Archive | April 2016

Jaket dan Bas

Awal pengajian kolej dalam tahun 2008, saya pulang ke kampung pada hujung minggu untuk menguruskan borang pinjaman pelajaran. Pulang tergesa-gesa untuk jangka masa singkat bukanlah sesuatu yang gemar saya lakukan. Perjalanan paling kurang mengambil masa tujuh jam.
Bukan kisah di kampung yang nak saya kongsikan tapi kisah di dalam bas semasa perjalanan pulang ke kolej. Saya terpaksa ambil tiket waktu malam kerana tiket perjalanan siang sudah habis. Saya lebih suka bergerak waktu siang berbanding malam. Namun kali ini berbeza dek kerana tiada pilihan. Saya bertolak dalam jam sebelas.
Tempat duduk paling belakang tidak menjadi masalah besar buat saya tapi saya paling terganggu apabila melihat pendingin hawa di tempat saya tidak berpenutup. Aduhai, kesejukanlah saya. Hendak bertukar tempat duduk, semua penuh. Maka saya pun bersabar saja. Cuba bertahan dengan t-shirt dan menyembunyikan tangan di dalam tudung.
Terasa rimas perjalanan menempuh kegelapan. Ada juga terlelap sekejap-sekejap. Kesejukan membuat saya sukar untuk lena. Sampai di suatu tempat, bas berhenti. Pertukaran penumpang katanya. Destinasi saya kekal dengan bas itu. Hampir separuh penumpang bertuar bas.
Penumpang yang duduk di sebelah saya turun. Cepat-cepat saya beralih ke tempat duduknya, mengelak daripada pendingin hawa yang deras tanpa halangan. Sejurus itu, ada penumpang lain muncul. Seorang pemuda. Dalam remang lampu bas, saya yakin dia berbangsa Cina.
Saya kembali ke tempat duduk asal yakni sebelah tingkap. Bas bergerak. Saya mula diserang kesejukan semula. Pendingin hawa betul-betul di atas kepala. Saya cuma mampu memeluk tubuh sendiri.
Tiba-tiba pemuda di sebelah saya menghulurkan sesuatu. Jaket! Tidak terkeluar perkataan selain “terima kasih” dari mulut saya. Dia tidak membalas apa-apa. Berselimut jaket itu, saya terlena sehingga sampai ke destinasi.
Setelah turun dari bas, saya menyerahkan kembali jaket tersebut dan sekali lagi berterima kasih. Tiada sebarang perkenalan. Dia menuju ke arahnya, saya berpaling ke arah saya.
Setiap kali menaiki bas untuk perjalanan jauh, saya pasti terkenang peristiwa itu. Peristiwa yang membuat saya terus percaya bahawa kebaikan itu wujud. Harapan sentiasa ada. Kasih sayang di mana-mana. Peristiwa yang menyuburkan ketandusan hati.
Begitu juga apabila menonton babak-babak di dalam drama atau filem yang menunjukkan si lelaki meminjamkan jaketnya kepada si wanita. Saya faham keindahan jiwa yang dirasai oleh wanita itu. Bezanya, peristiwa saya melibatkan lelaki yang tidak dikenali.
Walau bagaimanapun, perjalanan di waktu siang tetap menjadi pilihan utama saya.
Mengenang peristiwa manis adakalanya mampu menghilang atau paling tidakpun mengurangkan kepahitan dalam jiwa. Sedikit kebaikan mampu memberi harapan. Menandakan dunia masih indah. Menunjukkan manusia masih punya keprihatinan.
Sebagai seorang perempuan, peristiwa tersebut menyedarkan saya akan satu perkara. Fitrah perempuan itu, berharap dilindungi. Sekuat manapun diri, pasti menyimpan impian munculnya seseorang yang sanggup berada di sisi menempuhi rintangan hidup.
Kisah jaket dan bas, cuma ringkas tapi sangat bermakna buat saya.

Dia Ada

2001 – Hotel Nagoya, Langkawi
Kem Bahasa Inggeris peringkat daerah. Pengalaman yang indah. Bertemu dan berkenalan dengan kawan-kawan baru. Lagipun, kebanyakan sekolah diwakili seorang murid sahaja. Kali pertama aku menginap di hotel dalam usia 11 tahun.
Tentang dia, aku tidaklah kenal tapi perasan juga. Murid bukan Melayu tidak ramai. Seingat aku, ada suara-suara nakal yang memasang-masangkan dia dengan murid perempuan tertentu sebangsa dengannya. Biasalah, budak-budak. Mungkin kerana dia pasif atau tenang saja.
Bertegur sapa? Tidak. Aku dari kampung, sekolah semua orang Melayu. Ketika itu aku belum pandai berkomunikasi dengan bangsa lain apatah lagi berlainan jantina. Aku cuma tengok dari jauh. Dia pengawas, sama macam aku.

2004 – Kem Rimba Takwa, Sik
Sekali lagi Kem Bahasa Inggeris dan aku bertuah dipilih oleh Cikgu Nazri untuk menyertainya. Bezanya, bukan di dalam keselesaan hotel tapi kem di dalam hutan. Lebih tepat lagi, kem yang dibina dan digunakan oleh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Tidur di dalam khemah besar di atas pangkin. Program yang menambah pengalaman. Cuma, sesuatu menarik perhatian aku selain daripada aktiviti kem. Aku nampak dia!
Apabila dia bercakap di atas pentas, aku separuh pasti bahawa dia adalah dia yang aku fikirkan. Namun, tentu sekali aku hanya diam. Aku biar saja segala persoalan bermain-main dalam kepala. Tiada sebab pun untuk aku hebohkan. Ada juga ragu. Mungkin bukan dia tapi aku seperti ingat akan nama itu.

2007 – Kem Pantai Beringin, Langkawi
Aku tidak terkejut apabila mendapat arahan atau boleh diistilahkan sebagai jemputan ke Latihan Khidmat Negara. Abang aku yang kedua antara pelatih untuk siri pertama kumpulan kedua. Aku anggap seperti aku pergi ke program-program lain sepanjang persekolahan. Hanya kali ini lebih panjang jangka masanya.
Dilantik sebagai penolong ketua kompeni bukanlah perancangan awal ku tapi tidak pula aku menolaknya. Apabila dipanggil calon ketuanya, aku terasa seperti masa terhenti seketika. Aku sedar, hanya aku saja yang rasa begitu. Sekali lagi, aku nampak dia! Kali ini dia sekumpulan malah sejawatan dengan aku!
Sukar nak pastikan sebab mengapa timbulnya perasaan teruja. Dalam usia 17 tahun dan pengalaman sosial lebih luas, keyakinan aku lebih tinggi berbanding tiga tahun lalu. Lagipun, dia sama kompeni. Bukan sesuatu yang aneh bila aku menegurnya.
Dalam kesibukan menyiapkan bendera kompeni, aku mengambil peluang untuk bertegur sapa. Satu perkara yang paling aku mahu tahu adalah kepastian adakah benar dia yang ku lihat dulu. Jawapannya, ya!
Sepanjang latihan, kami bekerjasama dengan baik. Adakalanya, terlalu baik sampai disalahertikan. Pakai baju sama warna pun digosipkan padahal aku ni memang banyak baju warna merah!
Sehinggakan ada seorang jurulatih lelaki katakan pada aku, alangkah bagus jika aku boleh bawa dia masuk Islam. Aku hanya mampu senyum menyembunyikan resah. Itu bukan semudah dikata! Siapalah aku ni…

2016 – Seremban (aku), Kedah (dia)
Era teknologi, semua di hujung jari. Selepas tamat kem dulu, tidaklah berhubung. Cuma, ada sekali bercakap melalui telefon ketika aku awal pengajian di kolej. Sekadar itu.
Langsung tak terlintas, akan muncul ‘friend request’ daripadanya di Facebook. Rasanya, kehadiran aku disedari kerana sibuk berkongsi gambar-gambar lama dengan teman-teman kem. Aku sambut permintaannya dengan hati terbuka malah gembira.

Agak aneh apabila aku menulis berterus-terang begini. Jarang sekali aku bercerita secara langsung tentang seseorang yang berkaitan rapat dengan hidup aku. Bukan sajak, pantun, syair mahupun cerita fiksyen berbaur realiti.
Ini juga bukan kisah cinta. Persahabatan mungkin atau pengalaman. Ah, sukar menamakannya sebagai apa!
Apa yang pasti, dia ada.