Archive | Januari 2016

Tips Menguasai Subjek Membaca

Seringkali saya mendengar cakap-cakap seperti,
“Malasnya nak baca buku tebal-tebal ni!”
“Kenapalah ada subjek yang kena banyak membaca ni…kalau kira je kan senang.”
“Bosanlah membaca je! Ngantuk!”
“Baca tapi tak faham pun!”
Ya, sejak di bangku sekolah sampailah ke institut pengajian tinggi malah dalam alam pekerjaan pun, selalu saya mendengar rungutan sebegitu.
Beberapa perkara perlu anda faham mengenai hal ini:
1. Dalam subjek mengira pun anda perlu membaca untuk memahami situasi
2. Sepandai mana pun anda mengira dan bermain dengan formula, ia takkan dapat disampaikan tanpa bahasa yang betul
3. Apa bidang sekali pun, membaca adalah kemestian walau sekadar manual mesin supaya kerja berjalan lancar.

Timbul persoalan,
“Bagaimana hendak memudahkannya?”
“Macam mana nak faham apa yang dibaca?”

Saya bukanlah arif benar tapi sekadar pandangan peribadi. Ketika sekolah menengah terutama ketika menengah atas, saya cenderung meminati subjek bahasa dan Sejarah. Masuk ke IPT, saya meneruskan kecenderungan itu. Cuma subjeknya berbeza. Walaupun bidang yang diambil menjurus kepada pengiraan, saya banyak memberi fokus terhadap subjek-subjek berunsur pembacaan seperti pengurusan, perniagaan, undang-undang dan berkaitan sejarah.
Tips daripada saya:
1. Baca topik demi topik – memaksa diri membaca keseluruhan buku dalam masa singkat bukan tindakan bijak jika anda hendak memahami.
2. Peta minda bab – membina peta minta untuk meringkaskan satu bab menjadi satu muka surat.
3. Bahasa sendiri – menyalin ayat buku hanya membuat anda ingat tapi membina ayat sendiri membuat anda faham.
4. Belajar untuk mengajar – bayangkan anda mesti membuat pembentangan. Paling bagus jika anda betul-betul membentangkan atau berkongsi bacaan anda dengan rakan-rakan dan membantu mereka memahami

Semasa Tingkatan 5, seorang rakan sekelas lelaki pernah meminta saya ‘bercerita’ subjek Sejarah kepadanya kerana keesokan hari kami akan menghadapi peperiksaan subjek tersebut. Saya teragak-agak kerana tak tahu macam mana nak mula. Topik sangat banyak, masa terhad.
“Hang cerita ja mana-mana topik pun. Aku dengaq.” Katanya.
Saya pun mulalah bercerita; menekankan nama-nama tokoh, tarikh-tarikh penting dan peristiwa yang berlaku berdasarkan buku teks. Walaupun dia tersengguk-sengguk, saya terus membebel. Seisi kelas memang sedang sibuk belajar dengan cara masing-masing malam itu.
Saya pun tak ingat setakat mana saya sempat ‘bercerita’ subjek sejarah Tingkatan 5 pada rakan saya tapi tindakan itu memberi impak positif pada kefahaman dan ingatan saya sendiri. Itulah yang terus saya lakukan di IPT; bercerita dan bercerita.
Tidak semua orang mampu menyerap banyak apa yang dibaca. Ada golongan yang lebih cenderung menyerap apa yang didengar atau dilihat dalam bentuk gambar. Jadi, jika anda lebih mudah menangkap ilmu melalui pendengaran, cuba cari rakan yang boleh ‘bercerita’.
Bagi mereka yang boleh ‘bercerita’, tak perlu lokek kerana anda takkan rugi malah beruntung kerana anda akan lebih mahir.
Peta minda adalah alatan paling berguna. Keberkesanan maksima adalah membina peta minda sendiri berbanding menyalin peta minda orang lain. Hal ini kerana, dalam proses pembinaan peta minda itu anda akan belajar untuk meringkaskan frasa-frasa sukar atau memendekkan cerita yang panjang. Maka, apabila merujuk semula peta minda itu, anda akan terus menangkap jalan cerita sebenar melalui kata kunci tertentu yang anda sendiri sahaja faham. Kalau ada rakan yang hendak menyalin peta minda anda, beri sahaja. Percayalah! Sedikit pun anda tidak rugi. Lagi bagus apabila anda mengajar rakan anda pula bagaimana hendak membina peta minda. Nescaya, anda akan lebih mahir.
Konsistensi amat penting. Kerja saat-saat akhir (last minute) cubalah dielakkan. Lebih baik anda membaca sehari satu topik dan terus membuat peta minda daripada membaca satu buku sehari sebelum peperiksaan. Jangan menyeksa diri.
Apapun, selamat berjaya!

Sampai Tenang

Rasa

Tak semua boleh dibahasa.

Jawapan sekadar air mata.

Jeritan hati dalam diam.

Bungkam memendam kerana sepi terbiasa meneman.

Aku mahu tabah

Melangkah dengan arah.

Biar rebah sakit

Aku tetap bangkit.

Aku sedar aku tidak sendiri.

Hanya ralit melayani hati.

Bergenang biarlah berlinang

Sampailah tenang.

Ip Man 3; Bukan Sekadar Wing Chun

Filem semi-biografi. Sekuel ke-3. Tunggak yang sama. Ternyata Ip Man 3 menyajikan lebih daripada sekadar pergaduhan jalanan. Dalam usia 50-an, Donnie Yen tetap mantap mengawal setiap gerak-geri dan kali ini bukan sahaja memaparkan beliau tangkas berlawan malah menari.
Penampilan Mike Tyson pasti dinanti-nantikan oleh para penonton. Sememangnya pertarungan mereka amat menarik. Namun saya lebih tertarik akan pertarungan Ip Man dengan lelaki upahan dari Thailand. Berlatar tempat di dalam lif dan tangga bangunan, ruang terhad menjadikan setiap gerakan lebih pantas dan di luar jangkaan.
Mempertahankan diri, keluarga dan masyarakat adalah tunjang cerita. Membuahkan moral perikemanusiaan, belas kasihan, cinta dan rasional. Di sebalik teguh gagahnya seorang lelaki berlawan puluhan orang, masih hatinya luluh tatkala tiba soal insan tersayang. Isteri dan anak adalah keutamaan. Tidak dapat tidak, terselit kisah air mata.
Dalam masa yang sama, muncul pihak yang obses untuk mengatasi kebolehannya. Pertemuan yang sengit dalam membuktikan keaslian Wing Chun.
Donnie Yen mungkin bukan ikon sebesar Jackie Chan tapi beliau berada di tahap tersendiri. Ekspresi wajah tenangnya amat unik. Tubuhnya kelihatan agak kecil apatah lagi jika dibandingkan dengan Mike Tyson. Namun kekuatan bukan pada saiz. Langkahnya teratur tampak perlahan tapi pantas, sepantas tumbukan padunya. Tidak hairanlah beliau seorang kareografer berjaya.
Menikmati setiap kemahiran seni mempertahankan diri yang ditonjolkan, filem ini juga mengajar erti kesopanan daripada bahasa sehinggalah pakaiannya. Samseng sekalipun tidak sewenang-wenang memaki-hamun. Filem yang sesuai untuk seisi keluarga.
“Apa yang lebih penting adalah kasih sayang orang sekeliling.”