Archive | Julai 2018

Pantun Teka-Teki (Abstrak)

Burung bayan pandai mengajuk,

Bila bertutur jelas suaranya;

Sikit bilangan terasa sejuk,

Banyak nombor panas jadinya.

 

Dikail-kail dapatlah kaloi,

Bawa ke pasar dekat Segambut;

Kecil-kecil digelar sepoi,

Bila besar dipanggil ribut.

 

Harimau akar bercorak bulu,

Ekor berpital bagaikan tali;

Makin dikejar cepat berlalu,

Sudah tertinggal tidak kembali.

 

Lebah bunga terbang menghinggap,

Menghisap madu bunga melati;

Datang ia hilanglah gelap,

Geraknya laju terang meliputi.

Advertisements

Pantun Buatmu Wanita

Kuning sekata masaknya padi,

Sawah seberang dekat banjaran;

Kuat wanita dalam emosi,

Sabar berjuang tempuh cabaran.

 

Laut surut kebiru-biruan,

Cerah cuaca disinar sang suria;

Tangan lembut menghayun buaian,

Itulah jua menggegar dunia.

 

Menjelang tiba musimnya haji,

Rukun kelima dalam agama;

Wanita syurga akhlak terpuji,

Benteng keluarga aset negara.

 

Daun bambu motif ukiran,

Relief rendah dari Jakarta;

Saban waktu sedia berkorban,

Di rumah di luar wajah sejuta.