Archive | Disember 2018

Syair Al-Fatihah

Rangkap dimula dengan bismillah,

Syair dikarang mengukir kisah,

Dalam Al-Quran ibunya surah,

Dipanggil nama surah Al-Fatihah.

Tujuh ayat dibaca selalu,

Rukunnya solat sudahlah tentu,

Dalam sehari lima waktu,

Diulang lafaz kadang berlagu.

Bagi Allah segala puji,

Maha Pemurah Maha Mengasihani,

Dunia akhirat Dia miliki,

Dengan izin-Nya segala terjadi.

Allah disembah yang paling layak,

Tempat meminta apa dikehendak,

Tiada sekutu sama diletak,

Esa nan satu tidaklah banyak.

Tunjukkan kami jalan yang lurus,

Rahmat mawaddah janganlah putus,

Berkati tiap nafas dihembus,

Saat terhenti iman tetap telus.

Jalan mereka Kau beri nikmat,

Menuju syurga itu matlamat,

Sepanjang hidup dilimpah rahmat,

Akhirat sana elok penamat.

Mahon dijauh jalan Kau murka,

Nan penuh azab itu neraka,

Hidup di dunia bersuka-suka,

Tapi akhirnya abadi duka.

Advertisements

Seberang Sempadan

Seberang sana ada kucing dan tikus.

Dipisah laut berombak arus.

Langit berhias awan putus-putus.

Sebelah sini duyung kaku bersuara halus,

“Aku diperdagang lalu dipamerkan

mungkin aku lambang keajaiban

atau sekadar tanda kemegahan

sedang aku hanya ciptaan.”

Bumi beraja yang tak pernah dijajah

melainkan jejak duta bernama gajah.

Tiada bernegeri tetapi berwilayah.

Naga air menembusi tanah.

“Dalam dongeng berisi semangat

diiringi budaya aku diangkat.

Tanah, air, api dan udara sejagat.

Simbol alam nan sentiasa terikat.

Sempadan tiada berpagar.

Ringgit ke Baht bertukar.

Hukum dunia sudah terajar.

Hanya manusia yang tegar.

*Kembara Hatyai November dalam kenangan*