Archive | Disember 2016

Pantun Kenang Kasih

Kuning biru warna pilihan,
Cantik berseri dipakai orang;
Kalau rindu menyentuh tuan,
Saya di sini terpaut sayang.

Pohon kelapa di tepi pantai,
Air pasang tercecah ombak;
Bila bersama kasih tersemai,
Timbul sayang hadir kelak.

Hujan petang bawa ke malam,
Tawa riang memecah sepi;
Mungkin sayang bersulam dendam,
Hati sedang berteka-teki.

Batu Putih bukit didaki,
Angin laut bertiup deras;
Simpan kasih dalamlah hati,
Takut-takut tidak berbalas.

Makan roti sapu kaya,
Berkeping-keping barulah kenyang;
Dalam hati ada dia,
Mungkinkah saling kenang-mengenang.

Baling dibaling buah dadu,
Nombor besar jadi buruan;
Sudah saling pendam rindu,
Kian mekar kuntum harapan.

Lipat dilipat surat khabar,
Dibuat orang permainan;
Ingat teringat dalam sedar,
Terjatuh sayang pada tuan.

Kain pelekat bawa berlari,
Terkoyak pula di tengah jalan;
Bagai terikat berdua hati,
Tak sua suara rindu-rinduan.

Sepak bola ke tiang gol,
Kadang masuk kadang keluar;
Entah bila tuan ‘kan muncul,
Mulut tersebut dalam tak sedar.

Lumba lari ikat kaki,
Lari bertiga sambil ketawa;
Kalau sudi beri janji,
Berilah jua kata putusnya.

*sempena Hari Keluarga HAVOC di Bukit Batu Putih, Tanjung Tuan, Negeri Sembilan; 11 – 12 Disember 2016*

Advertisements