Archive | Disember 2017

Pantun Akhir 2017

Gunung Angsi di Kuala Pilah,

Ulu Bendul namanya jeram;

Kalau hati enggan berpisah,

Kasih subur dalam diam.

 

Chengkau mukim daerah Rembau,

Gunung Datuk berdiri megah;

Kalau kirim tak terjangkau,

Bila rajuk resah tak sudah.

 

Reda hujan dingin terasa,

Gunung Chabang hutan berlumut;

Simpan impian dalam jiwa,

Dengan tersayang baru disebut.

 

Gunung Pulai di dalam kampung,

Gunung Baling dekat pekan;

Rindu sampai tak tertanggung,

Cinta saling sama perlukan.

 

Bukit Kepayang tempat tumpuan,

Seremban Prima tampak jelas;

Andai sayang membawa rusuhan,

Tenang tiada tinggal berbekas.

 

Tanjung Tuan sempadan negeri,

Batu Putih namanya bukit;

Tidak keruan dalam hati,

Tanda kasih mula berputik.

 

Dari Seremban sampai Semenyih,

Bukit Broga ramai pengunjung;

Dari terbeban memendam kasih,

Luahkan saja usah selindung.

 

Lembah Bujang tapak bersejarah,

Negeri Kedah puncaknya Jerai;

Andainya senang hati berubah,

Sungguh baiklah kalau bercerai.

 

Negeri Perlis Indera Kayangan,

Bukit Chabang berbatu tajam;

Sudah tertulis dalam suratan,

Jodoh orang usah didendam.

 

Chemor ke Ipoh tiada jauh,

Bukit Kledang dekat Menglembu;

Sanggup tempuh tanda bersungguh,

Apa mendatang demi bersatu.

 

Bukit Bangkong di Tanah Hitam,

Bukit Katak di Tasik Gelugor;

Usah diusung dendam semalam,

Bunga sejambak biarkan gugur.

 

Advertisements