Sedingin Bayu Chabang

Tembus. Dua lapis baju tembus dek darah persis ditikam di perut. Langsung tidak perasan kerana lapisan ketiga yakni t-shirt berwarna merah jambu tampak elok saja. Entah sejak dari mana makhluk kecil tapi licik itu mulai melekat dan menikmati jus segar ku. Mungkin ketika sedang berehat lama di tepi sungai sambil menunggu semua ahli pendakian berkumpul.

“Eh, yang seorang termenung! Yang seorang lagi merenung dari jauh. Hei, ada apa-apa ke ni…” cahaya lampu suluhnya menghala ke wajah ku sebelum berpindah kepada seseorang tidak jauh dari ku.

Usikan itu yang menerpa dalam fikiran. Waktu itu, aku cuma duduk di atas batu sungai sambil ralit memerhati. Ada rakan-rakan yang sibuk memasak mi segera dan minuman panas menggunakan mestin. Ada yang membersihkan diri di sungai.

Ah, biar dulu cerita beberapa jam lalu. Sekarang aku sendiri mesti bersihkan diri. Bekas gigitan pacat masih mengalir darah. Plaster. Mujur dibawa.

Dua belas tengah malam sudah pun berlalu. Jamak ta’khir yang tertangguh dilangsaikan. Saat itu juga teringat seorang teman sependakian tadi. Lelaki. Hitam manis. Aku lihat dia solat di puncak gunung. Aku juga perhatikan dia solat kala senja di tepi sungai. Oh, patutlah! Dia dari daerah berhampiran, bukan musafir seperti majoriti peserta pendakian lain.

Kenapalah fikiran ku terlalu menerawang? Kerana aku sendirian. Selagi mana aku belum terlena, tentu saja otak ku terus ligat mengimbas segalanya.

Bukanlah pendakian pertama. Bukan juga gunung pertama yang dijejaki. Namun, banyak perkara lain yang aku kategorikan sebagai ‘yang pertama’. Kali pertama mendaki dalam hujan. Kebasahan. Kesejukan. Kali pertama tamat pendakian waktu malam. Kali pertama bermalam di hotel tanpa dirancang.

Siling putih. Kipas berpusing perlahan. Empat orang pemuda di bilik sebelah sana entahkan sudah lena atau belum. Dua daripadanya baru ku kenal hari ini manakala dua orang lagi pernah beberapa pendakian bersama. Seorang daripada mereka merupakan pemandu yang bertanggungjawab membawa aku dari rumah sampailah ke kaki gunung kelmarin dan kini di sini, bermalam di hotel ini.

Ada saja rakan perempuan yang mengajak pulang bersama tapi entah kenapa aku tetap bersama dengannya meskipun dia memandu menggunakan sebelah tangan. Kecederaan tangan yang belum pasti sejauh mana teruknya akibat insiden sewaktu turun dari gunung mengiringi seorang peserta paling lambat tadi.

Kegilaan apakah yang ku turutkan ini? Berada di tempat yang asing bagi ku dengan orang-orang yang belum ku arif sepenuhnya akan siapa mereka. Terlena.

* * *

Fikiran lebih segar walaupun badan terasa sengal-sengal. Sudah dijangkakan. Hendak dikatakan hari baru, tidak. Sedangkan sampai ke situ pun awal pagi tadi. Cuma, selepas lena beberapa jam dengan nyenyaknya, terasa lebih bersemangat.

Gunung Chabang, Pos Slim, Perak. Itulah gunung yang ku daki kelmarin. Bersama lebih kurang tiga puluh orang rakan peserta dan kru. Bermula dalam jam lapan pagi. Berakhir malamnya dalam jam sebelas lebih.

Aneka ragam. Pelbagai karenah. Macam-macam cerita. Trek yang panjang. Lumpur hitam. Puncak palsu. Cuaca sejuk ditambah hujan sebahagian perjalanan. Mendaki menggenggam kesabaran. Turun dengan cebisan kekuatan membawa baki semangat.

Dalam masa yang sama, terpesona dengan lelumut hijau. Segar. Sesegar udara yang disedut lalu dilepaskan sehingga kelihatan bagai asap keluar dari mulut. Air sungai yang sejuk. Iramanya diadun dengan suara unggas. Berselang-seli suara kami yang berbual-bual sesama sendiri.

Aku tersenyum sendiri tatkala terbayang rakan perempuan yang melahap mi segera, tidak peduli biarpun diusik oleh rakan-rakan lelakinya. Cemburu pula aku melihat betapa berseleranya dia sedangkan aku memaksa diri menghabiskan seketul Twiggies. Dekat sungai itulah.

Aku berjaya sampai ke puncak. Anehnya, aku tidak begitu teruja. Mungkin kerana kesejukan atau mungkinkah kerana seseorang? Bekal yang dibawa tetap ku habiskan. Dipaksa-paksa telan kerana ia keperluan. Tiada gambar bergaya di puncak. Langsung tidak berasa hendak ber’posing’.  Hanya menekan lensa sendiri, merakam pemandangan-pemandangan indah.

Perjalanan turun lebih mencabar berbanding pendakian. Trek umpama gelongsor. Berkali-kali juga terduduk. Bersama-sama aku seorang kakak. Suara selembut riak wajahnya. Amat terkesan dalam hati kecil ku tatkala mendengar ucapan ‘alhamdulillah’ keluar dari mulutnya setiap kali terjatuh dan bangun semula melangkah. Aduhai, aku hanyut dibawa rasa terharu.

Dalam pada itu, sempat juga bersinetron apabila bertemu dua tiga orang rakan di tengah trek. Kelihatan cara kami melayan skrip spontan dalam gurau bagaikan kawan-kawan lama tapi sebenarnya itulah kali pertama kami berjumpa. Sedikit sebanyak menghiburkan diri mengalihkan perhatian daripada kepenatan.

Berehat agak lama di checkpoint sungai untuk memastikan semua berkumpul semula dan turun bersama, menyeret masa dari petang ke malam. Setelah senja berlalu barulah perjalanan yang berbaki hampir separuh lagi diteruskan.

Semakin lama berjalan, semakin jarak antara sesama peserta berjauhan, menjadi kumpulan-kumpulan kecil. Perkara biasa. Mereka yang laju terus menderu dahulu. Mereka yang perlahan apatah lagi yang cedera, tetap tegar bergerak.

Aku bersama dua orang rakan, seorang perempuan dan seorang lagi lelaki. Masing-masing melawan kelemahan sendiri. Kekejangan kaki tentunya kian terasa terutama dalam kesejukan. Walaupun begitu, dengan sisa tenaga mampu jua berbual-bual memecah sepi mengharung gelita. Mujur setiap seorang berlampu suluh di kepala.

Kadang-kadang dilintasi rakan-rakan dari belakang. Kadang-kadang kami yang melintasi rakan-rakan lain. Adakalanya seolah-olah tinggal kami sahaja, di depan sunyi, di belakang sepi. Langkah tetap diatur. Jarang-jarang berhenti.

Bulan separuh. Bercahaya. Tersenyum aku memandangnya biar seketika. Hutan buluh berlalu. Sungai kecil dah diseberangi. Lega apabila menjejak jalan berturap. Beberapa meter sebelum tempat kereta, ketiga-tiga kami duduk di atas jalan. Melunjur kaki. Rakan lelaki yang seorang sampaikan berbaring. Kepenatan sebegini, jalan tar pun ibarat tilam empuk.

* * *

Kereta api bergerak laju. Stesen demi stesen ditinggalkan. Aku naik dari stesen Sungai Buluh. Destinasi dituju, Seremban.

Pejam mata. Kepala ku sandar ke kusyen. Terbayang dalam minda akan suasana di dalam kereta tadi. Aku dan mereka, si empat orang pemuda. Pelik, bukan? Sepatutnya aku cuma berdua dengan si pemandu setia. Bagaikan babak di dalam drama, keretanya berasap ketika awal perjalanan. Terpaksalah ditinggalkan lalu kami berlima satu kereta.

Ada hikmahnya. Dengan keadaan dia yang cedera, lebih baik direhatkan dahulu tangan itu. Aturan Tuhan teramatlah indah.

Dihantar sampai ke stesen KTM tadi pun sudah cukup ku syukuri. Mereka bertiga menuju ke Damansara kerana ada urusan sedangkan rumah masing-masing di utara.

Telefon berbunyi ringkas. Mesej Whatsapp. Sememangnya aku ada menghantar pesan kepada salah seorang daripada mereka, memberitahu aku sudah bergerak pulang. Mesej ku dibalas positif penuh doa agar selamat sampai.

Mesej lain masuk. Ku tersenyum sendiri. Sedingin bayu Chabang, sesejuk air sungainya, ada kasih yang menyubur perlahan di sudut hatiku.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s