Mengapa Mesti Suriafm?

Radio boleh dikatakan antara media paling lama wujud dalam dunia. Sehingga kini peranannya tetap relevan sebagai wadah penyampai maklumat dan hiburan. Sekarang kita mempunyai banyak pilihan siaran radio. Apa yang dipanggil radio kini bukan sekadar peti yang mengeluarkan suara tapi turut boleh didengari melalui telefon bimbit, siaran dalam talian dan aneka peranti lain. Ya, pilihan pelbagai. Jadi, apa yang membuatkan saya memilih Suriafm?

Artikel saya sebelum ini pun bercakap tentang Suriafm. Lagi tentang stesyen radio yang sama? Persis orang jatuh cintalah kiranya. Bila hati dah sayang, hanya ‘si dia’ sajalah yang terbayang. Dalam kes saya, saya jatuh cinta dengan Suriafm. Apa salahnya ‘kan?

Adapun artikel yang lepas-lepas saya bercerita tentang segmen Grandstand dan Ceria Pagi. Kali ini saya nak berceloteh lebih lagi. Terima kasihlah pada sesiapa yang sudi membaca. Keprihatinan, kerajinan dan fokus anda amat dihargai.

Menipu kalau saya kata saya pendengar setia Suriafm walhal saya tak dengar radio 24 jam. Malah saya ada mendengar siaran radio lain. Namun, kebanyakan masa saya mendengar radio terutama di tempat kerja, Suriafm menjadi pilihan. Kenapa? Mestilah ada sebab musababnya.

Sebenarnya, saya sangat mementingkan cara penyampaian penyampai (DJ). Paling utama adalah bahasa dan suara. Saya kurang gemar penyampai yang terlalu berbahasa ‘pasar’ terutama penggunaan kata ganti nama seperti ‘korang’. Lebih sedap didengar apabila digantikan dengan ‘anda’. Bukanlah nak skema sangat tapi perlu ada keseimbangan. Itulah sebab pertama saya memilih Suriafm. Keseimbangan antara santai dan formal itu wujud.

Dah namanya radio, mestilah berkait rapat dengan muzik. Oleh kerana saya lahir dalam tahun 1990, tentunya lagu-lagu di Suriafm menepati citarasa. Sedikit retro, dicampur rock dan balada, ditambah dengan muzik terkini maka terhasillah gandingan mantap menjadikan Suriafm pakej lengkap bagi penggemar kepelbagaian muzik seperti saya.

Sesetengah stesyen radio bernaung di bawah satu bumbung dengan stesyen televisyen. Maka, rancangan di radio tersebut banyak dipengaruhi oleh rancangan televisyen. Malah pemilihan lagu yang diputarkan juga berkait rapat. Berbeza dengan Suriafm yang tidak dipengaruhi mana-mana stesyen televisyen. Seringkali lagu-lagu baru yang tidak/belum diputarkan di stesyen radio lain tapi mendapat tempat di Suriafm. Tiada ‘kod’ atau ‘pas’ tertentu untuk melepasi corong radio ini.

Begitulah saya menjawab soalan, “mengapa mesti Suriafm?”.

Oleh kerana saya mendengar Suriafm di tempat kerja, saya lebih tertumpu pada segmen-segmen di sebelah pagi sehingga petang (8 pagi – 5 petang). Tidak dapat dinafikan, Ceria Pagi memang menceriakan pagi saya. Adibah Noor dan Baki Zainal yang sekian lama saya kenali melalui televisyen tetap berjaya menghiburkan walau sekadar bermodalkan suara. Kematangan Adibah Noor dapat mengatasi keanak-anakan Baki Zainal. Sifat selamba Baki pula dapat menghangatkan jenaka Adibah.

Tamat segmen Ceria Pagi, Ceria Suria menyusul. Dulu, Reza Mohamad pengendalinya. Memang tak kering gusi. Ramai betul ‘tetamu’ undangannya. Saya tak pernah berinteraksi dengan beliau sebab leka sangat mendengar. Kini, Brian mengambil tempat itu. Saya ada menjangka bahawa Brian akan menjadi salah seorang penyampai Suriafm apabila beliau digandingkan dengan Bob Ringgo dan Naim Tahak menggantikan Adibah Noor Dan Baki Zainal buat seketika. Pertama kali mendengar beliau keudara, suaranya seperti biasa didengar. Patutlah, seorang chef. Terus terbayang sebuah rancangan memasak kanak-kanak yang pernah saya tonton di RTM1.

Ternyata kehadiran Brian memberi impak tersendiri. Betul-betul beliau menggunakan kelebihannya dalam bidang masakan bagi menarik minat para pendengar. Selain itu, beliau mengekalkan segmen gosip artis yang dikenali sebagai ‘ceri beri’ (cerita berita) oleh Reza. Apapun, saya tertarik dengan komen Adibah Noor yang mengatakan Brian lebih ‘Melayu’ daripada Baki Zainal. Mana tidaknya, Baki menempa nama melalui rancangan berbahasa Mandarin manakala Brian sebaliknya. Sudah tentu perbendaharaan kata dan kefasihan pertuturan itu jadi berlainan mengikut kebiasaan.

Selepas waktu makan tengahari, saya ditemani Bob Ringgo yang mengendalikan segmen RnR (Relaks dan Rock!). Bob adalah penyampai yang paling relaks bagi saya. Penyampai sejati! Macam penyanyi rock, bila bercakap selamba saja tapi sedap didengar. Ada jiwa (soul). Tak perlu cakap banyak tapi berisi. Acap kali penghabisan sesuatu lagu disusuli info mengenai kumpulan berkenaan. Misalnya, vokalis tersebut pernah menjadi vokalis kumpulan lain. Atau pun lagu tersebut merupakan runut bunyi (sound track) filem tertentu. Lagi seronok apabila beliau memutarkan lagu permintaan pendengar termasuklah saya!

Pagi hujung minggu, saya ditemani ‘abang-abang pantai timur’. Tak perlulah saya nukilkan panjang-panjang di sini tentang segmen Grandstand Suria. Dah ada dua artikel sebelum ini saya bercerita mengenainya. Saya amat menghargai kerana mereka sudi mendengar (panggilan)  atau membaca (laman sosial) komen/pandangan saya berkaitan sukan walaupun saya ni bukanlah sesiapa. Sekadar pemerhati.

Banyak lagi segmen lain yang menghiasi Suriafm. Saya pun kadang kala ada mendengar Suria Cinta tapi saya bukan pendengar yang baik di waktu malam. Namun pujian layak diberikan pada Dj Lin. Aura ‘pesona cintanya’ amat menyerlah. Suara nan menggetar kalbu. Memang patut beliau memiliki ramai peminat sampai selalu dicalonkan untuk kategori Penyampai Radio Wanita Popular.

Segmen Ceria Petang oleh Linda Onn tak kurang hebatnya. Begitu juga Carta Suria 30 di petang hujung minggu. Pasti terdapat bintang jemputan.

Tidak dilupakan penyampai lain antaranya Hafiz dan Naim Hashim yang mengendalikan segmen Suria Baik Bangat dan Ucapan di Suria. Seringkali juga mereka menjadi penyampai pengganti. Bukan saja penyampai untuk segmen radio, penyampai laporan trafik pun saya suka dengar walaupun saya tak perlukannya. JC Robert dan Naim Hashim adalah suara-suara yang melaporkan situasi di jalan raya. Memang kedengaran macam mudah dan ringkas tapi sukar sebenarnya. Sesekali pernah Adibah Noor yang memberi laporan trafik. Saya asyik rasa nak tergelak, tak boleh nak fokus info yang disampaikan. Ternyata, bukan semua orang mampu lakukannya. Ayat kegemaran, “namun trafik masih perlahan kerana ramai yang menonton.”

Macam tak habis-habis pula cerita pasal Suriafm ni. Itulah tujuannya saya buat blog. Bolehlah melepaskan apa yang terbuku dalam hati. Tulis di media sosial kurang keterujaannya. Alang-alang nak meluahkan, biar panjang lebar. Terpulanglah siapa yang rajin baca. Sekali lagi, terima kasih! (Teringat lagu Terima Kasih oleh Salam Music).

Moga Suriafm terus maju jaya. Terus menceriakan dunia para pendengar. Saya sayang…….Suriafm!

One thought on “Mengapa Mesti Suriafm?

  1. Mengapa tidak Ikim FM “Hiburan yang mendidik jiwa”…cubalah dengar…pasti jatuh cinta..jiwa yang sakit pasti terubat, jiwa yang sunyi pasti terasa berteman..dll..Subhan Allah, Masya Allah, Insya Allah..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s