Archive | Mei 2017

Pantun Budi dan Bangsa

Lembah Bujang kaya sejarah,
Kedah Tua kerajaan lampau;
Budi dikenang walau sezarah,
Hasad dilupa usah dirisau.

Sungai Batu mengalir deras,
Dekat Bukit Batu Pahat;
Kalau budi harganya emas,
Tinggi selangit tidak terlihat.

Pohon kempas tinggi menjulang,
Besar batangnya tak lepas peluk;
Jika membalas budi orang,
Usah dikata jangan disebut.

Hutan terbakar gelaran diberi,
Bunga senduduk kembang ungu;
Biarlah mekar taburan budi,
Barulah hidup aman selalu.

Jejarum jingga di dalam hutan,
Mekar sejambak kuntum halus;
Bila terjaga budi santunan,
Dekatlah jarak hati nan tulus.

Sisik Naga berbatu hampar,
Tebal lumutnya hijau pekat;
Budi berbunga bahasa pun mekar,
Tandanya bangsa adab beradat.

Gunung Jerai itu dituju,
Kepala Angin namanya puncak;
Budi disemai ikhlas selalu,
Jujur dan syukur tinggi terletak.

 

*Trip Gunung Jerai (Muzium Arkeologi Lembah Bujang ↔️Puncak Kepala Angin) pada 13 Mei 2017 bersama Insight Green*

Advertisements

Sendu Pada Yang Satu

Aku ingin rindu pada insan yang rindukan-Mu.

Aku ingin cinta pada insan yang cintakan-Mu.

Aku ingin dekat dengan insan yang dekat dengan-Mu.

Kau Yang Satu

Maha Tahu

Yang memegang hatiku.

Aku tak memandang dengan mata cinta kerana bukan dengan itu ia bermula.

Saat kehadirannya

Ku hanya bersandar pada kata hormat.

Entah bila kasih tersemat.

Dalam sendu

Bukan mengadu kecewa.

Bukan mengadu mohon kasihan.

Aku mengadu kesyukuran.