Archive | Mac 2017

Cahaya Di Balik Gunung

Rasa nan berbeza.
Suasana yang tidak sama
tapi Kau di mana-mana.
Kau perlihatkan kebesaran-Mu.
Saat ku sujud di bumi-Mu
ku sedar
setiap pelusuk dunia adalah rumah-Mu.
Bukan mesti yang terbina indah
dengan konkrit berdinding berlantai.

Insan
Pangkat pakaian bukan petanda iman.
Ketaatan tanpa paksaan.
Tiada alasan meninggalkan suruhan.
Biar di lembah mahupun pergunungan
atau belantara meski lautan.

Memerhati
teman-teman.
Menghayati
kesederhanaan.
Alangkah indah takdir-Mu Tuhan!

Bukan halaqah di madrasah
tapi tetap bersatu hati
membawa misi sejati.
Bukankah Nabi-Mu lebih mencintai
umat yang kuat berbanding yang lemah.
Berperang demi menawan diri sendiri
puncak dituju hanya manifestasi.

Pendaki
juga pemburu mimpi-mimpi.
Kekuatannya bukan mesti pada tangan dan kaki.
Namun
datang jauh dari dalam sanubari
yang menakhluki nafsu sendiri.

Teman
setiap pertemuan miliki makna.
Walau kita kenal tiada lama.
Tiap tangis dan tawa
tersemat selamanya.

Tuhan
Hujan atau panas yang diredah.
Senang atau susah.
Gembira atau gundah.
Rahmat-Mu tak berkesudah.

Di celah awan
di balik gunung.
Cahaya menawan
Maha Agung.

Syair Rindu Semanis Madu

Pena menari di kala malam,
Menukil rindu ada terpendam,
Rasa yang datang ingin ku rakam,
Moga sampailah segala kalam.

Manisnya rindu umpama madu,
Racun penawar telah berpadu,
Penghangat tubuh di saat sendu,
Terbawa mimpi tika beradu.

Entahkan rasa entahkan budi,
Mungkin senyuman pemikat hati,
Perlahan-lahan kian sebati,
Kasih dan sayang mula semadi.

Kita merancang Tuhan tentukan,
Apa yang baik mohon doakan,
Usaha tawakal jadi sandaran
Harap bahagia ‘kan berpanjangan.

Warna

Biru.
Langit pagi bagai bersyahdu.
Irama rindu.
Nadanya merdu.
Makin hampir kita kian kaku.

Merah.
Warna takdir nan indah.
Dipakai demi menutup gundah.
Selindung resah.
Di balik senyuman digagah.

Hijau.
Pemandangan damai memukau.
Kenangan terimbau.
Ku disapa galau.

Putih.
Kabus semurni kasih.
Dalam diam hati merintih.
Mohon Tuhan ampun dan kasih.

Jingga.
Malapnya sang suria.
Mega kelam bawa gelora.
Gigil separuh putus asa.
Sempat jua mengenang dia.

Hitam.
Pekat malam.
Melangkah sama tempuh kelam.
Suara bersatu dengan alam.
Denganmu memori terakam.

Penat itu biasa.
Sakit sudah dijangka.
Tatkala senyuman menyapa
persis laut bergelora
berubah menjadi lata.

Apa jua warna
Ada yang mungkin berubah.
Apa jua rasa
Ada yang pedih dan ada yang indah.

*Pasca pendakian Gunung Chabang bersama Insight Green pada 4 Mac 2017*