Archive | Februari 2018

Syair Sahabat Sayang

Buat sahabat aku nukilkan,

Tanda sayang rindu kenangan,

Jauh di mata di hati jangan,

Ruang dan jarak tak terpisahkan.

 

Senyum dan tawa lupa tiada,

Tangis dan duka pernah pernah bersama,

Marah dan manis dalam suara,

Peluk dan jabat masih terasa.

 

Ku sampai rindu sahabat sayang,

Di dalam doa tetap dikenang,

Pesan nan baik teguh dipegang,

Budi ditabur itu ditatang.

 

Adat dunia temu dan pisah,

Dalam gembira adanya gundah,

Simpan segala yang indah-indah,

Sahabat sayang kau anugerah.

 

Advertisements

Pantun Berkait (Syukur Bersama)

Kampung Koh Kampung Cina,

Kampung Sitiawan tidak jauh;

Kalau sungguh niat jiwa,

Puncak ditawan tanpa tangguh.

 

Kampung Sitiawan tidak jauh,

Jeti Lumut ramailah orang ;

Puncak ditawan tanpa tangguh,

Mulut menyebut hati terkenang.

 

Jeti Lumut ramailah orang,

Pulau Pangkor seberang sana;

Mulut menyebut hati terkenang,

Lafaz syukur janji bersama.

 

Pulau Pangkor seberang sana,

Tinggi rendah ombak berlagu;

Lafaz syukur janji bersama,

Bangun rebah tetaplah satu.

Pantun Berkait (Warna Rindu)

Merah merah tanah merah,

Biru biru langit biru ;

Marah marah bukan marah,

Rindu rindu mungkin rindu.

 

Biru biru langit biru,

Hijau hijau rumput hijau ;

Rindu rindu mungkin rindu,

Galau galau tidak galau.

 

Hijau hijau rumput hijau,

Bunga putih kuntum kemboja ;

Galau galau tidak galau,

Cinta kasih itu ubatnya.

Pantun Berkait (Simpan Rindu)

Jeti kecil di Pantai Merdeka,

Dari kejauhan Gunung Jerai;

Bukan degil bukan meminta,

Simpan rinduan tidak terlerai.

 

Dari kejauhan Gunung Jerai,

Mentari terbenam di ufuk barat;

Simpan rinduan tidak terlerai,

Kisah semalam sudah tersurat.

 

Mentari terbenam di ufuk barat,

Bayu petang bawa ke senja;

Kisah semalam sudah tersurat,

Mulanya sayang beralih cinta.

 

Bayu petang bawa ke senja,

Pulau Sayak namanya tempat;

Mulanya sayang beralih cinta,

Kasih terletak indah dipahat.

Cinta Tak Kenal Siapa

“Aku kalau boleh nak peristerikan dia.” Jo serius. Dipandang bersilih ganti akan wajah dua teman akrab di hadapannya itu.

Ringgo seperti menahan ketawa. Tim persis keliru dalam tidak percaya.

“Hahahahahahah!!” terburai juga gelak Ringgo.

“Pandai kau buat lawak, Jo!” sambungnya.

Jo diam.

“Kau biar betul, Jo…Tak pernah dibuat dalam geng kita apa yang kau cakap ni.” Tim pinta kepastian.

“Aku bukan buat lawak dan aku sedar apa yang aku cakap. Aku cuma kongsikan impian aku dengan kawan-kawan yang paling aku percaya. Aku tahu, ini memang idea gila tapi aku tak boleh nafikan yang aku berharap.” Kata-kata Jo termati di situ.

“Kita bebas berseronok, berseronok ajelah…Buat apa kau nak bebankan diri kau? Setahu akulah ‘kan, Nabi pun ada ramai perempuan tau.” Tawa Ringgo masih  berbaki.

“Hoi, Ringgo! Kalau ya pun nak nasihat kawan, kau tak payahlah bagi contoh perkara yang kau sendiri tak pasti. Kita jahil buat cara jahil. Sejak bila pula kau ambil tahu pasal Nabi ni?!” tempelak Tim.

“Alah, awek baru aku duduk dekat dengan masjid. Selalu dengar tazkirah. Aku pun ditazkirahkannya. Kikiki…”Ringgo tersengeh-sengeh.

Suara Tim dengan Ringgo berlalu dibawa angin malam. Melayang. Sama melayang fikiran Jo yang terkenangkan Mia. Mia yang baru seminggu berpindah ke kawasan itu bersama keluarganya.  Mia yang membuat masa seolah-olah bergerak perlahan tatkala Jo melihatnya.  Mia yang comel. Mia yang menawan. Mia yang…

“Dahlah, Jo!”

Jo tersentak daripada lamunan dek terasa kepalanya diluku oleh Tim.

“Jangan nak berangan lebih-lebih sangat. Berpijak di bumi nyata. Si Mia tu bagaikan bulan, tinggi di langit. Nak digapai kau tak sampai. Takut kau merana macam pungguk, rindu tak berbalas. Kalau berbalas sekalipun, kau kena fikir juga keluarga dia. Nak ke mak dia terima kau?” Tim berkias.

“Fulamak, Tim! Kau pula sejak bila pandai bermadah-madah ni? Bulanlah. Pungguklah.” Ringgo takjub dalam lucu.

“Awek aku selalu lepak dengan penyair jalanan. Kau apa tahu…” balas Tim selamba.

“Ooo…patutlah kau selalu hilang ke pekan sana. Kau bercengkerama di bawah sinaran rembulan ye…”

“Ah, sibuklah kau!”

“Tak nak kenalkan dengan aku ke?”

“Kau lepaklah dengan awek ustazah kau tu.”

“Alah, sekali-sekala nak juga tukar citarasa dengan awek seni.”

Kerancakan perbualan Tim dengan Ringgo langsung tidak menarik minat Jo. Dia berlalu pergi. Ternyata tiada gunanya berkongsi harapan dengan rakan-rakan sebegitu. Namun, tidak boleh juga bulat-bulat mereka disalahkan. Kehidupan mereka sejak dulu begitulah caranya.

Jo tidak pernah berasa dirinya serba kekurangan apatah lagi malang walaupun membesar sebagai anak jalanan. Susur galur keturunan entah dari mana. Jo berdikari. Kawan-kawan adalah keluarga. Yakin dan berani hadapi segala kesukaran. Sampailah saat Jo bertemu Mia.

Melihat Mia bersama keluarganya, hidup senang dan bahagia lantas membuat Jo seakan-akan terbenam ke dalam lubuk rendah diri. Dia pasti tidak akan berperasaan demikian andai dia tidak jatuh hati. Sekian banyak pilihan lain, kenapalah Mia yang umpama puteri itu yang dia boleh jatuh hati?

“Jo, tak payahlah jadi romeo!” sayu-sayup suara Ringgo kedengaran.

*                                             *                                             *

“Kalaulah Mia boleh cakap pada Mama tentang kita…tapi..”

“Tapi Mia tak mampu ‘kan?” Jo mencelah.

Diam seketika. Kedua-duanya membiarkan bayu petang berbicara. Mentari yang kian tenggelam masih megah bersinar. Hangat. Sehangat kasih Jo pada Mia.

“Dah lewat ni, Mia. Kau baliklah. Nanti Mama kau risau.”

“Rumah Mia ‘kan kat depan ni je. Kenapa, Jo dah bosan jumpa Mia ke? Atau..ada date lain malam nanti?”

“Aduh, parah!” Jo mengomel dalam hati.

Memang beginikah apabila bercinta? Cinta itu buta, Jo pernah dengar. Cemburu buta, juga Jo pernah dengar. Beginilah rupanya ya? Kalau mahu mudah, logiknya Jo hanya perlu jawab tidak. Tidak perlu sebarang penjelasan.

“Ya.” Lain pula yang terkeluar dari mulut Jo.

“Hah?!” Mata Mia bagai nak tersembul keluar.

“Ya, memang ada date malam ni. Date dengan Mia dalam mimpi.” Usik Jo. Dia sendiri pun bingung entah dari mana idea lemak manis itu muncul lalu menggelungsur ke lidahnya.

“Menyampah!” Mia tersipu-sipu.

Ditatap wajah ayu itu. Tidak jemu. Dedaun yang gugur tampak persis jatuh dalam gerak perlahan. Mengasyikkan. Bisakah lestari suasana indah itu?

“Mia! Mia!”

Berkecai anganan Jo. Ada suara wanita memanggil-manggil Mia.

“Mama dah panggil. Mia balik dulu ya!” Mia terus mengorak langkah laju meninggalkan Jo.

Berpaling melihat Mia yang berlalu merentasi taman permainan menuju ke rumahnya di seberang jalan, Jo ternampak kelibat laju sedang membelah jalan raya menuju ke arah Mia. Bagai ditarik, Jo terus berlari mengejar.

“Mia…!!”

Sssrreettttt!!

Bunyi brek. Jantung Jo seperti hendak pecah. Laju degupannya. Masih berdegup. Seinci dari hidungnya ada tayar sebuah kenderaan berhenti.

“Mama! Mama! Nasib baik adik tak langgar.” Suara itu secomel pemiliknya.

Mia dirangkul lalu diusap-usap oleh budak perempuan yang turun dari basikalnya itu. Wanita yang memanggil Mia tadi datang menghampiri.

“Eh, siapa ni…? Kawan Mia ye?” Lembut suara tersebut didengari Jo seiring dirasa tubuhnya diangkat.

Jo mahu meronta tapi sejurus bertentang mata dengan wanita itu, hatinya lunak. Dibiarkan dirinya diusap dalam pelukan.

“Mama, kucing tu pun comel. Adik selalu Nampak dia tidur kat luar. Dia tak ada rumah. Kita bela ya, Ma? Boleh kawan dengan Mia.”

Bermimpikah Jo? Tidak, ini bukan mimpi. Benar apa yang didengari.

“Hmmm…kita nak bagi nama apa ya? Adik ada idea? Kucing jantan ni.”

“Emm..ada nama tu adik baca dalam buku cerita. Romeo…tak naklah. Romi! Kita panggil Romi! Ok tak, Ma?” teruja benar anak itu.

“Romi..sedap juga. Ok, Romi…jom kita masuk rumah. Lepas tu kita mandi!”

Jo nampak senyuman Mia. Impian. Harapan. Tidak mustahil. Buktinya, Jo kini bergelar Romi kerana cinta tak kenal siapa.