Archive | Mei 2018

Pantun Muhasabah

Pohon durian tidak berbaja,

Harum wangi mangga kekuningan;

Puji jangan sampai memuja,

Lebih tinggi kuasa Tuhan.

 

Seri pagi belum berbunga,

Dahlia merah layu di taman;

Caci maki sampai menghina,

Tanda amarah tanpa kawalan.

 

Kuning sekata gugusan langsat,

Isi rambai masam rasanya;

Kuasa harta pengikut pangkat,

Bukan nilai tiket ke syurga.

 

Putik melur dipetik orang,

Diikat gubah hiasan rambut;

Dalam menegur berkasih sayang,

Badan musibah kerana mulut.

 

Limau kasturi pohonnya rendah,

Masam kelat kecil berisi;

Satu jari menunjuk salah,

Lagi empat menunding diri.

Advertisements

Pantun Pilihan Raya

Bulan penuh berpayung langit,

Hijau daunan ditiup bayu;

Kalau sungguh mahu bangkit,

Pilih pimpinan bukan penipu.

 

Timbang penimbang di atas peti,

Peti biru sudah lama;

Ulang diulang pelbagai janji,

Mana satu akan dikota.

 

Semerah api sebiru laut,

Lepas purnama sabit menjelma;

Ibu pertiwi bukan direbut,

Cinta negara berbagi tiada.

 

Terbang bebas buring merpati,

Mencari makan di dalam pekan;

Menang tumpas apapun parti,

Keluarga kawan terputus jangan.