Pantun Ceritera Cinta

Dari Seremban ke Kuala Lumpur,
Kereta api di waktu petang;
Bila tuan berbudi luhur,
Dipercayai segenap orang.

Kuala Lumpur pergi Gombak,
Berbelas stesyen persinggahan;
Bercakap jujur sopan terletak,
Itulah tanda keluhuran.

Bas bertingkat tuju utara,
Sejuk udara sampai ke tulang;
Dah terpikat murni bicara,
Santun bahasa kasih bertandang.

Charok Bemban namanya kampung,
Pekan Kupang tidaklah jauh;
Pada tuan rindu bersambung,
Pisah seberang tidak tersentuh.

Anak lembu meragut rumput,
Kandang berpagar di kaki gunung;
Bila rindu datang bertaut,
Wajah berlegar mimpi berkunjung.

Batu tajam lerengnya curam,
Puncak Pulai itu dituju;
Cinta tertanam kasih dipendam,
Biar tak sampai rela begitu.

Terik mentari membahang wajah,
Sayup indah desa permai;
Tidak sekali jiwa menyerah,
Biar berdarah cita ku gapai.

Awal pagi sejuk nan nyaman,
Suara azan jelas bergema;
Duhai hati gelisah jangan,
Kasih Tuhan hilang tiada.

Di kiri semak di kanan belukar,
Jalan di tengah licin berbatu;
Di hati hendak di minda ingkar,
Mulalah gundah datang bertamu.

Kabus berarak selimut puncak,
Gunung Baling bagai kayangan;
Cinta semarak tanpa diajak,
Datang seiring dalam kenangan.

Lata Bayu airnya jernih,
Deras mengalir menghempas batu;
Baik budimu bagai benih,
Jatuh di pinggir jadi pulau satu.

Banyak kereta atas lebuh raya,
Kemalangan menambah sesak;
Cinta umpama ramalan cuaca,
Diingat hujan panas tak terelak.

Tengah malam semakin sepi.
Orang tidur berbantal lengan;
Kisah semalam ditinggal pergi,
Takdir ku akur bukan bebanan.

Lepas subuh minum kopi,
Roti telur jadi hidangan,
Kalau sungguh rasa hati,
Biar lebur segala halangan.

Dari Terminal Bersepadu Selatan,
Tiba Seremban di pagi hari;
Tuan ku kenal jadi persahabatan,
Tiap kenangan kekal abadi.

*Mengenang pendakian ke puncak Pulai dan Baling ; 3/4 September 2016*

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s