Archive | Mei 2019

5 Perkara Berkenaan Al Quran

1. Memuliakan Al Quran bukan bererti meletakkan musyhaf di tempat tinggi lalu terbiarlah di situ tanpa dibuka apa lagi dibaca.

2. Khatam Al Quran bukan bermakna habis membaca semua surah lalu tamatlah di situ, tidak diulangi lagi.

3. Mengagungkan Al Quran tak bermaksud membacanya sempena sambutan, hari, peristiwa atau bulan tertentu saja.

4. Menghormati Al Quran tak semestinya membaca di dalam masjid atau surau ketika sedang berpakaian cantik dan sebab tiada apa nak dibuat saja.

5. Membaca Al Quran bukan tunggu apabila dah tua, selepas bersara atau ketika ada masa terluang saja.

SEBALIKNYA

1. Letakkanlah Al Quran di tempat yang mudah dicapai seperti hampir dengan tempat solat. Tatkala ternampak, tergeraklah hati untuk membacanya.

2. Istimewanya Al Quran, diulang-ulang pun tidaklah sama perasaannya. Apa salahnya lepas khatam, beli musyhaf baru dengan gaya berbeza. Moga lebih bersemangat membaca.

3. Seluruh Al Quran sesuai sepanjang masa. Peruntukanlah sedikit waktu untuknya walau sekadar satu ayat.

4. Bacalah di rumah, pejabat, dalam bas, mana-mana saja asal bukan tandas. Cukup mudah dengan aplikasi dalam telefon canggih sekaeang. Tiada wuduk pun tak apa. Pakaian biasa-biasa pun boleh.

5. Tak siapa boleh jamin umurnya sampai berapa di dunia. Entah sempat bersara atau tidak. Kalau sempat tua pun, kesihatan belum tentu. Boleh jadi terkedang atas katil, dengar saja orang bacakan Yasin. Sendiri nak capai musyhaf dah tak larat. Menyesal tak berguna lagi.

5 Perkara Tentang Solat & Aurat

1. Memahami konsep aurat akan memudahkan solat. Memahami solat akan membantu menjaga aurat.

2. Perempuan, tak semestinya bertelekung manakala lelaki tak semestinya berbaju melayu atau berkain pelekat untuk solat.

3. Mementingkan solat menjadikan seseorang berpenampilan menutup aurat apabila keluar rumah.

4. Kedua-duanya adalah suruhan Allah. Meninggalkannya bererti mungkar. Kalau bos bagi kerja, adakah nak tunggu ikhlas dulu baru buat kerja tu?

5. Kedua-duanya membezakan seorang Muslim dengan Kafir. Jika diabaikan, apakah bezanya lagi?

Mei dan Ramadhan

Ramadhan yang jatuh dalam bulan Mei menggamit aneka kenangan. Dalam Mei, ada hari guru dan hari ibu. Namun secara peribadi, Mei adalah bulan persahabatan. Mei juga adalah bulan di mana saya berhijrah secara fizikal dan mental.
Lebih 400 kilometer dari kampung halaman, kolej yang saya pilih untuk pergi bukan sekadar demi menyambung pengajian selepas SPM tapi merupakan langkah awal membina kehidupan sendiri. Kehidupan di mana keluarga dan sanak-saudara bukan tunggak utama. Saban waktu, saya dikelilingi rakan-rakan seperjuangan manakala selebihnya adalah orang asing yang dipanggil encik, puan, mak cik, pak cik, bang, uncle, aunty, dik.
Ramadhan dalam tahun 2008 itu kali pertama saya tidak berpuasa di rumah sepanjang bulan sehinggalah beberapa hari menjelang Syawal ketika kolej telah bercuti. Bersahur dan berbuka seadanya. Amat seadanya. Sampailah satu ketika ada rakan satu dorm yang menghulurkan sebungkus nasi goreng selepas waktu berbuka. Rupa-rupanya ada yang perasan, beberapa hari menu saya cuma oat. Saya makan nasi goreng tersebut sambil menahan sebak kerana syukur dan terharu. Sehingga kini, rasa terharu itu tidak pudar.
Mei dalam tahun yang sama, beberapa bulan sebelum Ramadhan, saya berkenalan dengan seorang teman yang amat bermakna sampailah ke hari ini. Meniti kehidupan di kolej bersama beliau banyak mempengaruhi diri saya; pemikiran, penampilan, amalan. Dia persis haruman dibawa bayu, singgah kemudian berlalu tapi sebahagian nan wangi tertinggal di sisi.
Bulan sekadar bulan. Kenangan hanya untuk dikenang-kenangkan. Isi di sebalik bulan dan kenangan itulah yang membawa erti kehidupan. Tidak ternilai harganya.