Archive | Julai 2019

Kain Dalam

Tutup sini selak di sana,
Ada jarang ada yang tebal,
Gaya terkini atau lama,
Lain orang berbeza akal.

Kain aneka jenis kain,
Luar dalam pilih pakai,
Citarasa selalu lain,
Cerah suram corak pelbagai.

Adab adat mana satu?
Mana syariat mungkin budaya,
Atau ikutan cara melulu,
Pangkal tak ingat dari agama.

Serkup, balut atau sarung,
Lilit, lepas atau ikat?
Gaya dijual buat untung,
Fatwa dibidas wahyu dikerat.

Tutup tayang urusan sendiri,
Ingat-mengingat fardhu kifayah,
Boleh lantang di atas bumi,
Belum diikat jadi jenazah.

Hembus

Kekasih lama jadi sejarah.
Sayonara nikotin, tar dan api.
Teman pengganti ditukar arah.
Berawan-awan perasan wangi.

Teramal poligami murni.
Cium kulum mulut nan satu.
Vanila epal manis strawberi.
Cinta dipinjam bunganya rindu.

Seputik anak sematang bapa.
Enak menjamah afdal jemaah.
Ketagih tidak cuma bersuka.
Gaya unggul diterjemah.

Asap dunia api akhirat.
Hembus tulus dari nafsu.
Tangguh jua sampai kiamat.
Tinggal alasan satu per satu.

Seterika

Pakai arang cucuh api,
Cara seterika dulu-dulu;
Bila berang panas hati,
Orang ketawa engkau cemburu.

Tembus baju lubang di tengah,
Terlebih suhu orangnya leka;
Sudah cemburu dengki menjengah,
Di muka buku status berjela.

Tekan sampai kedut hilang,
Kena tangan bibir terketap;
Tular capai cecah bintang,
Datang saman menikus senyap.

Moden sudah guna karan,
Suis mati panasnya ada;
Jangan mudah ikut baran,
Dosa jemari tetap dikira.

Pantun Buat Pengantin

Khas buat sepasang teman;

Dari Angsi ke Pulau Bidan,
Padang Serai jauh tidak;
Bersatu hati dua badan,
Jarak bercerai bukan talak.

Pulau Pinang seberang laut,
Jambatan dua jadi laluan;
Kasih sayang sudah bertaut,
Sampai syurga moga temukan.

Pantun Al-Fattah

Pulau empat seberang laut,
Bunting Songsong Telor Bidan;
Ingat tepat wajah seraut,
Budi disanjung ke akhir zaman.

Kepala Angin namanya puncak,
Gunung Jerai pasak Kedah;
Kalau ingin dapat kehendak,
Tinggi dicapai dalam diredah.

Teluk di sini tanjung di sana,
Tengah-tengah menimbul batu;
Tetap di hati tanam di minda,
Patuh setia pada Yang Satu.

Turun memancing di kala pagi,
Lempar joran biarlah jauh;
Apa dirunsing yang belum jadi,
Lagi digenggam boleh terjatuh.

Lautan jingga rona mentari,
Sebalik gunung membuka wajah;
Lepaskan cinta tidak lestari,
Kasih terulung milik Al-Fattah.