Archive | November 2016

Pantun Malaysia Ku Bersatu

Negeri Perlis Indera Kayangan,
Ramai orang di bandar Kangar;
Teguhkan baris di hadapan,
Tanah tersayang enggan dicagar.

Negeri Kedah Darul Aman,
Alor Star bandar diraja;
Takkan tergugah keamanan,
Rakyat tegar seia kata.

Negeri Perak Darul Ridzuan,
Bandaraya Ipoh sibuk sekali;
Maju gerak ke hadapan,
Berdiri teguh padu sehati.

Pulau Pinang Pulau Mutiara,
Georgetown bandar tumpuan;
Kasih sayang satu suara,
Saling faham tunggak perpaduan.

Wilayah Persekutuan namanya tempat,
Kuala Lumpur ibu negara;
Demi perpaduan saling hormat,
Nescaya hidup aman sejahtera.

Negeri Sembilan Darul Khusus,
Bandar Seremban pusat kerajaan;
Teguh pendirian berjiwa telus,
Satu barisan bina kekuatan.

Melaka negeri kaya sejarah,
Bandaraya indah penuh tinggalan;
Hidup harmoni tanpa telagah,
Semangat muhibah terus tanamkan.

Negeri Johor Darul Takzim,
Ibu negeri di Johor Bahru;
Pekerti luhur adil menghakim,
Terus berbudi dalam berilmu.

Negeri Pahang Darul Makmur,
Bandar utama tempatnya Kuantan;
Tetap dikenang wira yang gugur,
Demi negara sanggup berkorban.

Kelantan Darul Naim,
Kota Bharu bandar penting;
Kesetiaan tak bermusim,
Semangat jitu bukan asing.

Negeri Selangor Darul Ehsan,
Shah Alam pesat membangun;
Amanah jujur selalu amalkan,
Tanpa dendam kerja pun tekun.

Terengganu Darul Iman,
Ibu negerinya Kuala Terengganu;
Sama bersatu terus aman,
Berdaya usaha menggapai maju.

Negeri Sarawak Bumi Kenyalang,
Bandar Kuching ramai pengunjung;
Musuh ditolak sahabat disayang,
Langkah seiring sampai ke hujung.

Negeri Sabah di Bawah Bayu,
Kota Kinabalu indah tersergam;
Berani tabah menuju ke mercu,
Teguh bersatu jaya digenggam.

*Nukilan pada tahun 2014 untuk sebuah sayembara*

Pantun Impian Kasih

Jinak-jinak sang merpati,
Hidup bebas terbang bebas;
Hendak hendak ikutkan hati,
Biar lekas dipinang lekas.

Burung merpati terbang bebas,
Terbang bersama makan sekawan;
Kalaulah diri dipinang lekas,
Bimbanglah pula merana badan.

Merpati dua sejoli,
Kelabu putih warna;
Ikutkan hati mati,
Kemaruk kasih merana.

Merpati berkaki merah,
Jalan-jalan makan bersama;
Hati-hati dalam berserah,
Jangan jangan senang percaya.

Kelabu putih bulu pelepah,
Merpati sekawan di atas bumbung;
Impian kasih memangnya indah,
Tinggal harapan usah direnung.

Pantun Menyimpan Rasa

Hujan selalu waktu petang,
Cahaya mentari suram sirna;
Kalau ku tahu milik orang,
Ku simpan sendiri rasa cinta.

Dingin petang setelah hujan,
Awan kelabu menutup langit;
Sudah sayang kepada tuan,
Ku bawa rindu biar pun sakit.

Hari mendung awan menebal,
Menunggu masa hendak runtuh;
Rela ku tanggung rasa sesal,
Biar cinta terus tertangguh.

Pagi mendung langit kelabu,
Suram mentari di balik awan;
Ku usung rasa dalam kalbu,
Tetap sendiri bersama rawan.

Kelam malam tidak berbintang,
Hujung Safar bulan menyepi;
Terus diam tidak terpandang,
Layulah mekar tak disinari.

This entry was posted on November 25, 2016, in Pantun.