Archive | Mei 2016

Program Merakyatkan Seni (PMS) 2016 ; Semarak Budaya

Warna-warni gerak tari menawan mata dan hati. Hari ini (14 Mei 2016), Seremban Prima digamatkan dengan aneka rentak muzik yang mengiringi persembahan pelbagai tarian. Program Merakyatkan Seni (PMS) 2016 berlangsung dengan jayanya dari pagi hingga petang hasil anjuran Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, Seremban Prima, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, KEMAS dan Unique Arts Academy. Dua orang pengacara; Fazreen Mohamad dan Rosman menghangatkan suasana.
Selain acara di atas pentas, pertandingan yang melibatkan anak-anak tabika KEMAS berlangsung di sekitarnya iaitu pertandingan membuat tengkolok daripada bahan terpakai diikuti pertandingan Musang Berjanggut (mengasingkan bahan-bahan masakan yang telah dicampur-aduk).
Berbalik kepada kisah kemeriahan pentas, aksi para penari cilik penuh bertenaga. Dibawakan oleh Pyan Production, gerak tari, lagu dan kostum tampak serba-serbi menyerlah. Membuat lebih daripada dua persembahan, setiap satunya unik dan mempesona. Adik-adik ini berstamina tinggi dan paling penting tidak lekang senyuman di bibir.
Persembahan kumpulan Warisan Anak Rantau tidak kurang hebatnya. Terdiri daripada anak-anak berusia lima hingga dua belas tahun, mereka menghasilkan muzik cak lempung yang mengagumkan. Lebih teruja apabila melihat mereka menikmati persembahan sendiri, bermain sambil bergerak mengikut rentak. Melihat pemain utamanya persis gabungan pemain drum dan piano. Irama Janaam Janaam sememangnya berjaya menarik perhatian orang ramai dan membuktikan alat muzik tradisional mampu bersaing dalam arus kemodenan. Namun irama asli tetap menawan hati diselangi pula gelagat sebahagian daripada mereka menari.
Pada sebelah petang, suasana terus hangat dengan persembahan daripada artis (penari) kebudayaan JKKN Negeri Sembilan yang membawakan tarian etnik, rampaian tarian Melayu dan tarian piring. Makin meriah apabila adik-adik berbangsa India daripada Unique Arts Academy mempersembahkan tarian klasik India. Detak kaki berloceng, gerakan mantap dari kepala sampai hujung kaki dan senyuman manis benar-benar menarik hati. Melengkapkan lagi program, tarian singa tidak ketinggalan dipersembahkan oleh anak-anak muda. Singa merah dan singa emas lincah dan tangkas memainkan peranan. Awal hingga akhir, semua persembahan mantap belaka.
Seni sememangnya milik rakyat; daripada rakyat untuk rakyat. Hanya dewasa ini, ia menjadi kian asing dalam masyarakat. Seni seolah-olah untuk golongan tertentu sahaja padahal ia terbuka buat semua. Kalau tidak sebagai pendokong, cukuplah sebagai penyokong.
Semoga pihak penganjur berpeluang dan berusaha meneruskan program sebegini lagi.

Ulasan Buku ITBM : Pascasejarah

JUDUL BUKU : Pascasejarah

PENULIS : Fahd Razy

Imaginatif, provokatif dan sensitif. Tiga perkataan untuk menggambarkan naskah kumpulan cerpen nukilan Fahd Razy ini.
Ratusan buku di reruai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) tapi saya memilih hanya satu yakni Pascasejarah kerana label Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2; pemenang tempat pertama bagi kategori kumpulan cerpen. Ternyata, pilihan yang sesal tiada.
Terdiri daripada dua belas cerpen, setiap satu berlatar masa depan. Ramalan yang bukan tilikan tapi berdasarkan sejarah. Sesebuah peradaban pasti punya asas lalu berkembang. Kemudian akan sampai satu tahap kegemilangan. Selepas itu mulai merosot dan jatuh atau musnah.
Penulis berjaya mengheret pembaca menelusur zaman selepas (pasca) sejarah. Dalam erti kata lain, masa depan. Terdapat kesinambungan antara setiap cerpen. Bermula dengan kemusnahan dunia akibat perang nuklear diikuti kebangkitan semula manusia sampailah runtuhnya sebuah empayar dalam sekelip mata akibat ketamakan.
Keistimewaan karya ini terletak pada istilah-istilah menarik yang digunakan berkaitan manusia (homo) seperti homo economicus, homo religious dan homo sexus. Sindiran halus sebenarnya.
Cerita politik, kemasyarakatan dan sosial diadun padat. Disalut pula dengan unsur liar penuh suspen dan kejutan. Makhluk baru seperti chimera, cerberus, cyclops dan hydra menonjolkan kekuatan imaginasi penulis. Namun ia bukan sekadar penghangat cerita tapi dijadikan perlambangan natijah perbuatan manusia sendiri.
Cerpen kesepuluh bertajuk Catur merupakan cerpen kegemaran saya. Penyudahnya paling mengejutkan. Tekaan saya di awal cerita tersasar walau hampir tepat. Menjadikan catur sebagai analogi strategi pentadbiran amatlah memberangsangkan. Seketika selepas tamat membacanya, saya keliru sama ada hendak ketawa atau menangis. Kagum dengan kebijaksaan Penguasa mengatur rancangan teliti untuk menjatuhkan pemberontak. Sedih akan nasib si Algojo Dua Gerak yang dikhianati.
Secara keseluruhan, Pascasejarah membangkitkan naluri ingin tahu, merombak akal pemikiran dan menyentuh jiwa. Isu yang diselitkan di dalam setiap cerpen merangkumi apa yang sedang dan telah berlaku. Kelayakan pemimpin, kebijaksanaan rakyat, kepentingan ilmu, pengorbanan, ketamakan dan penyelewengan antara persoalan yang digarap halus oleh penulis. Watak dan perwatakan yang ditonjolkan relevan sepanjang zaman.
Pascasejarah bukan buku Sejarah tapi lahir berpaksikan sejarah. Bak kata penulisnya, “Sejarah, adalah rumus yang berulang-ulang.”

Bacaan yang santai tapi bermakna.

Anime; Kegilaan Berpanjangan

Konvensyen Animanganki 2015 ternyata memberi impak besar terhadap diri saya. Melihat pemuda-pemudi bersemangat menggayakan kostum watak pilihan yang majoriti daripada animasi Jepun turut membuat saya teruja.

Ketika budak, saya gemar juga menonton anime. Dragon Ball, Sailormoon, itu antara yang popular pada zaman saya membesar. Namun melihat fenomena anime yang tidak pernah padam malah terus menyinar, saya jadi tertanya-tanya. Apakah istimewanya anime? Apakah daya tarikannya sehingga memiliki peminat tersendiri bukan sahaja sebagai pembaca (manga/komik) atau penonton tapi sampai ke tahap berkarakter seperti watak-watak?

Selepas itu, bermulalah pengembaraan saya di alam maya. Dunia di hujung jari. Membaca maklumat dan menonton di YouTube antara cara paling mudah. Ternyata, tiada sesalan. Sememangnya dunia anime penuh dengan aneka cerita. Genre yang pelbagai. Walaupun dalam bentuk dua dimensi (2D), tetap berkesan.

The Black Butler, Classroom Assasination, Tokyo Ghoul, Claymore, sedar tak sedar saya susuli satu per satu. Ada yang kelakar tapi tetap serius. Itulah anime. Aksi berdarah tanpa batasan, mencabar imaginasi.

Saya juga mula membeli DVD bermula dengan GTO yang komiknya saya miliki keseluruhan 25 siri. Lebih tepat lagi, koleksi bersama abang. Dia yang mulakan dan saya melengkapkan. Siri animasinya menghiburkan walaupun terdapat sedikit perubahan berbanding karya asal.

Beberapa hari lalu, saya membeli DVD Tokko. Tertarik dengan tawaran harga di bawah RM10 dan sinnopsisnya. Lagipun, Tokko antara anime cadangan YouTube berdasarkan rekod tontonan saya selama ini. Setelah membeli seperti biasa sudah menjadi satu tabiat, saya membaca tentangnya di Wikipedia. Sesuatu membuat saya teruja; nama penulis asalnya! Toru Fujisawa! Ya, penulis yang sama menghasilkan GTO! Saya habiskan menonton 13 siri dalam masa sehari. Tidak mengecewakan.

Sebentar tadi pula saya baru menonton episod akhir Kids On The Slope (KOTS) di YouTube. Siri ini saya mula tonton sejak beberapa minggu yang lalu. Sengaja saya tonton satu per satu episodnya. Paling banyak pun 3 episod sekali gus. Keseluruhan terdapat 12 episod.

KOTS sangat berbeza. Tenang. Nadi ceritanya persahabatan, cinta, sekolah dan yang paling unik sekali adalah tentang muzik. Lebih tepat lagi jazz. Watak-wataknya tidak stereotaip. Jalan cerita sukar dijangka. Kisah yang menghangatkan perasaan (heart warming).

Kegilaan ini akan berpanjangan. Anime; dunia yang tiada kebosanan.