Archive | Oktober 2017

Pantun Hidup Aman

Teh halia kopi bersusu,

Enak diminum sepanjang masa;

Hati mulia kerja bermutu,

Tenang hidup selalu berjasa.

 

Air bali campur labu,

Sedap diminum penyejuk badan;

Bersih hati zikir selalu,

Barulah hidup sentiasa aman.

 

Kopi susu panas berasap,

Enak nikmati waktu pagi;

Baik laku penuh beradab,

Muslim sejati itu diimpi.

 

Air sejuk di dalam peti,

Buat bekal penghilang dahaga;

Iman pengetuk pintu hati,

Setiap amal akan dikira.

Pantun Putus Kasih

Angin kuat berombak laut,

Pasir pantai tenggelam timbul;

Sudah tersurat kasih terpaut,

Dilanda badai terputus simpul.

 

Berbuih ombak laut biru,

Pulau di mana tak nampak rupa;

Datanglah sebak jua pilu,

Entah ke mana mengadu lara.

 

Air pasang petang hari,

Kurang orang bermandi-manda;

Dulu sepasang kini sendiri,

Tiada teman bergurau-senda.

 

Senja merah penutup siang,

Laut tenang beralun sepi;

Usah gundah bawa bertenang,

Pasti datang galang ganti.

Pantun Cinta Aneka Cinta

Mentari pagi terang cahaya,

Waktu senja menuju ke barat;

Cinta sejati bawa bahagia,

Dari dunia sampai akhirat.

 

Bulan indah mengambang cerah,

Bayang terpantul di air tasik;

Cinta Allah hidup terarah,

Cinta Rasul akhlak pun baik.

 

Pokok kenanga di tepi kali,

Air berlinang tanah pun basah;

Ibu bapa cinta azali,

Susah senang tiada berpisah.

 

Bunga ixora bunga raya,

Merah warnanya cantik sekali;

Cinta negara hasil setia,

Membenih jasa berbunga bakti.

 

Buah labu tumbuh melata,

Ambil sebiji letak di peti;

Cinta nafsu undang derita,

Cinta abadi penyatu hati.

Pantun Memujuk 3

Dari Seremban balik Kedah,

Terowong Menora laluan biasa;

Ingat kenangan paling indah,

Hati gembira senang sentiasa.

 

Dari Ipoh ke Sungai Petani,

Bas berhenti di tepi jalan;

Dugaan ditempuh dengan berani,

Cekalkan hati dalam ujian.

 

Dari Chemor ke Tanjung Rambutan,

Jalan lama berliku-liku;

Rasa syukur tambah kekuatan,

Sesal tiada bertalu-talu.

Pantun Memujuk 2 (Apa)

Masak lemak cili api,

Cili api hijau terang;

Apa diletak dalam hati,

Dalam hati ada sayang.

 

Nasi ayam lada hitam,

Lada hitam dikisar halus;

Apa dipendam kisah semalam,

Kisah semalam padamlah hapus.

 

Kari ikan campur bendi,

Bendi muda keras tidak;

Apa susahkan termakan budi,

Budi dibalas akhirat kelak.

Pantun Memujuk (Bunga Bukan Sekuntum)

Masukkan benang ke lubang jarum,

Jarum diguna jahitan tangan;

Apa dikenang bunga sekuntum,

Lagi banyaknya mekar di taman.

 

Benang kapas halus sekali,

Buat baju jahitan rapat;

Biar terlepas cinta hati,

Asalkan jitu pegangan erat,

 

Jahit sembat lengan baju,

Tambah manik naik seri;

Iman nan kuat hidup berpandu,

Cinta terbaik kemudian hari.

 

Pantun Berkait (Salam Kasih)

Cenderawasih dari Kedah,

Terbang tinggi cecah awan;

Terima kasih penuh mahabbah,

Buat seisi teman taulan.

 

Terbang tinggi cecah awan,

Cenderawasih berwarna-warni;

Buat seisi teman taulan,

Salam kasih tulus nan murni.

 

Cenderawasih berwarna-warni,

Burung dewata dipanggil juga;

Salam kasih tulus nan murni,

Moga semua sihat sejahtera.

Pantun Nasihat 3 (Peribahasa)

Jauh sayup sawah padi,

Batas memanjang sampai ke bukit;

Jangan hidup tak kenang budi,

Umpama kacang lupakan kulit.

 

Bunga dedap daun ati-ati,

Sama merah sepanjang tahun;

Jangan mengharap berita tak pasti,

Air dicurah hujan tak turun.

 

Masak nasi jadi kanji,

Sudah begitu terlebih air;

Jangan janji tinggal janji,

Bagai tebu di pinggir bibir.

 

Tali segumpal buat pengikat,

Masih beranting buah rambutan;

Jangan diamal perangai khianat,

Seperti gunting dalam lipatan.

Pantun Nasihat 2 (Bila)

Dari Tampin pergi ke Dengkil,

Anak Acheh merantau sendiri;

Bila memimpin perlu adil,

Pilih kasih jangan sekali.

 

Seremban Tiga ke Kuala Pilah,

Pergi menghantar kuih suji;

Bila bekerja harus amanah,

Usah sekadar mengharap gaji.

 

Habis sudah si jeruk pala,

Bawa teman ke Pulau Pinang;

Bila musibah datang melanda,

Ingat Tuhan hati pun tenang.

 

Pantai Merdeka tempat bercuti,

Bukan terceruk dekat pekan,

Bila bercinta berhati-hati,

Baik buruk tahu bezakan.

 

Negeri Sembilan Adat Perpatih,

Adat tiada menepi agama;

Bila berkawan bijak memilih,

Suka duka dapat bersama.

Pantun Nasihat (Biar)

Orang muda berkain pelikat,

Pelikat tebal dipakai selesa;

Biar kerja tidak berpangkat,

Rezeki halal rajin berusaha.

 

Pokok nangka daun merimbun,

Buat redup panas mentari;

Biar harta tidak menimbun,

Asal hidup tahu berbudi.

 

Corak bunga kain batik,

Warna merah elok disimpan;

Biar rupa kurang cantik,

Baik tingkah beradab sopan.

 

Bunga serangkai pelbagai jenis,

Gubahan dara bersuka-suka;

Biar tak pandai bermulut manis,

Jangan suka bermuka-muka.

 

Teguh berakar pohon duku,

Tanam sekali pokok rambutan;

Biar digelar ulat buku,

Tiada rugi menambah amalan.