. Saya tak pernah berinteraksi dengan beliau sebab leka sangat mendengar. Kini, Brian mengambil tempat itu. Saya ada menjangka bahawa Brian akan menjadi salah seorang penyampai Suriafm apabila beliau digandingkan dengan Bob Ringgo dan Naim Tahak menggantikan Adibah Noor Dan Baki Zainal buat seketika. Pertama kali mendengar beliau keudara, suaranya seperti biasa didengar. Patutlah, seorang chef. Terus terbayang sebuah rancangan memasak kanak-kanak yang pernah saya tonton di RTM1.

Ternyata kehadiran Brian memberi impak tersendiri. Betul-betul beliau menggunakan kelebihannya dalam bidang masakan bagi menarik minat para pendengar. Selain itu, beliau mengekalkan segmen gosip artis yang dikenali sebagai ‘ceri beri’ (cerita berita) oleh Reza. Apapun, saya tertarik dengan komen Adibah Noor yang mengatakan Brian lebih ‘Melayu’ daripada Baki Zainal. Mana tidaknya, Baki menempa nama melalui rancangan berbahasa Mandarin manakala Brian sebaliknya. Sudah tentu perbendaharaan kata dan kefasihan pertuturan itu jadi berlainan mengikut kebiasaan.

Selepas waktu makan tengahari, saya ditemani Bob Ringgo yang mengendalikan segmen RnR (Relaks dan Rock!). Bob adalah penyampai yang paling relaks bagi saya. Penyampai sejati! Macam penyanyi rock, bila bercakap selamba saja tapi sedap didengar. Ada jiwa (soul). Tak perlu cakap banyak tapi berisi. Acap kali penghabisan sesuatu lagu disusuli info mengenai kumpulan berkenaan. Misalnya, vokalis tersebut pernah menjadi vokalis kumpulan lain. Atau pun lagu tersebut merupakan runut bunyi (sound track) filem tertentu. Lagi seronok apabila beliau memutarkan lagu permintaan pendengar termasuklah saya!

Pagi hujung minggu, saya ditemani ‘abang-abang pantai timur’. Tak perlulah saya nukilkan panjang-panjang di sini tentang segmen Grandstand Suria. Dah ada dua artikel sebelum ini saya bercerita mengenainya. Saya amat menghargai kerana mereka sudi mendengar (panggilan)  atau membaca (laman sosial) komen/pandangan saya berkaitan sukan walaupun saya ni bukanlah sesiapa. Sekadar pemerhati.

Banyak lagi segmen lain yang menghiasi Suriafm. Saya pun kadang kala ada mendengar Suria Cinta tapi saya bukan pendengar yang baik di waktu malam. Namun pujian layak diberikan pada Dj Lin. Aura ‘pesona cintanya’ amat menyerlah. Suara nan menggetar kalbu. Memang patut beliau memiliki ramai peminat sampai selalu dicalonkan untuk kategori Penyampai Radio Wanita Popular.

Segmen Ceria Petang oleh Linda Onn tak kurang hebatnya. Begitu juga Carta Suria 30 di petang hujung minggu. Pasti terdapat bintang jemputan.

Tidak dilupakan penyampai lain antaranya Hafiz dan Naim Hashim yang mengendalikan segmen Suria Baik Bangat dan Ucapan di Suria. Seringkali juga mereka menjadi penyampai pengganti. Bukan saja penyampai untuk segmen radio, penyampai laporan trafik pun saya suka dengar walaupun saya tak perlukannya. JC Robert dan Naim Hashim adalah suara-suara yang melaporkan situasi di jalan raya. Memang kedengaran macam mudah dan ringkas tapi sukar sebenarnya. Sesekali pernah Adibah Noor yang memberi laporan trafik. Saya asyik rasa nak tergelak, tak boleh nak fokus info yang disampaikan. Ternyata, bukan semua orang mampu lakukannya. Ayat kegemaran, “namun trafik masih perlahan kerana ramai yang menonton.”

Macam tak habis-habis pula cerita pasal Suriafm ni. Itulah tujuannya saya buat blog. Bolehlah melepaskan apa yang terbuku dalam hati. Tulis di media sosial kurang keterujaannya. Alang-alang nak meluahkan, biar panjang lebar. Terpulanglah siapa yang rajin baca. Sekali lagi, terima kasih! (Teringat lagu Terima Kasih oleh Salam Music).

Moga Suriafm terus maju jaya. Terus menceriakan dunia para pendengar. Saya sayang…….Suriafm!

Grandstand Suria: Terus Mantap!

Rancangan ini merupakan rancangan radio pertama yang saya nukilkan ulasan mengenainya melalui blog saya pada 1 Jun 2014. Langsung tidak pernah terlintas di fikiran, dalam banyak-banyak rancangan radio yang saya ikuti, rancangan mengenai sukan berjaya menimbulkan rasa teruja sehingga terdetik mengulas tentangnya secara peibadi. Biasanya, saya lebih cenderung pada dunia hiburan dan drama tv.

Kini, setelah lebih setahun, saya kembali terpanggil untuk mencoret perkembangan positif rancangan radio nan istimewa ini. Nampaknya, Grandstand Suria kian mendapat tempat di hati para pendengar. Waktu siarannya jika dahulu 6.00 pagi hingga 10.00 pagi telah ditukar kepada 9.00 pagi hingga 1.00 petang. Perubahan yang baik kerana jadual hujung minggu bagi kebanyakan orang di Malaysia bermula agak lewat berbanding hari biasa. Bagi mereka yang bekerja di hujung minggu pula, tetap dapat mengikutinya di tempat kerja.

Awal saya mengikuti Grandstand, penyampainya ialah Naim Tahak dan Wan Ajaib. Buat seketika, Naim menjadi pengendali solo. Terbaru, sehingga sekarang, Grandstand diterajui Halim Othman bersama Naim Tahak. HO tentunya bukan nama yang asing. Secara peribadi, saya lebih gemar beliau berada di meja sukan berbanding meja kopi (Ceria Pagi Suriafm). Suara dan nada bicara asalnya sudah cukup memikat telinga tanpa perlu memimik sesiapa (terutama Datuk Rahim Razali). Naim meneruskan kecemerlangannya, mengimbangi keseriusan  HO dengan watak santainya.

Pengisian Grandstand lebih mantap. Isu-isu hangat berkenaan sukan sepanjang minggu menjadi mukadimah dan dasar perbincangan. Interaksi bersama pendengar melalui panggilan telefon, laman sosial WeChat dan Facebook membuka ruang ekspresi bernas. Paling menarik, tetamu jemputan khas sama ada atlit, jurulatih atau persona berkaitan sukan negara memberi pendedahan positif kepada para pendengar.

Grandstand 2015 tidak sekadar bersiaran di dalam konti. Mereka turut beraksi di luar. Beberapa cabaran telah dilakukan oleh para penyampai termasuklah memandu di Litar Rally Sepang, latihan bomba dan Skytrex Adventure. Selain dapat mendekati pendengar/peminat, aktiviti luar sebegini tutut mempromosikan gaya hidup sihat dan dalam masa yang sama menunjukkan para penyampai bukan sekadar berceloteh melalui mikrofon konti tapi mampu beraksi di luar kotak (out of box).

Grandstand Suria membuktikan bahawa Arena Sukan tidak berdiri dengan sendirinya. Sukan bukan sekadar di padang atau gelanggang tapi membabitkan media, penyokong, peminat, pemerhati malahan pemerintah. Dunia sukan adalah sub-dunia sama seperti dunia hiburan dan dunia politik. Sentiasa ada cabaran, konflik serta kisah suka duka. Selamat maju jaya buat pasukan Grandstand Suria dan dunia sukan Malaysia!

Grandstand Suria; segalanya tentang sukan.

107.0 (Seremban)