Archive | Ogos 2018

Pantun Teka-Teki ( Surah Al-Quran)

Tiada berkarat cermin kaca,

Letak bersusun bertentang kiblat;

Tujuh ayat diulang baca,

Dialah rukun dalam solat.

 

Mawar biru di dalam raga,

Segar baru belum layu;

Ayat satu dua tiga,

Nama rasul penyampai wahyu.

 

Buahnya merah lobi-lobi,

Di dalam bekas buat manisan;

Kumpulan kisah para nabi,

Api yang panas doa sejukkan.

 

Bunga orkid tiada berdahan,

Mekarnya lama akar selerak;

Tentang tauhid dan kuasa Tuhan,

Nasihat bapa kepada anak.

 

Kain kapas dibuat alas,

Hadiah saudara dari Tuaran;

Hukum jelas lagi diperjelas,

Berita gembira juga amaran.

Advertisements

Pantun Teka-Teki (Buah-Buahan)

Kain tebal di dalam almari,

Kain kasa kelambu malam;

Pintu kebal berpagar duri,

Kaya rasa emas di dalam.

 

Batik Terengganu buat basahan,

Walau nipis dipakai selesa;

Mata seribu keliling badan,

Masam manis naungan mahkota.

 

Awan larat corak tenunan,

Gulungkan benang sebelum menyilang;

Disisir disikat di dalam tandan,

Dibiar jangan buah berulang.

 

Cantik kebaya pengantin Sunda,

Renda biru tiada serabut;

Nama sempena makhluk lagenda,

Merah ungu isinya lembut.