Archive | April 2019

Awi Rafael; Karya Seikhlas Senyumannya

Lima buah lagu Awi Rafael (solo) yang menjadi pilihan hati:
1. Asalkan Aku OK
2. Hari-Hariku
3. Takdir Cinta
4. Lebih Berat Dari Surga
5. Ini Semua Dunia!

Sebagai seorang yang bukan peminat tegar mana-mana penyanyi mahupun genre, pilihan saya cenderung kepada “nan sedap di telinga, nan indah di hati”. Ada lagu yang saya suka dengar apabila berkumandang di radio tapi belum tentu saya mahu ia berada di dalam “playlist” telefon saya.
Tentunya kelima-lima lagu di atas berada di dalam “playlist” sebagai halwa telinga. Gelaran pun “halwa”. Mestilah manis; bukan pahit, masam apatah lagi pedas.

Mula dikenali melalui lagu Pulanglah sekitar lapan tahun lalu, Awi menampilkan kesantaian dalam karyanya. Lebih menyerlah apabila lagu Asalkan Aku OK menerjah pendengaran. Lirik yang mudah difahami, rentak yang menyenangkan hati. Gayanya kian menyinar sedikit demi sedikit selepas itu.

Kenapa dalam jutaan penyanyi, saya memilih untuk bercakap (tulis) tentang Awi? Vokalnya bukan yang paling mantap tapi suaranya tersendiri, di mana saat terdengar sudah tahu itu adalah dia. Lagu-lagunya bukan yang paling terkenal tapi penyampaiannya penuh aura positif.
Hampir semua lagu beliau (ciptaan sendiri) sedap pada pendengaran saya. Lirik yang baik dengan irama yang “manis”. Boleh dirasa dan dibayangkan beliau menyanyi dengan senyuman di bibir.
Berikut sekadar cebisan lirik lagu kegemaran saya; ringkas, mudah faham, mesej positif dan berkesan:

“Hati bersih tak lupa sembahyang”
(Asalkan Aku OK)

“Hari-hari ku rasa cinta”
(Hari-Hariku)

“Ke manapun ku pergi pasti ada bayangmu”
(Takdir Cinta)

“Ayat cinta bukan sekadar hiasan”
(Lebih Berat Dari Surga)

“Harta benda dunia, nyawa hanya sementara, pupus dan terbang selamanya”
(Ini Semua Dunia)

Lima buah lagu di atas sekadar pilihan peribadi saya. Banyak lagu lain termasuklah duet seperti Ada JalanNya (Kaka Azraf) dan Kau Dihatiku (Altimet) yang tak kurang hebat.

Lagu terbaru beliau bertajuk Rahasiaku agak melankolis (berkaca juga mata menghayatinya); tidak dapat tidak, terkait dengan kisah cintanya (sampai terilham Pantun Merawat Luka yang dipos bulan lalu). Namun masih menebarkan benih kasih bukan kebencian.

Awi Rafael; A Man of Positive Vibe. Karyanya seikhlas senyumannya.

Singapura kota singa,
Kuala Lumpur tempat singgah;
Kental jiwa hadap semua,
Asal jujur nan susah jadi mudah.

Advertisements